Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my
Sindiket didalangi lelaki tempatan bergelar Datuk itu dilaporkan sudah menguasai Kargo KLIA sejak 2005 dengan adanya bantuan orang dalam.
Sindiket didalangi lelaki tempatan bergelar Datuk itu dilaporkan sudah menguasai Kargo KLIA sejak 2005 dengan adanya bantuan orang dalam.
Kuala Lumpur: Satu sindiket penyeludupan tembakau kunyah atau chewing tobacco dikesan melarikan cukai dianggarkan bernilai sehingga puluhan juta ringgit setahun selepas menguasai Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk operasi penyusupan barangan yang diimport dari India.
Sindiket didalangi lelaki tempatan bergelar Datuk itu dilaporkan sudah menguasai Kargo KLIA sejak 2005 dengan adanya bantuan orang dalam.
Sumber memberitahu Harian Metro, sindiket dilaporkan bertapak dengan kukuh apabila berjaya 'menjaga' seorang pimpinan kanan agensi penguatkuasaan yang dipertanggungjawabkan menjaga pintu utama negara ketika itu.
"Datuk ini dikatakan mula bertapak seawal tahun 2000 untuk memulakan perniagaannya. Dia dikatakan berjaya mengukuhkan cengkamannya di KLIA selepas tahun 2005 sehingga kini kerana berjaya 'masuk' dan 'menjaga' ketua pasukan penguatkuasaan di Kargo KLIA pada masa itu.
"Sejak itulah, Datuk ini menjadi jutawan segera. Mana tidaknya, dia yang mempunyai permit import (AP) itu mulalah main belakang. Import barang (tembakau kunyah) dari India banyak, tetapi isytihar sedikit sahaja. Barangan lain diseludup keluar dengan bantuan ketua penguatkuasa terbabit," dakwanya.
Menjelaskan lanjut, sumber itu berkata, dengan bantuan ketua pasukan terbabit, barangan yang diseludup kumpulan Datuk itu menjadi mudah untuk keluar daripada kawasan KLIA tanpa dikenakan cukai.
"Dah pegang ketua, anak buah (penguat kuasa) lain di KLIA akan follow (ikut) sahaja. Bahasa mudahnya, barangan import daripada Datuk ini akan diberi akses mudah untuk keluar.
"Memang dah kowtim namun bagi menutup jejak mereka, sebahagian kecil tembakau kunyah milik sindiket Datuk itu akan diisytiharkan sebelum proses kiraan cukai dilakukan seperti biasa. Ini kira wayang sahajalah," katanya menjelaskan, Datuk terbabit kini antara pengimport terbesar tembakau kunyah untuk pasaran negara ini.
Ditanya adakah pegawai kanan sama masih bertugas menjaga di KLIA, sumber itu berkata, pegawai itu sudah 'terbang tinggi' dan kini menjadi antara pimpinan kanan di ibu pejabat agensi penguatkuasaan itu.
"Sudah beberapa kali dipindahkan, naik pangkat namun legasi peninggalannya di KLIA terus berjalan. Dia kini pimpinan kanan dan meletakkan orangnya di sana (KLIA) untuk menjaga sindiket terbabit," katanya.
Dalam perkembangan sama, sumber itu memaklumkan beberapa aduan mengenai kegiatan berkenaan sudah dilaporkan kepada agensi berkenaan termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Banyak aduan dilakukan namun semuanya tidak jalan. Aduan orang ramai dibakul sampahkan dan dikatakan disebabkan pimpinan kanan di ibu pejabat yang menghalang tindakan diambil terhadap sindiket didalangi Datuk berkenaan," katanya.
Untuk rekod, cukai dikenakan bagi produk dikenali sebagai Khaini atau Gutkha di India itu mengikut berat iaitu 5 peratus nilai import daripada jumlah manakala 10 peratus bagi nilai dan cukai jualan. Tembakau kunyah mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat India dan warga asing di negara ini.
Sumber sama memaklumkan, Datuk itu kini kepanasan apabila aktiviti sebenar di sebalik penyeludupan tembakau kunyah itu terbongkar apabila didakwa juga terbabit dan mendalangi rangkaian pengedaran dadah.
"Baru-baru ini, seorang lelaki bergelar Datuk yang juga orang suruhan kepada Datuk tembakau ditahan kastam selepas cuba menyeludup keluar dadah jenis methaphetamine dianggarkan bernilai RM14.4 juta di Kompleks Kargo Udara KLIA, Sepang, 31 Ogos lalu.
"Itu yang dia sedang kepanasan. Setahu saya, setakat ini JKDM masih menyiasat pembabitan sebenar lelaki itu, tetapi mungkin mengambil masa yang panjang. "Hubungannya yang dikaitkan kuat atau rapat dengan orang tertentu dalam JKDM itu mungkin mengganggu pasukan penyiasat," katanya.
Dalam sidang media pada 3 September lalu, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir mendedahkan kejayaan pasukannya merampas dadah seberat 400 kilogram (kg) dalam bungkusan teh yang diikrarkan sebagai troli barang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan