Tidak bijak tukar ‘panglima perang’ sewenang-wenangnya

MALAYSIA DATELINE

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim satu-satunya pemimpin yang diperlukan untuk mengetuai Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU15.

Katanya, tiada orang lain yang ada kepimpinan yang diperlukan bagi menggantikan Anwar sekiranya Presiden PKR yang juga Pengerusi PH itu diketepikan.

“Dalam keadaan Pakatan Harapan yang hanya ada beberapa bulan sahaja akan menempuh satu peperangan besar dalam Pilihanraya Umum, maka tidaklah bijak jika kita menukar Ketua Panglima Perang dengan sewenang-wenang,” kata beliau.

Menurutnya, cadangan menyuruh Anwar berundur sekarang sebelum PRU15 adalah cadangan yang tidak munasabah

“Kita hendak menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 tak lama lagi, mungkin tahun hadapan.

“Barisan Nasional, Umno dan pihak-pihak yang anti-Keadilan dan PH memang suka sangat jika Anwar Ibrahim disingkirkan. Bertepuk tanganlah mereka,” ujarnya.

Beliau yang mengenali Anwar seorang yang tetap tenang dan tabah walaupun ada desakan untuk berundur kerana beliau telah melalui musibah yang lebih dahsyat sebelum ini.

“Dia bukan orang yang mudah merajuk atau mudah patah hati. Dari perhatian saya sejak puluhan tahun mengenal susuk diri bernama Anwar Ibrahim ini, Presiden Keadilan ini punya stamina perjuangan yang kental.

“Kelebihan ini perlu dicontohi pemimpin-pemimpin muda. Setiap kali Anwar tumbang dan rebah, dia akan bangkit kembali,” kata beliau.

Sejak PH kalah teruk di Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu, Anwar Ibrahim dihentam dan didesak berundur supaya memberi peluang kepada orang muda pula memimpin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan