RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Sebaik sahaja Pas mendominasi kementerian agama di Putrajaya, dengan pelantikan menteri dan timbalannya dari Pas, satu cadangan sensasi dan kontroversi telah dieksploitasi oleh Pas untuk politiknya.
Cadangan empat undang undang Syariah baru “Pengawalan dan Pengawasan Penyebaran Agama Bukan Islam” tanpa memberi sedikit pun bayangan atau maklumat atau perbincangan peringkat awal tentang cadangan tersebut.
Bukan sahaja pihak bukan Islam tetapi orang awam Islam pun tertanya tanya dan Presiden Patriot- Persatuan Bekas Parajurit, Mohd Arshad Raji, telah membuat bantahan atas kenyataan tidak bertanggungjawab terbabit apatah lagi apabila cadangan tersebut belum pun dibawa kepada Mesyuarat Raja Raja Melayu yang menjaga hal ehwal Agama Islam. Secara konsep dasar awal pun belum dibentang kepada Majlis Raja Raja Melayu.
Jadi untuk apa pengumuman tidak bertanggungjawab dan gelojoh tersebut dibuat jika tidak untuk tujuan politik semata-mata.
Tahun 2017, Akta RUU 355 undang undang Islam telah dibawa sebanyak 3 kali ke parlimen untuk dibahas tetapi Pas menjawab masih belum bersedia untuk bahas. Sebelum itu berbagai-bagai demonstrasi politik puluhan tahun diadakan termasuk di Padang Merbok seolah-olah hukum hudud mesti diluluskan dan dilaksanakan segera.
Sejak menjadi sebahagian dari kerajaan, RUU355 atau isu hukum hudud tidak pernah disebut lagi oleh Pas.
Isu judi dan arak pun belum ditangani malahan cabutan judi Magnum ditambah dari 8 hinggga ke 22 setahun sementara Menteri Pelancongan mengucap “syukur” Pusat Judi Kasino Genting telah boleh di buka baru baru ini.
Ada pihak lain menyatakan krisis Covid- 19 ini adalah peluang untuk menutup pusat judi termasuk Kasino Genting. Ini satu lagi sandiwara politik Pas menunggang isu agama untuk politik.
Kalau yang berpuluh tahun hukum hudud dicanang dan digembar-gembur sehingga memecah belahkan sesama Islam dengan isu kafir mengkafir, kini isu cadangan undang-undang separuh masak akan memecah belahkan pula Islam dan bukan Islam semasa negara dan ekonomi ini tenat dilanda Covid-19.
Kalau dahulu amanat Haji Hadi di Banggol Peradong pada tahun 1981 telah “mengkafirkan” ahli Umno dan memporak peranda sesama Islam dan orang Melayu, cadangan separuh masak baru oleh Menteri dan Timbalan Menteri Agama dari Pas akan menghancurkan hubungan antara Melayu-Islam dengan bukan Melayu Islam pula.
Banyak isu Pas lama masih tergantung dan tidak dilaksanakan, hendak bawa pulak undang-undang “isu senjata politik” baru.
Pas kini kelihatan parti politik perosak masyarakat dan negara.
Anehnya, sejak Pas menjadi sebahagian dari kerajaan, Amanat Haji Hadi telah dipadamkan dari portal rasmi Jakim tanpa apa-apa penjelasan sehingga berbulan lamanya selepas kami menuntut pada penjelasan menteri.
Amanat Haji Hadi tersebut telah diisytiharkan “ajaran sesat” oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan diluluskan oleh Majlis Raja-Raja Melayu.
Bolehkah Menteri dan Timbalan Menteri Pas mengeluarkan kenyataan tentang Fatwa Haji Hadi dari Portal rasmi Jakim tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja dan Majlis Fatwa Kebangsaan?
Adakah Pas merupakan autoriti utama mutlak agama kerajaan hari ini mengenepikan peranan pihak lain?
Sudahkah Perdana Menteri memberi “sub kontrak” autoriti terus penuh kepada Pas untuk membuat sesuka hatinya dalam isu Agama hari ini?
Mungkin tidak perlu undang undang baru penyebaran agama lain jika Pas melaksanakan betul-betul pengagihan duit zakat, seperti contoh di Kelantan dan Terengganu, kepada yang benar benar miskin serta berhak dan memerlukan kerana dua negeri ini kaya duit zakat tetapi pengagihannya dan salahguna duit zakat amat lemah dan mendukacitakan.
Isu pengagihan secara sistem adil adalah isu lama lapuk dan ada pihak miskin terpaksa meminta dari pihak agama lain.
Cermin diri dahulu atas kelemahan sendiri.
Undang-undang baru tidak akan menyelesaikan masalah lama selagi sikap lama perlaksanaan lemah membuat orang meminta dan berjinak dengan pihak lain.
Kerana itu Islam menekankan bantuan dan sumbangan zakat yang adil dan menyeluruh untuk banteras kemiskinn kerana kemiskinan boleh membawa kesesatan.
Bersikap lebih bijaksana, sabar dan adillah dan jangan ekploitasi isu agama dan perkauman murahan semata mata untuk politik.
Sikap Pas mengekploitasi Islam serta gila kuasa politik dan bertindak tergesa-gesa, bukan gambaran ajaran Islam yang sebaik baiknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan