Netizen ‘sekolahkan’ Hadi sembang negara Islam sekular diizinkan penjajah

FAZLI RADZI

Mencurah komentar berbaur kecaman dan sindiran terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menulis artikel panjang bertajuk, “Negara Islam sekular diizinkan oleh penjajah.”

Penegasan Hadi menerusi Minda Presiden Pas yang dimuatnaik di Facebook rasminya hari ini dilihat ibarat tindakan meludah ke langit memandangkan Pas kini berada dalam blok kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kerajaan PN pun sekular. Tak payah izin penjajah pun. Parti Islam pun sertai bagi restu,” tempelak Mohd Firdaus Mohd Arshad.

Sementara itu, Ahmad Zhafri Md Noor secara sinis mengemukakan persoalan berkenaan kerajaan yang menggunakan undang-undang penjajah.

“Tahukah anda, Presiden Pas Abdul Hadi Awang turut berada dalam kerajaan yang menggunakan undang-undang penjajah dengan jawatan Duta Khas Timur Tengah?

“Jawatan ini bertaraf menteri,” katanya merujuk kepada jawatan disandang Abdul Hadi sejak awal April tahun lalu.

Paling ketara, reaksi yang berderetan di ruang komentar bagi hantaran itu menyentuh soal kelibatnya yang tidak kelihatan dalm sidang Dewan Rakyat sepanjang minggu lalu.

“Banyak masa mengarang ye pakcik. Parlimen ponteng. Kalau tak sihat, lepaskan jawatan bagi pada yang sihat.

“Jadi, wakil rakyat itu amanah Allah. Macam mana nak menegakkan Islam kalau Parlimen pun tidak datang. Macamana nak bentangkan RUU hudud,” kata Mariam Jamila Rahim.

Terdahulu, Hadi yang dikatakan memperoleh pendapatan rasmi berjumlah tidak kurang RM63,727.20 sebulan itu menegaskan semua kerajaan yang ditubuhkan selepas peninggalan penjajah diatur mengikut sistem sekular dengan meminggirkan kumpulan Islam yang memulakan perjuangan menentang penjajah.

“Kita dapat menyaksikan selepas itu hanya penubuhan negara sekular sahaja yang diizinkan berlaku, sama ada negara tersebut bergabung dengan blok Timur atau blok Barat dalam bentuk baru,” katanya.

Hadi juga menggelar suara rakyat, suara Tuhan atau suara rakyat, suara keramat sebagai penipuan slogan demokrasi purba yang diucapkan oleh pendukung sekular yang menolak kuasa agama dalam politik.

“Ternyata bahawa para pemimpinnya berlagak menjadi Tuhan yang berkuasa dan melakukan apa sahaja bagi mendapatkan dan mengekalkan kuasanya.

“Sama ada melalui cara rasuah, menipu, sehinggalah cara kekerasan atas nama undang-undang ciptaan mereka sendiri,” kata Hadi lagi yang pernah membandingkan golongan pengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan tupai dan kera. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan