Warganet kecam taktik kasar pegawai Rela di PPV

FMT Reporters

Anggota Rela berkenaan dilihat berkasar dengan pendatang asing itu termasuk menolaknya.

PETALING JAYA: Warganet mengkritik sikap kasar digunakan pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam satu video yang tular, kerana dipercayai menunjukkan seorang anggota berpakaian seragam menolak warga asing di pusat pemberian vaksin (PPV) Bukit Jalil.

Dalam video itu, pegawai berkenaan dilihat berdiri di depan warga asing berkenaan dan menolaknya ke belakang. Orang yang mengambil video itu, @sassyRekha, mendakwa anggota berkenaan turut dilihat berkasar dengan pendatang lain di PPV berkenaan.

Tindakan itu pantas dikecam warganet yang rata-rata bersuara mempertahankan pendatang asing.

Seorang bernama @AidaActually turut mengongsikan pengalamannya di lokasi sama.

“Saya berada di situ semalam, dan mengesahkan perkara ini. ‘You orang apa? Orang Bangla pergi sana’ hanya satu contoh (kata-kata digunakan). Mereka (pendatang asing) diherdik, dimarah dan tidak dihormati,” katanya.

Seorang lagi pengguna Twitter, @rbatuladwiyh turut berkata telah melihat perlakuan sama di PPV Bukit Jalil.

“Mereka sangat kasar dengan warga asing,” katanya.

@Jai93zam mengingatkan betapa penting peranan pendatang asing di Malaysia.

“Warga asing tulang belakang ekonomi kita. Tanpa mereka siapa yang akan bekerja di kilang dan tapak binaan atau sebagai tukang cuci.

“Mereka berhak dilayan dengan bermaruah.”

Ketika dihubungi FMT mengenai video itu serta dakwaan kekasaran lain oleh pihak yang mengongsikan rakaman berkenaan, Ketua Pengarah Rela Yahya Sulaiman berkata beliau tidak mendapat maklumat mengenainya tetapi akan menyiasat perkara berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan