Aksi awal Ismail Sabri yang tempang tapi segalanya belum terlewat

ZAKARIA MUSA

Harapan dan impian untuk melihat pembentukan Kabinet yang mampu menyejukkan suasana politik negara jelas tidak kesampaian.

Titah Yang di-Pertuan Agong agar “yang menang tidak menang semua, manakala yang kalah tidak ialah kalah semua”, juga seperti tidak dihiraukan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Pertemuan awal Ismal Sabri dengan Ketua Pembangkang — bersama Presiden AMANAH dan Setiausaha Agung DAP — sebaik dilantik PM seolah-olah menjanjikan sinar baharu, tetapi menjadi muram durja apabila senarai Kabinet diumumkan.

Kabinet itu langsung tidak membawa pengharapan rakyat yang menggunung. Ia ibarat kitar semula “sampah-sarap yang bersepah selama 17 bulan lalu”. Kegagalan Muhyiddin Yassin disambung. Tidak nampak kesediaan Ismail Sabri untuk membawa perubahan bermakna di zaman kritikal ini.

Lebih buruk daripada itu, “tunggul-tunggul lama” yang pernah menganggotai Kabinet sebelum 2018 pun diheret sama, (selain mengekalkan menteri-menteri berprestasi lemah-lembab Kabinet Muhyiddin). Jasa mereka hanya bersuara (baca: memekik) lantang di Parlimen, “mengipas taukeh-taukeh politik”.

Benar, Ismail Sabri tiada banyak pilihan namun untuk meraih kepercayaan dan keyakinan rakyat, harus ada petunjuk atau mesej positif yang mengisyaratkan pentadbirannya serius untuk berubah.

Imej kerajaan gagal tinggalan Muhyiddin mesti dikikis. Menteri-menteri lemah-lembap harus disingkir. Saiz Kabinet XXL mesti “dirampingkan”. Waktu sukar ini umpama zon perang yang perlu kepemimpinan berkesan, tegas dan berwibawa. Namun Ismail Sabri tetap mengheret bagasi usang-lapuk.

Sebenarnya banyak pihak mengharapkan kerajaan baharu dibentuk, bukannya melangsungkan pentadbiran lama zaman Muhyiddin. Bukan hanya menukar perdana menteri tapi mengekalkan set lamanya. Ismail Sabri adalah menteri kanan keselamatan yang bertanggungjawab dekat-akrab dengan SOP bercelaru berkaitan Covid-19. Beberapa ketika sebelum Muhyiddin meletakkan jawatan, beliau dilantik timbalan perdana menteri. Semasa Pakatan Harapan berkuasa, Ismail Sabri Naib Presiden Umno merupakan Ketua Pembangkang.

Mudah difahami, termasuk oleh media antarabangsa, Ismail Sabri hanya membawa mesej kembalinya Umno — parti yang ditolak dalam PRU14 — menguasai kerajaan. Dan dunia melihat Umno sebagai parti korup dan dicemari kleptokrat. Agenda pembaharuan yang diperkenalkan pada zaman PH boleh dianggap telah terhenti dan diberi tanda nokhtah di bawah Ismail Sabri.

Ismail Sabri juga dilihat terkepung dengan pelbagai kekangan, daripada partinya sendiri, Umno, juga sekutu rapat, Bersatu. Kata orang, sekali khianat selamanya tidak selamat. Dalam tempoh singkat, rakyat Malaysia menyaksikan aksi pengkhianatan elit politik yang tidak bermoral. Dan kini Umno sendiri dihantui bayang-bayang ngeri kerana pasangan tidurnya terus dicurigai.

Soalnya, benarkah Ismail Sabri langsung tiada pilihan, selepas idea kerajaan perpaduan atau “kabinet perang” sukar direalisasikan? Atau sekurang-kurangnya ada formula agar kita boleh menikmati tempoh bertenang yang nyaman daripada politik perbalahan yang menyebabkan krisis dahsyat kesihatan-politik-ekonomi sekarang dapat ditangani secara berfokus.

Biarpun tidak berpuas hati dengan beberapa langkah awal khususnya berkait pembentukan jemaah menteri, kita masih memberi ruang kepada Ismail Sabri untuk mengolah pendekatan terbaik berkolaborasi dengan parti-parti pembangkang. Masa cukup suntuk mrenjelang PRU15. Jangan hanya harapkan tiada lagi “gangguan nakal” oposisi sedangkan Ismail Sabri sendiri tidak membina situasi kondusif itu.

Pilihan di tangannya. Beliau mensia-siakan kesempatan awal yang cukup berharga bagi membina Keluarga Malaysia yang utuh. Namun segalanya belum terlewat. Keberanian dan kebijaksanaan sebagai negarawan ditagih. Ismail Sabri tidak boleh teragak-agak lagi. Nuraninya mesti jelas untuk membawa negara segera keluar daripada kancah krisis yang kian dalam dan meruncing ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan