Mana fatwa untuk perembat balak dan hukum buat pelari duit rakyat?

ZOLKHARNAIN ABIDIN

Perembat balak tak buat perkara yang ada kena mengena dengan perkara yang boleh merosakkan aqidah. Begitu juga, semasa merembat balak, perembat tidak mendedahkan aurat.

Perbuatan rembat balak juga tak tersenarai sebagai kesalahan besar dalam agama biarpun sampai lingkup alam. Justeru, tidak ramai cerdik pandai agama mengulas mengenai kerosakan perbuatan rembat balak.

Tidak ramai agamawan yang tegur dan kritik perembat balak. Jika ditegur pun, secara sipi-sipi saja. Tidak ada dalil Quran, sunnah dan qaedah fiqh yang dibawa untuk menyokong kritikan terhadap perembat balak.

Berbeza dengan aktiviti cuci selut banjir. Gigih betul agamawan kita memberi peringatan kepada sukarelawan dan mangsa banjir. Di sana-sini dilakar garisan merah yang tak boleh dilangkau oleh sukarelawan dan mangsa.

Mangsa banjir tak boleh dedah aurat, tak boleh ambil hak orang lain, tak boleh bergaul bebas, tak boleh… tak boleh… tak boleh! Baguslah. Ingatan sebegitu memang betul dan perlu.

Sukarelawan pula tak boleh cuci rumah ibadat orang bukan Islam secara sembrono, tak boleh cuci berhala, tak boleh … tak boleh… tak boleh…! Baguslah. Peringatan ini juga betul dan penting.

“Sukarelawan dan mangsa banjir, ingat-ingatlah! Nak tolong orang boleh, tapi jaga hukum agama. Sukarelawan, nak bantu boleh, tapi jaga aqidah dan jaga aurat.” Demikian fatwa agamawan kita.

Macam biasa. Keberanian agamawan kita hanya terhadap rakyat marhaen. Hukum agama lebih senang dibaca, difatwa dan diaplikasi untuk orang awam. Garisan merah mudah dibuat untuk rakyat biasa.

Tapi, fatwa rembat balak, pemilikan saham oleh orang besar SPRM sehingga menimbulkan keraguan, tidak dibaca, ditulis dan dilafaz oleh agamawan kita. Apa sebabnya? Entah, saya pun tak tahu.

Ketika Nabi menampilkan contoh keberanian baginda menegur dan mengajak penguasa besar dunia kepada Islam, agamawan kita yang mengaku mewarisi kerja Nabi masih berkeliting di sekitar orang marhaen dan rakyat biasa.

Seribu satu hukum, fatwa dan peraturan dibuat oleh orang agama untuk orang biasa. Seolah-olah orang besar, orang utama, orang penting tak terikat dengan hukum agama, tak tertakluk kepada fatwa.

“Tidak! Agama mengikat semua orang. Ini mala fide!” Habis tu, kenapa fatwa dan hukum-hakam agama setiap hari hanya untuk orang biasa? Mana fatwa untuk perembat balak? Mana hukum untuk pelari duit rakyat?

Wahai kita semua rakyat biasa, peraturan, garisan merah dan fatwa agama hanya untuk kita. Untuk orang besar pula, garisan hijau, lapang dada dan maslahah.

‘Pemimpin Melayu Pahang rakus jadikan hutan, hasil bumi sebagai mesin ATM’

MALAYSIA DATELINE

Belum reda kesedihan mangsa ‘banjir balak’ di Pahang, isi perut hutan terus diangkut keluar.

Bekas Ketua Pengarang Berita TV3, Khaidir Ahmad berkata, pembalak sudah berpesta ketika rakyat masih berduka apabila berduyun-duyun lori balak keluar membawa hasil dari Hutan Simpan Lakum sejak tiga hari lalu.

Berkongsikan di Facebook, Khaidir berkata, beliau memperoleh maklumat tersebut daripada penduduk di DUN Lanchang.

“Sungguh sedih, ketika lumpur di rumah mangsa banjir yang tenggelam masih lagi belum kering dan kayu balak yang menerjah sebahagian rumah mereka belum dialihkan; pembalak, pelesen dan kroni-kroni balak politik dan kayangan sudah mula memenuhkan semula saku mereka dengan hasil pembalakan.

“Mereka tanpa sedikit pun rasa bersalah di atas musibah yang melanda rakyat disebabkan kerakusan mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Sehubungan itu, Khaidir menyifatkan sebahagian besar pemimpin Melayu khususnya di Pahang lahap mengaut hasil hutan demi menimbun kekayaan.

“Inilah Pahang negeriku yang diperintah oleh pemimpin-pemimpin Melayu rakus yang hanya tahu menjadikan hutan dan hasil bumi sebagai mesin ATM untuk kekayaan peribadi, parti dan kroni,” tempelaknya lagi.

Banjir balak’ Pahang: Siasatan diraja kenal pasti punca sebenar

MUHAMMAD RAFIQUE

Bencana banjir besar yang berlaku di Pahang baru-baru ini terutamanya di kawasan Karak dan Mentakab, adalah sesuatu yang mengejutkan.

Ia ibarat suatu tsunami yang rakus membadai dan mengingatkan rakyat kepada peristiwa banjir besar Kuala Krai 2014.

Banyak kemusnahan yang berlanjutan dari banjir tersebut jelas dapat dilihat daripada gambar dan video yang dikongsikan orang ramai di media sosial. Ini termasuklah sisa-sisa dan timbunan-timbunan kayu yang berselerakan di atas jalan raya dan juga jambatan terutama di Karak.

Sisa-sisa dan timbunan-timbunan kayu ini ini telah menimbulkan persoalan di benak sekalian rakyat jelata, sama ada banjir besar yang melanda ini adalah sebenarnya diakibatkan oleh aktiviti pembalakan dan penarahan hutan secara besar-besaran atau ia benar-benar suatu bencana alam.

Semalam, Jabatan Perhutanan Pahang telah mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa tiada pembalakan secara sah atau haram di Hutan Simpan Lentang, tanah kerajaan serta tanah milik berhampiran Jalan Bentong Karak dan Jambatan Sri Telemong di Bentong.

Jabatan Perhutanan Pahang memaklumkan bahawa semakan di kedua-dua tempat mendapati sisa kayu yang berselerak di atas jalan dan jambatan itu yang dikaitkan dengan pembalakan, ialah sisa sampah sarap daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul yang berlaku pada 18 Disember lalu. Ini menimbulkan persoalan: dari manakah punca sisa sampah sarap tersebut?

Di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong atau sesuatu Kerajaan Negeri itu mempunyai kuasa antara lainnya, untuk mengadakan suatu Siasatan Diraja demi kebajikan awam (‘be for the public welfare’).

Saya melihat bahawa wujudnya satu keperluan agar suatu Siasatan Diraja dapat ditubuhkan bagi menyiasat adakah benar dakwaan bahawa banjir besar tersebut akibat daripada aktiviti pembalakan dan penarahan hutan.

Siasatan ini adalah penting untuk mengenalpasti apakah punca sebenar banjir besar tersebut: bagaimana ia berlaku, adakah ianya disebabkan tangan-tangan manusia yang rakus atau adakah ianya benar-benar bencana alam semulajadi yang tidak dapat dielakkan.

Ini adalah demi menjaga keselamatan nyawa rakyat dan harta benda mereka agar perkara yang sama tidak berlaku lagi di masa hadapan.

*MUHAMMAD RAFIQUE merupakan Timbalan Ketua PEJUANG Wilayah Persekutuan juga Peguambela & Peguamcara.

Projek ladang hutan di Kelantan paling membimbangkan di Semenanjung Malaysia

MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN

Untuk makluman Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, masyarakat umum tidak mempersoal aktiviti pembalakan dilakukan secara sah atau tidak sah tetapi apa yang dipersoalkan adalah dasar dan ketetapan Kerajaan Negeri terhadap pengurusan dan pengusahasilan sumber hutan yang dilihat begitu rakus dan tidak mampan.

Masyarakat umum tidak menafikan hasil hutan adalah salah satu pendapatan kepada negeri tetapi masyarakat umum tidak boleh terima hampir 28 peratus keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri Kelantan dizonkan untuk tujuan pelaksanaan ladang hutan (ladang monokultur).

Itu tidak termasuk aktiviti perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan HSK.

Perlu dinyatakan, aktiviti pembalakan (pengusahasilan) untuk tujuan pelaksanaan ladang monokultur, perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan HSK tidak tertakluk kepada Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan pensijilan pengurusan hutan.

Kegiatan pengusahasilan untuk tujuan ladang monokultur, perlombongan dan pengkuarian serta pengubahan guna tanah lain dalam kawasan HSK boleh menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas serta akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.

Pelaksanaan ladang monokultur, perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan HSK memusnahkan litupan hutan asal (hutan asli) melalui kaedah pengusahasilan secara tebang habis.

Malah, pelaksanaan perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan HSK bercanggah dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) kali ke-70 pada tahun 2014 yang menyarankan semua Pihak Berkuasa Negeri digesa mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan kelulusan perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan HSK.

Berdasarkan pemerhatian dan kajian lapangan, didapati pelaksanaan ladang monokultur dalam kawasan HSK terutamanya dilakukan tanpa kawalan walaupun Pihak Berkuasa Negeri mengakui mempunyai ‘standard and operating procedure’ dan diluluskan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.

Dalam konteks di negeri Kelantan, pelaksanaan ladang monokultur dalam kawasan HSK adalah paling membimbangkan di Semenanjung Malaysia.

Pada tahun 2017, 169,133 hektar atau lebih 27 peratus daripada keluasan HSK di negeri Kelantan yang seluas 613,275 hektar pada dasarnya telah diluluskan untuk dibangunkan sebagai ladang monokultur terutama ladang hutan (spesies Getah klon balak [TLC]).

Malah, terdapat juga ladang spesies Durian ‘Musang King’ dalam kawasan HSK di negeri Kelantan.

Penanaman Durian ‘Musang King’ dalam kawasan HSK adalah bercanggah dengan kriteria penubuhan ladang hutan yang ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) kerana Durian ‘Musang King’ tidak disenaraikan sebagai spesies untuk tujuan penubuhan ladang hutan.

Bagi pihak saya telah melakukan pelbagai usaha agar pelaksanaan ladang monokultur dalam kawasan HSK di negeri Kelantan tidak diteruskan.

Antaranya ialah:

– mengemukakan surat kepada YAB Menteri Besar; dan

– menemui Timbalan Menteri Besar dan membawa bersama wakil masyarakat Orang Asli serta mengemukakan memorandum.

Tetapi dukacita, semua yang diusahakan masih tidak mendapat maklum balas daripada Pihak Berkuasa Negeri.

Sebaliknya sehingga kini, Pihak Berkuasa Negeri masih meneruskan pelaksanaan ladang monokultur berskala besar dalam kawasan HSK tanpa mengambil kira dan mematuhi kriteria-kriteria penubuhan ladang hutan.

Kesan kepada kehidupan masyarakat setempat terutama masyarakat Orang Asli seperti takungan air, penempatan, perkuburan dan kawasan mendapatkan hasil hutan masih terus diganggu dan dimusnahkan oleh syarikat-syarikat yang diberi lesen mengusahasil dan syarikat yang diberi kelulusan melaksana ladang monokultur dalam HSK di negeri Kelantan.

Satu perkara lagi, berdasarkan kenyataan YAB Menteri Besar bahawa Jabatan Perhutanan Negeri yang meluluskan kegiatan pembalakan (pengusahasilan) adalah mengelirukan.

Sebagaimana YAB sedia maklum, kelulusan pengusahasilan sumber hutan di Semenanjung Malaysia pada dasarnya adalah dibawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri melalui satu jawatankuasa kehutanan dan hasil bumi yang kebiasaannya dipengerusikan oleh Menteri Besar / Ketua Menteri sesuatu negeri.

Apabila kelulusan dasar telah diperolehi barulah peranan Jabatan Perhutanan Negeri pula mengeluarkan lesen pengusahasilan.

Kami, masyarakat umum berharap dan menggesa dengan tegas supaya Pihak Berkuasa Negeri dapat mempertimbang untuk menghenti dan tidak meluluskan lagi pelaksanaan ladang monokultur dalam kawasan HSK di negeri Kelantan.

*MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN merupakan Pegawai Lapangan, Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Curi duit RM25 juta, pegawai SPRM ditahan di penjara

Utusan 

PETALING JAYA: Seorang daripada tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengan kehilangan duit RM25 juta yang disita badan itu sedang ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor mengikut Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pegawai berusia 40 tahun itu menjalani hukuman dua tahun disebabkan terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Siasatan dilakukan mengikut Akta LLPK dan pegawai berke­naan sedang menjalani hukuman atas kesalahan berkaitan dadah,” kata beliau ringkas.

Sebelum ini, Utusan Malaysia mendedahkan, seorang daripada tiga kakitangan SPRM tersebut disiasat kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah selepas memperoleh kete­rangan beberapa orang saksi.

Siasatan lanjut kemudian dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman bagi mengenal pasti punca bekalan dadah berkenaan diperoleh.

Siasatan awal polis mendapati, pegawai SPRM terlibat disyaki berperanan sebagai tokan namun rangkaiannya tidak terlalu besar.

Sebelum pembongkaran itu, pegawai kanan SPRM gered 44 itu dan dua lagi kakitangan lain ditahan berhubung kehilangan duit barang kes bernilai RM25 juta milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Ujian air kencing mendapati pegawai terbabit turut positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo.

'Masya-Allah... memang tak boleh percaya PAS ni'

Malaysiakini

Shakira Buang

Seorang pemimpin Umno mendakwa perbincangan bagi menentukan hala tuju Muafakat Nasional (MN) di Kelantan asalnya digerakkan lebih awal oleh PAS.

Menurut Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, ia dipercayai dibuat kerana PAS berasa bimbang akan kehilangan kubu kuat mereka dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Malah, Nur Jazlan mendakwa kerjasama parti itu dalam MN selama ini pun hanyalah bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan PAS semata-mata, bukannya bersama Umno.

"Tindakan PAS mahu bincang dengan (Umno) Kelantan kerana mereka dah mula takut dan tindakan itu hanyalah untuk mempertahankan home ground (kubu kuat).

"Selama ini pun MN adalah untuk mengelak (PAS) bertembung dengan Umno dan mereka bimbang kalah di kubu kuat sendiri," katanya kepada Malaysiakini.

Nur Jazlan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai masa depan dan status MN khususnya di Kelantan. Selain di negeri Cik Siti Wan Kembang itu kedudukan kerjasama PAS-Umno juga dilihat tidak kukuh di Terengganu.

Sebelum ini PAS Kelantan mengesahkan mereka menerima surat jemputan daripada Umno negeri itu untuk membincangkan hala tuju kerjasama mereka terutama ketika PRU ke-15 semakin hampir.

Hanya untuk kukuhkan PAS

Hari ini PAS Kelantan dilaporkan berkata mereka akan bertemu dengan Umno pada 22 Jan depan.

Dakwa Nur Jazlan, Umno Kelantan tidak pernah menghantar surat untuk meminta pertemuan diadakan, sebaliknya langkah tersebut dimulakan oleh PAS.

"PAS yang minta Umno Kelantan berunding bukan Umno Kelantan.

"Kita tak nak, tapi dia orang yang mulakan benda ini dan memang PAS tak setuju (Umno tolak kerjasama).

"Sepatutnya PAS bincang di peringkat pusat tapi selepas kekalahan di Melaka dan Sarawak mereka juga risau kalau kalah di kubu kuat mereka seperti Kelantan," katanya.

Kata Nur Jazlan, perbincangan tersebut juga lebih kepada melihat kepentingan PAS, dan bukannya Umno.

"Perbincangan itu hanya bagi mengukuhkan kedudukan PAS untuk pilihan raya akan datang.

"Presiden (Umno) memang dah buat kenyataan bahawa PAS tak jujur. Jadi, di peringkat pusat pun saranan untuk kerjasama melalui MN ini pun dah tak wujud sebab PAS kata, kalau nak teruskan MN dia nak bersama Bersatu juga, dan Umno dah buat keputusan untuk tidak akan bersama Bersatu," katanya.

Tambah Nur Jazlan berdasarkan kenyataan yang dibuat pemimpin kedua-dua parti itu, bolehlah dianggap MN sebenarnya sudah gagal.

Tambah Nur Jazlan, tindakan PAS yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini juga jelas memperlihatkan bahawa parti itu memang tidak boleh dipercayai.

"Masya-Allah, memang tak boleh percaya," katanya berulang kali.

Awas, banjir malam tahun baharu dijangka melanda Pantai Timur

FAZLI RADZI

Malam tahun baharu 2022 dijangka menyaksikan banjir serentak di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Ramalan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati bah akan berlaku bermula Jumaat dan Sabtu ini (31 Disember dan 1 Januari 2022) susulan amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Sehubungan itu, JPS menasihatkan semua penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir supaya berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

Dalam kenyataannya, JPS berkata, banjir dijangka berlaku di Kelantan bermula jam 8 malam 31 Disember ini di Lembangan Sungai Kelantan, membabitkan daerah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah dan Machang.

“Selain itu, banjir turut dijangka berlaku di Lembangan Sungai Golok membabitkan daerah Tanah Merah (Jenob) dan Pasir Mas (Rantau Panjang) serta kawasan sekitar berisiko banjir.

“Pada masa sama, banjir dijangka berlaku di Terengganu membabitkan Lembangan Sungai Besut di daerah Besut dan Lembangan Sungai Terengganu membabitkan Terengganu dan kawasan sekitar berisiko banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, MET Malaysia mengeluarkan amaran tahap waspada (kuning) iaitu hujan berterusan di hampir keseluruhan daerah di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Pada 1.30 tengah hari tadi, MET juga memaklumkan tahap waspada mulai esok hingga 1 Januari 2022 di seluruh Terengganu dan Johor manakala di Pahang melibatkan daerah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Di Sabah pula, hujan berterusan juga dijangka berlaku di Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat sehingga 2 Januari.

Menurut MET, amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.

‘Long Tiger’ ditahan bersama ‘pondan’

FMT Reporters

Lelaki etnik Rohingya, Abdul Hamim Ab Hamid, 32, atau dikenali sebagai ‘Long Tiger’ diberkas bersama seorang pondan di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah, hari ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai “Long Tiger” yang dilaporkan melarikan diri dari lokap Mahkamah Tangkak, di Johor, diberkas bersama seorang pondan di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah, hari ini.

Semasa tangkapan pada jam 3.15 petang oleh polis Bukit Aman itu, Long Tiger mengalami beberapa kecederaan selepas tergelincir dari bumbung rumah.

Pemeriksaan di rumah itu, polis menahan seorang pondan berusia 46 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Abd Jalil Hassan, mengesahkan lelaki berketurunan Rohingya itu, berjaya ditahan.

Jalil berkata, tangkapan dilakukan dalam satu operasi khas yang dilaksanakan bagi memburunya.

“Ya, dia ditahan di Sungai Petani. Ketua Polis Johor akan keluarkan kenyataan mengenai perkara itu,” katanya menurut laporan Utusan.

Terdahulu Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, bertindak meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan terhadapnya di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan bermula.

Baru-baru ini, polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki rakan subahat kepada Long Tiger.

Pasangan warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun itu ditahan di Balai Polis Bukit Gambir, kira-kira 12.30 tengah malam.

Malah, dua daripada empat anggota polis yang ditahan sebelum ini terlibat secara langsung dengan aspek kecuaian sehingga Long Tiger meloloskan diri kini ditahan kerja sehingga habis proses rayuan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Sementara itu, Long Tiger juga masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan kini disiasat mengikut Seksyen 224 kanun sama kerana lari daripada tahanan.

Aktivis dedah ratusan hektar hutan simpan kekal di Kelantan musnah

ARIF ATAN

Seorang aktivis berkongsikan puluhan gambar dan rakaman video hasil tinjauannya di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Durian di Kuala Krai, Kelantan yang musnah ditarah.

Beliau yang di Facebook menggunakan nama gelaran, Pauh Putit mendakwa kawasan HSK itu rakus diteroka untuk tujuan projek ladang hutan.

“Lihat sendiri kerakusan manusia buat ladang (hutan). Bukit sudah tidak ada balak. Licin habis dah. Tarah belaka dah. Habis,” kata seorang individu dalam salah satu rakaman video.

Saujana mata memandang ratusan hektar dengan sejumlah kompartment HSK Sungai Durian musnah.

Turut kelihatan beberapa papan tanda tempat pengumpulan balak atau dipanggil matau.

Antaranya, matau seluas 139 hektar dengan tertera nama kontraktor, Cheong Kok Tong bersama tempoh kuatkuasa lesen.

Selain itu, satu lagi papan tanda memaklumkan kerja-kerja membalak melibatkan kompartment 26, 34, 35 dan 48 seluas 404 hektar atas nama syarikat Innovation Asset Management Sdn Bhd.

Satu rakaman video oleh Pauh Putit juga memperlihatkan papan tanda ringkas terpampang ungkapan “Blok 10 – 100 hektar”.

Rakaman situasi semasa kemusnahan hutan simpan yang bersempadan dengan Terengganu itu turut memaparkan rumah kongsi dan kawasan yang difahamkan telah dijadikan ladang getah.


Pemuda AMANAH desak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki bercuti

FAZLI RADZI

Pemuda AMANAH Nasional mendesak agar Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki bercuti bagi memberikan laluan kepada penyiasatan mengenai aduan terhadapnya.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda berkata, ahli ekonomi Edmund Terence Gomez telah bertindak meletakkan jawatan sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas panel itu gagal bertindak terhadap dakwaan pemilikan kira-kira dua juta unit saham oleh Azam Baki di sebuah syarikat senarai awam.

Menurut Hasbie, aduan tersebut melibatkan perbuatan rasuah oleh seorang pemimpin utama pasukan penguatkuasaan dan pencegahan rasuah dalam negara.

“… Azam tidak harus berdiam diri dan perlu memberi tindak balas serta bertanggungjawab untuk mengemukakan bukti sekiranya dakwaan dan tuduhan itu palsu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Pemuda AMANAH tegasnya menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya bebas untuk menyiasat aduan salah laku SPRM bagi mengembalikan kepercayaan rakyat dan pelabur asing yang telah menjauhkan diri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam masa sama, katanya, individu yang mendapat kepercayaan Ahli Jawatankuasa Memerangi Rasuah harus diamanahkan untuk mengemudi SPRM sehingga siasatan selesai.

32 aktivis politik dilarang mengajar di masjid, surau Selangor

FMT Reporters

SHAH ALAM: Tauliah mengajar agama Islam yang diberikan kepada 32 aktivis politik di Selangor ditarik balik berkuat kuasa 31 Dis ini.

Perkara itu diputuskan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar Islam tidak dipolitikkan dan menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak, terutama di masjid dan surau.

Pengerusi MAIS, Abdul Aziz Yusof, berkata Sultan Sharafuddin tidak perkenan tauliah mengajar itu diberikan kepada mana-mana aktivis politik bagi menjaga kesucian agama Islam di Selangor.

Katanya, baginda bimbang ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan parti politik yang akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam.

“Selaras dengan titah itu, Jawatankuasa Tauliah MAIS akan menyemak semula semua tauliah yang dikeluarkan kepada pemegang tauliah berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Aziz bagaimanapun berkata, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan ajaran agama Islam.

“Namun, dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan. Pengecualian itu selaras titah Sultan Selangor.”

Katanya, mengajar agama Islam tanpa tauliah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

“Mereka yang bertindak mengingkari atau mempertikaikan titah Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam merupakan kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya.

SPRM: Suruhanjaya pencegahan rasuah ke pengamal rasuah?

Terence Gomez letak jawatan panel SPRM, bantah isu pegangan saham

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pakar ekonomi, Edmund Terence Gomez, meletakkan jawatan sebagai ahli panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mendakwa panel itu gagal membincangkan suatu laporan yang mengaitkan pegawai SPRM.

Gomez berkata beliau sudah tiga kali menulis kepada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM menggesa ia membincangkan perkara itu.

Surat berkenaan dialamatkan kepada pengerusi panel itu, Borhan Dollah.

Gomez ketika dihubungi berkata beliau sudah menghantar surat letak jawatan awal hari ini.

Katanya, timbul persoalan berhubung situasi “hubungan antara perniagaan dan pihak penguatkuasa” dan “konflik kepentingan” membabitkan pegawai tinggi SPRM dan dakwaan beliau memiliki saham.

Gomez berkata bekas pegawai SPRM juga didakwa terbabit dalam konflik kepentingan, sekaligus mencadangkan ada suatu trend di SPRM yang perlu disiasat segera.

Siapa yang perlu diberi keutamaan, konvoi VIP atau ambulans? soal MP

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh tetap mempertikai keputusan memberhentikan ambulans di simpang jalan untuk memberikan laluan kepada rombongan perdana menteri yang ketika itu dalam lawatan ke lokasi banjir di Hulu Langat.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) itu juga tertanya sama ada perdana menteri mempunyai urusan yang lagi mendesak berbanding ambulans dari kawasan terjejas kerana banjir.

“Siapa sebenarnya yang mempunyai ‘urgent duty’. Perdana menteri bersama konvoinya yang sudah pun mempunyai laluan yang tidak diganggu, atau ambulans kecil yang berada di kawasan banjir teruk?

“Pihak polis mempunyai kawalan ke atas laluan konvoi dari saat rombongan meninggalkan tempat permulaan mereka sehinggalah sampai ke destinasi. Tetapi ambulans tiada kemudahan itu melainkan dengan membunyikan siren.

“Siapa yang memerlukan lebih banyak bantuan trafik, VVIP atau ambulans kecil?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular satu video menyaksikan sebuah ambulans diberhentikan di simpang jalan untuk memberi laluan kepada konvoi perdana menteri yang ketika itu dalam perjalanan melawat proses pembersihan di kawasan dilanda banjir.

Justeru, PDRM dalam kenyataan medianya hari ini tampil menjelaskan bahawa tindakan memberhentikan ambulans di simpang jalan adalah bagi mengelakkan risiko kemalangan

Katanya, hal itu dilakukan memandangkan jarak pendahulu konvoi (lead vehicle) yang telah tiba hampir ke persimpangan berkenaan.

Tindakan mengatasi trafik tersebut juga telah diambil oleh anggota trafik berkenaan, selaras dengan peruntukan di bawah Kaedah Lalu Lintas No. 9 LN 166/1959 dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tuan Ibrahim positif Covid-19 berserta 4 anak, seorang cucu

MALAYSIA DATELINE

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan beliau, empat anak serta seorang cucu disahkan positif Covid-19.

Timbalan Presiden Pas itu juga memberitau beliau kini sedang menjalani kuarantin di rumah sejak beberapa hari yang lalu.

“Mohon doa semua. Saya, empat orang anak dan seorang cucu telah disahkan positif COVID-19. Kami telah menjalani kuarantin beberapa hari lalu.

Tekanan darah akan normal dalam 20 menit dan selamanya!

“Seorang cucu selamat dilahirkan semalam dan disahkan negatif tetapi ibunya masih ditahan di Hospital Sungai Buloh,” ujarnya.

Belau turut berkongsi sekeping gambar tangannya serta anak cucu yang dipakaikan gelang merah jambu di facebooknya hari ini.

Perbezaan kerajaan PH dengan BN PN tangani banjir

HASSAN ABDUL KARIM

1. Bencana Pencemaran Udara di Pasir Gudang 13 Mac 2019

Pada 13 Mac 2019 Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memfailkan Usul di Dewan Rakyat supaya diadakan perbahasan di Parlimen tentang bencana Pencemaran udara di Pasir Gudang yang mengancam nyawa rakyat dan menuntut Kerajaan mengisytiharkan Darurat di Pasir Gudang.

Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Datuk Arif Mohd Yusof membenarkan usul itu dibentangkan di Dewan Rakyat dan dibahaskan pada jam 4.00 petang 14hb Mac 2019. Dua orang ahli parlimen Kerajaan dan dua orang ahli parlimen pembangkang membahaskan usul tersebut.

Kemudian Timbalan Menteri Undang-Undang dan parlimen, YB Hanipah Maidin (Sepang) menjawab bagi pihak Kerajaan. Walaupun tuntutan supaya Darurat bencana diisytiharkan di Pasir Gudang ditolak oleh Kerajaan tetapi kerajaan berjanji untuk melakukan segala usaha bagi membantu rakyat di Pasir Gudang seolah-olah Darurat diisytiharkan. Demikianlah jaminan Timbalan Menteri YB Hanipah Maidin.

Pada petang hari yang sama (14 Mac 2019) ketika Usul Memohon Perisytiharaan Darurat diisytiharkan di Pasir Gudang dibahaskan dalam Parlimen, Timbalan Perdana Menteri YB Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bertanggungjawab terhadap NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) telah bergegas turun ke Pasir Gudang.

Beberapa jam kemudian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga datang ke Pasir Gudang.

Dalam masa yang sama Menteri Alam Sekitar, YB Yeo Bee Yin (Bakri) turun ke Pasir Gudang.

Serentak dengan kehadiran pemimpin-pemimpin tertinggi Kerajaan ke Pasir Gudang, NADMA juga menggerakkan segala unit canggih menghadapi bencana pencemaran udara (seperti unit HAZMAT) dengan pantas dan tangkas bertindak melindungi rakyat di Pasir Gudang.

Nyawa rakyat dapat diselamatkan.

Bergerak ke hadapan.

Pada 5 November 2019 ketika membahaskan Peruntukan Belanjawan tahun 2020 di Parlimen bagi peruntukan Jabatan Perdana Menteri diperingkat Jawatankuasa, ahli parlimen pasir Gudang telah menyentuh isu kawasannya berhubung peranan NADMA.

Beliau menyampaikan bahasannya seperti berikut:

“Tuan Pengerusi, Isu kawasan saya Butiran 09910, Maksud Pembangunan 6 Jabatan Perdana Menteri berkaitan NADMA. Pertama, saya ingin merekodkan dan merakamkan rasa terima kasih dan tahniah atas kecekapan NADMA dalam kes menyelamatkan rakyat terhadap bencana pencemaran udara di Pasir Gudang. Saya sangat berpuas hati dan penduduk Pasir Gudang sangat teruja dengan usaha pihak NADMA dan pasukan-pasukan yang lain”.

Menteri Alam Sekitar (Yeo Bee Yin) pula selangkah ke hadapan bersikap mesra rakyat. Satu majlis terbuka Town Hall perbincangan dengan rakyat tentang bencana pencemaran udara Pasir Gudang diadakan di Bangunan Majlis Bandaraya Pasir Gudang. Menteri Kerajaan PH berani berdepan dengan rakyat.

2. Bencana Banjir Besar di Lembah Klang 18 Disember 2021

Apabila berlaku bencana banjir besar di Lembah Klang, maka pada Isnin 20hb. Disember 2021, Ketua Pembangkang YB Anwar Ibrahim dan YB Lim Guan Eng serta lain-lain ahli parlimen pembangkang dan ahli parlimen Kerajaan menuntut kepada Speaker Dewan Rakyat supaya dibahaskan di parlimen tentang bencana banjir besar yang mengancam nyawa dan harta rakyat.

Tetapi Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun, bersikap berbeza dengan Datuk Ariff Mohd Yusof (kini Tan Sri). Azhar dengan sewenang-wenang menolak tuntutan perbahasan isu bencana banjir itu dengan alasan teknikal iaitu tidak ada permohonan usul difailkan kepadanya.

Begitu juga di peringkat kepimpinan Kerajaan. Berbanding dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Alam Sekitar PH segera turun ke zone bahaya pencemaran udara di Pasir Gudang yang lebih 300 kilometer jaraknya dari Putrajaya tetapi sekarang di zaman kerajaan BN & PN, pada hari-hari pertama banjir itu mengancam nyawa rakyat di Lembah Klang, tidak nampak Perdana Menteri, Menteri Tugas-Tugas Khas (yang bertanggungjawab terhadap NADMA) serta Menteri Alam Sekitar yang turun ke kawasan bencana banjir di Lembah Klang yang hanya beberapa kilometer sahaja dari Putrajaya.

Inilah antara perbezaan bagaimana pemimpin Kerajaan PH dan pemimpin Kerajaan BN & PN menangani bencana negara. Rakyat dapat melihat dengan mata sendiri.

NADMA begitu cekap dan tangkas serta amat bertanggungjawab di bawah YB Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa Kerajaan PH tiba-tiba NADMA menjadi agensi yang lembam, kaku dan lesu di bawah kepimpinan Menteri Kerajaan BN dan & PN.

Adun Perak tawar RM1,000 untuk kesan 4 ahli parlimen 'hilang'

Malaysiakini 

story-image

Seorang pemimpin PKR menawarkan ganjaran RM1,000 kepada sesiapa yang dapat mengesan keberadaan tiga anggota kabinet dan seorang timbalan menteri yang didakwanya "masih hilang" ketika orang ramai masih bergelut untuk pulih daripada bencana banjir di seluruh negara.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PKR Perak Muhammad Arafat Varisai Mahamad berkata empat menteri yang 'hilang' itu ialah Hishammuddin Hussein (Menteri Pertahanan), Ahmad Faizal Azumu (Menteri Belia dan Sukan), Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar dan Air), dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin.

"Saya terpanggil membuat tawaran ini kerana muka keempat-empat mereka langsung tidak dilihat dalam misi membantu mangsa banjir yang melanda negara kita yang setakat ini berpuluh-puluh nyawa.

"Tindakan saya ini terpaksa diambil kerana sampai sekarang tiada maklumat jelas daripada mana-mana pihak, di manakah mereka?

"Adakah mereka hadir majlis rasmi di luar negara dan kenapa langsung tiada terlibat dalam misi bantuan banjir?" katanya.

Terdahulu, Kartunis Zulkiflee SM Anwar Haque atau pun dikenali sebagai Zunar juga membuat ciapan bahawa empat menteri tersebut sebagai 'hilang'.

Arafat yang juga Adun Hulu Kinta berkata tawaran ganjaran itu akan berterusan sehinggalah mereka berjaya dikesan.

"Sesiapa yang dapat mengesan keempat-empat ahli parlimen ini boleh memberi maklumat melalui messenger Facebook YB Arafat - Pusat Khidmat Rakyat ADUN Hulu Kinta berserta nombor akaun," katanya.

Selepas 7 hari, baru PM gerakkan semua jentera bantu banjir

MALAYSIA DATELINE

Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri membuat arahan kepada Nadma, PDRM, Bomba dan ATM membuat laporan harian selepas tujuh hari banjir berlaku dikecam netizen.


Keratan video oleh Baba Ayam.

“Tujuh hari, air dah surut, orang dah mati, sebahagian rumah sudah dibersihkan.

“Selepas tujuh hari baru perdana menteri nak buat sidang media untuk kerahkan tentera, bomba dan polis, lepas tujuh hari.

“Lepas semua NGO dekat Malaysia ini sudah bertindak.

“Saya punya CEO sendiri bergerak ke Pahang, sudah tidak datang ofis tiga hari sebab nak tolong orang.

“Dan selepas tujuh hari, perdana menteri kita baru nak kerah jenteranya…. apa berlaku,” tanya Baba Ayam dalam satu video yang kini tersebar luar.

Baba Ayam merujuk kepada pengumuman perdana menteri melalui twitter pada 23 Disember untuk gerakkan Nadma, Polis,Bomba dan Askar untuk membantu mangsa banjir dan memberikan laporan harian.

Ekoran twitter itu, orang ramai berkicau marah kepada pengumuman Ismail Sabri itu kerana banjir telah melandar negara sejak 17 Disember lalu lagi.


“Hari ke 7 baru nak arahkan?! L.E.M.B.A.B #KerajaanGagalLagi,” tulis KZ melalui twitter beliau bagi menjawab arahan Ismail itu.

MuhdKaz pula mengulas, “Orang dah ramai hilang nyawa, barulah nak suruh itu ini. Mlm banjir tu pergi mana?Orang dah teriak dah masa malam pertama.”

Sehingga kini, sudah 41 nyawa disahkan hilang berikutan banjir yang melanda Selangor, Pahang, Kuala Lumpur, Perak dan lain-lain negeri sejak seminggu lalu.

“Sidang media tu nak umum semua KP tu nak letak jawatan sebab gagal kewww?? Yeayy,” tulis Makcik Hwaz Wa.

Tentera wanita diberkas, ‘berkahwin’ semasa bertugas

RAKAMAN video tersebar mengenai tentera wanita menerima lamaran perkahwinan ketika sedang bertugas di Nigeria.-MEDIA SOSIAL

WARTAWAN LUAR NEGARA

NIGERIA: Seorang tentera wanita di Nigeria ditangkap selepas didapati menerima lamaran perkahwinan semasa sedang bertugas.

Tangkapan itu dibuat selepas video mengenai dirinya dan bakal suaimnya melutut menjadi tular dalam media sosial. 

Rakaman itu juga menunjukkan tentera Nigeria lain menjadi saksi pernikahan itu dengan disambut sorakan kegembiraan.

Gen Clement Nwachukwu berkata, tindakan itu adalah prejudis yang tidak mengikuti arahan dan disiplin ketenteraan.

“Tugas sebagai jurulatih adalah melatih tentera baharu dan bukannya menjalinkan hubungan dengan mereka,” tegasnya.

Tentera wanita itu dikenal pasti sebagai Sofiyat Akinlabi dan penahanannya menimbulkan kemarahan dari aktivis hak asasi manusia.

Tindakan itu dilabelkan sebagai keputusan yang prejudis kerana lelaki boleh terlibat dalam tingkah laku tersebut tanpa mengalami sebarang tindakan.

Ribuan orang awam memberikan sokongan kepada tentera itu dengan menandatangani petisyen dalam talian bagi menuntut pembebasan Akinlabi.

Petisyen menggesa Ketua Angkatan Tentera, Farouk Yahaya menggunakan kuasa beliau membebaskan Akinblabi dan keputusan melangsungkan perkahwinan perlu dihormati kerana kedua-dua mereka mempunyai hak kebebasan seperti termaktub dalam Perlembagaan.-BBC

Ini panduan untuk menteri yang mahu buat umrah

MALAYSIA DATELINE

Tidak dinafikan ramai dalam kalangan rakyat negara ini memilih hujung tahun untuk bercuti atau menunaikan umrah.

Tidak kurang juga mereka dalam kalangan menteri ramai yang mengambil kesempatan membuat umrah pada hujung tahun mungkin cuti mereka masih banyak atau faktor cuaca di Mekah dikatakan dingin pada hujung tahun begitu juga di tempat-tempat lain.

Bagaimanapun, berlainan pula di Malaysia sebaik bertemu hujung tahun rakyatnya akan menghadapi musim hujan atau tengkujuh yang boleh berlakunya banjir.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengeluarkan arahan agar mana-mana menteri yang berada di luar negara segera pulang ke tanah air untuk bersama membantu Keluarga Malaysia yang dalam kesusahan.

Bahkan beliau mengarahkan semua menteri membatalkan rancangan bercuti di luar negara bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri.

Dilaporkan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berada di Mekah kerana menunaikan umrah ketika rakyat sedang menerima musibah banjir yang teruk.

Melihat situasi ini Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin menyarankan mana-mana menteri perlu mengikuti beberapa langkah ini  sebelum mengerjakan umrah.

Iaitu;

Tengok ramalan cuaca. Kalau musim banjir, tangguhlah dulu.

Semak tugas rasmi. Kalau ada yang mustahak, selesaikan tugas dulu.

Jenguk rakyat di kawasan. Kalau ada yang tak makan, duit bagi pada mereka dulu.

Pergi dua atau tiga hari cukup. Balik segera. Umrah banyak kali bukan wajib.

Betul-betul pergi buat umrah dan ibadat, tidak usah ambil peluang makan angin.

Baliklah segera jika ada musibah. Jangan tunggu sampai PM panggil balik.

“Kami bukan tak bagi menteri buat umrah, cuma sesuaikan dengan masa dan situasi saja,” saran beliau.

Kali ini musim hujan agak luar biasa, 18 Disember lalu menyebabkan banjir teruk berlaku di kawasan yang langsung tidak pernah banjir sehingga mengorbankan berpuluh-puluh nyawa.

Negara seolah-olah huru-hara sebentar apabila berpuluh-puluh ribu mangsa banjir di seluruh negara seperti di Shah Alam, Hulu Langat, Mentakab Pahang dan beberapa kawasan lagi terjejas teruk akibat banjir.

Khalid Samad antara yang banyak terima sumbangan untuk bantu mangsa banjir

MALAYSIA DATELINE

Rakyat Malaysia dan juga penghuni muka bumi ini yang lain memang pemurah tetapi mereka hanya akan memberikan sumbangan kepada orang yang mereka percaya sahaja.

Itulah yang berlaku ketika banjir melanda negara ini.

Ketika Apple, syarikat komunikasi dan komputer terbesar dunia mahu menyumbangkan bantuan untuk Malaysia, rakyat negara ini memberikan amaran, jangan berikannya melalui kerajaan Malaysia.

Antara pihak yang dipercayai oleh rakyat negara ini untuk diberikan sumbangan adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Mungkin kerana beliau adalah pihak yang terlibat secara langsung dengan banjir di Shah Alam, kawasan yang beliau wakili.

Selepas menerima dua kontena lampin pakai buang dari Drypers Malaysia, semalam Khalid menerima sumbangan toto untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Beliau juga menerima sumbangan 500 helai sejadah dan 500 tikar plastik daripada Jakel untuk disumbangkan kepada mangsa banjir.

“Terima kasih kepada semua penyumbang yang budiman. Hanya Allah S.W.T dapat membalas jasa kalian,” kata Khalid menerusi facebook beliau.

Khalid menyerahkan 4 water jet untuk digunakan sukarelawan bagi membersih rumah di Kampung Jawa.

Mungkin juga sumbangan ini diberikan kepada Khalid kerana terbukti beliau memang berusaha bersungguh-sunguh membantu mangsa banjir termasuk membeli peralatan pembersihan lumpur akibat banjir.

Khalid menyerahkan peralatan berupa water jet, kereta sorong, penyapu dan sebagainya untuk digunakan oleh para sukarelawan membantu membersihkan rumah di Kampung Jawa, Shah Alam.

“Terima kasih kepada sukarelawan yang datang membantu penduduk bergotong-royong. Allahumma Yassir Wala Tu’assir,” kata Khalid menerusi facebook beliau ketika menyerahkan peralatan itu.

Menteri mana sedang bercuti ketika rakyat derita bah besar?

FAZLI RADZI

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil melontarkan pertanyaan kepada Perdana Menteri susulan arahan supaya Menteri Kabinet yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti membatalkan percutian masing-masing.

“YAB PM boleh tolong nyatakan menteri mana yang sedang bercuti di luar negara waktu rakyat tengah derita sengsara?” soal wakil rakyat PKR itu di Twitter beliau.

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berkata menteri yang kini berada di luar negara juga diarah membuat penerbangan balik ke tanah air dengan segera.

Arahan Ismail itu walau bagaimanapun dikeluarkan selepas seminggu bah besar yang mengakibatkan puluhan ribu rakyat hilang harta benda malah rumah dihanyutkan serta puluhan nyawa terkorban.

Rakyat bantu rakyat, Azmin dihalau balik

FAZLI RADZI

Tular sedutan rakaman video di TikTok reaksi spontan beberapa individu ketika rombongan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melintas di hadapan mereka.

Azmin yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) difahamkan tiba di Padang Jawa, Selangor diiringi 10 kereta dan motosikal.

“Hidup rakyat. Rakyat bantu rakyat,” kedengaran suara seorang lelaki berkata demikian ketika kereta yang membawa Azmin lalu.

Serentak itu, individu lain pula beberapa kali menyebut, “Balik, balik balik” terhadap Ahli Parlimen Gombak berkenaan.

Dalam masa sama, gambar Azmin melakukan kerja-kerja pembersihan juga dilihat menarik perhatian orang ramai.

Reaksi warganet yang menyindir Azmin muncul apabila kelihatan beberapa individu sibuk memegang kamera untuk merakamkan detik-detik Azmin memegang penyapu membersihkan lumpur.

Turut kelihatan bekas pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard.

Kekasih paksa minum kencing

 


YUWADEE Akkhathai

YUWADEE Akkhathai

Bangkok: Seorang wanita di Thailand ditahan atas kesalahan membenarkan kekasih memaksa anak lelakinya berusia lapan tahun minum air kencing sendiri.

Lelaki itu juga merotan mangsa.

Akibat tindakan tidak berperikemanusiaan itu, budak itu maut.

Polis Divisyen Penindasan Jenayah menahan Yuwadee Akkhathai, 31, di daerah Lat Yao di Bangkok pada Selasa lalu.

Dia ditahan selepas waran dikeluarkan Mahkamah Wilayah Saraburi pada 17 Disember lalu atas kesalahan membunuh, menurut Penguasa Polis Pathak Khwanna.

Anak bongsunya itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Daerah Saraburi pada 20 Oktober selepas dimasukkan ke hospital kerana mengalami pelbagai kecederaan akibat serangan fizikal.

Penyiasat memaklumkan, mangsa sering dibelasah Wirat Sae Heng iaitu kekasih wanita itu yang tinggal bersama-sama mereka di daerah Nong Khae, sejak dua bulan lalu

Wirat bekerja sebagai mekanik itu didakwa mengikat mangsa pada satu tiang di rumah berkenaan.

Mangsa dibiarkan bersendirian dan lelaki itu kemudiannya tidur.

Mangsa juga dipaksa meminum air kencing sendiri oleh lelaki terbabit.

Suspek berjaya ditahan polis di Prachuap Khiri Khan's Kui Buri pada 20 Oktober lalu.

Polis juga memohon kepada mahkamah untuk menahan ibu mangsa kerana gagal melindungi anaknya selain bersubahat dengan teman lelakinya.

Yuwadee menafikan semua dakwaan terhadapnya dan mendakwa suspek akan bertindak lebih kejam jika dia cuba melindungi anaknya.

Dia juga mendakwa cuba untuk menghalang perbuatan itu, namun tidak berjaya.

Pegawai polis kemudian membawa wanita itu ke Balai Polis Nong Khae untuk tindakan lanjut.

-Hmetro 

Rakyat jaga rakyat: Kerajaan kayangan susah turun ke bumi

RAJA BAHRIN SHAH

Nafsu memuncak pemimpin kerajaan untuk mengekalkan kuasa dan pangkat serta kedudukan sesama sendiri mengakibatkan nasib rakyat menjadi korban banjir teruk di beberapa negeri.

Kerakusan kerajaan pimpinan Ismail Sabri untuk mengekalkan dan memusatkan kuasa politik menyebabkan nyawa rakyat terancam. Amalan ini berterusan sejak ketika permulaan wabak Covid-19 sehingga bencana banjir.

Semakin ramai menteri, yang kini berjumlah lebih tujuh puluh orang, dan penasihat Perdana Menteri yang dilantik, semakin bercelaru dan tiada arah tuju kerajaan hari ini.

Ramai pemangku jawatan penting di lantik tanpa mengetahui apakah tugas mereka walaupun puluhan ribu gaji sebulan di bayar. Itu pun Perdana Menteri memberi markah ajaib 90 peratus atas “prestasi” mereka.

Pelantikan tersebut adalah semata mata sebagai ganjaran mengumpul kuasa serta wang orang politik tamak dan bukan untuk menjaga kebajikan rakyat yang makin susah.

Di tengah tengah berlaku banjir dahsyat di Selangor, Kuala Lumpur dan negeri negeri melibatkan ratusan ribu rakyat, Umno dan Bersatu meneruskan majlis besar mesyuarat utama mereka di Lembah Kelang. Parti Bangsa Malaysia yang baru ditubuh pula meneruskan majlis besar besaran penerimaan ahli baru pada hari yang sama.

Hanya Parti AMANAH telah membatalkan Konvensyen mereka dan mengarahkan ahli jawatankuasa dan ahli keluar membantu rakyat walaupun belanja besar mesyuarat telah dibuat.

Kegagalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Abdul Latif Ahmad yang menerajui NADMA tidak bertindak seperti sepatutnya ke atas banjir teruk telah mendapat kecaman hebat dari rakyat.

Cubaan rakannya Wan Saiful dari Bersatu membela beliau telah mengundang tuduhan ‘bodoh’ dari Tan Sri Nazri Aziz dari Umno mendedahkan pertelingkahan dahsyat secara terbuka di antara parti-parti kerajaan sendiri.

Inilah kecelaruan menyedihkan anggota parti-parti kerajaan yang sibuk berebut jawatan dan kuasa serta gaji tinggi tanpa memikul atau memahami tanggungjawab sepatutnya.

Tidak wajar Malaysia mempunyai lebih dari 70 orang berstatus menteri dan timbalan menteri dan ramai penasihat berstatus menteri tetapi masih teraba-raba tidak mengetahui tugas atau rasa tanggungjawab terhadap rakyat yang menderita.

Kalau tidak kerana tindakan terpuji dan berani pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan tugas tanpa menerima perintah dari kerajaan, bayangkan betapa lebih teruk lagi korban banjir ini.

Situasi pihak tentera berani “melanggar birokrasi” demi nyawa rakyat membayangkan betapa tidak upaya dan lemah serta lembabnya kerajaan Malaysia pimpinan Umno, Pas dan Bersatu ini. Tahniah kepada wira negara dari ATM.

Pada awal lagi apabila Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan berkaitan Mesyuarat Alam Sekitar Antarabangsa, yang Malaysia tidak terkesan sangat dari kesan Global Warming, masalah besar sudah patut dapat kita jangka.

Selepas itu ucapan beliau dalam bahasa Malaysia di acara Alam Sekitar peringkat dunia yang tidak mempunyai terjemahan untuk media antarabangsa, sekali lagi menunjukkan sikap tidak serius dan amat lemah Malaysia. Tidak ada sikap profesional dan malahan sikap tidak bertanggungjawab ditunjukkan.

Bandingkan yang berebut jawatan bergaji lumayan serta gila kuasa dengan sikap rasa prihatin anggota angkatan tentera yang bergaji rendah dan berkorban bertugas dihutan belantara yang mengambil inisiatif membantu rakyat sebelum diperintah oleh mereka yang berkuasa yang sibuk mengadakan mesyuarat tahunan parti politik masing masing di bangunan mewah sementara rakyat lemas dan menderita.

Apa jenis kerajaan kayangan yang kita miliki hari ini yang begitu buta hati dan membelakangkan nyawa rakyat di tengah-tengah kemewahan yang mereka membolot hadiahkan pada diri sendiri tampa rasa bersalah di tengah malapetaka menimpa rakyat.

Mana perginya Menteri Alam Sekitar dan Air yang menghilang diri di tengah-tengah kemusnahan dan penderitaan rakyat?

Mana suara para agamawan kerajaan Melayu Islam yang pandai menghukum atas musibah atas orang lain tetapi menjadi ulama bisu dalam situasi di hadapi kerajaan sendiri yang mengaku serba sempurna dan suci?

Sama ada berhadapan skandal wang besar atau malapetaka melibat nyawa rakyat, para agamawan diam membisu, terus tidak berperanan menjadi pasif menjaga kepentingan perut dan diri serta politik dan bukan menjalankan tanggungjawab dituntut Allah.

Allah membuka hati para anggota Tentera Malaysia yang bergaji rendah dan hidup dalam kesederhanaan untuk membantu rakyat menghadapi banjir.

Menteri menteri kerajaan yang berebut jawatan dan dalam segala kemewahan terus mabuk ibarat hidup di kayangan memandang rendah penderitaan rakyat tertutup hati peristiwa menghayat hati di depan mata.

Apa yang paling jelas rakyat kini lebih sedar rakyat berbilang kaum dan Agama memerlukan satu antara lain dalam saat dugaan bencana kerana Kerajaan yang bertopengkan diri kerajaan Melayu Islam hanya memperalatkan agama dan kaum untuk kepentingan politik semata mata dan tidak boleh di harap.

Sikap ditunjukkan kerajaan hari ini sebenarnya tidak Islamik kerana membelakangkan mereka yang lemah dan menderita.

Solidariti rakyat berbilang agama dan kaum di pusat perlindungan rumah ibadat Islam, Sikh, Kristian dan Buddha semasa bencana tanpa bantuan kerajaan ini patut sudah menyedarkan sifat palsu, hipokrit kerajaan hari ini yang bertopengkan agama.

Bersatu berbagai agama dan kaum rakyat akan terus makmur dan selamat sementara muslihat kerajaan hari ini untuk terus pecah perintah “divide and rule” rakyat berbilang agama dan kaum adalah senjata politik mereka untuk terus berkuasa merompak kekayaan negara.

Musibah banjir ini menyampaikan mesej penting, berbeza agama dan kaum bukan menjadikan rakyat Malaysia saling bermusuhan, sebaliknya membuktikan mereka boleh bantu membantu secara muhibah untuk selamat bersama ‐ survive.

Musuh sebenar rakyat adalah kerajaan mabuk kuasa dan tamak memecahkan perpaduan rakyat supaya mereka terus berkuasa.

Apabila musibah banjir melanda, Ali, Ah Chong, Muthu dan Steven lah yang terdahulu sampai membantu sementara menteri sibuk bermesyuarat politik dan mengambil gambar di majlis pelancaran di bangunan bangunan mewah khusus bagi golongan kayangan. Lebih 24 jam baru tersentak dari mimpi kayangan mereka.

Semoga timbul kesedaran kita rakyat sendiri perlu jaga rakyat.

Orang kerajaan kayangan yang mulia mabuk kuasa dan wang susah nak turun ke bumi yang mereka pandang hina.

Wanita maut dihempap pokok getah

Bernama

TANAH MERAH: Seorang penoreh getah meninggal dunia dipercayai dihempap sebatang pokok getah di Kampung Air Sejuk, Kelewek, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Zainuddin Md Yusuf berkata, warga Thailand Anisa Latif, 36, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, kejadian disedari apabila suaminya mendapati mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar sejak awal pagi untuk menoreh getah.

“Suaminya keluar mencari dan menjumpai mangsa di tempatnya menoreh getah dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri dengan terdapat darah keluar daripada mulut dan hidung.

“Setelah itu, suami mangsa telah menghubungi pihak hospital dan pemeriksaan lanjut mendapati mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainuddin berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, polis mendapati ada sebatang kayu pohon getah yang telah reput berada di kawasan mangsa terbaring.

“Polis tidak menolak kemungkinan batang kayu tersebut telah tumbang dan menimpa mangsa. Pada masa sama, suami mangsa telah mengalihnya dari kedudukan asal ke tepi jalan.

“Tiada sesiapapun di lokasi pada hari kejadian dan mangsa dibawa ke Hospital Tanah merah untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

ADUN PH: Lewat bertindak: Sabotaj jahat kerajaan Ismail Sabri

Malaysiakini 

Kelewatan agensi kerajaan bertindak dalam menguruskan bencana banjir di Selangor adalah "sabotaj jahat" kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, kata wakil rakyat Hulu Kelang.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), Hulu Kelang Saari Sungib mendakwa bekas penjawat awam berpendapat tindakan kerajaan persekutuan melewat-lewatkan bantuan dan tindakan umpama membunuh rakyat negeri itu.

"Menteri Besar Selangor berkata beliau telah menelefon Perdana Menteri Ismail Sabri pada malam Jumaat dengan rayuan agar beliau menggunakan aset persekutuan ke kawasan terjejas. Kerajaan Selangor memperuntukkan RM100 juta menerusi usaha ‘Selangor Bangkit’, bagi proses pemulihan negeri daripada musibah banjir yang melanda ketika ini.

"Sepatutnya bencana berskala ini diuruskan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh PM di mana Menteri Besar Selangor adalah salah seorang ahlinya.

"Dalam urusan bencana ini, MKN adalah merupakan agensi peneraju utama pengurusan bencana negara, negeri dan daerah. MKN juga bertanggungjawab untuk merangka strategi dengan menggerakkan semua agensi persekutuan dan agensi negeri agar bekerjasama dan bertindak serentak.

“Jika tidak wujud struktur ini maka ia adalah satu pengabaian kerajaan persekutuan yang disengajakan. Dalam perkataan lain ia adalah satu perbuatan sabotaj ataupun lebih tepat khianat terhadap rakyat Selangor dan rakyat Malaysia amnya," katanya dalam satu kenyataan.

Soalnya, apakah kelewatan kerajaan menghulurkan bantuan adalah muslihat untuk menunjukkan kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) lemah.

"Apakah ini muslihat untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor lemah dan usaha untuk menawan Selangor?

“Penjawat awam diminta akur kepada PM dan tidak mendedahkan kelemahan menteri," katanya lagi.

Banjir besar yang melanda negara sejak Sabtu lepas, sehingga kini telah mengorbankan 27 nyawa, jumlah yang boleh dianggap paling tinggi sejak banjir besar pada 2014.

Dua puluh daripada mereka di Selangor manakala tujuh orang lagi di Pahang.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata sehingga petang Selasa sebanyak 20 individu dikenal pasti menjadi korban banjir di negeri itu.

Selain di Seksyen 25 Taman Sri Muda Shah Alam, mayat mangsa banjir turut ditemui di Kajang, Sungai Buloh dan terbaru di Klang.

Di kawasan yang paling teruk dilanda banjir di Selangor iaitu Seksyen 25 Taman Sri Muda, sebanyak sembilan mayat dijumpai oleh pasukan penyelamat sejak Sabtu lepas sehingga awal pagi ini,

"Sebagai wakil rakyat Hulu Kelang, saya mendapat luahan hati sekumpulan bekas penjawat awam.

“Sampai hati mereka bunuh rakyat Selangor. Banjir boleh dielakkan sekiranya pam di pasang dan tindakan proaktif diambil demi selamatkan rakyat.

“Operasi menyelamat besar-besaran ini hanya mampu dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan," kata Saari lagi.

Anggota tentera, isteri terjun hotel dipercayai bunuh diri

JAKARTA: Seorang anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan isterinya yang maut selepas terjatuh dari hotel di daerah Puncak, Bogor, Jawa Barat, Isnin lalu, dipercayai bunuh diri.

Lapor CNN Indonesia, mangsa dipercayai melompat dari tingkat enam di sebuah hotel di daerah itu.

Ketua Polis Bogor, Harun mengesahkan kejadian tersebut yang melibatkan anggota TNI.

Jelasnya, berdasarkan maklumat awal yang diterima, pasangan suami isteri itu menyewa sebuah bilik hotel, minggu lalu.

“Peristiwa mereka terjatuh dari hotel itu berlaku sekitar pukul 1.15 pagi.

“Mangsa turut membawa kedua-dua anaknya dan diserahkan kepada pihak polis tentera (Denpom),” katanya.

-utusan

Walau banjir besar ragut nyawa, menteri hadiri majlis tari-menari

FAZLI RADZI

Wajah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri yang terpampang di pentas majlis tari-menari di Eastin Hotel Kuala Lumpur berlaku ketika ribuan rakyat terjejas akibat banjir besar akhir tahun ini.

Gambar Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong itu turut tertera pada kad Majlis Ramah Mesra Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tular di media sosial.

Turut dikongsikan orang ramai ialah klip video berdurasi lapan saat menyaksikan majlis menari yang berlangsung malam semalam dengan diakhiri tepukan dan sorakan meriah.

Aiman Athirah Al Jundi

Mengulas perkara tersebut, Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Aiman Athirah Al Jundi mempersoal di mana kepekaan Nancy ketika pihak kerajaan dilihat bermasalah dalam pengurusan banjir besar.

“Sebagai anggota Menteri Kabinet daripada kalangan wanita yang patutnya punya jiwa lebih halus dan empati lebih tinggi, tidakkah Nancy punya keutamaan yang lebih untuk mengejutkan PM (Perdana Menteri) dan anggota-anggota pentadbiran yang lena berdengkur?” soalnya dalam hantaran di Facebook.

Athirah yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional berpendapat Kabinet gagal memberi keutamaan membantu rakyat jelata yang masih bertarung nyawa dan sugul duka bukan kepalang atas segala kehilangan dan kemusnahan yang baharu dilalui.

Ahli Dewan Negara berkenaan turut mempersoal rasa kemanusiaan Nancy dan semua pihak terlibat dalam penganjuran majlis yang dilihat gagal mematuhi penjarakan fizikal seperti kerap diingatkan Kementerian Kesihatan itu.

“Tidakkah punya sekelumit perasaan duka terhadap peristiwa banjir besar yang meragut puluhan nyawa rakyat, warga emas, OKU, bahkan bayi yang jatuh dan mati lemas semasa operasi bantuan itu berupaya mengetuk fitrah seorang ibu Nancy?

“Di mana keutamaan dan perasaan kalian ini?!” tegas Athirah.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pemimpin yang tidak menghormati perasaan rakyat yang menjadi mangsa bencana banjir besar tidak terpilih pada pilihan raya umum nanti.

“Semoga Allah jauhkan rakyat daripada kamu, dan Allah cabut kekuasaan yang kamu miliki, hiduplah kamu dalam dunia keseronokan kamu sendiri,” katanya lagi.

Program dengan aksi menari rancak ini berlangsung ketika angka korban bah besar semakin meningkat dengan ada yang masih hilang.

Rombak kabinet segera, buang ‘kayu mati’ dan ‘balak reput’

MALAYSIA DATELINE

Jika Datuk Seri Ismail Sabri benar-benar seorang perdana menteri yang menjaga kepentingan rakyat dan negara, beliau perlu membuat rombakan kabinet segera bagi membuang ‘kayu mati’ di dalam kabinet beliau.

Tokoh media, Datuk A Kadir Jasin berkata, kelembapan dan kacau bilau dalam menangani banjir sekarang adalah bukti banyak kayu mati dan balak reput dalam kabinet beliau.

“Jika Ismail Sabri seorang PM yang sebenarnya dan mengambil berat soal rakyat, beliau patut merombak kabinetnya segera, kecilkan saisnya dan membuat ‘kayu mati’.

“Kelambatan, kelembapan dan kacau-bilau menangani banjir besar membuktikan banyak kayu mati dan balak reput dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob,” kata Kadir.

Ismail sendiri mengakui kelemahan dalam pengurusan banjir sekarang dan berkata tanggungjawab banjir bukan di bawah Kerajaan Persekutuan semata-mata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menafikan terdapat kelemahan dalam pengurusan banjir terutamanya di Selangor dan ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Saya tidak menafikan (kelemahan) dan akan menambah baik pada masa akan datang… Tanggungjawab banjir bukan setakat kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan negeri dan frontliners adalah daerah-daerah.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hanya koordinator… kalau dianggap kelemahan koordinasi, saya tidak membela sesiapa dalam keadaan begini, bagi saya semua perlu dipertanggungjawabkan,” katanya kepada pemberita.

Media melaporkan, pasukan tentera turun kepada medan bagi membantu baniir tanpa kelulusan dari peringkat atasan kerajaan.

Menteri dan pengarah yang menjaga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pula dituntut meletakkan jawatan ekoran kegagalan mereka menyalurkan bantuan segera khasnya ke Selangor.

Rakyat Indonesia bantu bukan agensi kerajaan, mangsa banjir ‘sekolahkan’ Noh Omar

FAZLI RADZI

Seorang mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor meluahkan rasa kecewanya kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkenaan ketiadaan bantuan segera daripada agensi kerajaan pada hari pertama penduduk terperangkap.

Sedutan video kenyataan wanita itu yang tular di media sosial antara lain menyebut terdapat tiga rakyat Indonesia mendayung sampan membantu untuk menyelamatkan anak seorang mangsa banjir yang terperangkap di atas bumbung rumah.

“Kalau Tan Sri nak tahu, hanya menolong kami rakyat Indonesia, mendayung sampan sampai tiga orang, untuk menyelamatkan anak kakak ini yang terperangkap atas bumbung rumah, daripada pukul 12 tengah malam sehingga 4.30 pagi, 5.30 pagi.

“Itu (rakyat Indonesia) yang menolong kami rakyat asing. Di manakah agensi kerajaan pada masa itu?” soalnya kepada Ahli Parlimen Tanjung Karang itu.

Untuk rekod, kira-kira 100 penduduk di Taman Sri Nanding terperangkap dalam bah pada 19 Disember lalu dan terpaksa berlindung di bumbung Surau Al Munir lebih 12 jam.

Mereka termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas berkerusi roda, bayi baru lahir dan ibu mengandung bermalam di bumbung surau itu dalam kesejukan.

Noh yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor dilihat mendengar dan mengangguk-anggukkan kepala sepanjang kira-kira dua minit wanita itu bersuara.

Lebih sedih, mangsa yang juga penduduk di Taman Sri Nanding itu mendedahkan kegagalan pihak agensi kerajaan untuk bertindak segera dalam operasi menyelamat walaupun telah dihubungi ketika mangsa bah dalam keadaan kritikal.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu kemudiannya bertanyakan sama ada pihak bomba telah dihubungi.

Wanita yang bercakap dengan nada tenang dan ayat tersusun itu memberitahu bukan sahaja bomba bahkan pihak lain turut dihubungi untuk meminta bantuan.

“Bomba kami call, JPAM kami call, even Kem Sungai Besi kami call. Buletin Utama punya penerbit TV3 pun kami call.

“Masing-masing menolong untuk mendapatkan bantuan kepada kami yang terperangkap dalam rumah seramai 30 orang. Tiada satu pun agensi kerajaan yang datang menolong kami.

“Kenapa agensi kerajaan datang pada masa air yang sudah surut? Pada masa keadaan kritikal, air sudah sampai tahap bumbung rumah, tiada sebarang agensi kerajaan datang menolong.

“Kecuali JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) , yang difahamkan saya JPAM hanya menghantar tiga bot dalam kawasan seluruh Hulu Langat.

“Sudah tentu Tan Sri, tiga bot tidak mencukupi untuk menolong semua warga Hulu Langat”

“This is common sense ‘kan Tan Sri? Di mana perginya tentera kita?” soal mangsa banjir itu lagi sambil disaksikan seorang individu berbaju kurung jingga dipercayai pegawai kerajaan.

Sebaliknya, mangsa banjir itu turut memberitahu, pihak tentera ada membantu penduduk terjejas ketika banjir pada tahun 2014 walaupun paras air ketika itu tidak setinggi seperti bah pada 19 Disember lalu.

“Air hanya dalam keadaan paras paha, tapi tentera ada menolong kami. (Tapi) dalam masa kami dalam keadaan kritikal, pada hari Ahad, tiada sebarang agensi datang menolong kami kecuali JPAM. Sunyi sepi.

“Sampai saya meminta bantuan daripada salah seorang sahabat saya, masuk dalam Twitter. Walaupun Istana Negara kita masuk minta bantuan.

“Tiada seorang pun datang menolong kami. Jadi, kami berharap, rakyat bagi pihak Taman Sri Nanding terutama warga Hulu Langat memohon jasa baik… ,” tambah wanita berkenaan lagi.

Taman Sri Nanding yang terjejas teruk dalam tragedi bah besar terletak di lembangan Sungai Langat.