Polis siasat kisah palsu 14 sekeluarga maut akibat Covid-19

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis Kota Tinggi akan menyiasat laporan palsu mendakwa 14 sekeluarga maut akibat Covid-19 yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Hussin Zamora berkata, seorang pegawai Petronas Pengerang tampil laporan polis di Balai Polis Pengerang, Kota Tinggi, Johor.

“Siasatan lanjut kes akan diteruskan oleh Bahagian Komersial, Ibu Pejabat Polis Kota Tinggi.

“Buat masa ini, siasatan kes masih di peringkat awal dan belum ada maklumat berkaitan siasatan diperoleh,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Menurutnya, kes diklasifikasi dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Tular di media sosial baru-baru ini, kisah dijaja pihak yang mendakwa kononnya seorang lelaki bertugas di Petronas di Pengerang di sini kehilangan 14 insan kesayangan termasuk isteri dan lapan anak akibat jangkitan Covid-19.

Mengikut maklumat yang tular menerusi media sosial WhatsApp dan Facebook, seorang lelaki dikatakan berdepan ujian berat apabila kehilangan ahli keluarga mulai Jun lalu hingga September ini.

Dikatakan juga, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai penyelia dikatakan kehilangan isteri dan tiga anaknya meninggal dunia pada bulan Jun dan Julai akibat Covid-19. 

Menurut kisah itu, pada 2 September lalu, lima anaknya bersama ibu, kakak, barang ipar dan dua anak saudara juga kononnya terkorban, malah turut disertakan nama mangsa iaitu ahli keluarga lelaki berkenaan.

Simpati dengan kisah yang diceritakan, ada dalam kalangan pengguna media sosial bertindak menyalurkan sumbangan ke akaun bank dikongsi, malah ada yang mengadakan sebuah majlis Yasin secara maya yang disertai ratusan individu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan