Saifuddin ‘sekolahkan’ media apa patut ditanya

FAZLI RADZI

Blok pembangkang dilihat cenderung dipersoal kononnya tidak sabar menunggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk mengambil alih kerajaan.

Penyokong dan media ‘besar’ yang berpihak kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerap membangkitkan hal itu seolah-olah pembangkang tidak berguna dalam proses dan amalan demokrasi di negara ini.

Ancaman penularan Covid-19 juga dijadikan modal untuk menguatkan serangan kepada pembangkang susulan perhimpunan seramai 107 Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka, 2 Ogos lalu.

Mengulas hal tersebut, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan blok pembangkang sememangnya bersedia bersama kerajaan dalam hal berkaitan usaha memerangi bencana Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Walau bagaimanapun, bidasnya, penangguhan sidang Parlimen menghalang untuk Ahli Parlimen PKR dan rakan parti pembangkang berbuat demikian.

“Kami memang bersedia bersama kerajaan dalam hal ini malah pejabat Ketua Pembangkang wujudkan pasukan khas menggunakan data sains bagi menangani krisis ini.

Tapi Parlimen tutup, hendak bincang macam mana?

“Yang sepatutnya ditanya, mengapa PM tidak buka Parlimen dan ajak pembangkang bekerjasama dalam menangani Covid-19 dan ekonomi negara?

“Media sepatutnya menyokong gesaan Ketua Pembangkang sejak awal lagi.

“Bukannya kami ditanya tidakkah PKR menyelami perihal rakyat dan sabar sehingga PRU-15,” tegasnya dipetik wawancara di Mingguan Malaysia hari ini.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu menegaskan hal tersebut dalam perenggan-perenggan terakhir wawancara dua halaman itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan