Sidang ditangguh, Ahli Parlimen cari Mahiaddin dalam Dewan desak letak jawatan

MALAYSIA DATELINE

Dewan Rakyat bertukar kecoh apabila Ahli-ahli Parlimen blok pembangkang mula mencari kelibat Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan mendesak Ahli Parlimen Pagoh itu meletakkan jawatan serta merta.

“Pagoh kena masuk Dewan. Mana Pagoh, mana Kota Bharu,” kata RSN Rayer (Jelutong-PH).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bingkas menegaskan bahawa Mahiaddin dan Timbalan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah tidak bercakap benar dan mengelirukan Dewan.

“Kita tidak ada pilihan selain menuntut perdana menteri meletakkan jawatan,” tegasnya dalam Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.

Sesi jerit menjerit di blok pembangkang juga berlaku apabila Ahli-ahli Parlimen mendesak Mahiaddin meletakkan jawatan dengan beberapa kali pembesar suara mereka terpaksa ditutup.

Speaker juga diingatkan untuk tidak menjadi derhaka atau sekiranya tidak, lebih baik letak jawatan.

Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam-Bebas) juga memberi amaran jika dibiarkan perkara tersebut berlaku tanpa ada sikap ‘gentleman’ dari Kota Bharu dan Pagoh untu meletakkan jawatan, ia akan menjadi titik hitam dalam sejarah negara.

Sementara itu, Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang- BN) mencadangkan agar Dewan ditangguh sementara berikutan isu serius yang berlaku ketika ini dengan keadaan semakin tidak terkawal.

Selepas didesak kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang, Dewan memutuskan untuk menangguhkan persidangan sehingga jam 2.30 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan