Inilah yang terjadi apabila Umno sudah bercempera0

Umno lantik Mat Hasan ganti Tajuddin galas tugas pengarah pilihan raya

Malaysiakini 

Beberapa hari selepas lantang mengkritik kepimpinan tertinggi Umno, parti itu mengumumkan kedudukan Tajuddin Abdul Rahman selaku pengarah pilihan raya parti itu digantikan.

Tugas itu kini diserahkan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Pertukaran itu diumumkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Ahmad Zahid, Mohamad ketika ini juga menjalankan tugas sebagai pengerusi War Room BN dan Umno.

“Penstrukturan semula Jabatan Pilihan Raya Umno ini bagi memperkukuhkan organisasi di setiap peringkat parti dan akar umbi,” katanya.

Asalnya Tajuddin dilihat menjadi orang yang dipercayai Ahmad Zahid apabila dilantik ke jawatan penting itu pada 4 Nov tahun lalu dengan tugas menyediakan parti menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang. 

Ia berlaku ketika ada ura-ura Umno mahu bekerjasama dengan menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim dilantik menjadi perdana menteri menggantikan Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun Tajuddin mula menampakkan tanda dia tidak sependapat dengan Ahmad Zahid selepas ahli parlimen Bagan Datuk itu mengumumkan pendirian parti untuk menarik sokongan ahli parlimen mereka daripada Muhyiddin pada 8 Julai lalu.

Semasa membacakan keputusan Majlis Tertinggi Umno itu, Ahmad Zahid juga meminta Muhyiddin berundur dari jawatan perdana menteri secara terhormat. 

Semalam pula tersebar audio suara Tajuddin mendakwa keputusan Umno menarik diri daripada menyokong Muhyiddin bukan keputusan Perhimpunan Agong Umno. 

Ahli parlimen Pasir Salah itu juga mempersoal tindakan pemimpin tertinggi Umno kerana tidak menyatakan ucapan tahniah kepada naib presiden mereka, Ismail Sabri Yaakob, yang dilantik menjadi timbalan perdana menteri.

Katanya, perbuatan sedemikian seolah-olah pucuk pimpinan parti itu tidak bersetuju dengan pelantikan itu. 

Menurut Ahmad Zahid, Umno membuat pelantikan baru bagi memudahkan proses membuat keputusan dalam parti.

“Dengan kedudukan Mohamad sebagai timbalan pengerusi BN, ia akan memudahkan proses membuat keputusan dalam soal persiapan pilihan raya yang melibatkan semua parti-parti komponen,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan