Tiga faktor PH tumbang dalam PRN Melaka

AZLAN MUSYABRI

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini telah mengejutkan banyak pihak atas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) mendapat dua pertiga majoriti iaitu sebanyak 21 kerusi DUN.

Begitu juga kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) yang tinggal hanya lima kerusi DUN berbanding 15 kerusi DUN pada PRU14 yang lalu serta wajah baharu Perikatan Nasional (PN) yang berjaya merangkul dua kerusi DUN.

Analisis kali ini akan membincangkan arus perubahan yang berlaku dalam kalangan pengundi PH, menyentuh tiga aspek iaitu sokongan mengikut kaum, peratusan keluar mengundi dan sokongan mengikut umur.

Analisis sokongan PH mengikut kaum

Dari perspektif sokongan pengundi, PH mendapat jumlah undi sebanyak 114,457 (35.8%) berbanding BN sebanyak 122,741 undi (38.4%), PN sebanyak 77,731 undi (24.3%) dan parti lain sebanyak 4,760 undi (1.5%).

Berdasarkan analisis dan perbandingan secara regresi dan agregat, didapati bahawa berlaku pengurangan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu yang mengundi PH yang mendapat hanya 14.3% sokongan Melayu berbanding 27.3% pada PRU14.

Pengundi Cina kekal sokongan mereka dan mengundi PH sebanyak 88.0% sokongan berbanding 89.3% pada PRU14 sementara pengundi India dan lain-lain menunjukkan pola menurun dengan mengundi PH sebanyak 47.0% berbanding 57.5% pada PRU14.

Kaum PRU14 PRN Melaka Perbezaan

Melayu 27.3% 14.3% -13.0%

Cina 89.3% 88.0% -1.3%

India & Lain-lain 57.5% 47.0% -10.5%

Peratusan keluar mengundi rendah – Penyokong PH tidak keluar mengundi?

Dari perspektif keluar mengundi, daripada 495,195 jumlah pengundi, sebanyak 319,689 undi diterima, menjadikan peratus keluar mengundi 64.6%.

Analisis secara regresi di peringkat negeri menunjukkan pengundi Melayu lebih ramai keluar mengundi, dengan peratus keluar mengundi sebanyak 72.3%. Sementara itu, pengundi Cina dan India/Asli tidak ramai keluar mengundi, masing-masing dengan peratusan sebanyak 52.4% dan 56.1%.

Peratusan ini kelihatan bersamaan di DUN-DUN yang ramai Melayu seperti Tanjung Bidara (71.5%) dan Serkam (72.8%), dan juga di DUN-DUN yang ramai Cina seperti Kota Laksamana (58.1%) dan Bandar Hilir (56.2%).

Tampaknya faktor takut kepada peningkatan kes COVID-19 memberi kesan kepada orang Cina dan India untuk tidak turun mengundi, dan seterusnya memberi kesan negatif kepada undi PH, meskipun sokongan mereka terhadap PH masih sama.

Sebagai contoh, di DUN Duyong, pada PRU14, undi Cina kepada PH adalah sebanyak 4,763 undi tetapi pada PRN undi Cina hanya 3,264 undi.

Jika hanya separuh lagi daripada 1,500 pengundi ini turun mengundi, pasti DAP dapat mengekalkan kerusi Duyong ini, namun itu tidak berlaku dan menyebabkan kehilangan kerusi ‘selamat’ PH, apatah lagi apabila menentang UMNO dan PAS.

Kejatuhan mendadak undi Melayu kepada PH ini memerlukan PH untuk menilai semula keberadaan mereka dalam arena politik ini dan penerimaan pengundi kepada agenda yang dibawa.

Analisis sokongan PH mengikut umur – PH hilang undi anak muda. 

Dari segi umur pula, pengundi muda dan pertengahan menunjukkan pola penurunan sokongan kepada PH yang drastik, masing-masing penurunan sebanyak 22.5% dan 17.2% dengan mendapat sokongan 32.5% dan 36.0% berbanding sokongan pada PRU14 sebanyak 55.0% dan 53.2%.

Pengundi tua pula mengekalkan sokongan mereka pada PRN kali ini sebanyak 42.3% berbanding 43.2% pada PRU14 yang lepas.

Kategori Umur PRU14 PRN Melaka Perbezaan

Tua 43.2% 42.3% -0.9%

Pertengahan 53.2% 36.0% -17.2%

Muda 55.0% 32.5% -22.5%

Undi muda yang dahulunya menjadi saluran utama penyumbang undi PH kini sudah kebocoran undi.

Namun, faktor pengundi luar juga memberi kesan, yang mana kebanyakan dari mereka yang tinggal di luar Melaka tidak turun mengundi, dengan peratusan keluar mengundi di saluran muda hanya 58%.

PH kini sudah hilang tarikan untuk undi muda. Dengan pelaksanaan Undi 18 pada PRU ke-15 akan datang, jika masih berlarutan, undi muda ini boleh menjadi penentu utama kepada kemenangan mana-mana parti bertanding, dan bukan lagi PH.

Ke mana pergi undi PH? Bagaimana PN dapat memberi saingan yang sengit meskipun masih baharu?

Apakah keputusan PRN ini dapat memberikan gambaran keputusan PRU-15 yang akan datang? Nantikan analisis seterusnya yang akan menyentuh seputar isu-isu ini.

*AZLAN MUSYABRI merupakan Penganalisis Data, Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan