Beberapa kemungkinan pada sidang parlimen pertama Ismail Sabri

Malaysiakini 

Parlimen akan bersidang semula pada 13 September, yang merupakan kali pertama ia bersidang di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baru, Ismail Sabri Yaakob.

Ini juga merupakan persidangan Dewan Rakyat secara bersemuka pertama dalam tempoh 270 hari selepas kali terakhir ia bersidang pada 17 Disember tahun lalu.

Sidang khas parlimen selama empat hari diadakan pada Julai lalu oleh kerajaan Muhyiddin Yassin setelah mendapat tekanan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Berada di ambang kejatuhan, kerajaan Muhyiddin pada masa itu mengubah sidang khas berkenaan menjadi sesi taklimat oleh para menteri. Kerajaannya bagaimanapun akhirnya tumbang.

Dengan Ismail Sabri kini merupakan perdana menteri dan kurang empat bulan sebelum 2021 berakhir, sidang parlimen tahun ini perlu dihabiskan pada masa yang berbaki.

Terdapat dua pusingan mesyuarat yang akan dijalankan secara berturut-turut. Parlimen bersidang dari Isnin hingga Khamis, kecuali cuti umum.

Dalam mesyuarat pertama, Dewan Rakyat akan bersidang dari 13 September hingga 12 Oktober, diikuti oleh Dewan Negara dari 4 Oktober hingga 26 Oktober.

Mesyuarat kedua akan disusuli dengan persidangan Dewan Rakyat dari 25 Oktober hingga 16 Disember dan Dewan Negara dari 14 Disember hingga 23 Disember.

Belanjawan 2022 akan dibentangkan dalam mesyuarat kedua ini.

Inilah yang harus diperhatikan semasa mesyuarat pertama parlimen pada sesi 2021.

Titah diraja

Titah Yang di-Pertuan Agong kebiasaannya disampaikan pada hari pertama mesyuarat parlimen penggal pertama setiap tahun di hadapan anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara

Titah itu disediakan kerajaan dan kebiasannya Agong akan menggunakan teks yang telah disiapkan.

Namun akibat Istana Negara diseret dalam krisis politik pada tahun lalu, perlu diperhatikan jika istana menyisipkan pesanannya sendiri dalam titah diraja tahun ini.

Yang di-Pertuan Agong berkenaan mengisytiharkan darurat pada Januari berikutan kerajaan pimpinan Muhyiddin memerlukan lebih banyak kuasa untuk memerangi wabak Covid-19. 

Namun pada Jun, Majlis Raja-Raja menitahkan agar Darurat tidak dilanjutkan.

Seri Paduka juga memanggil speaker Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Negara untuk menitahkan agar parlimen bersidang semula berikutan keengganan kerajaan ketika itu.

Agong sekali lagi diseret ke dalam konflik dengan kerajaan Muhyiddin apabila kerajaan menolak untuk membentangkan Ordinan Darurat bagi dibahaskan di Dewan Rakyat sebagaimana dititahkan.

Tetapi drama itu mungkin tidak berakhir di bawah kerajaan baru apabila Seri Paduka kini diseret ke dalam episod "cakap dengar"

Agong secara terbuka menitahkan agar perdana menteri baru membenarkan usul percaya dibentangkan di parlimen, namun kerajaan sekarang mendakwa baginda telah berubah fikiran.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Undang-Undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang mengatakan perkara itu disampaikan oleh Ismail Sabri semasa mesyuarat kabinet.

Tetapi tidak lama selepas itu, timbul persoalan apakah yang diberitahu oleh Ismail Sabri dalam mesyuarat kabinet adalah tepat seperti yang dihendaki Yang di-Pertuan Agong. 

Sehingga kini, tidak ada pengumuman rasmi bahawa Agong telah menukar pendirian baginda, oleh itu, titah Agong pada hari pertama persidangan parlimen akan menjadi peluang bagi baginda untuk memberi penjelasan.

Undi percaya

Buat masa ini, tidak ada usul dalam Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk Ismail Sabri mendapatkan undi percaya.

Keengganan kerajaan mengesahkan majoriti yang diperolehnya adalah aneh kerana sokongan terhadap Ismail Sabri daripada 114 daripada 220 anggota parlimen di Dewan Rakyat tidak dipertikaikan walaupun oleh pembangkang, dengan dua kerusi masih kosong.

Pembangkang kini mempertimbangkan semula mengenai perjanjian keyakinan dan perbekalan dengan Ismail Sabri.

Mereka melihat keenganan menguji majoriti, proses yang normal secara demokratik, sebagai langkah yang salah dan bukan petanda baik bagi  komitmennya terhadap pembaharuan.

Menarik untuk diperhatikan jika kerajaan membenarkan usul percaya setelah persidangan parlimen bermula sebagai respons terhadap tekanan yang diterimanya.

Akan tetapi, tekanan itu boleh dikendurkan oleh Seri Paduka  sekiranya disahkan bahawa baginda tidak lagi mengkehendaki undi percaya.

Kedudukan timbalan speaker

Jawatan timbalan speaker kosong setelah Azalina Othman meletakkan jawatan pada 18 Disember.

Secara rasmi, Azalina menyebut perlunya pembaharuan di parlimen, malah mengesyorkan ahli parlimen pembangkang dilantik menggantikan tempatnya.

Selain itu, pengundurannya, kurang seminggu sebelum kabinet baru diumumkan, memberinya peluang untuk dilantik sebagai menteri, berikutan pengalamannya sebagai menteri undang-undang dari tahun 2015-2018.

Bagaimanapun, Ismail Sabri mengetepikan Azalina, yang merupakan penyokong dari kem yang berasingan dalam Umno.

Kekosongan jawatan timbalan speaker menarik perhatian kerana ia boleh berfungsi sebagai proksi undi percaya.

Walaupun undi percaya untuk memilih timbalan speaker tidak memerlukan majoriti mutlak, penglibatan penuh ahli parlimen pembangkang akan memaksa kerajaan melakukan hal yang sama, memandangkan Ismail Sabri hanya memiliki majoriti empat kerusi.

Kerajaan juga telah melantik Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan, yang merupakan Umno 15 - iaitu antara 15 ahli parlimen Umno yang bertanggungjawab menjatuhkan Muhyiddin Yassin - untuk mengisi jawatan timbalan speaker.

Langkah itu kemungkinan akan mengekalkan sokongan 114 anggota parlimen kerajaan.

Kumpulan Umno 15 dilihat hilang sabar atas beberapa keputusan Ismail Sabri, termasuk mengekalkan sebahagian besar anggota kabinet Muhyiddin sebelum ini dan melantik bekas perdana menteri itu sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

Kerajaan juga menggunakan strategi serupa yang digunakan kerajaan Muhyiddin sebelum ini untuk melantik speaker dan timbalan speaker dengan mendakwa pembangkang tidak menamakan calon, oleh itu undi tidak diperlukan kerana hanya ada seorang calon kerajaan bagi jawatan itu.

Tidak jelas apakah pembangkang menamakan calonnya sendiri untuk jawatan timbalan speaker.

Kedudukan speaker

Cakap-cakap dalam lingkungan Umno 15 adalah mereka mungkin mencalonkan Azalina sebagai speaker baru selepas dia tidak terpilih untuk jawatan menteri.

 Azalina yang merupakan sebahagian daripada Umno 15, turut menampakkan dirinya sebagai penyokong kuat pembaharuan parlimen.

DAP turut terbuka untuk mencalonkan Azalina sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru.

Bagaimanapun, tidak ada petanda bahawa Ismail Sabri mahu menyingkirkan speaker Dewan Rakyat yang sekarang ini, Azhar Harun, yang menunjukkan sikap sebagai sekutu yang boleh diharap buat cabang eksekutif.

Kedudukan Azhar mungkin tidak akan terancam, meskipun jika pembangkang dan Umno 15 bekerjasama, memandangkan apa-apa usul untuk menyingkirkannya, harus melalui dirinya.

Membangkitkan soal konflik kepentingan, Azhar menyerahkan urusan usul untuk menyingkirkannya kepada timbalan speaker, Mohd Rashid Hasnon, seorang ahli parlimen PN yang hampir pasti menyebelahinya, selagi mana kedudukan Azhar itu masih direstui kerajaan.

Ada dua jawatan timbalan speaker. Satu lagi kosong buat masa ini.

Perjanjian keyakinan dan perbekalan

Syarat utama ditetapkan pembangkang untuk perjanjian keyakinan dan perbekalan dengan kerajaan ialah pembaharuan parlimen.

Menteri undang-undang membayangkan Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) yang dapat memberikan Dewan Rakyat lebih autonomi, dan juga permodenan undang-undang berkaitan parlimen, dengan menggantikan Akta Hak Istimewa & Kuasa Parlimen 1952.

Dia turut berkata kerajaan sedang mengkaji pembaharuan terdahulu yang dicadangkan Muhyiddin, termasuk had penggal untuk jawatan perdana menteri.

Bagaimanapun, dengan permulaan goyah yang tidak menggambarkan keyakinan terhadap komitmen kerajaan, pembangkang mungkin mahu melihat komitmen yang lebih meyakinkan apabila parlimen bersidang nanti.

Ini termasuklah pembentukan jawatankuasa dwipartisan untuk meneliti soal pembaharuan.

Komitmen kerajaan penting kerana tempoh jawatan Ismail Sabri hanya akan bertahan kurang 22 bulan sehingga luputnya penggal parlimen, yang bermakna sekiranya mereka tidak bertindak tangkas, banyak pembaharuan yang dicadangkan akan terkubur begitu sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan