RM27,000 gaji Peja sebagai penasihat Muhyiddin selama 11 hari

FMT Reporters

Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Muhyiddin Yassin dengan jawatan bertaraf menteri sebelum Perdana Menteri itu meletak jawatan pada 16 Ogos.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu menerima bayaran secara pro rata untuk 11 hari dan gaji penuh sebulan berjumlah RM27,227.20 sebagai penasihat bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata pembayaran gaji penuh itu adalah gantian notis penamatan perkhidmatan berikutan tempoh perkhidmatan Faizal yang singkat dan tidak cukup sebulan.

Katanya, jawatan itu tidak melibatkan pembayaran pencen.

Ismail berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen selepas Lim Lip Eng (PH-Kepong), meminta beliau menyatakan jumlah gaji diterima oleh Ahli Parlimen Tambun itu sebagai Penasihat Perdana Menteri bertaraf menteri untuk tempoh yang singkat itu.

Lim turut mempersoalkan sama ada terdapat jumlah gratuiti dan pencen bulanan yang beliau layak menerima daripada kerajaan, selain bertanya apa tugas Faizal sebenarnya.

Ismail berkata, tugas Faizal semasa kerajaan PN memerintah adalah untuk menasihati Perdana Menteri dalam hal berkaitan komunikasi komuniti.

Selain itu, katanya, Faizal bertanggungjawab mewujudkan jalinan kerjasama erat antara kerajaan dan pimpinan masyarakat.

“(Beliau juga) meningkatkan kefahaman rakyat mengenai dasar kerajaan menerusi saluran komunikasi yang berkesan, dan meningkatkan sistem penyampaian kerajaan dalam aspek pembangunan sosioekonomi rakyat,” katanya.

Pada 5 Ogos lalu, Faizal dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Muhyiddin dengan jawatan bertaraf menteri sebelum Perdana Menteri itu meletak jawatan pada 16 Ogos.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan