ZAKARIA MUSA
Era kerajaan pintu belakang Mahiaddin Yassin hanya bertahan 17 bulan. Rupa-rupanya — bagai diduga sejak awal — pertukaran perdana menteri kepada Ismail Sabri Yaakob langsung tidak memenuhi harapan rakyat. Hanya berubah ketua tetapi seluruh struktur, budaya dan misi pemerintahan tetap menyalin yang lama.
Bukan sahaja dikekalkan Kabinet Mahiaddin yang terbukti gagal, hanya dengan sedikit ubahsuai tempat dan muka baru seorang dua, namun semangat dan falsafah pasukan baharu ini tetap berakar pada penghayatan usang rejim kleptokrat sebelumnya, Barisan Nasional (BN).
Kita pastinya belum lupa gelombang kebangkitan rakyat pada Mei 2018. Sanggup berbaris panjang dalam cuaca panas terik semata-mata didorong tekad perubahan bagi menghumban gerombolan penguasa yang khianati kepercayaan rakyat. Pengundi yang berada jauh di luar negara bersedia mengorbankan wang ringgit, pulang seketika, tidak mahu walaupun satu undi disia-siakan.
Memori indah tiga tahun lalu itu harus selalu diperingatkan. Dan cerita pengkhianatan dan pembelotan Mac 2020 juga mesti dibingkaikan dengan baik, agar rakaman sejarah ini tidak dipesongkan susur-galurnya.
Petanda terkeji
Kerajaan Perikatan Nasional 2020 – 2021 itu adalah petanda terkeji yang merosakkan proses demokrasi di negara ini sejak pilihan raya pertama 1955. Namun, jenayah terburuk itu cuba dipaparkan dengan wajah manis, bersama sokongan bulat, termasuk oleh parti Islam.
Tanpa segan-silu Pas, terutama melalui kenyataan-kenyataan presidennya, sentiasa mempertahan dan mencipta dalil, untuk membenarkan apa jua langkah dan aksi kerajaan tebuk atap itu.
Ironi sekali apabila Pas satu-satunya parti Islam di dunia yang bersekongkol dan berdakap erat gerombolan yang merampas mandat rakyat.
Di seluruh dunia, parti-parti Islam ditindas, dizalimi dan dinafikan kemenangan yang dicapai melalui pilihan raya, seperti kes di Mesir dan Algeria, namun realiti di Malaysia, Pas pula bersama pakatan Umno-BN, Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencuri kerajaan melalui pintu belakang.
Malang sungguh, Pas yang dilihat berpegang teguh dengan prinsip-prinsip mulia sejak awal ditubuhkan lebih tujuh dasawarsa lalu, telah meleburkan pegangannya, tersilau dengan kemilau kuasa.
Bertukar kepada perjuangan asobiyah sempit dan melupakan asas-asas kesederhanaan. Pas sudah tidak seperti dahulu, lebih tertutup dalam tempurung wilayah tradisinya.
Pas satu-satunya parti Islam di dunia yang berdakap erat gerombolan yang merampas mandat rakyat.
Dalih bukan dalil
Kini, Pas merupakan anggota penting dalam pentadbiran negara. Tiga pemimpinnya diangkat ke jemaah menteri, manakala presidennya dilantik duta khas bertaraf menteri. (Pelik juga, presiden parti yang menang 18 kerusi parlimen tidak dibawa masuk ke dalam Kabinet, malah sepatutnya menjadi menteri kanan). Mungkin elaun dan kemudahan setaraf menteri sedangkan rakyat tidak nampak sumbangan bermakna buat negara.
Menghairankan. Pas boleh menyambutnya dengan lapang dada pembentukan kerajaan tanpa mandat rakyat ini. Malah, dalil-dalil agama (sebenarnya dalih) disogok Pas kepada umum bagi menjustifikasikan aksi pengkhianatan dan pembelotan itu.
Lebih tragis, Pas juga berperanan besar mengembalikan Umno — yang ditolak rakyat dalam PRU-14 — ke tampuk pemerintahan. (Ia tidak pelik, menjelang PRU-14, bukankah Pas sudah bermukah dengan Umno dan Najib Razak).
Dahulu bermati-matian Pas menafikan dakwaan hasratnya untuk merangkul Umno dalam satu persefahaman. Dilemparkan bermacam-macam label buruk kepada para pemimpin parti yang menolak usaha kerjasama sulit peringkat tertinggi itu.
Walhal, Pas sudah pun menerima suntikan dana Umno berjuta ringgit. Ternyata Pas begitu lama tidak bercakap benar, malah lazim berbohong kepada ahli dan penyokongnya.
Pas boleh menerima pemimpin negara yang korup dan mencuri duit rakyat. Pas lebih selesa berkawan dengan parti pemerintah waktu itu yang mempermainkan sentimen bangsa tapi membolot khazanah negara dengan rasuah melampau.
Dipukul dahsyat
Apakah perubahan yang dirintis oleh Pas atas statusnya sebagai sekutu parti pemerintah? Ketika duduk bersama di Putrajaya, merancang polisi dan dasar negara, tambahan ketika Malaysia dipukul dahsyat pandemik Covid-19 dengan segala padah dan bencananya, apakah sumbangan Pas untuk menyejukkan suasana panas itu?
Saya percaya Pas tidak menjalankan kewajipannya untuk membetulkan kerajaan yang gagal dan mengarut ini. Segala pesan keagamaan yang dahulunya menjadi basahan lidah pemimpin Pas kini hilang entah ke mana.
Benarlah kata bijak pandai, sekali terjebak dalam langkah pengkhianatan, selamanya berpenat-lelah untuk pertahankan aksi pembelotan itu. Sekali terperangkap dalam lingkaran pendustaan selamanya bergelumang dengan pembohongan itu.
Dahulu, Pas mengambil berat isu penggunaan dana dan kemudahan awam. Sering kisah tawadhu Umar Abdul Aziz dan pelita kerajaan diulang siar bagi mempamerkan sikap berhemat pemimpin yang baik. Namun, kini Pas turut terjerumus dalam keghairahan membelanjakan wang rakyat demi kehendak elit politik.
Lebih dahsyat, ia berlaku ketika negara berdepan krisis ekonomi – kesihatan yang dahsyat. Lihatlah keutamaan pemimpin Pas apabila mendapat peruntukan besar; apakah disalurkan demi kepentingan rakyat atau berbelanja boros untuk keselesaan penguasa?
Apa sikap Pas terhadap prinsip dan amalan tadbir urus yang baik? Korupsi dan salahguna kuasa kembali subur. Malah, nampak ada kecenderungan ketara campur tangan Eksekutif terhadap kes-kes mahkamah tertentu.
Oh ya, bukankah kerajaan yang terbentuk ini tidak pernah menjanjikan sebarang komitmen untuk menambahbaik, apatah lagi menawarkan agenda reformasi?
Mungkin kepada Umno-BN dan Bersatu, isu-isu di atas tidak menjadi kudis pun, tetapi buat parti Islam seperti Pas, rekod dan prestasi kerja dalam kerajaan pintu belakang ini amat diperhatikan, khususnya oleh penyokong tegarnya sendiri.
Mungkin ketaatan dan kesetiaan ahli-ahli Pas sudah diikat dengan ketaksuban dan sikap fanatik mereka tetapi bagaimana pula penilaian rakyat seluruhnya? Apakah sokongan kepada Pas boleh bertahan sehingga PRU-15 nanti? Kita menunggu keajaiban itu.
Segala pesan keagamaan yang menjadi basahan lidah pemimpin Pas, kini hilang entah ke mana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan