Ordinan darurat: Takiyuddin kata sudah batal, Annuar kata 'dalam proses'

Malaysiakini 

Timbul lagi kekeliruan berhubung status ordinan-ordinan darurat susulan dakwaan yang dibuat Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa hari ini.

Sementara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) memberitahu Dewan Rakyat semalam yang ordinan darurat telah "dibatal", Annuar berkata ia masih "dalam proses".

"Harus teliti bila membaca atau menyebar berita. Darurat tidak dibatalkan, ia tidak perlu pembatalan.

"Proklamasi 11 Mac 2021 menetapkan tempoh darurat tamat pada 1 Ogos 2021. Tak berbangkit lagi soal pengumuman.

"Yang dalam proses pembatalan ialah ordinan-ordinan darurat," ciap Annuar di Twitter hari ini.

Ciapan itu sebagai respons kepada artikel Umno Online yang memetik pendapat Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan mengenai ordinan darurat.

Hari ini, Takiyuddin enggan menjawab pertanyaan yang disuarakan berulang kali mengenai apakah Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan terhadap pembatalan ordinan-ordinan darurat yang diwartakan tahun ini.

Ini walaupun dengan peringatan ahli parlimen pembangkang bahawa ia membawa implikasi besar terhadap mereka yang ada kes di mahkamah.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun menegaskan bahawa Takiyuddin hanya dapat memberi penjelasan pada Isnin minggu depan.

Ahli Parlimen Tanjong Karang Noh Omar pula berkata jika perkara itu dibincangkan pada hari Isnin, ia hanya menjadi perbincangan akademik dan membuang masa.

Berikut adalah ordinan-ordinan darurat yang diwartakan tahun ini:

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021

Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021

Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 [Berhubung berita palsu]

Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pindaan) 2021 [Berhubung kuasa untuk menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif]

Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021

Tiada ulasan:

Catat Ulasan