Mengapa ucapan, tulisan Presiden Pas kena troll?

ZOLKHARNAIN ABIDIN

Ada orang kata, awat dok fokus misalan kera dan tupai pada tulisan Presiden Pas. Banyak lagi isi tulisan dia, pasai apa tak ambil buat perbincangan? Pi ambik kera dan tupai pasai apa?

Ginilah. Saya cerita diri saya, bukan orang lain. Saya mula baca dan dengar dengan aktif ucapan dan tulisan Presiden Pas semenjak tahun 1985. Waktu itu usia saya 18 tahun. Masih belajar di ibu kota dan sangat minat dengan Pas.

Waktu itu, boleh kata setiap minggu saya akan beli satu atau lebih kaset ceramah atau kuliah dia yang terbaru di belakang Masjid Negara.

Ada gerai dibuka selepas solat Jumaat di situ. Waktu itu rasanya harga satu unit kaset tidak sampai RM2 kot. Beli pakai duit biasiswa.

Maknanya, setahun saya ada paling kurang 50 kaset dia. Itu belum masuk buku dia. Juga kuliah dia di Masjid Damansara KL sebulan sekali. Tidak kira ceramah dia lagi yang saya hadir.

Lepas itu, saya aktif Pas hampir 30 tahun. Hadir seminar, dengar ucapan pembukaan muktamar, penutup dan macam-macam program yang dia hadir. Jika dicampur semua sekali mungkin ribuan ucapan dia saya sudah dengar.

Ucapan dia bagus bukan tidak bagus. Terutama gayanya. Ramai kawan saya berusaha untuk berpidato dengan gaya dia. Ada yang jadi, dan ada yang tidak jadi. Saya sendiri lebih minat gaya Fadhil Nor.

Saya nak sebut, ucapan dia dari dulu sampai hari ini, isi utamanya hampir sama. Dia ulang benda dan point yang sama. Tidak ada benda baru. Jika ada point baru, sangat sikit dan tidak terlalu ummpphhh…!

Dalam ucapan atau tulisan dia, kalimah yang dia kerap ulang ialah penjajah, barat, musuh Islam, demokrasi ala barat, kembali kepada Islam dan beberapa kalimah lain yang seerti dengan kalimah-kalimah tadi.

Jika dia hurai ayat Quran yang dipetik, huraiannya biasa-biasa saja. Tidak menjentik minda. Dalam tulisan dan ucapannya, dia gemar memaksa pendengar atau pembaca menerima ideanya bulat-bulat bukan membawa pembaca atau pendengar berfikir tentang idea itu.

Sebab itu dalam ucapannya, dia selalu guna “kita kena sedar”, “kita kena faham”. Idea-idea dalam tulisannya juga biasanya idea tertutup dan sering diikat dengan halal, haram, hukum Islam, perintah tuhan dan seumpamanya.

Kalau tidak percaya, bacalah tulisan dia dan dengarlah ucapan dia. Saya bukan nak merendahkan dia, atau nak kata ucapan dia salah dan tidak perlu didengar. Siapa nak dengar, dengarlah. Siapa nak baca tulisan dia, bacalah.

Cuma inilah perspektif saya terhadap ucapan dan tulisan dia. Sebab itu apabila dia berucap atau menulis, orang akan fokus pada benda yang lain drpd biasa. Misalnya, perumpamaan dengan binatang yang dia sebut.

Sebab, perkara lain yang dia sebut atau tulis, orang dah selalu dengar dan selalu baca. Kadang-kadang membaca perenggan awal tulisan dia, atau ayat Quran yang dia letak, pembaca sudah boleh agak apa yang dia akan tulis.

Tapi bagi orang yang baru masuk Pas setahun dua, tentulah dia rasa tulisan itu hebat dan bernas sebab belum pernah baca atau dengar. Tapi bagi saya dan orang macam saya yang sudah lama dengar dan baca, tak dak apa yg istimewa dah. Cuma mengulang-ulang perkara yang sama.

Saya sarankan Presiden Pas tulis perkara-perkara baru yang lebih segar dan semasa untuk membolehkan tulisan dia dibaca. Jika tidak, janganlah kecil hati jika pembaca ambil benda-benda remeh dalam tulisan dia untuk jadi bahan troll.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan