Undi 18: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuching beri impak besar PRU15 nanti

MALAYSIA DATELINE

Biro Undang-Undang Parti AMANAH Negara (KANUN) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuching hari ini berkenaan #Undi18.

Susulan keputusan ini, Naib Pengerusi 2 Kanun Fadhli Umar Aminolhuda meminta supaya pihak kerajaan mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching ini dan seterusnya tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan ini. 

Semakan Kehakiman yang difailkan oleh 5 orang anak muda dari Sarawak telah didengar di hadapan Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai hari ini.

Mahkamah Tinggi antara lain memutuskan menolak rancangan kerajaan sebelum ini untuk hanya mengimplementasi #Undi18 pada September 2022 dan menyatakan bahawa rancangan ini adalah tidak relevan dan tidak sah dari segi undang-undang.

Mahkamah juga mengarahkan supaya #Undi18 diimplementasi selewatnya pada Disember tahun ini.

Sebaliknya, kata beliau kerajaan perlu bertindak segera merealisasikan dan mengimplementasi #Undi18 secepat mungkin sebagai sebahagian dari agenda reformasi yang dipersetujui secara bersama antara kerajaan dan pembangkang.

KANUN juga mengambil maklum bahawa satu semakan kehakiman juga berkenaan implementasi #Undi18 akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 22 Oktober ini dan berharap supaya Mahkamah akan membuat keputusan yang sama agar #Undi18 ini dapat diimplementasikan sesegera mungkin seterusnya undang-undang menjadi seragam dan harmoni di seluruh negara menjelang Pilihanraya Umum 15 akan datang.

Sehubungan itu, KANUN mengucapkan tahniah kepada anak-anak muda ini atas keberanian mereka untuk melawan tindakan bobrok Kerajaan menafikan #Undi18 yang telah berjaya dipinda di bawah Kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya, keputusan ini sekaligus bakal memberikan impak yang besar dalam Pilihanraya Negeri Sarawak dan Pilihanraya Umum 15 tidak lama lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan