Isu royalti minyak: Kenapa Kelantan terkejut, tanyalah 3 menteri Pas dalam kerajaan

SITI NUR ZAWANI MISCON

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, kerajaan Kelantan sepatutnya bertanya kepada tiga menteri Pas yang berada di dalam kerajaan sekarang berhubung pembayaran royalti petroleum kepada negeri berkenaan.

Ia susulan respon Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini yang menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang hanya akan memberi wang ihsan kepada Kelantan dan bukan wang royalti.

Justeru kata Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu, sepatutnya Menteri Besar Kelantan pergi bertanya secara terus pada menteri Kabinet kerana dua menteri dalam kerajaan adalah dari Kelantan.

“Lah, buat apa terkejut royalti Kelantan tak diberi. Tanya Ahli Parlimen Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) dia buat apa dalam Kabinet. Tiga menteri ada.

“Takkan hal bantuan Kelantan, tiga menteri, dua dari Kelantan tak boleh kata apa. Kalaulah mereka nak cakap tapi kerajaan tak setuju, keluarlah dari Kabinet.

“Sekarang ini Exco Kelantan tanya, mana royalti kami. Mu duduk dalam kerajaan kan, peliklah. Pergi jumpa menteri teruslah, tak perlu cakap dalam surat khabar.,” katanya semasa perasmian Konvensyen AMANAH Kelantan pagi ini.

Mat Sabu berkata, semasa pentadbiran Pakatan Harapan dahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju memberi wang royalti sebanyak RM400 juta kepada Kelantan kerana keadaan ekonomi negeri itu yang agak jauh kebelakang.

Beliau juga membayangkan bahawa Kelantan kini mula merindui pentadbiran PH yang dahulu membayar wang royalti petroleum.

“Ertinya saya nampak kerinduan dalam PH itu timbul semula,” katanya lagi.

Pada 25 November lalu, Zafrul berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, beliau berkata ia disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.

Namun begitu, memandangkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, maka Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan