FAZLI RADZI
Sebuah kenderaan dipercayai membawa orang kenamaan (VIP) dan ahli politik Pas dilihat jelas melakukan kesalahan lalu lintas malah membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Tindakan pemandu kenderaan berwarna hitam itu memotong di garisan berkembar boleh dikenakan denda oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak RM300.
Kenderaan dengan nombor pendaftaran P45 itu dilihat berbuat demikian dalam rakaman video berdurasi 45 saat menerusi aplikasi Tik Tok yang kemudiannya tular di media sosial.
Berserta kapsyen “hebat bila jadi menteri” disertai tanda pagar #P45, turut kedengaran rungutan seorang pengguna jalan raya dalam loghat Kelantan ketika pelanggaran lalu lintas itu berlaku.
“Eh, sibuk menate drebar Menteri… mana… kalut,” katanya serentak dengan aksi kenderaan yang dirakamnya itu sedang memotong garisan berkembar.
Beliau juga berpendapat pemanduan kenderaan milik VIP itu telah menyukarkan pengguna jalan raya lain.
“Lebih daripada raja bawa kereta. Tengok… bodoh… bodoh… Kereta menteri tu, menyusahkan orang.
“Bawa ‘sekor’ jah,” rungutnya lagi diakhiri laungan “Takbir” sebagai sindiran kepada aksi lazim penyokong Pas.
Dalam masa sama, warganet juga dilihat cepat membuat kerja siasatan apabila berjaya mengenalpasti wakil rakyat Pas, Pengkalan Chepa sebagai pemilik kenderaan itu.
Tersebar imej Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary sedang berjalan begitu bergaya sambil membetulkan tali lehernya di sebelah kenderaan yang sama memotong garisan berkembar itu.
Imej itu juga dipadankan dengan detik kenderaan tersebut memotong garisan berkembar di sebuah jalan raya yang sesak dengan kenderaan dipercayai di Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan