Malaysiakini
Umno malam ini memutuskan untuk menarik balik sokongan mereka kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin serta merta.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat Majlis Tertinggi Umno berpandukan tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Justeru kata Ahmad Zahid, Umno mendesak agar Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baru dilantik untuk satu tempoh yang terhad.
"Tempoh Perdana Menteri yang baru akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.
"Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baru mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15.
"Ini penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam Titah Yang di-Pertuan Agong," katanya selepas mesyuarat MT Umno malam ini.
Keputusan itu dibuat kurang 12 jam setelah Muhyiddin mengumumkan bahawa Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai timbalannya.
Perhimpunan Agung Umno pada Mac lalu memberikan mandat kepada Ahmad Zahid dan Majlis Tertinggi untuk memutuskan bilakah parti itu akan menarik sokongan daripada kerajaan PN.
Ahmad Zahid ketika itu berkata dia yakin menteri-menteri Umno akan meletakkan jawatan apabila keputusan dibuat.
Namun, tiada pengumuman dibuat oleh Ahmad Zahid malam ini mengenai apakah Ismail dan menteri-menteri lain perlu mengundurkan diri.
Pelantikan Ismail sebagai timbalan perdana menteri dipercayai merupakan usaha Muhyiddin untuk menenangkan Umno dan melengah-lengahkan masa bagi mengekalkan pentadbirannya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat MT malam ini juga mempertegaskan pendirian untuk tidak menyokong sebarang usaha mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ataupun Kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH)
Pendirian itu katanya, diambil sebagaimana yang telah diputuskan pada Perhimpunan Agung Umno yang lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan