RASA-RASANYA ISMAIL SABRI AKAN TERIMA NASIB LEBIH BURUK DARIPADA MAHIADDIN

Shahbudin Husin

Setakat ini belum ternampak lagi ada mana-mana suara yang memuji kabinet yang dibentuk semalam oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Rata-rata melontarkan kritikan dan kecaman yang menampakkan ketidakyakinan dan rasa kecewa mereka kerana tiada pembaharuan yang ditampilkan dalam sususan kabinet itu.

Sementara UMNO dan Najib Razak sendiri dilihat agak berhati-hati dalam memberi reaksi, mereka yang biasa mengampu Perdana Menteri pun nampaknya takut mengeluarkan suara puji-pujian.

Di dunia nyata dan di alam maya, semuanya sarat dengan kritikan daripada pelbagai aspek yang menggambarkan Ismail Sabri sebenarnya adalah Perdana Menteri paling buruk buat negara.

Kalau dulu disangkakan Mahiaddin Md Yasin yang paling teruk, kini rupa-rupanya Ismail Sabri jauh lebih memperlihatkan ketidakmampuan dan tiada wibawa dalam dirinya.

Melantik menteri-menteri seharusnya menjadi titik-tolak yang mampu memberi keyakinan awal kepada rakyat terhadap kerajaan yang diketuainya, tetapi dengan kabinet besi buruk yang dibentuknya semalam, kepercayaan rakyat sudah pun musnah sebaik mahu mula berlari di garisan permulaan lagi.

Bukan saja dengan menteri-menteri lama yang dikekalkan posisi atau ditukar jawatan yang tidak memberi apa-apa harapan buat rakyat, melantik Shahidan Kassim, Noh Omar dan Mahadzir Khalid dalam kabinet dengan sendirinya lebih memburukkan tanggapan.

Tiada mana-mana kelompok rakyat, tua atau muda, di bandar dan di desa, yang tertarik hati dengan kemasukan Shahidan, Noh dan Mahadzir ke dalam kabinet.

Berdasarkan reaksi negatif yang ditunjukkan rakyat sehingga ini, keberadaan Ismail Sabri jelas tidak diterima dan beliau dianggap lebih teruk jika dibandingkan dengan Mahiaddin sebelum ini.

Setidak-tidaknya ketika Mahiaddin membentuk kabinetnya dulu, ada juga yang memuji beberapa aspek perlantikannya, antaranya dalam mewujudkan jawatan menteri kanan yang dilihat sebagai suatu pembaharuan.

Hanya beberapa bulan kemudian, itu pun banyak disebabkan pendekatan, sikap, kelemahan dan ego Mahiaddin sendiri, barulah kerajaannya mula dikritik dan dikecam oleh rakyat, khususnya dalam kegagalan mengurus pandemik Covid19, tidak peka dengan suara rakyat dan asyik-asyik syok sendiri dengan perutusan khasnya.

Malang bagi Ismail Sabri, sususan kabinet yang seharusnya merupakan langkah awal untuk beliau meraih kepercayaan, kalau pun tidak puji-pujian, tetapia ia langsung tidak berlaku demikian atau seperti yang mungkin beliau sendiri harap-harapkan.

Menteri yang dilantik langsung tidak diterima dengan baik dan Ismail Sabri dianggap membentuk kerajaan yang sama sekali tiada harapan untuk rakyat meletakkan apa-apa sandaran atau kepercayaan kepadanya.

Selain Ismail Sabri sendiri adalah pemain nombor dua dalam pasukan kerajaan gagal pimpinan Mahiaddin, mengekalkan lagi menteri-menteri gagal dengan tambahan kemasukan pemain baru yang tidak lagi laku di pasaran seperti Shahidan, Noh dan Mahadzir, kejayaan apa yang boleh kita harapkan daripadanya?

Tidak mungkin berlaku keajaiban yang mampu menghasilkan keputusan berbeza melalui pemain dan format permainan yang masih sama.

Tidak perlu menunggu 100 hari untuk melihat kerajaan pimpinan Ismail Sabri ini mampu membuahkan sesuatu yang berbeza, belum 10 hari pun tanda-tandanya sudah ada di depan mata kita semua.

Di samping hari pertama memulakan tugas telah menunjukkan kegelojohan membawa kawan-kawan menaiki jet eksekutif milik kerajaan yang ditanggung melalui cukai rakyat, membentuk kabinet yang dikecam ramai dan menjadikannya dirinya tidak diyakini serta lebih teruk berbanding Mahiaddin, apa yang menunggu di depan Ismail Sabri sekarang ini hanya satu – kerajaan yang lebih gagal daripada sebelum ini.

Ismail Sabri adalah seperti seorang suami yang tidak dipercayai isteri dan keluarga mertua sejak hari pertama perkahwinan lagi, bolehkah rumahtangga bertahan lama? – ShahbudinHusin 28/08/2021.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan