Yang tewas dan menang besar pada PRN Melaka

Malaysiakini

Negeri Melaka mencatatkan beberapa kejutan berikutan kemenangan besar Umno dan rakan-rakan komponennya dalam BN pada pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung semalam.

Ia merupakan kemenangan dalam PRN paling penting sejak pilihan raya umum (PRU) 2018 dan berkemungkinan mempunyai implikasi yang jauh lebih besar.

Malaysiakini meneliti bagaimana keputusan pada PRN ini boleh memberikan kesan kepada tokoh-tokoh politik utama negara

Pemenang - Najib dan Zahid

Kemenangan besar di Sabah dan diikuti dengan kemenangan lebih besar di Melaka jelas menunjukkan bahawa dua tokoh Umno - presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan penasihat BN Najib Razak - berjaya mengekalkan populariti mereka meskipun terpalit dakwaan rasuah.

Momentum daripada dua pilihan raya penting ini akan menjadi pencetus semangat kepada kedua-dua mereka bagi memastikan kemenangan BN seterusnya di Putrajaya.

Walaupun Najib disabitkan bersalah di mahkamah dan terpalit dengan kontroversi memohon hartanah bernilai RM100 juta daripada kerajaan persekutuan, hal itu ternyata tidak memberikan sebarang kesan.

Bagi Zahid, dia kini berjaya menunjukkan kepimpinannya mulai membuahkan hasil. Hal ini mungkin menjejaskan pencabarnya dalam majlis tertinggi Umno yang sebelum ini menggesa kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Tewas - Anwar Ibrahim

Presiden PKR, Anwar Ibrahim mencatatkan prestasi terburuk dalam kerjaya politiknya.

Awal tahun lalu, dia dinamakan sebagai calon perdana menteri tetapi "Langkah Sheraton" akhirnya menjadikannya sebagai ketua pembangkang.

Akhir tahun lalu, Anwar mendapat malu besar selepas dakwaannya memiliki majoriti yang "kukuh dan meyakinkan" untuk menawan Putrajaya tidak menjadi kenyataan.

Menjelang PRN Melaka, Anwar berkeras bahawa PN boleh menerima "katak politik" sebagai calon, walaupun menerima amaran daripada rakan gabungannya, DAP.

Berikutan kekalahan PKR pada PRN Melaka, Anwar kini perlu menjawab kepada akar umbi semasa pemilihan parti itu akan datang.

Tewas - Abdul Hadi Awang

Presiden PAS Abdul Hadi Awang meyakinkan partinya untuk membelakangkan kerjasama dalam Muafakat Nasional bersama Umno demi memihak kepada PN yang masih belum teruji.

Berlaku perbezaan pendapat di kalangan pemimpin yang pro-Umno dalam PAS, namun mereka dikalahkan semasa pemilihan pucuk pimpinan parti itu baru-baru ini.

Abdul Hadi kini berada dalam kedudukan yang lebih lemah sekiranya dia cuba berunding semula dengan Umno.

Tewas - Idris Haron

PRN ini tidak akan berlaku jika Idris Haron tidak menarik balik sokongan kepada Sulaman Md Ali sebagai ketua menteri.

Dengan cita-cita untuk menjadi ketua menteri sekali lagi, strategi Idris bertukar parti tidak menjadi.

Kerjaya politik Idris naik mendadak dan pernah menjadi timbalan menteri di peringkat persekutuan.

Kini, buat pertama kali sejak 2004, dia bukan lagi wakil rakyat yang dipilih mahupun memegang mana-mana jawatan dalam parti.

Pada usia 55 tahun, Idris masih agak muda dalam politik namun pada masa ini, dia perlu bangkit semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan