Robin Augustin
PH mencalonkan dua bekas Ketua Menteri, Adly Zahari (kiri) dan Idris Haron untuk bertanding dalam PRN Melaka.
PETALING JAYA: Kegagalan Pakatan Harapan untuk menamakan calon Ketua Menterinya jika memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh merugikan parti itu, kata penganalisis.
“Bagi saya, ini adalah kesilapan PH. Orang ramai mahu tahu siapa yang mungkin menjadi KM selepas PRN,” kata bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan.
Ketiadaan nama akan memberi kesan negatif kepada pengundi, terutama dalam kalangan pengundi atas pagar, katanya.
Ahli sains politik Wong Chin Huat berkata, keputusan untuk tidak menamakan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari daripada Amanah sebagai calon tidak memberi keyakinan.
Katanya, keputusan itu “jelas untuk tidak menutup pintu buat Idris Haron”, yang juga bekas Ketua Menteri.
Wong berkata, naif untuk fikir bahawa DAP, yang berkemungkinan menjadi parti terbesar selepas PRN, akan menerima Idris sebagai KM jika PH menang.
Langkah pilih bekas ADUN Umno mungkin makan diri
Mengenai langkah PH memilih bekas ADUN Umno, Idris dan Nor Azman Hassan bagi kerusi Asahan dan Pantai Kundor, Azmi berkata, ini seperti pedang bermata dua.
“Idris dan Nor Azman sudah tentu boleh menarik undi Melayu di kawasan yang ditandingi tetapi hakikat bahawa PH meletakkan mereka sebagai calon boleh membuat penyokong mereka sendiri tidak senang.
“Saya percaya kesan negatif pencalonan mereka akan mengatasi manfaatnya,” katanya.
Wong berkata, tindakan PH menerima Idris dan Nor Azman sangat menjatuhkan pendirian moral gabungan itu mengenai isu lompat parti, terutama bagi PKR dan Amanah.
Katanya, walaupun Umno dan Bersatu turut mencalonkan individu yang melompat parti, ramai penyokong PH menganggap diri mereka lebih “berprinsip” berbanding penyokong Umno atau Bersatu.
“Jadi, ini akan menjatuhkan semangat PH, termasuk DAP yang berpendirian tegas membantah lompat parti,” katanya.
“Satu-satunya cara untuk PH pulih mungkin adalah ikrar untuk membentangkan atau menyokong rang undang-undang antilompat parti atau pemecatan selepas pilihan raya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan