FAZLI RADZI
Warganet dilihat berduyun-duyun ‘menyerang’ laman Facebook Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menerusi hantarannya di media sosial itu hari ini.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu memberitahu sepanjang dua minggu lalu dia dapat menjalankan taklimat isu-isu semasa untuk jentera penerangan Bersatu Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Johor.
“Ini merupakan sambungan siri Dialog Penerangan yang sebelum ini dijalankan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
“Tetapi tidak dapat diteruskan secara fizikal kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya.
Wan Saiful turut berkongsikan enam tangkap layar sesi yang berlangsung secara dalam talian itu termasuk dirinya dengan latar belakang lambang Bersatu yang terbalik. Hal itu turut mengundang cemuhan warganet.
Rata-rata orang ramai yang membanjiri ruangan komentar bagi hantaran itu menyelar Bersatu sebagai parti pemerintah yang gagal memerangi Covid-19.
Mereka berpendapat tumpuan Bersatu yang masih sibuk bercakap tentang politik amat melampau ketika rakyat dan barisan hadapan sedang lelah berperang melawan Covid-19.
“PRU15 kau tunggu sajalah nasib kau dan konco-konco kau tu. Kenyataan dia (Wan Saiful) ni sebenarnya bukan untuk tolong naikkan parti yang dianuti.
“Tetapi lagi membuat rakyat benci pada parti tersebut. Kasihan PM ada orang macam ni dalam parti beliau,” kata Amirul Amer antara lebih 120 komentar di Facebook Wan Saiful selepas 11 jam hantaran itu dimuatnaik.
Kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani penularan pandemik dengan angka harian melepasi 9,000 kes sejak tiga hari berturut-turut juga dibangkitkan pengguna Facebook, Mohd Bin Mohd.
“Terang lagi bersuluh, korang gagal. Bagitau rakan seperbu***an kau si Azmin. Korang memang kerajaan pintu belakang dan gagal,” kecamnya.
Tidak kurang juga mempersoalkan peluang Wan Saiful yang juga bekas calon kerusi Parlimen Pendang pada PRU-14 untuk menang pada pilihan raya umum akan datang.
“Agak-agak boleh menang ke? Kau dah tahu jawapan, kan?” sindir Imran Yusof manakala
Garry Tamang mentertawakan Wan Saiful dengan menulis, “Ketua Penerangan PPBM, kerusi PRU kau bertanding pun kalah.”
Untuk rekod, blok kerajaan PN pada masa ini hanya terdiri daripada 77 kerusi Parlimen manakala blok pembangkang menguasai 143 kerusi Parlimen susulan keputusan Umno menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dengan serta-merta.
Daripada 77 kerusi Parlimen itu, terdapat 32 kerusi Parlimen Bersatu yang diterajui Mahiaddin, Pas (18) dan STAR satu Parlimen di bawah PN.
Kerajaan PN juga disokong Gabungan Parti Sarawak atau GPS (18), Bebas (3), MCA (2) manakala satu kerusi masing-masing dari MIC, PBRS, PBS.
Pada masa ini, penularan Covid-19 semakin membimbangkan dengan jumlah keseluruhan sebanyak 836,296 kes dan 6,158 kes kematian.
Sebanyak 961 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 455 kes memerlukan bantuan pernafasan setakat jam 12 tengah hari tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan