MALAYSIA DATELINE
Usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang diburu pihak berkuasa dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.
Sajat yang menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor atas kesalahan berpakaian wanita iti ditahan di sebuah kondominum mewah di Bangkok.
Penahanan Nur Sajat dilakukan pihak berkuasa Thailand selepas mendapat maklumat mengenai keberadaan usahawan kosmetik di Bangkok, Thailand daripada pihak berkuasa Malaysia.
Sumber memaklumkan Nur Sajat, 36, ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen, lapor Harian Metro.
Memperincikan perkara itu, sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro bahawa berdasarkan maklumat dikongsikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pihak berkuasa Thailand mengenai lolosnya usahawan berkenaan ke negara berkenaan pada awal Mac lalu, usaha mengesannya dilakukan jabatan imigresen Thailand.
“Pada 4 Jun, pihak imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyian Nur Sajat iaitu di sebuah kondo mewah di tengah Bangkok.
“Selepas risikan dan intipan dilakukan, pada 8 September sekitar jam 6 petang (waktu Thailand) serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya. Hasilnya, Nur Sajat ditahan dan semakan pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia. Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia,” katanya memaklumkan Nur Sajat ditahan bersama dengan seorang lelaki tempatan (Thailand) yang juga berperwatakan sepertinya di kondominium mewah itu.
Menurutnya, Nur Sajat kemudiannya dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara gajah putih itu.
“Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Nur Sajat bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.
“Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat,” katanya.
Ditanya di manakah Nur Sajat kini berada, sumber itu memaklumkan, Nur Sajat masih berlindung di kondominium mewah di tengah ibu kota Bangkok itu.
“Walaupun dia dibebaskan dengan jaminan, Nur Sajat diarahkan untuk hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari,” katanya.
Menjawab soalan wartawan, sumber itu memaklumkan, pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang Nur Sajat ke negara ini.
“Usaha membawanya pulang untuk menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor atas kesalahan berpakaian wanita yang dilakukannya di Shah Alam pada tahun 2018 itu sedang berlangsung.
“Rundingan agak sukar tetapi kita tetap optimis untuk membawanya pulang. Sukar disebabkan ada campur tangan pihak antarabangsa membabitkan negara dan pertubuhan tertentu yang menghalangnya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan