‘Sajat jadi Bella’

Malaysiakini

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses memohon ekstradisi bagi membawa pulang usahawan kosmetik dalam buruan Nur Sajat daripada Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abd Jalil Hassan, berkata proses itu akan mengambil masa kerana membabitkan pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara selain pihak berkuasa Thailand.

"Sebab itu, saya tidak boleh beri jangka masa bila Nur Sajat akan dibawa pulang. Saya juga tidak boleh sahkan usahawan kosmetik itu akan dibawa pulang dalam masa terdekat ini.

"Permohonan ekstradisi ada prosesnya. Apabila kita membuat permohonan, pihak berkuasa Thailand juga perlu meluluskannya bagi membolehkan Nur Sajat dibawa pulang," dia dipetik sebagai berkata kepada BH, semalam.

Polis semalam Sajat ditahan imigresen Thailand pada 8 September.

Media melaporkan, dia kemudian diheret ke mahkamah dan dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) serta diminta melapor diri kepada pihak imigresen setiap 14 hari.

Sementara itu, Harian Metro pula melaporkan Sajat menggunakan nama Bella selepas melarikan diri ke Bangkok.

Memetik sumber, akhbar itu melaporkan, nama glamor itu terkenal dalam kalangan rakannya yang juga terdiri daripada kalangan mak nyah.

‘Guna pembantu kemas kini media sosial dari Malaysia’

Sementara itu, sumber mendakwa Sajat mengelirukan pihak berkuasa dengan menggunakan pembantunya di Malaysia untuk memuat naik status media sosial, bagi menggambarkannya berada di negara ini.

"Dia gunakan pembantu untuk muat naik statusnya di Instagram konon ada di Danga Bay, Johor pada 28 Ogos lalu.

"Dia sangat licik, perkongsiannya itu kemudian dipetik portal media.

“Kita percaya itu hanya tindakannya untuk mencabar pihak berkuasa negara ini kerana kita sudah dapat maklumat dia lolos ke Thailand pada awal Mac lalu," katanya.

Sementara itu, selepas ditahan dan dihadapkan di mahkamah Thailand, Sajat juga dilihat masih aktif di media sosial.

Usaha Harian Metro menghubungi Sajat gagal. Individu yang menjawab pertanyaan menerusi nombor telefon yang tertera di media sosialnya mendakwa ia bukan milik Sajat.

"Saya bukan Nur Sajat mak cik pak cik, maaf sangat," balas individu itu melalui WhatsApp.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Sajat.

Sajat diburu polis Malaysia selepas menjadi suspek kes menghalang tugas penjawat awam.

Mahkamah syariah di Selangor juga mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas gagal hadir untuk prosiding kes lelaki berpakaian wanita.

Media melaporkan dia melarikan diri daripada Malaysia dengan memakai purdah dan menggunakan bantuan individu yang mahir dalam selok-belok sempadan serta mempunyai kerakyatan bertindih (Malaysia dan Thailand).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan