PM ditanya, apa tindakan terhadap Rauf yang langgar SOP

MALAYSIA DATELINE

Pengerusi Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh didakwa melanggar SOP yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila membawa rombongan lebih 20 orang penyokong termasuk Datuk Seri Najib Razak ke pusat penamaan calon hari ini.

Berkicau melalui twitternya, ahli parlimen Setia Wangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa ia berlaku di pusat penamaan calon PRN Melaka pagi ini. 

Dua anggota polis meminta Rauf dan penyokongnya serta wartawan bersurai selepas didakwa melanggar SOP.

Sehubungan itu, beliau bertanya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, apakah tindakan yang akan diambil kepada mereka.

“Apa tindakan kepada mereka? Takkan parti sendiri dapat lesen special kot. Kita kan #KeluargaMalaysia,” kata Nik Nazmi.

Ab Rauf yang juga bekas setiausaha kerja Umno dicalonkan BN bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Sementara itu, video polis bertindak menyuraikan perhimpunan dan sidang media Rauf ditularkan melalui media sosial pagi ini.

Ia menunjukkan dua pegawai polis bertindak melarang wartawan dan penyokong Rauf dari berkumpul dan melanggar SOP yang ditetapkan SPR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan