Sidang Parlimen kecoh Perdana Menteri tidak hadir

ARIF ATAN

Sesi penggulungan perbahasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Sidang Khas Parlimen petang ini kecoh apabila ketidakhadiran Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dipersoal.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Parlimen tidak harus dipermainkan.

Presiden PKR itu menyifatkan hal tersebut amat memalukan kerana belum pernah berlaku dalam sejarah perjalanan Parlimen.

“Belum pernah dalam sejarah sejak merdeka hingga ke hari ini, soal perlembagaan dan perundangan yang ditanya kepada Perdana Menteri hanya dijawab oleh Menteri Kewangan.

“Jangan izin Parlimen ini dipermainkan,” tegas Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang turut sama mempertikaikan ketidakhadiran Ahli Parlimen Pagoh yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Mereka juga mempersoalkan tindakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz yang menjawab bagi pihak Perdana Menteri.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) pula berkata, Timbalan Perdana Menteri boleh menjawab bagi pihak Perdana Menteri.

“Mana pergi Perdana Menteri, kalau tiada PM, Timbalan Perdana Menteri boleh jawab,” kata wakil rakyat DAP itu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kemudiannya meminta Tengku Zafrul meneruskan penggulungan.

Pagi tadi, ramai Ahli Parlimen pembangkang bangkit mempersoalkan mengenai persidangan khas Dewan Rakyat, yang disifatkan tidak mengikut peraturan mesyuarat, dengan isu dibangkitkan adalah mengenai tiadanya ruang perbahasan dan undian oleh Ahli Parlimen.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata di bawah peraturan mesyuarat 11(3), Sidang Khas Dewan Rakyat yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini diadakan apabila berlaku penangguhan dalam sidang Parlimen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan