Bakar Suar
Kesian Umno. Parti politik yang menunjangi perjuangan kemerdekaan negara dan pemangkin semangat nasionalisme Melayu dan Malaysia kini menjadi pertubuhan kerap dikhianati dari dalam dan luar parti.
Walaupun Umno kini mendapat peluang kedua meneraju negara selepas diaibkan pada Pilihan Raya Umum 2018, nampaknya tidak banyak yang boleh dilakukan oleh wakilnya di kerusi Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, untuk memulihkan wibawanya.
Kali pertama rantaian kuasa politik Umno tercabut ialah apabila ia dihukum haram oleh mahkamah kerana rentetan pergeseran dua pemimpinnya Dr Mahathir Mohamad dengan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1988.
Ketika pengharaman Umno itu, MCA, parti kedua terbesar dalam Barisan Nasional yang dipimpin oleh Dr Ling Liong Sik sempat merasa hawa kuasa pimpinan negara untuk beberapa hari.
Mujur pendaftaran parti baharu – Umno Baharu – dapat dibuat segera dan diberi hak mewarisi bukan sahaja nama Umno tetapi aset Umno di segi keahlian dan perwakilannya di dalam Dewan Rakyat.
Umno terlepas hak memimpin negara sekali lagi apabila mantan Perdana Menteri, Najib Razak gagal memimpin Barisan Nasional memenangi PRU14 pada Mei 2018.
Yang menjadi Perdana Menteri ialah mantan Presiden Umno, Mahathir yang ketika itu Pengerusi Bersatu yang sanggup berkongsi kuasa dengan DAP, parti belasahan yang sering dituduh rasis Cina untuk membakar sentimen Melayu.
Platform kuasa itu juga beliau kongsi dengan PKR yang ditubuhkan khusus untuk menentangnya kerana memecat dan memenjarakan ketua umum PKR (sekarang presiden) Anwar Ibrahim atas tuduhan salahguna kuasa dan jenayah liwat.
Namun Dr Mahathir pun tidak kekal. Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pula menggerakkan strategi “Langkah Sheraton” bersama PAS dan serpihan ahli politik PKR lalu memaksa Mahathir letak jawatan sebab kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Maka semakin malap kredibiliti Umno daripada parti politik induk sejak Malaysia merdeka hingga merosot menjadi parti politik Melayu-Islam kurang pengaruh.
Najib letak jawatan presiden dan diganti oleh timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi. Malangnya Zahid juga menghadapi berpuluh-puluh tuduhan jenayah urusan kewangan.
Namun prestasi Muhyiddin sendiri hambar dalam menangani cabaran pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi hingga beliau juga terpaksa berundur.
Kini Umno kembali menjadi nakhoda bawah pimpinan Ismail. Ini agak janggal. Sebagai presiden Umno, Zahid, di segi teknikalnya layak mengisi jawatan itu tetapi didapati kurang sesuai kerana kes-kes mahkamah yang dihadapinya.
Kedudukan Umno menjadi sukar apabila krisis politik yang digerakkan oleh pemimpin Umno sendiri melanda Melaka. Ismail kelihatan kekok dan seolah-olah tiada locus standi merungkai cabaran krisis ini.
Zahid tentu ada perhitungan politiknya sendiri bagaimana mahu bertempur pada PRN Melaka yang bermula 8 November ini dengan hari pencalonan.
Namun Ismail sebagai Perdana Menteri yakin beliau bertanggungjawab memelihara kerukunan hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan pusat. Namun begitu, beliau sedar adalah lebih baik serahkan soal politik kepartian PRN Melaka kepada presiden.
Strategi dan falsafah Ismail ialah doktrin “Keluarga Malaysia”, sebab itu awal-awal lagi beliau menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan yang memungkinkannya diterima sebagai ketua ‘keluarga’ negara.
Sebagai “bapak” Keluarga Malaysia, seharusnya Ismail perlu mengutamakan keadilan dan keharmonian dalam kalangan parti politik seperti yang dititipkan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong – “yang menang tidak ambil semua dan yang tewas tidak kalah semua”.
Maka timbul persoalan adakah Ismail mendapat restu dan mandat pucuk pimpinan Umno untuk mengamalkan politik ikhlas dan luhur yang dipersetujui dengan PH?
Zahid masih keberatan. Sasarannya ialah mengembalikan imej dominan dan tegas Umno. Sebab itu Umno nampaknya liat mahu berunding dengan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu dan PAS.
Beberapa kali Zahid beralasan “Umno telah kerap dikhianati”. Walaupun tiada bukti dikemukakannya, namun umum melihat Zahid tidak selesa dengan pemimpin Bersatu yang kebanyakannya mantan ahli Umno.
Yang agak lantang menegur ialah presiden Bersatu dan bekas timbalan presiden Umno, Muhyiddin Yassin yang menyatakan “kalau sebelah sana (Umno dan Barisan Nasional) keberatan berbincang, PN akan bergerak terus kerana masa sudah suntuk”.
Pendirian Muhyiddin, yang juga pengerusi PN, seolah-olah mahu mengatakan pinggan tak retak nasi tak dingin…Bersatu dan PAS akan terus guna cogan kerajaan Melayu-Islam!
Kesian Ismail. Dilemanya sekarang bak kata pepatah – ditelan mati emak, diluah mati bapa. Beliau sudah teroka alur perdamaian lebih kekal dengan PH tetapi nampaknya tauke Umno kurang berselera ke meja damai.
Melaka gelanggang Umno isytihar Tanah Melayu merdeka daripada penjajahan asing. Mungkinkah di bumi Melaka juga perjuangan Umno mula larut?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan