Kenyataan PMO bukti Muhyiddin degil, kata Puad

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli majlis kerja tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata kenyataan media dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri petang semalam adalah bukti Muhyiddin Yassin degil dan mahu menegakkan benang yang basah.

Beliau berkata, Perdana Menteri sepatutnya memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong seperti yang disarankan oleh Menteri Besar Pahang dan Perak. 

Katanya, persoalan timbul adakah Ahli Parlimen Umno mahu bersekongkol dengan tindakan Perdana Menteri yang membangkitkan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong.

Puad berkata, Presiden parti Zahid Hamidi menegaskan tindakan Perikatan Nasional (PN) batal Ordinan Darurat tanpa perkenan Agong adalah penderhakaan kepada Tuanku dan mengarahkan Ahli Parlimen Umno menzahirkan pendirian menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

“Adakah usul hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri yang dikemuka oleh Anwar Ibrahim di bawah Peraturan Mesyuarat 14 (1)(h), 26 (1)(d), dan Peraturan Mesyuarat 36 (12) akan dibenarkan Isnin depan?,” soal Puad di Facebook.

Katanya, disarankan Ahli Parlimen Umno menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat dan menyatakan pendirian mereka tidak menyokong Perdana Menteri.

“Surat kepada Speaker akan mengabsahkan sama ada Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti melebihi 110 undi. Kecuali sidang Parlimen pada hari isnin ini dibatalkan sebagai jalan selamat untuk Perdana Menteri?,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan