Gerakan mahu guling Presiden Pas: ‘Jangan nak mulakan kerja mengarut’

FAZLI RADZI

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik menafikan wujudnya gerakan yang mahu menggulingkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti heboh diperkatakan.

Mengulas penyebaran audio berkaitan gerakan itu, Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkata, dia telah mendengar rakaman suara tersebut.

“Jangan nak mulakan kerja-kerja mengarut. Tuan Guru Presiden sentiasa di hati kami para pimpinan. Bahkan, AJK yang ada sekarang inilah yang mempertahankan TG presiden dari projek langgar Hadi oleh kumpulan jebon 2015.

“Lalu ada yang hantar sebuah audio kepada saya. Saya dengar butiran demi butiran perkataan.

Tiada sepatah pun perkataan yang soreh (jelas) mahupun kinayah yang boleh memberi erti ‘Tukar TG Hj Hadi’,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Pendedahan audio mirip suara seorang pemimpin Pas yang didakwa mempertikai kepimpinan Abdul Hadi tular menjelang pemilihan pimpinan Pas yang dijadualkan bulan depan.

Rakaman audio itu antara lain mendedahkan, pemimpin Pas yang dinamakan Dr T itu mendakwa, Abdul Hadi percaya bahawa Perikatan Nasional (PN) lebih berpengaruh berbanding Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut, Mokhtar melarang munculnya tanggapan sedemikian memandangkan rakaman audio itu tidak ‘soreh’ iaitu jelas atau nyata.

“Bila tidak soreh jangan nak bina persepsi bagi menghuru-harakan parti (Pas). Moga tiada ‘tali barut’ yang cuba buat kecoh atas arahan atau perancangan orang di luar parti,” katanya.

Sehubungan itu, Mokhtar menyeru agar Pas dimantapkan melalui kesetiaan ahli dan pimpinan parti tersebut.

“Jom perkukuhkan Pas dengan wala kepada jamaah dan pimpinan.

“Tapi pelik juga macam mana audio yang tak soreh itu boleh sengaja dirakam dan ditularkan? Siapa? Apa tujuan?” soalnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan