Netizen kantoikan Shuk masih bertemu dengan kekasih gelap?

KOSMO!

ROSSALENNAH (kiri) berkongsi beberapa tangkap layar (tengah) yang dikirim netizen dengan mendakwa Shuk masih bertemu skandalnya.

PETALING JAYA – Kisah konflik rumah tangga dan kecurangan pelawak Shuk Sahar terhadap isteri, Rossalennah Natassyiah Asshaferah masih belum berkesudahan.

Terbaharu, Rossalennah berkongsi beberapa tangkap layar perbualannya bersama segelintir netizen memaklumkan ternampak suaminya masih keluar dan bertemu dengan wanita yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.

Lebih memeranjatkan, ada yang mendakwa Shuk dan wanita terbabit didakwa dilihat berada di sekitar Pulau Pinang.

TANGKAP layar InstaStory Rossalennah yang mendedahkan suaminya masih mempunyai hubungan dengan wanita terbabit.

“Semalam ada datang Gurney Penang menonton wayang tak? Nampak Shuk. Perempuan itu tidak pasti siapa sebab jauh lebih kurus,” dedah seorang netizen kepada Rossalennah.

Tidak melenting, Rossalennah bagaimanapun menjawab seolah-olah sudah dapat menghidu perbuatan suaminya itu.

“Ya, sesiapa ada ternampak, itu bukan saya. Dua ‘mangkuk’ ini memang tak akan mengaku.

“Lain kali ambil gambar dan video mereka. Jadi, mereka tidak boleh berlagak jadi mangsa,” jawab Rossalennah.

Sementara itu, dalam perkongsian berbeza, terdapat juga individu mendedahkan pernah terserempak dengan Shuk dan wanita berkenaan di sekitar ibu negara.

“Hari itu saya pergi urut di Changkat, Kuala Lumpur. Nampak Shuk dan wanita itu. Selamba saja berswafoto dengan orang di tepi jalan, bangga betul pergi jalan-jalan bawa skandal,” kongsi seorang lagi netizen.

Tidak terhenti di situ, ada pula yang berkongsi sekeping foto yang mendakwa individu dalam gambar tersebut ialah Shuk dengan wanita sama yang dilihat keluar pada waktu malam.

Sehingga kini, status rumah tangga Shuk dan isteri masih menjadi tanda tanya ramai.

Sebelum ini, Kosmo! pada 9 Oktober lalu melaporkan Rossalennah mendedahkan, dirinya seperti sudah tawar hati dengan suaminya itu yang masih tidak serik dan terus bermain kayu tiga dengan wanita lain.

Dia juga sudah tawar hati tidak mahu lagi memaafkan suaminya atas kecurangan dan enggan menerima sumpah Shuk yang beberapa kali berjanji untuk berubah.

Terdahulu, wanita yang dikaitkan mempunyai hubungan sulit dengan Shuk, iaitu Fara Salleh mendedahkan lelaki itu masih tidak berhenti mengganggu dan merimaskan dirinya.

Tidak menyebut nama individu berkenaan, Fara bagaimanapun mengatakan lelaki tersebut menyertai tabligh seolah-olah merujuk kepada Shuk yang juga baru-baru ini turut mengikuti jemaah berkenaan.

Menerusi muat naik dalam InstaStory sekitar pertengahan September lalu, Fara turut memuat naik gambar memaparkan bahagian belakang badan individu tersebut. Dia bagaimanapun bertindak memadam perkongsian itu selepas beberapa minit memuat naik gambar terbabit.

Terdahulu, Shuk beberapa kali ditangkap berkelakuan curang dengan isterinya namun atas dasar sayang dan masa depan anak-anak, isterinya itu memaafkan segala khilaf yang pernah dilakukannya. – K! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan