Individu buat aduan lepas dilarang mengundi di Ayer Keroh

Low Choon Chyuan

PRN MELAKA | Penyandang kerusi DUN Ayer Keroh Kerk Chee Yee membangkitkan aduan seorang pengundi yang tidak dapat berbuat demikian setelah diberitahu yang namanya ditanda sebagai telah mengundi.

Ia walaupun jarinya masih belum dicalit dengan dakwat kekal.

Wanita itu memberitahu Kerk yang ketika dia tiba di pusat mengundi di Dewan Bukit Beruang Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, dia diberitahu yang undi telah dibuat menggunakan namanya.

Kerk menggesa pihak berkuasa agar menyiasat perkara itu secepat mungkin.

"Wanita ini mengadu kepada kami yang dia belum mengundi dan dicalit dakwat, tetapi namanya telah dipotong. Maka dia tak boleh mengundi kali ini.

"Saya harap perkara ini akan disiasat dan dia akan membuat laporan polis," katanya kepada Malaysiakini.

Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab di pusat mengundi itu enggan mengulas perkara tersebut.

Kerk berdepan dengan calon BN dari MCA, Yong Fun Juan dan calon PN dari Gerakan, Michael Gan Peng Lam di kerusi DUN itu.

Sementara itu, PH dalam sidang media di kawasan DUN Ayer Molek mendakwa seorang wakil parti komponennya diarah keluar dari pusat mengundi.

Mohd Bazain Yusof, 66, yang mewakili calon DUN Ayer Molek Mohd Rafee Ibrahim, berkata dia telah membuat laporan polis berkenaan perkara itu di Balai Polis Kandang.

Dalam laporan yang dilihat Malaysiakini, dia mendakwa insiden itu berlaku pada pukul 10.30 pagi, di mana dia diminta oleh seorang pegawai pilihan raya yang dia perlu beredar selepas dua jam di SK Bendarhara Seri Maharaja Kandang.

DUN Ayer Keroh menyaksikan pertembungan empat penjuru ntara Mohd Rafee, calon BN dari Umno Mohd Rahmad Mariman, calon PN dari Bersatu Mohd Fadly Samin dan calon bebas Ahmad Muaz Idris.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan