Muhyiddin menghadap Agong, rutin atau ada kemungkinan lain?

Malaysiakini

Setiap pagi Rabu, seperti kebiasaannya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mesyuarat jemaah menteri.

Pun begitu susulan penarikan sokongan ahli-ahli parlimen Umno kepada Muhyiddin, Anggota Majlis Tertinggi Umno Ahmad Shabery Cheek menyenaraikan beberapa kemungkinan lain dalam pertemuan pagi ini.

"Pagi Rabu biasanya PM mengadap YDP Agong di Istana Negara. Jadual rutin sebelum mesyuarat kabinet jam 9.30 pagi di Putrajaya. PM akan maklumkan perkara-perkara penting urusan kerajaan.

"Ramai yang menjangkakan kalau ada pengadapan hari ini bukan hanya berlegar soal urusan kerajaan sahaja, tetapi juga soal keabsahan seorang perdana menteri," kata Shabery pada hantaran di media sosial hari ini.

Jelasnya, dengan penarikan sokongan oleh sekumpulan ahli parlimen Umno, ditambah dengan pembangkang yang menentang kepimpinan Muhyiddin, maka perdana menteri sebenarnya telah kehilangan majoriti anggota Dewan Rakyat.

"Setahu saya, beberapa kemungkinan boleh berlaku.

"Pertama, PM akur dan mengemukakan perletakan jawatan.

"Kedua, PM sembah bubar parlimen dan mohon jadi PM "caretaker" sehingga PRU diadakan. Maksimum dua bulan. Macam Sabah (susah sebab Covid-19).

"Ketiga, kekal jadi PM sehingga parlimen bersidang. Pilihan ketiga dipanggil kerajaan minoriti.

"Nak panjang hayatnya ialah melengahkan parlimen supaya tidak ada sebarang pengundian berlaku," katanya.

Ahmad Shabery pemimpin Umno Kemaman dan bekas menteri pentadbiran era Najib Razak menyoal penutupan dan penangguhan sidang parlimen kerana alasan pandemik.

"Kalau kerana Covid, banyak mall, PPV atau premis lain ditutup hanya beberapa hari sahaja, lepas pembersihan bukalah semula.

"Parlimen katanya hanya akan di buka semula bulan September nanti. Itu pun kalau nak buka," katanya.

Menjelaskan lanjut, Shabery berkias menggunakan perumpamaan kuasa dengan ketagihan candu.

"Kata orang kuasa ni macam candu. Kalau dah ketagih susah nak buang. Apa pun akan dibuat asal dapat candu. 

"Tak kisahlah apa pun orang kata. Candu memang mengasyikan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan