Perbezaan kerajaan PH dengan BN PN tangani banjir

HASSAN ABDUL KARIM

1. Bencana Pencemaran Udara di Pasir Gudang 13 Mac 2019

Pada 13 Mac 2019 Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memfailkan Usul di Dewan Rakyat supaya diadakan perbahasan di Parlimen tentang bencana Pencemaran udara di Pasir Gudang yang mengancam nyawa rakyat dan menuntut Kerajaan mengisytiharkan Darurat di Pasir Gudang.

Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Datuk Arif Mohd Yusof membenarkan usul itu dibentangkan di Dewan Rakyat dan dibahaskan pada jam 4.00 petang 14hb Mac 2019. Dua orang ahli parlimen Kerajaan dan dua orang ahli parlimen pembangkang membahaskan usul tersebut.

Kemudian Timbalan Menteri Undang-Undang dan parlimen, YB Hanipah Maidin (Sepang) menjawab bagi pihak Kerajaan. Walaupun tuntutan supaya Darurat bencana diisytiharkan di Pasir Gudang ditolak oleh Kerajaan tetapi kerajaan berjanji untuk melakukan segala usaha bagi membantu rakyat di Pasir Gudang seolah-olah Darurat diisytiharkan. Demikianlah jaminan Timbalan Menteri YB Hanipah Maidin.

Pada petang hari yang sama (14 Mac 2019) ketika Usul Memohon Perisytiharaan Darurat diisytiharkan di Pasir Gudang dibahaskan dalam Parlimen, Timbalan Perdana Menteri YB Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bertanggungjawab terhadap NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) telah bergegas turun ke Pasir Gudang.

Beberapa jam kemudian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga datang ke Pasir Gudang.

Dalam masa yang sama Menteri Alam Sekitar, YB Yeo Bee Yin (Bakri) turun ke Pasir Gudang.

Serentak dengan kehadiran pemimpin-pemimpin tertinggi Kerajaan ke Pasir Gudang, NADMA juga menggerakkan segala unit canggih menghadapi bencana pencemaran udara (seperti unit HAZMAT) dengan pantas dan tangkas bertindak melindungi rakyat di Pasir Gudang.

Nyawa rakyat dapat diselamatkan.

Bergerak ke hadapan.

Pada 5 November 2019 ketika membahaskan Peruntukan Belanjawan tahun 2020 di Parlimen bagi peruntukan Jabatan Perdana Menteri diperingkat Jawatankuasa, ahli parlimen pasir Gudang telah menyentuh isu kawasannya berhubung peranan NADMA.

Beliau menyampaikan bahasannya seperti berikut:

“Tuan Pengerusi, Isu kawasan saya Butiran 09910, Maksud Pembangunan 6 Jabatan Perdana Menteri berkaitan NADMA. Pertama, saya ingin merekodkan dan merakamkan rasa terima kasih dan tahniah atas kecekapan NADMA dalam kes menyelamatkan rakyat terhadap bencana pencemaran udara di Pasir Gudang. Saya sangat berpuas hati dan penduduk Pasir Gudang sangat teruja dengan usaha pihak NADMA dan pasukan-pasukan yang lain”.

Menteri Alam Sekitar (Yeo Bee Yin) pula selangkah ke hadapan bersikap mesra rakyat. Satu majlis terbuka Town Hall perbincangan dengan rakyat tentang bencana pencemaran udara Pasir Gudang diadakan di Bangunan Majlis Bandaraya Pasir Gudang. Menteri Kerajaan PH berani berdepan dengan rakyat.

2. Bencana Banjir Besar di Lembah Klang 18 Disember 2021

Apabila berlaku bencana banjir besar di Lembah Klang, maka pada Isnin 20hb. Disember 2021, Ketua Pembangkang YB Anwar Ibrahim dan YB Lim Guan Eng serta lain-lain ahli parlimen pembangkang dan ahli parlimen Kerajaan menuntut kepada Speaker Dewan Rakyat supaya dibahaskan di parlimen tentang bencana banjir besar yang mengancam nyawa dan harta rakyat.

Tetapi Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun, bersikap berbeza dengan Datuk Ariff Mohd Yusof (kini Tan Sri). Azhar dengan sewenang-wenang menolak tuntutan perbahasan isu bencana banjir itu dengan alasan teknikal iaitu tidak ada permohonan usul difailkan kepadanya.

Begitu juga di peringkat kepimpinan Kerajaan. Berbanding dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Alam Sekitar PH segera turun ke zone bahaya pencemaran udara di Pasir Gudang yang lebih 300 kilometer jaraknya dari Putrajaya tetapi sekarang di zaman kerajaan BN & PN, pada hari-hari pertama banjir itu mengancam nyawa rakyat di Lembah Klang, tidak nampak Perdana Menteri, Menteri Tugas-Tugas Khas (yang bertanggungjawab terhadap NADMA) serta Menteri Alam Sekitar yang turun ke kawasan bencana banjir di Lembah Klang yang hanya beberapa kilometer sahaja dari Putrajaya.

Inilah antara perbezaan bagaimana pemimpin Kerajaan PH dan pemimpin Kerajaan BN & PN menangani bencana negara. Rakyat dapat melihat dengan mata sendiri.

NADMA begitu cekap dan tangkas serta amat bertanggungjawab di bawah YB Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa Kerajaan PH tiba-tiba NADMA menjadi agensi yang lembam, kaku dan lesu di bawah kepimpinan Menteri Kerajaan BN dan & PN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan