Suri rumah didenda RM10,000 hina Agong, Institusi Raja, menteri

Bernama

Nur Faizah Wahid didenda RM10,000 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata menghasut dan memuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, menteri dan Institusi Raja dalam laman sosial Twitternya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah didenda RM10,000 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen kerana mengeluarkan kata-kata menghasut dan membuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Institusi Raja dan menteri, dalam laman sosial Twitternya.

Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Faizah Wahid, 28, selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Nur Faizah dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara tiga bulan bagi pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut serta denda RM8,000 atau penjara enam bulan atas pertuduhan membuat komunikasi jelik.

Mengikut pertuduhan pertama, Nur Faizah didakwa telah mengeluarkan kenyataan melalui Twitter miliknya “Eija Boo” dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap YDPA, Institusi Raja dan menteri.

Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini, pada 8.33 malam, 22 Mei lepas dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Wanita itu juga dituduh secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Twitternya. menggunakan nama profil “Fazrin Ismail” pada masa dan tarikh sama.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 8 malam, 10 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum kerana menyesal dan insaf dengan tindakannya, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat bahawa menghina Institusi Raja adalah satu kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, pengawal keselamatan, Sharil Mohd Sarif, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya terhadap YDPA dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil “Sharil bin Mohd Sarif” pada 7.43 pagi, 20 April 2021.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 8 malam, 10 Jun lepas serta didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman serupa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan