Pas sebenarnya yang ekstrem, kata Naib Presiden Umno

FAZLI RADZI

Walaupun sekarang Pas berkicau seolah-olah ia lebih ‘sederhana dari yang sederhana’ tetapi rekod dan prestasi Pas jelas menunjukkan bahawa ia bukan parti sederhana, tegas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, Pas mungkin kelihatan sederhana hari ini bukan kerana ideologi dan pendekatan politiknya, tetapi kerana parti itu menyedari bahawa untuk terus diajak menjadi kerajaan ia terpaksa menjadi sederhana.

“Sepanjang kewujudannya, BN kekal dengan pendirian mendukung kepelbagaian Malaysia. Kerana itu BN tidak pernah menyertai pelbagai perikatan lain untuk kononnya tampak sederhana.

“Lihatlah rekod Pas. Perikatan mana yang ia tidak pernah sertai untuk melunakkan persepsi radikalnya, termasuklah merangkul erat DAP sebagai sekutunya.

“Jadi, apabila parti di luar pakatan yang disertai Pas dilabel sebagai parti ekstrem, maka saya teringat bidalan orang tua-tua. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih,” tempelaknya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Pas menyifatkan Perikatan Nasional (PN) adalah satu pakatan kesederhaan yang ditubuhkan sebagai ‘perikatan menentang parti-parti ekstrem’.

Khaled menegaskan Abdul Hadi secara tidak langsung turut bermaksud bahawa BN adalah parti yang ekstrem memandangkan BN adalah parti yang tidak berada dalam PN.

“Sudah tentu pandangan sebegini tidak benar. BN bukan parti yang ekstrem atau menyokong ekstremisme.

“Jika tidak, mana mungkin selama 61 tahun rakyat Malaysia memilih BN dan bukannya Pas. Saya rasa semua orang tahu jawapannya.

“Pas tidak pernah menang besar dalam mana-mana PRU, kerana kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia secara umumnya, Pas adalah parti dengan ideologi Islam yang ekstrem.

“Mereka tidak yakin Pas boleh menawarkan solusi untuk Malaysia dengan komposisi kemajmukannya yang kompleks.

“Kerana itu, walau berpuluh tahun kewujudannya, dengan Islam yang dicanangkan sebagai landasannya sekalipun, majoriti orang Melayu tidak pernah menerima Pas sebagai parti yang boleh mewakili mereka,” tegas Khaled lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan