Amir Mamat dan Nuraliawati Sabri
am@hmetro.com.my
Melaka: Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkuat-kuasa hari ini.
Surat pemakluman mengenai perkara itu serta peletakan jawatan beliau bersama Datuk Noor Effandi Ahmad dan Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bertarikh 30 September lalu diserahkan kepada Sulaiman di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh pagi tadi.
Pada sidang media khasnya, Idris yang juga Adun Sungai Udang mendakwa penarikan sokongan itu berikutan ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang 'flip-flop' serta tidak dilaksanakan dengan sempurna.
"Banyak keputusan kerajaan negeri yang tidak terlaksana (meskipun) sudah diputuskan. Seolah-olah ada dua singa atas satu gunung, jadi menimbulkan keresahan kami dan menyedarkan kami untuk mengubah keadaan yang ada sekarang ini.
"Setakat ini saya menyatakan, empat orang kami ini bersama dengan 11 Adun Pakatan Harapan (PH) memang tidak percaya dan tidak menyokong kepimpinan kerajaan negeri, sekali gus membuktikan kerajaan negeri pimpinan Sulaiman sudah hilang majoriti sokongan.
"Saya melihat kepentingan rakyat di atas segala-galanya, kalau semua tindakan kerajaan negeri tidak tepat dan tidak objektif dalam membela nasib rakyat terutama dalam suasana Covid-19 yang begitu mengekang, ditambah pula suasana ekonomi yang tidak menunjukkan sebarang kemajuan, inilah tindakan kita.
"InsyaAllah kita akan ada satu gagasan yang akan memberikan peluang lebih dalam soal kemajuan dan kebajikan rakyat," katanya.
Sementara itu, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, gabungan PH negeri akan menghantar surat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dalam tempoh terdekat bagi memaklumkan bahawa kerajaan negeri pimpinan Sulaiman sudah hilang majoriti.
Beliau berkata, selaras dengan peruntukan Perkara 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka yang berbunyi 'Jika Ketua Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar Adun, Ketua Menteri hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat, melainkan jika atas permintaan Yang di-Pertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri.
"Saya mewakili Adun PH, manakala Datuk Seri Idris mewakili empat Adun, berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Tun bagi membincangkan mengenai usaha yang boleh diambil bagi memastikan kestabilan politik negeri serta kesinambungan pentadbiran kerajaan dapat diteruskan.
"Keutamaan PH pada masa ini adalah untuk memastikan kestabilan politik negeri ini bagi memastikan pentadbiran yang cekap, bertanggungjawab dan telus dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Mengulas lanjut, mengenai senarai nama calon bakal Ketua Menteri dari PH, Adly berkata, pihaknya akan terlebih dulu berjumpa dan mengadakan perbincangan bersama Mohd Ali.
"Kalau kita lihat Perlembagaan Negeri, kuasa melantik (Ketua Menteri) dalam bidang kuasa Tun.
"Kita akan bertemu dulu dengan Tun bagi berbincang demi kebaikan negeri ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan