PRN Melaka soal hidup mati, penentu jajaran politik negara

Zeanaaima Mohd Yusof

PETALING JAYA: Keputusan pilihan raya negeri Melaka esok akan memberikan petunjuk penting kepada soal “hidup mati” parti tertentu, khususnya yang bersaing untuk meraih undi Melayu.

PRN Melaka sudah pun menyaksikan beberapa norma baharu, umpamanya, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak ‘banyak’ turun padang berkempen untuk partinya.

Ini mungkin kerana realiti politik kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ yang beliau dirikan bersama Umno-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional(PN). Kawan di Putrajaya tetapi lawan di Melaka!

Selain SOP Covid-19, Umno juga menghadapi pilihan raya ini dengan kekangan lain seperti kewangan terhad untuk jentera pilihan rayanya, berbanding masa-masa ‘gemilang’ dahulu.

Bagi PAS, ini kali pertama sejak 1974, parti itu merehatkan bendera bulan purnama dan memakai logo (PN), sekali gus menolak lamaran Umno, sekurang-kurangnya untuk PRN Melaka.

Namun, parti yang menanggung ‘risiko’ tertinggi ialah Bersatu pimpinan Muhyiddin, penggerak utama PN yang bergantung kepada PAS sebagai rakan sekutu utama.

Nasib parti-parti berkenaan esok dalam PRN Melaka berkemungkinan membawa kepada jajaran politik baharu, melibatkan pertukaran rakan sekutu masing-masing bagi menghadapi PRU15, kata penganalisis.

“Keputusan PRN Melaka ini akan menentukan nasib PN atau lebih tepat nasib Bersatu. (Bagi) Umno (parti itu) menang besar atau kalah teruk, tak ada isu sebab dia tetap pergi solo sama juga dengan Pakatan Harapan, mereka akan tetap jadi pembangkang.

“Jika PAS tarik diri dari PN, maka Bersatu secara seorang diri memang kira mustahil. Jadi keputusan (PRN) ini memang penting kerana menentukan hidup mati mereka dalam politik,” kata penganalisis Azmi Hassan kepada FMT.

Sejumlah 23 daripada 28 DUN Melaka adalah kerusi majoriti Melayu dan menjadi medan persaingan Umno, Bersatu, PAS, PKR dan Amanah.

Dengan hari mengundi kurang 24 jam, Umno kelihatan yakin mendapatkan sokongan majoriti pengundi Melayu.

Rabu lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan berkata BN yakin memenangi 18 daripada 28 kerusi namun akan berpuas hati sekiranya memperolehi 15 kerusi untuk membolehkannya membentuk kerajaan negeri.

BN bertanding di semua 28 kerusi DUN. Calon Umno di cabar oleh PAS di tujuh kerusi dan Bersatu di 11 DUN lain. Umno juga berdepan PKR atau Amanah di 18 DUN.

Perkembangan itu memberikan PH kelebihan kerana undi Melayu berpecah, kata seorang lagi penganalisis politik, Awang Azman Awang Pawi.

“Undi Melayu itu sendiri sudah berpecah dua. Ini berikan sedikit peluang kepada Pakatan Harapan. Tapi kita kena ingat bahawa Melaka ini pernah jadi kubu kuat Umno,” katanya.

Awang juga bersetuju bahawa Bersatu ketika ini menggalas beban besar untuk capai kemenangan meyakinkan agar terus relevan dalam persada politik tanah air.

“Bersatu kena menang besar pada PRN Melaka ini untuk menunjukkan parti itu relevan. Jika tidak berjaya, mereka akan dianggap tidak relevan lagi untuk PRU akan datang, malah mereka mungkin akan ditinggalkan parti PAS, (dan) PAS mungkin akan cenderung pada Umno pula,” katanya.

PH yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim mempunyai gadingan PKR dan Amanah untuk memenangi undi Melayu namun kekuatan gabungan itu yang turut dianggotai DA, secara tradisi lebih kepada undi bukan Melayu.

Keupayaan PH mendapatkan undi Melayu kali ini juga agak terhakis dengan ‘pengunduran’ Dr Mahathir Mohamad daripada gabungan itu pada tahun lalu.

Beban PH itu ditambah dengan kemungkinan pengundi bukan Melayu memilih BN untuk menghantar mesej keras kepada PAS dan PN pimpinan Muhyiddin.

Tindakan terbaharu kerajaan Kedah pimpinan PAS-PN mahu menutup kedai nombor ekor dan mengekang penjualan arak dikecam oleh ramai warga bukan Muslim termasuk pengundi di Melaka yang melihatnya sebagai cubaan menghakis hak mereka.

Justeru, pengundi bukan Melayu berkemungkinan bertindak balas dengan mengundi BN sebagai membalas kepada apa yang dilihat sebagai keterlaluan PAS-PN.

Apa yang pasti, PH tidak boleh membentuk kerajaan negeri sekiranya gagal menarik pengundi Melayu dan tidak berupaya mengekalkan tahap sokongan undi bukan Melayu yang diraihnya pada tahun 2018.

PRN Melaka diadakan setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri.

Empat ADUN itu adalah (BN-Sungai Udang) Idris Haron; (BN-Pantai Kundor) Azman Hassan; (Bersatu-Telok Mas) Noor Effandi Ahmad; dan (Bebas-Pengkalan Batu) Norhizam Hassan Baktee.

Keputusan penuh PRN itu dijangka diketahui kira-kira pukul 10 malam esok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan