SYAZMIR BIN NOORAZALAN
Situasi politik di Malaysia sentiasa panas dan membara sejak Perikatan Nasional (PN) memimpin negara. Seiring dengan krisis politik yang melanda negara, Malaysia juga turut dilanda Pandemik Covid-19 yang mengakibatkan jumlah terkumpul rakyat Malaysia yang maut adalah sebanyak 5, 170 orang. Jumlah ini sangat membimbangkan.
Keadaan yang meruncing ini menyebabkan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong terpaksa memanggil sejumlah pemimpin-pemimpin tertinggi setiap parti politik di Malaysia bagi mendengar penjelasan dan cadangan yang perlu dilakukan atas kedudukan negara yang semakin tenat. Ia dimulakan oleh Anwar Ibrahim mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) serta diakhiri dengan pertemuan bersama beberapa pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara dalam talian telah membolehkan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong mendapatkan saranan yang lebih tuntas. Bukan sekadar pemimpin politik, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong juga menjemput semua baginda-baginda Sultan dan Raja Melayu bagi memutuskan sebuah keputusan penting bagi menggerakkan semula negara yang sedang tersangkut dipersimpangan.
Akhirnya, dengan pengumuman Istana Negara bahawa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong berserta baginda Raja-Raja Melayu menitahkan agar persidangan parlimen diadakan sesegera mungkin. Titah itu menjadi satu igauan ngeri buat PN yang pastinya akan menggangu kedudukan PN sebagai sebuah kerajaan. Penegasan sebanyak 3 kali dari Istana Negara dan kesediaan Yang Di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat untuk membuka semula parlimen untuk bersidang telah menaikkan suhu politik negara berkali-kali ganda.
Namun, penulis mahu melihat dalam satu keadaan terkini berkaitan dengan seorang Menteri Pendidikan yang dilantik atas kapasitinya sebagai seorang Senator. Mengapa penulis tertarik melihat situasi ini, adalah kerana tempoh lantikan Dr. Radzi Jidin selaku Ahli Dewan Negara akan tamat pada 16 Julai 2021. Sedia umum mengetahui bahawa Dr.Radzi merupakan pemimpin PPBM yang menyokong Tan Sri Mahiaddin Md Yasin selaku Perdana Menteri (PM) setelah mereka bersama pimpinan haluan kiri PKR dibawah pimpinan Azmin Ali mengkhianati kerajaan PH.
Sebelum itu, Dr. Radzi Jidin merupakan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi serta Ahli Majlis Tertinggi PPBM. Beliau mengangkat sumpah selaku Ahli Dewan Negara setelah namanya disenaraikan sebagai timbalan menteri bersama-sama dengan pimpinan PH yang lain seperti Liew Chin Tong (Tim.Menteri Pertahanan), Raja Kamarul Bahrain (Tim. Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan) serta Marzuki Yahya (Tim.Menteri Luar).
Dalam keadaan semasa, adakah Dr. Radzi Jidin akan dilantik semula sebagai Ahli Dewan Negara seterusnya memikul semula amanah sebagai Menteri Pendidikan, ataupun indvidu lain akan berada disitu mengemudi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)?
Kedudukan Menteri Pendidikan berubah atau kekal boleh dipengaruhi oleh situasi politik yang akan berlaku dalam masa terdekat. Pertama, Dr. Radzi boleh saja dikekalkan sebagai Menteri Pendidikan memandangkan beliau sangat setia kepada PM Mahiaddin Md Yasin. Kesetiaan itu boleh dibalas dengan melantik semula beliau selaku Ahli Dewan Negara bagi penggal seterusnya.
Situasi genting sekarang ini tidak memungkin PM merombak kabinet yang menyebabkan luka PN terus membarah. Melainkan jika PM merasakan jawatan Menteri Pendidikan perlu diberikan semula kepada ahli parlimen Umno yang pernah menjawat jawatan tersebut sejak merdeka sehingga 2018. Mungkin langkah ini untuk memastikan kedudukan PM Mahiaddin diperkukuhkan dengan sokongan ahli parlimen Umno. PM Mahiaddin boleh melantik mana-mana ahli parlimen Umno yang belum dilantik dalam kabinet PM Mahiaddin.
Kedua, persidangan parlimen yang perlu disegerakan seperti titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong akan mempengaruhi kerusi Menteri Pendidikan. Mana tidaknya, terdapat banyak ramalan-ramalan daripada pemerhati politik bahawa jika parlimen bersidang, hayat PN termasuk seluruh jemaah menterinya menemui penghujung. Buktinya, terdapat dakwaan menyatakan tindakan PN menguatkuasakan darurat yang menggantung peranan parlimen bagi memastikan PN kekal memerintah. Mengukuhkan pembuktian tersebut, darurat yang hampir tamat tidak mampu mengurangkan kes Covid-19 malah lebih membarah berbanding sebelum Darurat dikuatkuasakan.
Seterusnya, kerajaan PN seboleh-bolehnya melengahkan persidangan parlimen yang sepatutnya diadakan segera. Beberapa kenyataan menteri PN khususnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM- Undang-Undang & Parlimen) Takiyuddin Hassan yang memberi maklum balasnya dengan menyatakan titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong tidak menyebut tarikh yang terperinci menyebabkan kerajaan bersedia bersidang pada bulan september. Sedangkan dalam titah tersebut Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong menyatakan persidangan parlimen perlu diadakan segera. Tidak sangka pula, segera dari fahaman PN adalah dalam tempoh 3 bulan.
Di sini terserlahlah sifat kegawatan PN dalam menghadapi situasi getir ini. Mungkin perubahan kerajaan boleh berlaku di parlimen jika benar bahawa tempoh hayat kerajaan PN sudah pun tamat. Dengan perubahan itu, pastinya orang baru akan dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Jika Anwar Ibrahim dipilih menerajui negara, pastinya mata pemerhati pendidikan akan melihat kepada 7 orang ahli parlimen PH termasuk Dr. Maszlee Malik sebagai calon peneraju KPM memandangkan mereka adalah anggota Jawatankuasa Pendidikan PH.
Walaupun Dr. Maszlee tidak menyertai mana-mana parti dalam komponen PH seperti yang ditegaskan, namun atas pengalamannya selama 22 bulan di KPM semasa PH memerintah akan memberikan peluang kepada beliau untuk memimpin. Yang pasti Dr. Maszlee kekal menyokong PH. Jika ditakdirkan orang lain terpilih, ia tidaklah menggusarkan memandangkan mereka yang berada dalam JK Pendidikan PH juga berpengalaman antaranya Nik Nazmi (mantan Timbalan Yang Dipertua DUN Selangor) dan Dr. Hasan Bahrom (mantan pensyarah IPT).
Situasi ketiga adalah seperti sebaran angin yang sayu, namun mampu menggoyangkan sepohon kayu. Ia adalah khabar angin, bahawa Hishamuddin Tun Hussein akan mengambil alih pucuk pimpinan negara setelah Statutory Declaration (SD) dikumpulkan sebanyakkan mungkin. Ia diakui sendiri oleh ahli parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz dengan menyatakan ia bagi memastikan Anwar Ibrahim tidak dilantik sebagai Perdana Menteri. Walaupun pejabat Hishamuddin Tun Hussein menafikan bahawa beliau ada menghantar surat dan senarai jemaah menteri kepada Istana Negara, namun cerita-cerita ini tidak pernah padam di media sosial dan kalangan pemerhati politik.
Gerakan ini pastinya mempunyai kaitan dengan Azmin Ali memandangkan Azmin Ali adalah pimpinan kanan PN dan juga besan Hishamuddin Tun Hussien yang perlu mengekalkan kedudukanya dalam kerajaan. Oleh itu, gaya dan corak gerakan ini boleh dibaca sebagai gaya dan corak Azmin Ali yang selalu menafikan pelbagai langkah politik tetapi akhirnya langkah itu terjadi dan beliau mendapat untung. Mungkin gaya ini sedang dipergunakan bagi memastikan langkah memangkah Anwar Ibrahim sekali lagi akan berjaya.
Adapun situasi lain adalah apabila Tengku Razeleigh Hamzah dipilih sebagai PM yang baharu ia juga sebagai situasi yang bakal berlaku. Namun, penulis tidak dapat menyatakan siapa yang boleh dilantik sebagai Menteri Pendidikan jika Ku Li memimpin kerana blok ahli parlimen manakah yang akan Ku Li adakan kerjasama bagi membentuk kabinetnya. Jika blok itu diketahui mungkin petunjuk ada disitu.
Penulis mahu menegaskan disini, walau apapun berlaku dalam situasi politik semasa, menteri pendidikan harus mempunyai karisma sebagai pemimpin. Tambahan pula, semasa pandemik ini, sistem pendidikan negara perlukan seseorang yang mampu mengurus krisis dan berkeupayaan untuk bertindak. Selain itu, menteri pendidikan perlulah punyai idea yang mampu membawa negara kepada satu dunia yang lebih baik. Perlunya menteri pendidikan yang boleh melihat dunia pendidikan dari skop yang lebih besar dan punya sasaran yang jelas untuk dicapai pada masa hadapan. Akhirnya, dalam keadaan negara sedang mengalami krisis berganda, menteri pendidikan perlulah bersikap proaktif. Kepantasan menteri pendidikan memberi maklum balas serta turun padang melihat situasi sebenar amat-amat diperlukan sekarang.
Penulis juga merupakan Ketua Komunikasi AMANAH Gombak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan