PKR Sarawak dapat sisa tapi dituduh 'tamak' kerusi - Anwar

Malaysiakini 

PRN SARAWAK | Presiden PKR Anwar Ibrahim mengeluh kerana partinya dilabelkan 'tamak' sedangkan ia cuma menerima sisa kerusi Sarawak yang sedang dibahagikan.

Katanya, PKR hanya diberikan kerusi tidak boleh dimenangi yang tidak diingini oleh orang lain.

“Kerusi yang lebih berdaya saing sedang dituntut oleh semua parti ini.

"Tetapi kerusi yang mereka tidak bertapak, tiada harapan untuk parti-parti ini (mereka katakan) 'Ok PKR lebih baik bertanding (di sana) jika tidak anda akan membenarkan GPS menang tanpa bertanding' dan kami terbeban dengan ini.

"Rakyat menganggap PKR tamak. (Tetapi) kita merebut kerusi yang kita boleh menang, (kerusi) kategori A, tetapi kita diberi kerusi kategori F," katanya kepada pemberita di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.

Pun begitu, tegasnya PKR perlu bertanding di beberapa kerusi yang lebih sukar ini kerana mereka mempunyai kehadiran yang lebih besar daripada parti lain.

Anwar yang juga pengerusi PH itu berkata demikian ketika menjelaskan mengapa PKR meletakkan lebih sedikit calon pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang.

PKR Sarawak diperuntukkan 47 kerusi untuk ditandingi semasa rundingan dengan DAP awal tahun ini.

Bagaimanapun, ia kemudiannya menuntut lebih banyak kerusi untuk bertanding - yang mana DAP enggan berganjak.

Selepas usaha untuk mendapatkan lebih banyak kerusi tidak membuahkan hasil, PKR sebaliknya memilih untuk bertanding sedikit kerusi saja.

Anwar berkata mereka mungkin bertanding antara 28 atau 29 kerusi sahaja kali ini, supaya jentera parti tidak terlalu kurang.

PKR sebelum ini memenangi tiga kerusi pada pilihan raya Sarawak 2016.

Bagaimanapun, semua wakil rakyat mereka berpaling tadah daripada parti tahun lepas berikutan langkah Sheraton, dengan dua Adun menyertai PSB, dan seorang lagi menyertai Bersatu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan