Angka kematian cecah 95,981, UK rekod vaksinasi Covid-19 tertinggi

Reuters

LONDON: Angka kematian akibat Covid-19 di United Kingdom mencecah 95,981 pada Jumaat selepas negara itu mencatatkan 1,401 kematian lagi, lapor Reuters.

Sementara itu, data rasmi menunjukkan perubatan menetapkan rekod tinggi baharu untuk vaksinasi dalam tempoh 24 jam.

Britain dilanda gelombang terbaru pandemik itu dengan kematian secara berkala melebihi 1,000 orang sehari. Pada Rabu, jumlah korban harian tertinggi dicatatkan iaitu 1,820 dalam tempoh 28 hari.

Negara itu mencatatkan 40,261 kes lagi pada Jumaat, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 37,892 berbanding hari sebelumnya.

Pelaksanaan program vaksinasi bagaimanapun dilaporkan berjalan lancar. Data menunjukkan seramai 5.38 juta orang sudah menerima dos pertama vaksin, dengan 409,855 menerimanya dalam tempoh 24 jam lalu, satu rekod yang tinggi setakat ini.

Bantulah pelajar miskin Nigeria ini supaya tidak murtad

Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Putrajaya: "Penuntut Islam ini boleh menjadi murtad jika tidak diberikan bantuan pendidikan sewajarnya," ujar Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berhubung nasib ratusan pelajar Madrasah Daaru Itqanil Qur'an & Islamic Studies terletak di Odeyale, Nigeria, Afrika.

Menurutnya, madrasah itu adalah satu-satunya pusat pendidikan Islam yang 'terkepung' dengan pelbagai rumah ibadat agama lain.

"Terdapat sekolah penganut agama lain yang lebih sempurna terletak berhampiran kawasan itu. Ini menjadi ancaman terbesar dalam mempertahankan aqidah masyarakat Muslim Odeyale terutamanya anak-anak mereka.

"Lebih menyedihkan apabila ada penduduk yang terhutang budi atau atas dasar perkahwinan memilih untuk keluar daripada Islam. Akibatnya anak-anak mereka juga terpaksa dihantar belajar ke sekolah mubaligh bukan Islam," katanya.

Menurutnya, kekurangan dana kewangan untuk pendidikan Islam selain faktor ekonomi menyebabkan kanak-kanak ini mudah menjadi murtad.

"Berdasarkan maklumat, program tahfiz, madrasah dan akademik disediakan di Madrasah Daaru Itqanil Qur'an & Islamic Studies terbukti cukup sempurna berikutan permohonan kemasukan yang sentiasa meningkat.

"Bagaimanapun usaha itu berdepan cabaran susulan kekurangan ruang dan kemudahan serba daif.

"Melalui maklumat disalurkan koordinator Madrasah Daaru Itqanil Qur'an & Islamic Studies, ustaz Ibraheem Aminulahi, pusat pendidikan Islam itu memerlukan bantuan dana untuk membesarkan ruang kelas untuk pembelajaran," katanya.

Beliau berkata, Muslim Care Malaysia mengambil tanggungjawab untuk melengkapkan pembinaan Madrasah Daarul-Itqanil Quran, Nigeria dengan kos RM700,000.

"Moga sumbangan berwakaf untuk membina tambahan Madrasah Daaru Itqanil Qur'an & Islamic Studies ini dapat menjadi bekalan kita di akhirat kelak," katanya.

Sementara itu Ibraheem berkata, pusat madrasah itu menawarkan program pengajian tahfiz bagi tempoh dua tahun selain turut menyediakan kemudahan asrama untuk penuntutnya.

"Selain itu madrasah ini dibuka khusus untuk pelajar mempelajari ilmu fekah, hadis, Al-Quran, bahasa arab dan pelbagai mata pelajaran lain.

"Hasil bantuan dana awal disumbangkan Muslim Care Malaysia baru-baru ini, madrasah berkenaan dapat dibaik pulih untuk menampung kapasiti 150 pelajar.

"Bagaimanapun permintaan untuk kemasukan pelajar baru adalah tiga kali ganda. Oleh itu kami bercadang untuk membina bangunan tiga tingkat bagi menampung kemasukan lebih ramai pelajar," katanya yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Orang ramai bersimpati untuk membantu pelajar Islam Nigeria ini boleh menyalurkan sumbangan kepada Muslim Care Malaysia melalui nombor akaun Maybank (564490413882), Bank Islam (14014010147470) atau Bank CIMB (8604171675 -Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia)

Mereka juga boleh juga menghubungi taalian 0169978323 (Johari Ismail), 0134886447 ( Ahmad Safwan ) atau 0192049434 ( Zuriati Ya'akob ) untuk maklumat lanjut.

Cabaran dunia pasca Donald Trump

MOHAMAD SABU

Tiga hari lepas dunia menyaksikan Donald Trump meninggalkan White House secara rasmi setelah tewas dalam Pilihanraya Presiden AS beberapa bulan yang lalu.

Saya mengalu alukan dan gembira di atas kekalahan Trump. Beliau bertanggungjawab mempromosikan ‘White Supremacy’ atau ketuanan orang kulit putih sehingga memarakkan kembali api perkauman yang menindas kaum berkulit hitam.

Beliau juga telah bekerja keras dan berjaya mempengaruhi sebahagian negara negara Arab untuk mengiktiraf Israel, mengistiharkan Golan Height yang dijajah Israel dari Syria sejak tahun 1967 sebagai wilayah Israel dan mengistiharkan Jurussalam sebagai ibu negara Israel, disamping mengikitiraf pembinaan penempatan haram Israel di atas tanah rakyat Palestin.

Bukan sekadar itu, beliau juga bermusuh dengan World Health Organization (WHO) Ketika dunia berhadapan dengan Pandemic Covid 19 dan menarik diri daripada Paris Agreement yang mempromosikan pemuliharaan alam sekitar dalam berhadapan Global Warming.

Orang seperti ini telah ditolak oleh majoriti rakyat AS dan digantikan dengan Joe Biden dan Kamala Haris. Kita mengalu-alukan kemenangan Joe Biden tetapi tidak meletakkan sebarang harapan yang besar kepada mereka kerana penguasaan dan pelobi Pro-Israel sangat berkuasa di State Department. Kempen-kempen pilihanraya kedua duanya menjanjikan untuk kekal membantu Israel.

Kita tunggu dan lihat sikap mereka terhadap Palestin, krisis di Timur Tengah, sekatan ekonomi terhadap Iran, Venezuela, Korea Utara dan China. Dunia perlu menerima hakikat sedang berlakunya ‘The Shifting of Power’ dari Barat kepada Timur.

AS tidak kekal sebagai hegomoni dunia dan perlu menurut perubahan yang sedang berlaku yang memerlukan kepada kerjasama dan bertindak menurut undang-undang bagi menjamin kestabilan dan kelestarian dunia.

Tanggungjawab besar terletak di bahu Presiden dan Naib Presiden AS yang baru yang penuh dengan cabaran kerana pelampau pelampau pelbagai bangsa dan agama yang masih berleluasa. Semoga era ini, era yang lebih baik dan adil kepada dunia keseluruhannya yang memerlukan tanggungjawab kita semua secara bersama.

Tindakan PAS bagus atau tidak buat Muhyiddin?

Mohsin Abdullah

Perdana menteri menyarankan Asean mengambil sikap yang lebih tegas terhadap ucapan berunsur kebencian atau “hate speech”, termasuk gangguan berdasarkan jantina, kecenderungan seksual serta promosi keganasan, melalui platform digital.

Saranan yang bagus pada hemat saya. Sebenarnya sikap tegas yang beliau sarankan itu sepatutnya meliputi semua platform bukan sekadar digital. Tetapi oleh kerana Muhyiddin Yassin bercakap pada Mesyuarat Pertama Digital Menteri Menteri Asean tentulah fokus beliau platform digital.

Apa pun saranan Muhyiddin itu sememangnya wajar dan saya ulangi bagus.

Namun beberapa hari sebelum itu, timbalan menteri di jabatan beliau (yakni Jabatan Perdana Menteri) Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan mungkin pinda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender atau singkatnya LGBT.

Kata Marzuki, pindaan itu perlu bagi menangani “salah laku” golongan LGBT. Beliau tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan “salah laku” tetapi mengakui tindakan tegas diambil terhadap golongan itu yang berpakaian bertentangan dengan jantina – namun hukuman sedia ada yang diperuntukkan Akta 355 kurang memberi kesan.

Bermakna kerajaan mahu hukuman lebih berat daripada hukuman sedia ada iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 serta enam kali sebatan untuk seseorang hanya kerana dia berpakaian bertentangan jantinanya.

Saya tidak mahu berbicara siapa betul siapa salah atau wajar atau tidak hasrat kerajaan seperti yang dikatakan Marzuk. Namun hakikatnya akibat apa yang dihujah Marzuki memberi ruang kepada pelbagai pihak “menyerang” perdana menteri dan menuduh beliau “cakap tidak serupa bikin”. 

Ada yang menuduh Muhyiddin “nampak kuman di seberang laut tapi tidak nampak gajah di depan mata”. Lalu “menasihati” beliau memperbetulkan dahulu kepincangan dalaman atau “put your house in order first” sebelum membuat saranan kepada Asean.

Adakah itu tuduhan liar kepada perdana menteri atau sebaliknya tidak mahu saya bincangkan. Yang ingin diketengahkan ialah kenyataan Marzuk memberi ‘peluru’ yang digunakan musuh untuk ‘menembak’ perdana menteri.

Mungkin Marzuk tidak berniat demikian tetapi itulah yang terjadi. Marzuki ialah dari PAS.

Beralih ke Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, yang mengumumkan tiada cuti peristiwa untuk sambutan Thaipusam di Kedah tahun ini. Sanusi mendapati dirinya dikritik hebat pelbagai pihak termasuk bekas perdana menteri Najib Razak dan tentulah penganut Hindu.

Tidak perlu dihuraikan apa yang dilemparkan ke atas Sanusi dan mengapa Sanusi membatalkan cuti itu kerana ramai yang sudah maklum.

Yang ingin diperkatakan ialah tindakan itu menimbulkan kemarahan orang bukan Islam terutama penganut Hindu ke atas kerajaan negeri dan Perikatan Nasional.

Pentadbiran Muhyiddin gemar dikenali sebagai kerajaan Melayu-Islam. Pun begitu ia mahu juga sokongan masyarakat bukan Melayu-Islam, apatah lagi untuk pilihan raya umum akan datang, MIC dan MCA ditugaskan untuk menarik sokongan orang India dan orang Cina. Apa yang dilakukan oleh Sanusi menyukarkan tugas MIC dan juga MCA kerana isu cuti Thaipusam ini dilihat masalah membabitkan masyarakat bukan Melayu-Islam .

Malah kelab penyokong PAS yang dianggotai orang bukan Islam juga berada dalam situasi sulit untuk menjalankan misi mereka.

Lebih besar ialah isu ini boleh atau sudah membuatkan masyarakat bukan Melayu-Islam menjauhi PN – sesuatu yang Muhyiddin tidak mahu terjadi.

Sanusi ialah dari PAS.

Setiausaha politik beliau, Afnan Hamimi Taib, tampil dan bertanya mengapa hanya Kedah jadi sasaran sedangkan negeri lain tidak – padahal negeri-negeri itu juga tidak ada cuti Thaipusam.

Lalu beliau menamakan negeri berkenaan – Pahang, Perlis, Melaka, Sabah dan Sarawak. Adakah beliau mahu keempat empat negeri tu turut ‘diserang’?. Bukankah negeri negeri itu diperintah PN dan sekutu? Tidakkah ini merumitkan keadaan buat Muhyiddin?

Afnan juga menamakan dua lagi negeri yang tidak ada cuti Thaipusam – Kelantan dan Terengganu. Adakah beliau menganjurkan kedua=dua negeri yang diperintah PAS turut ‘diserang’? Seperti bosnya, Afnan tentulah orang PAS.

Mengenepikan ‘anjuran’ Afnan, apa yang berlaku di Kedah dan kenyataan Marzuki bagaimanapun dilihat boleh ‘mengukuhkan’ kedudukan PAS dan PN di mata orang, atau lebih tepat pengundi Melayu.

Sememangnya PAS mahu membawa usul RUU 355 ke Parlimen. Tentu kita masih ingat RUU 355 bertujuan “memperkasakan mahkamah syariah”. Ketika PAS menjadi pembangkang pada era pemerintahan BN sudah ada. Sama ada ia berujuan poltik atau apa pun tidak perlu dibangkit. Tetapi sehingga sekarang tidak ada perkembangan walaupun PAS sudah duduk dalam kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Seperti dikatakan tadi langkah ini boleh menambat hati masyarakat Melayu-Islam.

Bagaimanapun baru-baru ini Abdul Hadi Awang dipetik The Malaysian Insight sebagai berkata kegagalan PAS “mendapatkan majoriti mudah termasuk daripada sesetengah Ahli Parlimen Umno menyebabkan pembentangan RUU 355 ditangguhkan”.

Ertinya, kata Hadi, tidak semua orang dalam Umno menyokong undang-undang mahkamah syariah dipinda.

Tidakkah itu seperti menuduh ada dalam kalangan Umno tidak mahu “memperkasakan mahkamah syariah”? Mereka tidak sehaluan langkah yang dianggap ‘Islamik’? walaupun Umno juga menggelar dirinya parti memperjuangkan Islam (dan Melayu)?

Tidakkah ini boleh mengeruhkan hubungan Umno dengan PAS dalam Muafakat Nasional? Tidakkah ini merumitkan usaha damai (jika ada) antara Umno dan PPBM pimpinan Muhyiddin?

Oh ya, kita tahu Hadi dari parti mana.

Berdasarkan semua yang terpapar ini bolehkah dirumus dengan “with friends like this who need enemies”?

Rasanya tidak perlulah saya terjemah. Yang ingin dilafazkan waullahulam.

Pindahkan Hakim Nazlan bagi jayakan misi ‘Najib bersalah’, dakwa Puad Zarkashi

MALAYSIA DATELINE

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi mendakwa keputusan memindahkan semula hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ke Mahkamah Tinggi Komersial bagi menjayakan misi ‘Najib bersalah’.

Puad dalam hantaran di Facebooknya hari ini berkata, apakah keputusan memindahkan semula Nazlan ke Mahkamah Tinggi Komersil bermotif politik kerana dia berjaya menunaikan misi “Najib bersalah”?

“Kalau dakwaan ini benar, mesti ada arahan. Maka siapakah yang membuat arahan?

“Apa pun job done. Mission accomplished,” tulis beliau.

Mulai 1 Mac 2021, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan dipindahkan balik daripada Mahkamah Tinggi Jenayah kepada Mahkamah Komersil.

Beliau adalah Hakim yang membicarakan kes rasuah SRC Datuk Seri Najib Tun Razak dan menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Najib.

Puad berkata, pelantikan Nazlan menimbulkan kontroversi kerana dia baru dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi untuk mengendalikan kes “komersial” bermula 30 Januari 2017.

“Kes rasuah SRC adalah kes “jenayah”. Patut Hakim berpengalaman kendali kes jenayah berprofil tinggi. Nazlan baru 1 1/2 tahun dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

“Dia tiada pengalaman menghakimi kes “jenayah” sebelumnya.

“Kes itu sepatutnya didengar oleh Hakim Mohd Sofian Abd Razak pada 4 Julai 2018.

“Tetapi Sofian diganti serta merta oleh Hakim Mohd Nazlan setelah Richard Malanjun dilantik Ketua Hakim Negara pada “11 Julai 2018”.

“Itu bermakna pertukaran berlaku seminggu selepas Richard Malanjun dilantik,”kata beliau.

Dalam surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Majlis Peguam kepada semua anggotanya semalam, Ketua Hakim Malaya Azahar Mohamed mengarahkan pemindahan Nazlan dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Jenayah 3) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (NCvC 2), berkuat kuasa 1 Mac.

Pada 28 Julai tahun lalu, Nazlan menjadi hakim pertama di Malaysia yang mensabitkan bekas perdana menteri, dalam hal ini Najib, atas tujuh tuduhan yang berkaitan dengan dana RM42 juta dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Nazlan mendapati bekas perdana menteri itu bersalah atas satu tuduhan penyalahgunaan kuasa, tiga tuduhan pecah amanah (CBT), dan tiga tuduhan pengubahan wang haram.

Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun ke atas Najib.

Umno lawan Bersatu: Siapa akan ‘baham’ siapa?

BAHA M. ISA

Ketegangan antara Umno dan Bersatu adalah sesuatu yang tidak boleh ‘disorok di bawah karpet’. Sudah terang lagi bersuluh, hubungan kedua-dua parti itu berada pada tahap yang sangat meruncing.

Ada yang melihat krisis Umno-Bersatu ini tidak boleh diselamatkan lagi, seolah-olah retak menanti belah. Ada juga yang menjangkakan perbalahan itu akan berlarutan dan akan memuncak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Apa yang jelas, sebanyak 189 daripada 191 bahagian Umno dilaporkan menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15. Pemimpin kedua-dua parti juga dilihat saling berbalas kenyataan.

Ada yang menuduh satu pihak lagi ‘membeli’ atau ‘mencuri’ ahli mereka, ada yang menggesa pihak satu lagi memohon maaf dan menarik balik tuduhan.

Pertelingkahan ini pastinya memasuki episod baharu apabila dua ahli Parlimen Umno mengumumkan untuk menarik semula sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dikepalai Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

Pergeseran demi pergeseran kedua-dua parti ini dilihat tidak akan berhenti setakat ini, lebih-lebih lagi menjelang PRU-15.

Dalam keadaan ini, persoalan timbul, siapakah yang akan terbit sebagai parti Melayu paling dominan di negara ini?

Adakah Umno-Barisan Nasional (BN), yang lebih 60 tahun memegang kerajaan sebelum ini? Atau adakah Bersatu-PN, yang mana Perdana Menteri hari ini datangnya daripada parti tersebut.

Para pemerhati melihat, ketegangan yang semakin meruncing antara Umno dan Bersatu akhirnya boleh menyebabkan pertembungan pada PRU-15, dengan Umno yang lebih ‘established’ dilihat mempunyai peluang lebih tinggi untuk menang, lapor Malay Mail baru-baru ini.

Shazwan Mustafa Kamal dari Vriens & Partners berkata, salah satu parti akan akhirnya ‘digantikan’ (subsumed) oleh parti yang lain kerana ‘tiada ruang untuk dua peranan’ (no room for dual roles), dengan pihak yang kalah dijangka menyertai atau diserap oleh pihak yang menang.

“Tujuan utama (raison d’etre) Bersatu adalah untuk menggantikan Umno sebagai parti Melayu terkemuka (prominent) di Semenanjung, dan tujuan ini tidak berubah.

“Taktik pecah dan perintah Bersatu boleh berjaya sekiranya pengundian ditangguhkan lebih lama, kerana ia bertujuan untuk menarik pemimpin dan akar umbi Umno (Bersatu’s tactic of divide and conquer may work the longer polls are delayed, as it seeks to woo leaders and grassroots from Umno).

“Tetapi, akhirnya, Umno akan mencari jalan untuk bertahan. Ia masih mendapat banyak sokongan akar umbi organik dan merupakan jenama yang ‘dipercayai’ berbanding Bersatu.

“Dalam konteks survival, akan menjadi perkara yang sukar bagi kedua-dua parti untuk wujud bersama (coexist) pada jangka panjang – salah satu akhirnya akan menelan yang lain,” katanya kepada Malay Mail.

Sekiranya berlaku pertembungan pada PRU-15 antara kedua-dua parti, Shazwan berkata, Umno akan mempunyai kelebihan dari segi kemampuannya untuk mengatur dan menggerakkan sokongan akar umbi di lapangan, sementara Bersatu juga mungkin mempunyai beberapa kelebihan dari segi kemampuan untuk memberi ‘election goodies’.

Jelasnya, Umno mempunyai kelebihan secara keseluruhan buat masa ini- kekuatan akar umbi, ‘numbers’ dan juga pengalaman menempuhi masa krisis.

Kesimpulannya, jika kedua-dua Umno dan Bersatu bertanding menentang satu sama lain pada PRU-15, ianya pasti menjadi satu pertempuran menarik untuk dilihat di mana dua parti Melayu yang berpengalaman memimpin kerajaan bertanding antara satu sama lain.

Persoalan siapa akan lebih dominan ini hanya boleh terjawab menerusi keputusan pilihan raya kelak. Buat masa sekarang, rakyat perlu tunggu dan lihat.

43,000 perlukan ‘Tab’ untuk belajar, Ebit Lew mohon maaf tak dapat bantu

MALAYSIA DATELINE

43,000 perlukan ‘Tab’ untuk belajar, Ebit Lew mohon maaf tak dapat bantu

Pohon doakan ya. Baru beli 100 biji Tab untuk di hadiahkan pada pelajar yang memerlukan untuk kelas online.

“Maafkan saya ye tidak dapat membantu ramai lagi. Maafkan saya,” luah Pendakwah terkenal Ebit Lew di media sosialnya susulan menerima 43,000 mesej dari orang yang memerlukan Tab untuk anak belajar.

Katanya, dalam separuh hari sahaja beliau menerima 43,000 mesej dari orang yang mana terdiri daripada orang kelainan upaya, tiada pekerjaan, anak yatim, dan mereka yang bekerja tetapi bergaji kecil.

“Semua bangsa ada dari semua negeri,” katanya.

Ebit Lew juga meluahkan bukan setakat Tab untuk kemudahan belajar yang belum sempat diberikan bahkan sebanyak 8,000 buah kerusi roda masih diperlukan lagi,

“Ambulan dan van jenazah setiap hari bergerak.

“Semoga Allah ampunkan dosa saya. Ya Allah siapa sahaja yang benar-benar memerlukan permudahkanlah. Lapangkanlah buat saudaraku semua. Semoga menjadi asbab kebaikan dan hidayah,” ujarnya.

Status yang dikongsi itu turut mendapat respons para warganet yang menyifatkan pendakwah terkenal itu tidak perlu memohon maaf kerana tugas yang digalas Ebit Lew ketika ini adalah tugas kerajaan.

Malah ada dalam kalangan warganet membidas kerajaan yang sukar untuk bertindak seperti beliau ketika pelajar yang kurang berkemampuan sedang bergelut dengan pembelajaran dalam talian.

Ada yang cuba membandingkan wang ringgit yang dikeluarkan Ebit dengan pembinaan dewan bernilai RM35 juta di Parlimen Pagoh.

“Dewan kt parlimen Pagoh tu kalau cancel boleh bantu kesusuhan ni katakan 1 unit tab RM1,000X43,000 orang baru RM43 juta sahaja. Dewan yang entah apa keutamaan pada waktu ini sudah RM35 juta,” kata Man Qus yang memberi komen di status Facebook Ebit Lew.

Ada juga yang mendesak kerajaan bertindak segera menyediakan bantuan untuk anak-anak yang memerlukan memandangkan Kementerian Pendidikan Malaysia menggunakan kaedah PdPR secara optimum pada tahun ini.

“43k rakyat tiada gajet untuk kelas online! Kerajaan tolong adakan bantuan utk anak2 yang memerlukan,” kata Emma Rosmah yang turut meletakkan tanda pagar untuk Kementerian Pendidikan Malaysia, Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri Malaysia.

Netizen turut mempertikaikan pihak kerajaan yang seolah-olah tidak peka dengan usaha yang dilakukan Ebit Lew dan mendakwa pemerintah terlalu sibu dengan memikirkan kesusuhan dan krono mereka sahaja.

“Mengapa pehak berwajib tidak peka dgn apa yg Ustaz Ebit usahakan…mengapa ust tidak disokong berterusan kearah yg lebih baik oleh pemerintah..atau adakah mereka terlalu sibuk memikirkan ‘kesusuhan’ keluarg dan kroni2 mrk shj,” tulis Adam Jadda.

“Sepatutnya JKM, ahli parlimen, tunaikan tanggungjawab beri bantuan pda golongan yg susah, jgn asyik berpolitik, mkn gaji buta masa pkp…ustaz ebit lew tidak berpolitik terus bgi bantuan, tahniah,” kata Mohd Ariffin Wahid.

Ada juga meminta ihsan daripada  70 menteri yang ada sekarang dengan gaji puluhan ribu ringgit dan segala kemudahan ditanggung memperuntukan 20 peratus dari gaji mereka bagi membantu rakyat di peringkat kawasan masing-masing.

“Agak2lah tebal manalah muka 70+ menteri yg ada sekarang…dgn gaji pulohan ribu…elaun…segala kemudahan kerajaan tanggung…langsung tidak membantu…apa salah di kala rakyat sedang hadapi kesukaran mereka peruntukan 20 peratus dari gaji mereka bantu rakyat kawasan masing-masing… ada kalanya peruntukan tidak sampai kepada rakyat sebab projek banyak untuk syarikat kroni,” ujar Awin Misai.

Pemimpin Armada ditangkap miliki ganja dalam jumlah besar

Hariz Mohd

Seorang pemimpin Pemuda Bersatu (Armada) telah ditangkap polis pada 20 Jan lalu atas dakwaan memiliki dadah dalam jumlah yang besar.

Perkara itu dimaklumkan oleh sumber dalaman polis yang enggan dinamakan memandangkan ia masih dalam siasatan.

Bercakap dengan Malaysiakini, dia berkata polis merampas 1.5 kilogram leraian daun kering disyaki ganja, sembilan pokok ganja, dan sejumlah besar cecair disyaki memiliki kandungan dadah jenis itu.

Dia berkata polis bertindak setelah mendapat maklumat awam dan menangkap suspek yang berusia 35 tahun di Fraser Business Park di Kuala Lumpur pada tengah hari Rabu lalu, atas kesalahan memiliki barang terlarang. 

Susulan tangkapan, polis menyebu kondominium suspek di Ampang, Selangor pada hari sama.

"Ketika pemeriksaan, polis menemui tujuh pokok dan dua anak pokok ganja. Ada beberapa lagi botol ditemui yang disyaki mengandungi ekstrak ganja.

"Kami juga menemui daun kering ganja dalam beberapa beg plastik dan bekas," kata sumber lagi.

Nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM60,000.

Polis turut menahan isteri suspek, 34 tahun, dan seorang warga asing yang disyaki pembantu rumah pasangan itu.

Ketiga-tiganya disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama ahli politik ini kecuali dia telah didakwa, memandangkan dia masih sebagai suspek dan tidak memegang apa-apa jawatan kerajaan.

Suspek juga tidak memegang apa-apa jawatan yang diraih secara undian dalam Bersatu. Dia merupakan ahli lantikan dalam sebuah biro dalam Armada.

Ketika PRU 2018, dia menjadi calon Bersatu di kerusi Parlimen di Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan kes ini dan ia di bawah siasatan polis Kuala Lumpur.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin dan sedang menunggu maklum balasnya.

Ini bukan kali pertama seorang tokoh Bersatu disiasat atas kes berkaitan dadah.

Pada Januari tahun lalu, Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah merupakan antara yang ditahan dalam satu serbuan berkaitan dadah di Kuala Lumpur.

Ketika itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada mulanya berkata 16 (daripada 17) yang ditahan di sebuah unit kondominium setelah mereka diuji positif dadah. Dadah jenis ketamine dan ganja turut ditemui di unit tersebut, katanya.

Dua bulan kemudian dan setelah pertukaran kerajaan, pihak berkuasa memaklumkan laporan patologi Adhif mendapati ujian air kencingnya negatif dan Pejabat Peguam Negara mengarahkan semua siasatan diklasifikasikan sebagai "tiada tindakan lanjut" (NFA).

Wanita didenda tak pakai pelitup muka tunjuk CCTV, sangkal kenyataan polis

Hariz Mohd

Seorang perempuan yang didenda RM1,000 kerana tidak memakai pelitup muka ketika keluar dari keretanya menunjukkan rakaman CCTV bagi menyangkal dakwaan polis bahawa ada orang lain berdekatan dengannya ketika kejadian.

Mengongsikan rakaman itu di Twitter, Nur Izzati Aqilah Lokman Hakim dilihat di tempat letak kereta yang agak kosong - hanya beberapa kenderaan dan tiada orang lain.

Rakaman itu menunjukkan seorang perempuan keluar dari kereta sebelum sebuah kereta polis berhenti seorang anggota mendekatinya.

Nur Izzati berkata dia didenda di depan kafenya di Segamat, Johor pada 20 Jan lalu kerana tidak memakai pelitup muka.

Ketika itu, katanya, dia sedang mengeluarkan anaknya dari kereta dan tiada orang lain di sekitar.

"Anda bayangkan, saya baru keluar dari kereta dan nak ambil anak di tempat dduk sebelah.

"Bukan tempat sesak. Kafe saya pun tak buka lagi tapi (polis) saman saya sebab saya bukan ahli politik. Kedai keliling kafe saya semua tutup!" ciapnya.

Menurut Nur Izzati, selain anggota polis, hanya dia dan anak-anaknya yang ada di situ.

Katanya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob sendiri pada 15 Dis lalu berkata pelitup muka tidak wajib jika individu itu hanya berseorangan atau bukan di tempat sesak.

Bagaimanapun Polis Johor semalam mempertahankan denda yang dikenakan dan berkata ada orang lain di kawasan itu ketika kejadian.

"Ketika itu, bersama individu berusia 29 tahun itu ialah seorang wanita yang bekerja di kafe tersebut tetapi memakai pelitup muka. Kenyataan individu ini menyatakan di kawasan tersebut tiada orang dan tiada kesesakan adalah tidak benar sama sekali," kata Ketua Polis Johor Ayub Khan Mydin Pitchay seperti dipetik Sinar Harian.

Ditanya berkenaan rakaman CCTV itu hari ini, Ayub ketika dihubungi berkata Polis Johor tidak akan membuat sebarang komen lanjut berkenaan kes ini.

Nur Izzati pada mulanya berkata dia mahu membuat bantahan terhadap denda itu tetapi kini menerimanya setelah merasakan ia tidak akan membuahkan hasil.

"Nampaknya kes saya ini macam tak ada future saja...Saya reda, tunggu mahkamah Yang Maha Esa sajalah," ciapnya.

Sebelum ini terdapat beberapa laporan berhubung individu yang didenda kerana tidak memakai pelitup muka ketika berseorangan di taman awam atau menurunkan pelitup muka di kawasan pengangkutan awam.

Pada masa sama, sejumlah ahli politik dan tokoh awam juga dilihat - menerusi gambar - tidak memakai pelitup muka ketika menghadiri acara, termasuk dalam keadaan sesak.

Setakat ini tiada laporan berhubung ahli politik yang didenda kerana tidak memakai pelitup muka, atau memakainya secara salah.

10 kesilapan Pas yang menyebabkan rakyat benci

Malaysia Dateline 

1). Berpakat jatuhkan kerajaan yang sah di pilih rakyat.

2). Berpakat dengan pesalah yang ada kes mahkamah secara tidak langsung mengiktiraf halalkan perbuatan jenayah.

3). Berkawan dengan Umno padahal berzaman ia tarbiyah rakyat kutuk, laknat, benci kan Umno.

4). Berpakat dengan perompak penyamun masuk ikut pintu belakang atau tebuk atap.

5). Pemimpin Pas terutama Haji Hadi Awang memberi jawapan yang tidak tepat dan merapu apabila di tanya wartawan.

6). Pemimpin Pas bermewah seperti membeli kereta jenama mahal di masa yang tidak kena dimana Rakyat menderita hilang kerja dll.

7) . Pemimpin Pas banyak bercakap back-up pemimpin yang terpalit dengan kesalahan kes mahkamah.

8). Pas, PPBM, Umno saling bercakaran berebut kerusi utk PRU 15. Nampak sangat meraka berjuang untuk perut mereka bukan berjuang untuk rakyat. 

9). Menjatuhkan martabat ulamak menjadikan Islam di pandang serong oleh masyarakat . Masyarakat keliru dan memandang remeh dengan amal ibadat seterusnya menjadi masyarakat menjauhi Islam.

10). Pas enti non muslim terutama DAP padahal ahli DAP warganegara Malaysia. Ahli parlimen DAP paling ramai di Dewan Rakyat. Jika Pas bersikap demikian bagaimana ia hendak perintah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia.

Hasan Ali disahkan positif Covid-19

 Malaysiakini 

Bekas naib presiden PAS, Hasan Mohamed Ali, disahkan positif Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh bekas Adun Gombak Setia di Facebooknya pagi ini.

Katanya pengesahan tersebut disampaikan kepadanya pada petang kelmarin.

“Permintaan saya kepada seluruh sahabat dan mereka yang mengenali atau tidak mengenali saya untuk mendoakan saya supaya dikurniakan kemudahahan dan kesembuhan segera.

“Moga dengan doa semua menjadi penawar utama dalam proses penyembuhan ini,” katanya.

Menurutnya, dia kini sedang dirawat di Hospital Pakar KPJ Damansara.

Hasan pernah menjawat tugas sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor sebelum digugurkan pada 2011 dan akhirnya dipecat daripada PAS pada 2012.

'Lelaki mati dalam lokap akibat dipukul tahanan lain atas arahan polis'

Malaysiakini 

Seorang lelaki yang mati ketika dalam tahanan di lokap ibu pejabat polis daerah (IPD) Bentong, Pahang tahun lalu telah dipukul dua tahanan lain atas arahan seorang anggota polis, menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Menurut Suhakam, forensik mendapati G Jestus Kevin, yang ditahan kerana disyaki mencuri pada April tahun lalu, mati akibat kecederaan di otak disebabkan objek tumpul.

"Menerusi keterangan oleh doktor forensik, Suhakam mendapat pengesahan yang si mati mengalami banyak kecederaan, termasuk tulang rusuk patah.

"OKT (orang kena tuduh) lain di lokap memberi keterangan yang si mati telah diikat dengan selimut dan dipukul oleh OKT lain - (seperti) disahkan melalui rakaman CCTV," kata Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph ketika sidang media dalam talian hari ini. 

Jerald berkata, seorang anggota polis mengarahkan tahanam lain untuk "menenteramkan" Jestus Kevin, dan melihat kejadian ketika dia dipukul.

Suhakam mendapati anggota polis itu tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menyelamatkan mangsa.

Tahanan yang memukul Jestus Kevin turut diberi rokok, dipercayai sebagai upah "menjaga" mangsa, katanya lagi.

Menurut Jerald, mangsa sepatutnya diberi rawatan sebelum kejadian kerana dia menunjukkan tanda keadaan mental yang tidak stabil, seperti percubaan membunuh diri, bercakap seorang diri serta memanjat dinding.

"Sebaliknya, mangsa terus ditahan dan kemudian dipukul tahanan lain di lokap," katanya lagi.

Menurut Suhakam lagi, pihaknya telah mengenal pasti tahanan dan anggota polis yang terlibat dan menggesa tindakan tegas diambil terhadap mereka.

Suhakam turut mengesyorkan agar tindakan diambil terhadap anggota polis lin yang tidak menjamin keselamatan Jestus Kevin ketika dalam tahanan, walaupun dia menunjukkan kesihatan mental yang tidak baik.

Jestus Kevin, 30, ditahan pada 2 April 2020 kerana disyaki mencuri. Dia didapati mati tiga hari kemudian.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong Yusof Unis, anggota polis yang bertugas mendapati mangsa mengalami kesukaran bernafas pada 5 April dan telah menghubungi ambulans.

Dia berkata apabila ambulans tiba di lokap, mangsa telah meninggal dunia.

Isu kematian dalam tahanan merupakan antara sebab utama aktivis menggesa penubuhan Suruhanjaya Pengaduan dan Salah Laku Polis Bebas (IPCMC).

Bagaimanapun, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini menggantikannya dengan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang jauh lebih lemah dan tiada kuasa untuk menghukum anggota yang didapati bersalah.

Nikah di balai polis

Agensi 

Makassar: Gara-gara ditangkap kerana menjadi suspek kes pergaduhan, seorang lelaki terpaksa melangsungkan pernikahannya di balai polis.

Lelaki berkenaan yang dikenali dengan nama Wahyu, 19, ditangkap bersama beberapa rakannya di Kecamatan Panakkukang, lima hari sebelum tarikh pernikahannya.

Ketua Polis Panakkukang, Abdul Rahman berkata, suspek terbabit dalam kejadian gaduh yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan agak serius.

"Dalam kejadian itu, mangsa bukan saja dipukul, malah telefon bimbitnya juga dicuri. Mereka kemudian menjual telefon bimbit itu," katanya seperti dilaporkan.

Menurutnya, berikutan tarikh pernikahan yang tidak boleh ditukar, suspek meminta untuk meneruskan upacara pernikahan di balai polis itu.

"Kami menyediakan ruang di surau di balai ini untuk pernikahannya. Disebabkan pandemik Covid-19 yang tidak membenarkan ramai tetamu, maka anggota polis di balai ini menjadi saksi pernikahan mereka," katanya.

Menurutnya, kedua-dua pasangan pengantin itu bagaimanapun perlu berpisah seketika kerana pengantin lelaki perlu berdepan tindakan undang-undang atas kesalahan yang dilakukan.

"Selepas selesai majlis akad nikah, suspek perlu masuk semula dalam lokap bagi menanti tindakan seterusnya," katanya.

Hebat Muhyiddin hanya 13 kerusi PN mampu takluk Johor

HARUN ZAKARIA

Mana tidak hebat apabila hanya 13 kerusi dari 56 kerusi Dun di Johor mampu membuatkan Muhyiddin anak kiyai Yassin mentadbir negeri terselatan semenanjung ini. Apakah hikmat azimat dan ajaibnya anak kiyai itu boleh melakukan sedemikian rupa?

Jawapannya pastilah jawatan, kedudukan, keselamatan dari penghakiman dan raja kertas. Itulah kehebatan anak kiyai itu bermain pedang di lapangan politik tanah air sehingga beliau mampu memegang tengkuk musuhnya.

Dapat dipastikan senarai jawatankuasa PN telah pun dikeluarkan dan komponen yang bersama dengan gabungan lorong belakang itu tanpa pembabitan Umno di Johor. Ia jelas menunjukkan bahawa PN dalam mesyuarat maya selepas pengumuman Proklamasi Darurat itu tidak disertai Umno.

Inilah suatu yang pelik berlaku dalam sistem kerajaan di negeri Johor. BN mempunyai 16 kerusi, PN mempunyai 13 kerusi (12 PPBM dan 1 Pas) dan PH mempunyai 27 kerusi. Namun gabungan yang terkecil menjadi kerajaan.

Nak panggil kerajaan Johor ini kerajaan apa? BN kah, PN kah atau kerajaan huru hara? Persoalan ini perlu dijawab kerana bagaimana sebuah kerajaan boleh membawa agenda rakyat sedangkan mereka sendiri tidak bersatu dan bercerai berai.

BN pastinya tidak mahu menunjukkan sikap melawan kerana kerusi MB Johor ini amat berharga bagi mereka. PN pula pastinya tidak akan mengambil langkah untuk mengumumkan penarikan sokongan terhadap MB Johor dari BN kerana akan memberi peluang kepada PH.

Hasilnya kita dapat lihat bagaimana Umno BN menjadi bapok tua yang tidak mempunyai gigi untuk berdiri menegaskan tindakan PN di Johor. Benarlah kata pepatah melayu ‘apa diharap padi seberang, entahkan berisi entahkan tidak, apa diharap sokongnya orang, entahkan jadi entahkan tidak’.

Apa yang menjadi risiko adalah nasib rakyat atau bangsa Johor yang terpaksa berhadapan dengan kepimpinan boikot memboikot. Cuba renungkan bagaimana agenda kerajaan BN mahu dijalankan pastinya akan diboikot oleh PN kerana agenda mereka berbeza dengan BN.

Cukup sahaja lihat hari ini bagaimana exco PN yang bergerak secara solo, exco BN juga bergerak secara kumpulan mereka sahaja. Mazlan anak Bujang masih terus dengan lagu warisannya dan Hasni masih dengan Makmur Johor yang tidak mencapai objektif kemakmuran dalam gabungan mereka pun.

Begitulah nasib rakyat atau bangsa Johor yang menjadi seperti ‘tanduk tidak bertuan, sayang sifatnya gagah cantik molek namun tuannya kusut masai lemah serba serbi’.

‘Umno Sdn Bhd’ lawan ‘penjual Umno kepada diktator’

BORHAN AHMAD

‘Umno Sdn Bhd’ lawan ‘penjual Umno kepada diktator’

Pertembungan sedang berlaku dalam Umno sekarang antara ‘Umno sdn bhd” dan pihak yang mahu menjual Umno.

Datuk Mohd Puad ZakarshiBagi anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi, lebih baik Umno menjadi sendirian berhad milik ahli yang setia kepada Umno dari dikuasai oleh pihak yang mahu menjual Umno

“Kalau Sendirian Berhad untuk ahli yang setia tidak apa. Kamu lagi teruk. Mahu jual Umno kepada diktator,” kata beliau menerusi facebooknya.

Apa tidaknya, kata beliau, Parlimen digantung tetapi pelajar SPM kamu suruh pergi sekolah.

“Kesudahnya apa jadi. Ada pelajar SPM di MRSM Lipis didapati positif,” kata beliau merujuk kepada berita seorang pelajar sekolah itu yang disahkan positif Covid-19.

Sehubungan dengan itu, beliau memberikan amaran kepada pihak yang mahu menjual Umno itu akan ditentang habis-habisan.

“Jangan harap kamu boleh jual Umno pada diktator. Radu Tatap Radu. Radu sampai rata,” kata beliau kagi.

Pihak yang dipercayai disasarkan oleh Puad adalah kumpulan yang pro kepada Bersatu, parti pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Yang paling ketara dalam kumpulan ini adalah Tan Sri Annuar Musa (gambar) apabila beliau keras bersuara menentang presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas dipecat dari jawatan selaku Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Turut menyerang Zahid secara jelas adalah Setiausaha Akhbar beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Aziz.

Sebuah media melaporkan, kumpulan mesra Bersatu dalam Umno sedang berusaha menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dari kerusi presiden Umno.

“Kedua-dua pihak berunding dengan kami. Pihak yang mahu kami bersetuju untuk bekerjasama dengan PPBM dan pihak yang menentang,” kata seorang pemimpin Umno kepada portal berita FMT, tanpa mengulas lanjut.

Sebelum ini, seorang aktivis politik mendakwa, ada penaja dari luar yang menaja usaha untuk menjatuhkan presiden Umno itu.

Sebuah e-book juga dihasil untuk menyerang Zahid dengan tajuk “30 dalil kenapa Zahid perlu letak jawatan sebagai presiden Umno”.

Hubungan Pas-DAP: ‘Kalau imam dah terberak, takkan nak ikut lagi?’

FAZLI RADZI

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik tampil ‘garang’ menjelaskan tindakan partinya memutuskan hubungan dengan DAP.

Memanggil pengkritik Pas sebagai “khadam”, Mokhtar mengaitkan pesanan Almarhum Datuk Nik Aziz Nik Mat tentang DAP dengan hukum asal solat berjemaah.

“Saya nak beritahu khadam. Hukum asal solat berjemaah ialah makmum kena ikut imam.

“Siapa pun ulama pasti akan berkata tidak sah berjemaah kalau makmum tidak ikut imam.

“Tapi kalau dah imam batal wuduk, bukan setakat kentut, imam dah terberak tak kan nak ikut lagi?” soalnya dalam hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.

Mokhtar yang dua minggu lalu memberitahu terperangkap dalam banjir di Bukit Keledang berkata, ramai “khadam” asyik mengulang ucapan Nik Aziz yang berpesan agar menjaga hubungan baik dengan DAP.

“Jadi, apabila Pas mengambil pendekatan memutuskan hubungan dengan DAP selepas pemergian TGNA (Tuan Guru Nik Aziz) maka Pas era TGHA (Tuan Guru Hadi Awang) dikira menderhakai amanat bekas Mursyidul Am itu,” katanya.

Sehubungan itu, Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menjelaskan pesanan Nik Aziz tersebut sewaktu DAP tidak menzahirkan penentangan terhadap Islam.

“Selepas pemergian TGNA, DAP terang-terangan memperlekehkan Islam dan Pas.

“Lalu berubahlah. Khadam solat ke tak?” soal bekas Ketua Ulama Pas Pahang yang juga pemilik Pondok An- Nuur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu lagi.

Sampai bila KUIZM, Sriti dan Pasti mahu bernafas dalam lumpur, tanya aktivis Pas

MALAYSIA DATELINE

Pas diminta membantu pusat-pusat pengajian yang terletak di bawahnya sebagaimana MCA mempastikan peruntukan untuk institusi pendidikan di bawahnya mendapat bantuan kerajaan.

Menurut seorang aktivis Pas Shah Alam, Halim Omar,  jika MCA yang hanya mempunyai dua ahli parlimen, satu menteri dan satu timbalan menteri sahaja boleh mendapat RM90 juta untuk intitusi pendidikan di bawahnya, kenapa Pas tidak boleh.

“MCA ada 2 Ahli Parlimen, 1 Menteri dan 1 Timbalan Menteri.

“Peruntukan pendidikan 60 juta UTAR + 30 juta TAR UC.

“Takkan kita nak biarkan KUIZM, SRITI & PASTI terus bernafas dalam lumpur,” kata Halim menerusi facebook beliau.

Pas adalah pemilik kepada KUIZM (Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad) yang terletak di Taman Melewar, Gombak.

Selain itu, Pas juga memiliki rangkaian sekolah rendah tunas Islam (SRITI) dan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) yang tersebar di seluruh negara.

Sebelum ini, pelbagai pihak yang membangkitkan kesah gaji ketiga-tiga intitusi pendidikan Pas itu sangat rendah.

Sebaik sahaja memasuki kerajaan Perikatan Nasional (PN) Mac 2020, Presiden MCA, Wee Kaa Siong mengumumkan kerajaan PN akan membantu Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC).

Wee berkata, selepas beberapa perbincangan dengan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, kementeriannya bersetuju menarik balik baki peruntukan yang diberikan kepada TAA secara “adhoc” dan “off budget” oleh menteri kewangan sebelum ini, Lim Guan Eng.

“Bagi pihak TAR UC, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tengku Zafrul yang sangat memahami masalah dihadapi institusi pengajian tinggi ini dan bersetuju memberi bantuan kewangan kepada TAR UC.

“Kerajaan Perikatan Nasional diterajui Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri akan terus komited untuk membantu TAR UC dan menyokong agenda pembangunan pendidikan tinggi tanpa mengira kaum,” katanya.

Pas main dua kolam: Mustahil Umno duduk diam?

MUKHTAR SANI

Pergaduhan antara parti-parti dalam kerajaan nampaknya semakin rancak dengan istilah-istilah yang jarang kita dengar sebelum ini.

Istilah “main dua kolam” misalnya dalam hal ini, digunakan untuk mengambarkan gelagat sebuah parti yang memanipulasi dua atau mungkin lebih parti lain yang bertelagah untuk mengaut laba politik.

“Hat ni dia kawan, yang hat musuh orang tu pun dia kawan, akhirnya dia yang untung.” Begitulah pemerhati politik dari kalangan rakyat biasa yang tiada ijazah doktor falsafah (PhD) seperti Ahmad Maslan mengulas mengenai istilah ini.

Jika kita menyorot tajuk-tajuk berita di dada akhbar mahupun portal atas talian, tidak kurang istilah “main dua kolam” ini digunakan.

Ia dilengserkan bak peluru untuk menembak musuh yang dibenci. Antara yang sering dikaitkan dengan istilah ini adalah Pas.

“Selepas Pas berasmara dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN), dia berasmara pula dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN). Inilah kata orang main dua kolam,” begitu lebih kurang dialog yang dibualkan warganet.

Ternyata, rahsia Pas “main dua kolam” bukan lagi rahsia. Ia sudah jadi bahan perbualan hangat rakyat di seluruh ceruk negara, malah heboh di ruang maya.

Sikap Pas ini turut diulas pemimpin-pemimpin parti yang bertelagah. Antaranya Ketua Umno Bahagian Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang mengingatkan parti bermodalkan Islam itu supaya tidak meneruskan agenda “main dua kolam”.

“Saya menyeru sekali lagi rakan-rakan kita dalam Pas, saya tidak nampak kita (Umno) dapat menerima sekiranya Pas bersama menyokong Bersatu dalam masa yang sama juga (menyokong) Umno.

“Kita pun biasa dengan ada satu ummah sahaja tidak ada dua, tiga ummah,” katanya seperti dilaporkan portal-portal pro Umno.

Tajuddin yang terkenal dengan sikapnya yang garang turut memberi amaran kepada Pas tentang dugaan nafsu ketika memiliki kuasa.

“Memang sekarang kita diduga dengan nafsu pelbagai imbuhan, pangkat atau nama atau harta, benda.

“Ingat! Jangan apabila keadaan sekarang, peluang terbuka dengan jawatan, pangkat, projek dan sebagainya kita lupa janji kepada pengikut kita untuk lihat ahli Umno, ahli Pas untuk membentuk satu perpaduan orang Islam,” katanya lagi.

Pas ‘berasmara’ dengan Bersatu iaitu parti yang tertubuh kerana sentimen bencikan Umno.

Begitulah Umno yang selama ini terkenal sekular menjulang slogan “perpaduan Islam”. Namun, Pas yang berangan-angan mahu jadi ‘king maker’ tidak mahu kalah dan mengeluarkan dalilnya sendiri.

Sehingga ulama Pas sendiri tidak segan silu mengaku kegiatan “main dua kolam” yang diamalkan partinya.

“Kami nak beritahu kamu, demi penyatuan dan persaudaraan ummat atas nama Islam, usahkan dua kolam, 100 kolam pun kami akan masuk,” demikian menurut ulama Pas Mokhtar Senik melalui Facebooknya.

Presiden Pas, Hadi Awang pula tidak ketinggalan berkata, mahu MN dan PN untuk bersama-sama untuk bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bagai air dan minyak

Hasrat Hadi Awang itu bagaimanapun kedengaran cetek kerana Pas bukanlah anak kecil dalam politik. Parti yang berusia lebih setengah abad itu tentu faham bahawa sukar bagi Umno menerima Bersatu yang merupakan serpihannya.

Apa akan jadi sekiranya ada yang mencadangkan supaya Pas dan AMANAH berdamai untuk menghadapi PRU, tentu aneh bunyinya bukan? 

Malah, visi Umno dan Pas sendiri tentang negara Islam adalah bertentangan. Kedua-dua parti ini bolehlah diibaratkan seperti air dan minyak, tidak boleh menyatu.

Ini yang ditegaskan James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania seperti dipetik portal FMT.

“Pas memang melihat Umno sebagai ancaman kerana Umno tidak pernah bersetuju dengan negara Islam versi Pas. Umno mempunyai versi mereka sendiri tentang bentuk negara Islam yang diingini. Jadi dari segi ideologi mereka berbeza.

“Pas hanya mahu berada dalam kerajaan bagi membolehkannya mempromosi versi negara Islam mereka. Apabila tiba waktunya mereka mahu mengubah Malaysia mengikut negara Islam versi mereka,” katanya.

Pas juga jangan buat-buat lupa bahawa parti itu pernah ditendang keluar oleh Umno dari Barisan Nasional (BN) pada 1977 selepas Undang-Undang Darurat diisytiharkan di Kelantan.

Semuanya selepas Umno kembali kuat setelah mengalami kekalahan besar pada Pilihan Raya Umum 1969.

Siapa boleh menyangka luka lama ini boleh pulih hanya dengan masing-masing mengangkat slogan yang sama?

Mengambil kira situasi ini, tentulah Pas akan memilih untuk bersama Bersatu yang lebih baru, berbanding Umno yang kini kian rapuh ekoran perbalahan dalaman.

Namun, yang pasti strategi main dua kolam yang diamalkan Pas kini memberi laba kepada parti itu dan merugikan Umno.

Umno mungkin perlu pulang ke pangkal jalan dan mengambil Pengerusi Lembaga Penasihatnya Tengku Razaleigh Hamzah yang ketika ditanya sama ada Umno mampu bergerak tanpa Bersatu dan Pas dengan santai menjawab: “Mengapa tidak?”

Awas, usaha nak tanam kebencian tu

MOHAMED HANIPA MAIDIN









1. Bila parti ehem dan pihak yang sewaktu dengannya agak “melampau” cuba nak tanamkan rasa kebencian kepada rakyat ke atas parti pembangkang khususnya ke atas PH dan lebih khusus ke atas DSAI, jujurnya saya rasa nak tergelak.

2. Ginilah.Jangan over sangat ya. Nanti jika kami dedah secara details apa sikap parti ehem bila arwah AYAH kepada Menteri luar Gomen Tebuk Atap yang KHIANAT mandat rakyat (masa tu beliau sebagai PM) isytihar Darurat di Kelantan dan gubal satu RUU (bukan RUU 355 ya) tapi RUU Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 di Parlimen, takut antum @ hangpa semua senak perut pula nanti.

3. Tolong jangan lupa ya. Masa RUU Darurat Kelantan tu dibentang di Parlimen, ya, masa tu setengah ostad dan pemimpin parti ehem sama ada belum lahir atau masih sedang pakai pampers lagi sedangkan YB Gelang Patah (DAP) dah jadi MP dan berbahas.

Saya tahu sangat apa yang dibahas oleh MP parti ehem dan YB Gelang Patah masa tu.

Dont worry be happy!

Saifuddin, Loke dan Dzulkefly wakil PH dalam jawatankuasa bebas darurat

 Malaysiakini 

Pakatan Harapan (PH) mengemukakan nama untuk menyertai jawatankuasa bebas bagi memberikan syor kepada Yang di-Pertuan Agong berhbung pelaksanaan darurat.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Majlis Setiausaha PH hari ini, tiga nama dicadangkan.

Mereka ialah Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Saifuddin Nasution Ismail, Anthony Loke (Seremban) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

Bagaimanapun menurut kenyataan itu penyertaan wakil pembangkang ke dalam jawatankuasa bebas terbabit sama sekali tidak mengubah pendirian PH bahawa alasan-alasan yang dikemukakan perdana menteri berkenaan keperluan darurat tidak dapat diterima.

"Kami serta majoriti ahli parlimen juga kekal dengan pendirian bahawa darurat ini perlu ditamatkan dan parlimen perlu bersidang segera," katanya.

Menurut kenyataan Majlis Setiausaha PH itu, surat memaklumkan nama-nama tersebut dihantar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan hari ini.

Untuk rekod Saifuddin merupakan setiausaha agung PKR, manakala Loke kini menjadi setiausaha organisasi DAP. Dzulkefly pula bekas menteri kesihatan PH dan kini dilantik sebagai pengarah strategik Amanah.

Pembentukan jawatankuasa bebas itudi perkenankan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk menjadi badan yang mencadangkan jika pelaksanaan darurat wajar ditamatkan lebih awal.

Mengikut pengisytiharan asal, darurat sekarang sepatutnya ditamatkan pada 1 Ogos, kecuali Agong berpendapat sebaliknya.

Sepanjang tempoh itu juga perlembagaan dan parlimen digantung.

Langkah tersebut mendapat kritikan pelbagai pihak dan sesetengahnya menganggap ia dibuat bagi menyelamatkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang kini tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

Sebelum ini Muhyiddin memberi jaminan pilihan raya umum akan diadakan selepas jawatankuasa itu memutuskan Covid-19 pulih sepenuhnya dan ia selamat untuk dilaksanakan.

Kenyataan Hadi sahkan kerajaan hari ini tidak ada majoriti

MALAYSIA DATELINE

Kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Haji Hadi Awang baru-baru ini secara jelas menyatakan darurat yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri hari ini bukanlah darurat kesihatan sebaliknya adalah darurat politik.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Hadi dalam program bual bicara “Masa Depan Malaysia : Ke Mana Kita” anjuran Majlis Professor Negara mengesahkan kerajaan hari ini tiada majoriti di Parlimen.

Demikian kata Ketua Srikandi Terengganu, Yuslaini Azmi dalam satu kenyataannya.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pula, salah dan tidak berperlembagaan (unconstitutional) jika Muhyiddin menyatakan Parlimen Malaysia sekarang digantung kerana ada Proklamasi Darurat berkuatkuasa mulai 11 Januari 2021.

Dari perspektif undang-undang, kata Hassan, Proklamasi Darurat dan Penggantungan Parlimen adalah dua perkara yang berbeza.

Yang Dipertuan Agong bersetuju mengeluarkan satu Proklamasi Darurat di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan setelah berpuas hati dengan nasihat yang dikemuka oleh perdana menteri dan kabinet.

Proklamasi Darurat, kata Hassan, hanya setakat itu sahaja, dan tidak menyentuh penggantungan Parlimen Malaysia.

Oleh itu, kata Yuslaini, tiada sebab jika Parlimen tidak dibenarkan bersidang untuk membahaskan perkara yang membabitkan rakyat.

“Jika benar Muhyiddin Yassin prihatin tentang rakyat mungkin beliau tidak menggunakan wang RM35 juta hanya untuk membaik-pulih 3 buah dewan sebaliknya menggunakan wang tersebut untuk membantu mangsa banjir di Johor atau fokus memperkasakan fasiliti kesihatan negara yang kian tenat akibat pandemik ini.

“Biarlah pihak kerajaan dan pembangkang sama-sama bekerja demi rakyat Malaysia, jangan nafikan demokrasi di negara ini. Demokrasi negara ini harus dipertahankan,” katanya lagi melalui kenyataan itu.

Pengguna tak puas hati KPDNHEP cuba nafi harga minyak masak naik

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ekoran kenaikan harga beberapa barangan asas seperti minyak masak dan bawang, orang ramai mula membuat aduan dan meluahkan rasa tidak puas hati di laman Facebook Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Melalui Facebook rasmi KPDNHEP, agensi itu menafikan wujudnya pencatutan harga barang terutama harga minyak masak seperti yang dilaporkan seorang pengadu yang menggunakan nama FB Kemah Keming.

Penafian itu bagaimanapun mengundang kemarahan pengguna lain yang meluahkan rasa tidak puas hati kerana sememangnya wujud kenaikan harga minyak masak.

Pengadu mendakwa wujudnya kenaikan harga minyak masak melebihi pasaran semasa iaitu lebih RM27 di pasaraya Tunas Manja, Kuala Rompin.

Salah seorang pengguna turut menyertakan harga minyak masak yang mengenakan harga sehingga RM27.75 untuk minyak jenama Saji 5kg.

“Aku ambil gambar ini kat Aeon Big Alamanda. Hari jumaat sebelum PKP kot aku ambil ini. Lebih RM27. Harga di Aeon Big mesti lah sama satu Malaysia,” tulis Ashraff Daniel.

“Mydin semalam minyak Saji dan Alif pun RM27++,” kata pengguna lain.

Ada juga yang meminta pegawai KPDNHEP melakukan semakan di Taiping kerana berlakunya pencatutan dengan harga yang melambung.

Biarpun penjelasan sudah diberikan, namun para pengguna menganggap KPDNHEP tidak memantau harga barangan asas sehingga harga barang naik mendadak.

“Pasaraya Terengganu tak nak check ke. Kelmarin beli minyak cap Buruh 5kg RM24.99,” tulis Mohd Mustaqim.

Seorang lagi pengguna, Faiz JoYs menyertakan gambar minyak jenama Buruh 5kg yang dijual dengan harga RM24.50 di pasaraya 99 speedmart.

Menurut KPDNHEP, harga semasa minyak Buruh ialah RM22.99 berbanding harga dahulu yang tidak dinyatakan tahun bila, iaitu RM20.99

Bagi minyak Saji, harga semasa (RM26.99), berbanding harga dahulu (RM25.99). Harga semasa minyak Seri Murni (RM22.99), harga dahulu (RM22.70)

Harga semasa Vesawit (RM25.99), harga dahulu (RM23.99). Manakala Neptune Lite pula berharga (RM22.99) berbanding harga dahulu (RM21.50).

Sementara itu KPDNHEP memberitahu, minyak masak botol termasuk 5kg adalah tidak dikawal dan dipengaruhi harga minyak sawit di pasaran dunia serta tidak disubsidi oleh kerajaan.

Pembangkang setuju sertai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, kata Anwar

Adam Abu Bakar

PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim memaklumkan pembangkang bersetuju menghantar nama tiga wakil bagi menyertai Jawatankuasa Khas Bebas bagi mengendalikan pelaksanaan darurat.

Anwar berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira penubuhan jawatankuasa berkenaan dicadangkan Yang di-Pertuan Agong semasa baginda mengisytiharkan darurat minggu lalu.

“Jawatankuasa itu kita sambut dan putuskan akan hantar wakil. Jawatankuasa ini adalah jawatankuasa bebas, bukan terdiri daripada kuasa eksekutif, maknanya dengar dan bagi pandangan dan pandangan itu menjurus kepada isu darurat (termasuk) bila darurat patut dihentikan.

“Itu bukan penyelesaiannya, tiga Ahli Parlimen dari pembangkang (akan dicalonkan), ia tidak sama dengan sidang Parlimen. Tetapi kerana ia juga merupakan usul dan cadangan dalam titah Agong, kita ambil keputusan untuk berikan kerjasama,” katanya pada sidang media. 

Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan siapakah tiga pemimpin pembangkang yang akan dicalonkan untuk menyertai jawatankuasa berkenaan.

Katanya, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail sudah menghubungi menteri terlibat bagi mengesahkan penglibatan blok pembangkang dalam jawatankuasa berkenaan.

Terdahulu, Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar menggesa pembangkang tidak menyertai Jawatankuasa Khas Bebas bagi mengendali pelaksanaan darurat.

Bagi Mahfuz, tiada keperluan darurat dicadangkan perdana menteri kerana menurutnya Muhyiddin Yassin sudah hilang bilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bawah suatu ordinan untuk menasihati Agong sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa proklamasi darurat atau menamatkan proklamasi lebih awal dari tarikh ditetapkan.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum itu memberi perkenan supaya darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak Covid-19.

Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Khas Bebas yang akan dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkaitan.

Sajat didakwa cemar imej Islam, berpakaian seperti wanita ketika majlis solat hajat

Bernama

PETALING JAYA: Usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam atas pertuduhan berpakaian seperti wanita dalam satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat, tiga tahun lepas, sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Dalam prosiding pada 6 Jan lalu, Muhammad Sajjad, 35, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee @ Shaii.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Sajjad didakwa melakukan kesalahan itu di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, pada 7.30 malam, 23 Feb 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Muhammad Sajjad dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dan menetapkan 23 Feb depan untuk sebutan semula kes.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Syarie Selangor Atras Mohd Zain.

Pada 6 Jan lalu, tular satu video di laman sosial yang dirakamkan secara langsung menunjukkan usahawan kosmetik itu sedang menangis dalam keadaan tangannya bergari.

Beberapa hari kemudian, Muhammad Sajjad tampil di laman Instagram miliknya dan menjelaskan dia ditahan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersabit laporan dibuat pada 2018.

Senarai ahli politik sah dijangkiti Covid-19 makin bertambah

ARIF ATAN

Penularan Covid-19 memang tidak mengenal siapa termasuk ahli politik. Virus berasal dari Wuhan, China itu juga tidak peduli parti mana yang dianut ahli politik.

Pola jangkitan Covid-19 dalam kalangan ahli politik melonjak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September 2020.

Serentak dengan peningkatan mendadak kes jangkitan pandemik di Sabah, virus itu turut menjalar ke Semenanjung apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa kali menyatakan tidak perlu kuarantin untuk mereka yang pulang dari Sabah.

Paling awal, menteri Umno itu berkata demikian pada 12 September 2020 walaupun kes Covid-19 di Tawau dan Lahad Datu mencatatkan angka membimbangkan dengan 49 kes baharu Sabah dilapor ketika itu manakala Kedah hanya lima kes serta Selangor dan Kuala Lumpur masing-masing dua kes baharu.

Menjengah ke tahun baharu 2021, satu demi satu ahli politik sah dijangkiti virus yang sudah membunuh 619 orang setakat semalam.

Susulan kebenaran merentas daerah dan negeri seluruh negara kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 7 Disember lalu, kes harian meningkat mendadak.

Sehingga semalam, tiada lagi zon hijau di Semenanjung sementara di Sarawak pula zon hijau semakin berkurang. Perlis juga berada dalam zon merah.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga memaklumkan kes pesakit Tahap 4 dan 5 iaitu pesakit kategori serius di hospital semakin meningkat kepada 15 peratus.

Setakat 12 tengah hari semalam, seramai 238 pesakit sedang mendapat rawatan di ICU termasuk 96 menggunakan alat bantuan pernafasan. Angka di ICU sudah mencecah tiga digit.

Tinggi ‘harga’ untuk dibayar untuk memastikan aktiviti ekonomi bernafas dengan jumlah 165,371 kes positif Covid-19 di negara ini setakat semalam.

Angka tersebut merangkumi ahli politik pelbagai parti. Berikut disenaraikan ahli politik termasuk menteri dan senator yang sah dijangkiti Covid-19 bermula sejak PRN Sabah September lalu sehingga hari ini:

1. Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Razlan Rafii

2. Timbalan Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan

3. Calon BN DUN Pitas, Sufian Abdul Karim

4. Setiausaha AMANAH Pulau Pinang, Saifullah Abdul Nasir

5. ADUN Ayer Limau dari Umno, Amiruddin Yusof

6. ADUN Lunas (bekas PKR), Azman Nasrudin

7. Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad yang juga Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air

8. Menteri Agama Zulkifli Mohamad

9. ADUN Kampung Tunku dari DAP, Lim Yi Wei

10. ADUN Kota Damansara dari PKR, Shatiri Mansor

11. ADUN Maharani dari AMANAH, Nor Hayati Bachok

12. Ahli Parlimen Keningau dari STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan

13. ADUN Bingkor dari STAR, Robert Tawik

14. Ahli Parlimen Jeli dari Bersatu, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)

15. Ahli Parlimen Titiwangsa dari Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

16. ADUN Nenggiri dari BN, Ab Aziz Yusof

17. Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani

18. ADUN Galas dari BN, Mohd Syahbuddin Hashim

19. Ahli Parlimen Gua Musang dari BN, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat Umno.

20. ADUN Parit Yaani dari AMANAH, Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor.

21. Ahli Parlimen Padang Besar dari Umno, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

22. Ahli Parlimen Larut dari Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Menteri Dalam Negeri.

23. Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Khamarulazlan Mohamad Hanafiah.

24. Senator dari PKR, Yaakob Sapari

25. Senator Idris Ahmad yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Naib Presiden Pas

26. Ahli Parlimen Padang Rengas dari BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

27. Ahli Parlimen Kota Tinggi dari BN, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang juga Menteri Perpaduan Negara

28. ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Menteri Besar Terengganu dan Pengerusi BN negeri.

29. Ahli Parlimen Pasir Salak dari BN, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Mayat remaja dalam rahang buaya

Erika George

Tatau: Mayat pelajar tingkatan dua yang disyaki lemas ketika memancing di Kuala Tatau, di sini, ditemui berada dalam rahang seekor buaya oleh penduduk kampung pada jam 12.20 tengah malam tadi.

Tiga penduduk kampung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat pada mulanya ternampak mata buaya pada jarak sekitar 1.5 meter di kawasan lubuk sungai sebelum buaya itu perlahan-lahan muncul. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, Jankey Jikat berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit terkejut melihat badan mangsa berada pada rahang reptilia yang cukup besar itu.

Beliau berkata, mangsa dikenali sebagai Arffanirul Abdullah, 14, dari Kampung Haji Ismail.

"Selepas buaya itu melepaskan mayat dan keadaan didapati benar-benar selamat, maka penduduk bertindak menarik jasad ke dalam bot sebelum membawanya ke sebuah pondok di kampung," katanya.

Beliau berkata, mayat ditemukan di kawasan lubuk buaya yang terletak hampir 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati banyak kesan gigitan reptilia terbabit dengan tangan kanan putus dibaham manakala kaki kiri patah.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Dengan itu operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 2.30 pagi tadi," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari semalam, mangsa bersama dua rakan dikatakan memancing di pinggir sungai sebelum mangsa menyelam bagi mendapatkan semula mata joran yang tersangkut.

Namun begitu, mangsa tidak muncul ke permukaan air menyebabkan rakannya segera mendapatkan pertolongan.

Lagi Menteri disahkan positif Covid-19

SITI NUR ZAWANI MISCON

Lagi Menteri disahkan positif Covid-19

Halimah disahkan positif Covid-19 namum Hamzah masih belum disahkan lagi.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan pada semalam.

Menerusi kenyataan pejabat Menteri berkenaan, Halimah akan menjalani rawatan dan tempoh kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Johor Bahru.

Katanya, sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan, Halimah akan terus memantau dan memastikan segala urusan Kementerian Perpaduan Negara berjalan dengan lancar.

Sebelum ini, beberapa pemimpin politik turut dijangkiti Covid-19 seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Terbaharu, Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz disahkan positif Covid-19, hari ini.

Turut dikatakan positif Covid-19 adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun tidak ada sebarang pengesahan dari pejabat beliau sehingga kini.

Bagaimana dunia Islam hadapi Covid-19

ZIN MAHMUD

Tidak ada apa yang istimewanya bagi dunia Islam dalam menghadapi Covid-19. Mereka seperti juga negara-negara lain sedang bertungkus lumus dalam usaha untuk mengatasi wabak ini.

Cumanya sebagai sebuah negara Islam, Malaysia tentunya wajar berasa mempunyai ukhuwah dengan bahagian dunia yang penduduknya menganut agama sama, dan membawa kepada budaya dan pemikiran sama.

Walaupun diketahui dalam beragama terdapat pelbagai aliran, dan cara fikiran yang banyak juga bernatijahkan negatif.

Adalah diharapkan bahawa dengan memegang agama yang benar, Muslimin adalah umat terbaik dan mampu menjadi pemimpin bagi dunia. Tetapi malangnya harapan itu tidak terjadi.

Selepas jatuhnya Kekhalifahan Uthmaniah segala usaha untuk bangkit sebagai dunia maju dan moden telah gagal walaupun pernah satu ketika ada tempoh yang disebur sebagai era kebangkitan Islam.

Untuk mengetahui keadaan dunia Islam menghadapi Covid-19 tidaklah sukar. Senaraikan semua negara-negara Islam dan kemudian teliti apa yang mereka sedang hadap ketika wabak Covid-19 berlaku.

Tidak ada negara Islam yang boleh dikategorikan sebagai negara maju. Apa yang ada ialah negara membangun dan mundur. Ada negara Islam yang kaya tetapi mereka tidaklah maju, baik dari segi politik, ekonomi atau sosial.

Malaysia yang dianggap sebagai negara yang lebih maju dan agak berada berbanding negara-negara Islam lain juga gagal menunjukkan contoh, apatah lagi kepimpinan dalam menghadapi Covid-19.

Sebaliknya Malaysia juga bertungkus lumus dalam menghadapinya, dan belum nampak kejayaannya. Sebaliknya, krisis kesihatan di negara ini telah membawa kepada krisis ekonomi dan krisis politik.

Malah ketika mana negara-negara Islam lain sudah pun memulakan suntikan vaksin bagi mencegah Covid-19, Malaysia belum dapat melakukannya.

Buat masa ini, vaksin adalah cara terbaik untuk melawan Covid-19. Bukan perintah berkurung. Perkara ini sudah diketahui dan pun telah diumumkan sejak Covid-19 mula melanda dunia tahun lalu. Ia menjadi keutamaan dalam perlumbaan bagi mendapatkan vaksin.

Sepatutnya inilah yang menjadi keutamaan. Lagipun sudah dijadualkan bahawa vaksin akan ditemui hujung tahun lalu dan apabila masuk 2021, proses penyuntikan boleh dimulakan.

Apabila disebut mengenai vaksin, maka di kalangan orang Islam, walaupun ia merupakan suara segelintir, timbul juga suara-suara penentangan.

Bentuk penentangan ini ada tiga jenis. Pertama, ia datang dari golongan yang mempersoalkan bahawa vaksin itu tidak jelas halalnya. Kedua, golongan yang sememangnya dari awal bersikap anti-vaksin. Mereka menolak vaksin bukan saja terhadap Covid-19 tetapi apa jua bentuk pelalian.

Ketiga, golongan yang gemar terhadap teori konspirasi dan menganggap vaksin ini adalah agenda Yahudi hendak menguasai manusia khususnya umat Islam.

Untuk menjawab tiga golongan ini, ia perlu satu tulisan berasingan. Tetapi apa yang hendak disebut di sini ialah fenomena ini bukan saja berlaku di kalangan umat Islam, iaitu termasuk Malaysia dan Indonesia.

Isu ini juga timbul di kalangan orang Kristian, malah orang Yahudi.juga. Soal halal tentulah tidak timbul di kalangan orang Kristian.

Tetapi golongan anti vaksin memang wujud di Amerika Syarikat. Sementara di Israel, ada orang Yahudi yang juga percaya bahawa Covid-19 adalah konspirasi orang Islam untuk menghapuskan mereka dan menakluki dunia.

Bagi mengatasi golongan ini, caranya ialah meningkatkan mutu pendidikan di negara-negara Islam.

Bukan saja pendidikan formal tetapi juga pendidikan awam. Bukan saja pendidikan agama tetapi juga pendidikan sains an cara hidup moden.

Kejahilan membawa kepada fikiran-fikiran ekstrem yag tidak berpijak pada realiti. Dalam bidang agama, ia juga harus meliputi ruang lingkup luas termasuk Maqasid Syariah.

Perlu diakui pendidikan di negara-negara Islam jauh ketinggalan. Malaysia adalah antara negara yang terkehadapan dalam bidang pendidikan di kalangan negara-negara islam. Itupun dalam masyarakat Malaysia, fikiran karut-marut terus wujud.

Pendidikan juga tidak menjamin bahawa masyarakat akan berfikiran rasional. Sifat manusia yang mempunyai pelbagai pandangan akan terus ada.

Lihatlah Amerika dan Eropah, Dalam mana pendiikan mereka telah maju, terus wujud anggota masyarakat yang ekstrem dan tidak rasional. Ia adalah sebahagian daripada ciri masyarakat demokratik.

Tetapi sekurang-kurangnya ia merupakan anasir pinggiran dan bukannya arus perdana.

Dalam menghadapi Covid-19, sememangnya diharapkan bahawa dunia Islam berada di depan dan negara-negara Muslim berada pada tahap kemajuan.

Selepas Perang Dunia Kedua, iaitu sekitar tahun 1950 hinggalah 2020, iaitu 70 tahun, ia merupakan suatu jangka masa yang cukup untuk maju. Iaitu selepas mencapai kemerdekaan hingga ke hari ini.

Lebih-lebih lagi ada negara Islam seperti Turki, Iran, Mesir, Iraq, Syria dan Arab Saudi yang bermula lebih awal lagi iaitu selepas Perang Dunia Pertama untuj menggapai kemajuan. Tetapi perkara itu tidak berlaku.

Banyak faktor yang menjadikan keadaan demikian, antaranya ialah cara orang Islam mengamal agamanya.

Dalam membangun vaksin melawan Covid-19, ia datang dari Eropah, Amerika, Israel, Rusia, China dan Jepun. Tiada dari negara Islam walaupun ada berita menyatakan Iran turut membangun vaksin itu.

Di belakang vaksin utama yang dibangun Pfizer adalah pasangan saintis asal Turki. Tetapi mereka bekerja di Jerman. Orang Islam juga mempunyai keupayaan tetapi persekitarannya tidak menggalakkannya.

Dalam menghadapi Covid-19, Arab Saudi bertindak cekap dan tegas. Baru-baru ini apabila timbul varian baharu Covid-19 dari United Kingdom, mereka terus tutup sempadan. Arab Saudi adalah antara negara awal yang mengambil vaksin.

Maka disiarkanlah berita ulama asal Mauritania, Abdullah bin Bayyah dari King Abdul Aziz University, Jeddah disuntik vaksin itu. Beliau pakar fiqh empat mazhab Sunnah wal jamaah dan pendukung ajaran Sufi.

Begitu juga Indonesia adalah antara negara awal yang memperoleh vaksin dengan menunjukkan Presiden Joko Widodo disuntik di bawah poster halal dan selamat. Di Turki, ribuan petugas barisan hadapan juga telah disuntik.

Tetapi malang pula bagi rakyat Palestin. Mereka dinafikan suntikan vaksin walaupun Israel menduduki wilayah itu. Israel yang membangun vaksin sendiri merancang untuk menyuntik semua warga negaranya termasuk orang Arab yang menjadi warga negara mereka.

Dalam satu laporan awal Nigeria yang berpenduduk majoriti Islam pula menolak tawaran Gates Foundation yang mahu membiayai vaksin melawan Covid-19 ke negara itu. Mereka termakan dengan teori konspirasi yang mendakwa Bill Gates yang merancang wabak ini untuk menguasai dunia.

Sebaliknya Nigeria mendakwa mereka sudah membangun vaksin sendiri dengan menggunakan herba tempatan. Tetapi Nigeria ditadbir oleh kerajaan yang tidak berwibawa.

Ada pihak mencurigai Gates, syarikat-syarikat besar farmasi atau Big Pharma dan sistem kapitalis itu sendiri. Tetapi realitinya dunia hidup dalam sistem itu, beserta dengan amalan demokrasi, sains dan teknologi.

Sistem itu boleh dikaji dan diusahakan untuk diperbaiki. Tetapi ketika menghadapi wabak, seperti waktu ini, ia bukan masanya untuk mempertikaikan sistem. Keutamaaan adalah menyelesaikan dahulu masalah wabak.

Malaysia hanya dapat mula suntikan vaksin itu pada Mac ini. Berbanding dengan negara lain, itu dikira lambat. Rakyat Malaysia terpaksa melalui perintah kawalan pergerakan untuk bulan Januari dan mungkin Februari.

Untuk itu, banyak orang kehilangan pendapatan dan pekerjaan.

Akhirnya, Malaysia yang pada satu masa boleh dijadikan contoh negara Islam yang maju, moden dan demokratik, kini dilihat sudah ketinggalan.

ZIN MAHMUD berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan sejak awal 1980-an, bekas pengarang Mingguan Malaysia, bekas pengarang kumpulan Harakah dan pernah menerbitkan majalah Dunia Islam.

Hadi jadi jurucakap Umno?

Majoriti pemimpin Umno mahu bergabung dengan PPBM, dakwa Hadi

Adam Abu Bakar

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa majoriti pemimpin Umno positif untuk bergabung dengan PPBM, walaupun tidak menafikan terdapat pertembungan politik antara kedua-dua parti itu khususnya di peringkat akar umbi.

Hadi berkata, beliau juga percaya perselisihan antara Umno dan PPBM akan dapat diselesaikan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Kita berjaya mewujudkan satu piagam Muafakat Nasional (MN) antara PAS-Umno. Dalam piagam ini, kita bersetuju untuk memperkasakan kepimpinan Melayu-Islam dan mengajak parti-parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sertai MN.

“Malangnya, bila kita hendak ajak, terdapat pertembungan politik antara Umno dan PPBM. Bagaimanapun, Alhamdulillah majoriti pimpinan Umno positif. Cuma, nak selesaikan ia, Insya-Allah menjelang pilihan raya umum ke-15 kita dapat atasi,” katanya dalam forum bertajuk “Masa Depan Malaysia, Ke Mana Kita?”

Beliau berkata demikian ketika Umno bersetuju untuk membawa usul memutuskan hubungan dengan PPBM pada perhimpunan agung parti itu. Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dalam kenyataan memaklumkan perhimpunan itu ditangguhkan.

Hadi berkata, kajian dilakukan parti Islam itu mendapati tidak ada parti dalam negara akan berjaya membentuk kerajaan peringkat persekutuan, tanpa perlu bergabung dengan parti lain.

Katanya, disebabkan itu parti Islam berkenaan akan terus berusaha menyatukan Umno dan PPBM bawah semangat gabungan Melayu-Islam dalam apa cara sekalipun, khususnya berdepan PRU15.

“Kita mempersediakan dua-dua gabungan ini bersatu. Hal ini kerana, pada kajian kita tidak ada parti yang boleh menang jika mereka sendiri pada pilihan raya umum akan datang, sebab itu kita utamakan gabungan parti orang Melayu-Islam dahulu.

“Ia supaya kepimpinan Islam itu dapat kita wujudkan dengan kuat. Kita (PAS) akan terus menegakkan MN dan Perikatan Nasional (PN) ini bersama-sama. Kita kuatkan MN dan perkasakan PN sekali,” katanya.

#SiBodohKauDengarSini tuju pada kerajaan buat hal rakyat sedang lapar

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pengguna Twitter mula mengaitkan tanda pagar #SiBodohKauDengarSini sebagai hasil dari tindakan kerajaan yang dianggap sebagai ‘cari pasal’ dan ‘buat hal’ dengan rakyat yang sedang lapar.

Ini berikutan keengganan kerajaan untuk melonggarkan waktu perniagaan gerai makan sehingga jam 10 malam seperti yang dituntut banyak pihak terutama mereka yang terpaksa bekerja sehingga lewat malam.

Tanda pagar berkenaan sehingga tengahari ini sudah melebihi 60,000 Tweet dengan rata-ratanya menggunakan ayat berkenaan sebagai ‘meme’ dan mendesak kerajaan untuk tidak berdiam diri.

Ianya bermula gara-gara pengguna Twitter @yarafaee_ yang menulis “Si bodoh, kau dengar sini” kepada seorang pengguna yang berpendapat orang ramai tidak seharusnya menjadikan semua isu sebagai masalah.

“Si bodoh, kau dengar sini, dengan business hour from 11-8pm tu seluruh rakyat Malaysia order in between that time only tau.

“Kau tau tak sampai hang machine foodpanda/grab tu? Orang balik kerja tak ada masa nak masak sebab awal pagi esok dah kena pergi kerja balik,” tulis @yarafaee_

Kekecewaan juga semakin ketara dicetuskan apabila ada yang menganggap kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan jatuh hanya kerana disebabkan sikap sambil lewa dan sengaja cari pasal membiarkan rakyat kelaparan.

“#SiBodohKauDengarSini trending nombor 1 hasil daripada tindakan kerajaan yang buat hal dengan rakyat sedang lapar. Kenapa anda cari pasal?,” tulis warganet. 

Pengguna Aaron Danison yang menyokong peniaga kecil berkata, inilah kuasa rakyat Malaysia apabila sedang lapar dan kerajaan sepatutnya melonggarkan waktu operasi gerai makan sehingga jam 10 malam.

“Jangan pernah cari pasal apabila melibatkan makanan dan ketika mereka lapar. Biarkan perniagaan makanan beroperasi sehingga 10 pm,” tulisnya.

Tidak ketinggalan, ada yang menyebut Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri dalam satu ciapan yang meminta agar beliau mendapatkan maklum balas rakyat sebelum menguatkuasakan sebarang arahan.

“Dengar tak @IsmailSabri60? Sila dapatkan maklum balas daripada rakyat dulu sebelum buat apa perintah. Jangan suka-suka buat pengumuman dan ‘u-turn’,” tulis pengguna @DrCastiglion3.

Isu tuntutan kelonggaran operasi kedai makan sudah diutarakan banyak pihak dengan orang ramai mengadu tidak sempat membuat pesanan makanan, selain pesanan dibatalkan biarpun tempahan dibuat seawal jam 5 petang.

Bagaimanapun kerajaan sehingga hari ini masih tidak membuat ketetapan melonggarkan had operasi gerai makanan selepas sudah hampir seminggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Memetik respon segera Ismail kepada media hari ini, beliau berkata agak sukar mempertimbangkan permintaan tersebut memandangkan kes Covid-19 masih lagi tinggi.

“Kami juga menerima pertanyaan dari beberapa orang, semua premis perniagaan ditutup pada pukul 8 malam. Kalau restoran tutup pukul 10 (malam), maka perlu ke buka kedai lain sampai pukul 10?

“Kes (sekarang) masih dalam sekitar 3,000 lebih. Susah juga tu, jadi biarlah KKM keluarkan pandangan mereka,” katanya.

Warkah buat Ketua Pengarah Kesihatan

NURHAKIM SALLEH

Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham bin Abdullah,

Sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri bahawa langkah untuk meletakkan beberapa buah negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa pada 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari disebabkan oleh sektor kesihatan negara tidak mampu menampung lagi bilangan pesakit Covid-19.

Dahulu setiap petang, saya bersama ibu saya tidak ketinggalan untuk mengikuti perkembangan status jumlah kes harian yang disampaikan oleh Tan Sri. Saya masih ingat lagi kata-kata yang dilontarkan oleh Tan Sri bahawa betapa kita perlu mengawal pergerakan kita demi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Namun, apabila melihat SOP yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian, saya fikir kerana ianya hampir mustahil untuk kita kembali kepada angka satu digit kerana sektor ekonomi dibenarkan untuk dibuka seluasnya.

Lebih memeranjatkan saya tatkala membaca berita bahawa pihak kerajaan umum bahawa saringan akan dilakukan kepada kontak rapat yang bergejala sahaja atas faktor kekurangan fasiliti untuk memproses ujian saringan Covid-19.

Bukankah sejak awal lagi terdapat gesaan untuk mempertingkatkan kebolehan melakukan ujian saringan telah dibuat kepada pihak kerajaan?

Sidang media Dr Hisham dan pegawai kanan Kementerian Kesihatan pada 30 November 2020 dengan 1,212 kes baharu menjadikan keseluruhannya 65,697 kes.

Seterusnya, dalam usaha Malaysia melawan Covid-19, saya fikir bahawa rakyat Malaysia amat terhutang budi dengan Tan Sri dan barisan hadapan yang bertugas sejak awal tahun lalu.

Mana tidaknya, wajah Tan Sri sahaja yang terpampang di hadapan televisyen hampir setiap petang bagi mengumumkan perincian jumlah kes. 

Raut wajah Tan Sri jika diperhatikan hampir setiap hari memaparkan wajah lesu dan penuh dengan tekanan kerja kerana perlu menanggung tiga ekor biawak hidup di dalam Kementerian Kesihatan Malaysia.

Oleh itu, perjuangan Tan Sri bersama barisan hadapan yang lain amat dihargai oleh saya dan seluruh rakyat Malaysia tetapi saya mempunyai sebuah permintaan yang besar buat Tan Sri namun ianya mempunyai implikasi besar kepada kedudukan Tan Sri.

Saya ingin melihat Tan Sri untuk tidak hanya mengikut sahaja arahan yang diberikan oleh sebuah kerajaan yang tidak menerima mandat daripada rakyat. Pedulikan mereka Tan Sri kerana saya melihat Tan Sri umpama watak Profesor dalam siri La Casa De Papel di Netflix.

Saya tidak mengetahui bagaimana mesyuarat antara Tan Sri bersama anggota Kabinet berlangsung ketika membincangkan dasar kerajaan mengenai Covid-19.

Namun, saya merasakan bahawa setiap kali mesyuarat, Tan Sri mungkin sentiasa diganggu oleh sekelompok anggota mesyuarat yang berperwatakan seperti watak Rio dan Tokyo yang akan menyusahkan usaha Tan Sri untuk flatten the curve. So, I urge you to do the necessary and the right thing, Tan Sri.

Jikalau Tan Sri berpandangan bahawa Malaysia memerlukan PKP yang lebih ketat berbanding sekarang, tolong suarakan pendapat tersebut kepada orang awam.

Seperkara lagi, Tan Sri jangan segan silu untuk memarahi ahli politik yang ingkar kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Usah khuatir dengan ahli politik, jutaan rakyat akan menyokong Tan Sri sekiranya Tan Sri berbuat demikian, namun sekiranya Tan Sri hanya berdiam diri, ramai pihak akan ingat Tan Sri sebagai enabler kepada pihak yang melanggar SOP yang terdiri daripada ahli politik.

Justeru, saya pohon kepada Tan Sri sekiranya anda mempunyai moral conscience, saya pohon agar Tan Sri memikirkan tentang apa yang diperkatakan dalam warkah saya ini.

Saya pohon agar Tan Sri mengambil tindakan yang sewajarnya dan saya pasti rakyat akan sentiasa menyokong.

Akhir sekali, saya doakan seperti rakyat Malaysia yang lain akan sentiasa mendoakan Tan Sri dan barisan hadapan yang lain sentiasa diberikan kesihatan yang baik dalam usaha memerangi virus Covid-19.

Yang ikhlas,

Mohamad Nurhakim Salleh

Penuntut tahun akhir

Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Sains Politik) Universiti Kebangsaan Malaysia.

SUA Umno minta persetujuan MP gesa sidang parlimen khas - Annuar

Malaysiakini 

Ahli parlimen Ketereh Annuar Musa mendakwa Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengantar surat kepada ahli parlimen parti itu untuk menyatakan persetujuan dengan gesaan agar satu sidang parlimen khas diadakan berhubung proklamasi darurat.

Perkara itu didedahkan bekas Setiausaha Agung BN, Annuar Musa yang mahukan Ahmad merujuk pakar berkaitan terlebih dulu sebelum meminta ahli Parlimen Umno menyatakan persetujuan.

"SUA Umno menulis kepada MP dan memberi masa kurang dari 24 jam untuk menyatakan persetujuan menggesa YDP Agong memanggil sidang parlimen, kononnya di bawah perkara 150(3) Perlembangaan Persekutuan.

"Elok SUA Umno itu rujuk constitutional expert (pakar perlembagaan) supaya kelihatan lebih cerdik hal undang-undang," ciap Annuar di Twitternya, pagi ini.

Annuar turut memuat naik surat maklum balasnya kepada Setiausaha Agung Umno itu.

Dalam surat itu, Annuar, yang juga bekas setiausaha agung BN, menyifatkan langkah itu sebagai "usaha jelas" untuk bersekongkol dengan pembangkang dan "menghina keputusan parti" serta "menderhaka kepada Agong".

Rayuan darurat: Pejuang hantar segera, PH belum pasti, Umno ‘tiada’

N Faizal Ghazali

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bagi memohon darurat ditarik balik, selewat-lewatnya esok.

Timbalan presiden penajanya Marzuki Yahya berkata surat itu akan mewakili permintaan kesemua empat orang anggota parlimen Pejuang.

“Kita dah siapkan surat. Mungkin akan hantar hari ini atau selewat-lewatnya esok,” kata Marzuki Yahya kepada Malaysiakini sebentar tadi.

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada surat itu akan ditandatangani kesemua anggota parlimennya atau presidennnya Mukhriz Mahathir saja.

Marzuki yang juga seorang senator berkata surat itu akan dihantar kerana daripada awal melihat perintah kawalan pergerakan (PKP) sudah cukup untuk mengekang Covid-19.

Empat anggota parlimen Pejuang itu termasuk Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada 14 Januari lalu menggesa wakil rakyat pembangkang menghantar warkah rayuan kepada Agong bagi memohon agar pengisytiharan darurat dibatalkan dan parlimen bersidang secepat mungkin.

Pakatan Harapan (PH) berpendapat darurat tidak perlu, antaranya kerana ia didakwa memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri untuk “melakukan apa saja” selain didakwa menjejaskan proses semak-imbang dalam negara.

Surat wakili 95 anggota parlimen

Sementara itu, sumber yang dekat dengan Anwar memberitahu Malaysiakini, sebanyak 95 anggota parlimen terlibat dalam surat rayuan PH kepada Agong.

Bagaimanapun hanya sepucuk surat bersama akan dikeluarkan dan bukan secara berasingan.

Ia, katanya, melibatkan kesemua 91 anggota parlimen PH daripada PKR, DAP dan Amanah dan selebihnya melibatkan anggota parlimen bebas, yang tidak dinamakan.

Bagaimanapun setakat ini telah jelas bila surat itu akan dihantar walaupun ia pada mulanya dikatakan akan diserahkan hari ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi tidak memberikan tarikh dan masa yang tepat.

“Kami akan beritahu pihak media nanti.

“Buat masa ini kami belum terima sebarang arahan (berkaitan penghantaran surat itu),” katanya ringkas.

Sementara itu, masih tidak jelas sama ada terdapat anggota parlimen Umno akan menyahut seruan Anwar untuk menghantar permohonan itu kepada Agong.

Tiada, kata Tajuddin

Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman ketika ditanya Malaysiakini berkaitan perkara itu hanya memberikan jawatapan ringkas “tiada”.

Umno sebelum ini mengingatkan bahawa kuasa bawah Ordinan Darurat hendaklah tertumpu kepada urusan pengawalan Covid-19 semata-mata. 

Ketua whip parlimen Parti Warisan Sabah Rozman Isli semalam memberitahu Malaysiakini bahawa anggota parlimen Warisan tidak akan menulis surat kepada Agong kerana presidennya Shafie Apdal sudah menyatakan pendirian melalui sidang media.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung Covid-19.

Menurut Ordinan Darurat yang baru, parlimen dan pilihan raya digantung, kerajaan boleh menggunakan aset persendirian atau swasta untuk merawat pesakit Covid-19 dan tentera diberi kuasa menguatkuasakan undang-undang.

Mahfuz desak kerajaan perjelas isu projek rundingan terus lebih RM100 juta

SITI NUR ZAWANI MISCON

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz didesak untuk menjelaskan dokumen berkaitan projek rancangan tebatan banjir di Melaka yang telah diluluskan tanpa melalui proses pemberian tender yang sepatutnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Seri Mahfuz Omar berkata, projek berkenaan seharusnya dilakukan melalui tender terbuka untuk menjimatkan wang perolehan kerajaan, selain memastikan ketelusan dalam pemberian projek.

Tegasnya, kerajaan perlu segera memperincikan kos perbelanjaan bagi projek yang dilakukan secara rundingan terus itu yang difahamkan melebihi RM100 juta.

“Saya akui projek tebatan banjir ini perlu dibuat tetapi bukannya dengan menggunakan alasan ia perlu disegerakan, maka rundingan terus boleh dikeluarkan.

“Ia sepatutnya dibuat secara tender terbuka untuk memastikan penjimatan wang rakyat dan kerajaan. Ini yang perlu dijelaskan.

“Kalau rundingan terus, saya tidak tahu 10 peratus (dari keseluruhan projek) akan diberikan kepada siapa. Inilah amalan yang dibuat pihak tertentu bagi membolehkan mereka mendapat ganjaran untuk dana politik,” katanya menerusi sidang media hari ini.

Terdahulu, tular satu surat bertarikh 23 Disember 2020 yang memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan bersetuju untuk meluluskan projek-projek rancangan tebatan banjir Sungai Duyong, Melaka di bawah program jana ekonomi pemerkasaan kontraktor bumiputera berwibawa (Janawibawa).

Kandungan surat itu menyebut projek itu dilaksanakan oleh kontraktor dari syarikat Ambang Besar Sdn Bhd (ABSB) secara rundingan terus.

Surat tersebut dilihat mempunyai cop pengesahan sudah diterima dari pejabat Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dan ia juga turut disalin kepada Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad.

Sementara itu Mahfuz mendakwa, projek tebatan banjir di Sungai Duyong, Melaka adalah antara 17 projek mega kerajaan yang dikatakan telah diluluskan melalui rundingan terus.

Naib Presiden AMANAH itu kemudiannya mempersoalkan kewajaran tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersetuju membiarkan amalan runding terus dilakukan dalam projek-projek mega.

Sedangkan beliau berkata, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Muhyiddin begitu keras menentang amalan kleptokrat sama ada berhubung isu 1MDB mahupun pemberian projek yang tidak melalui proses sepatutnya.

“Adakah ini merupakan cara Muhyiddin dan kerajaan minoritinya mencari dana untuk parti Perikatan Nasional (PN) menghadapi pilihan raya?

“Salinan itu juga diberi kepada ketua setiausaha sulit PM. Saya agak hairan apa keperluan salinan surat diberikan kepada pejabat PM. Dia bukan ketua Pengarah JPS yang akan melaksanakan projek ini.

“Apa keperluan surat ini disalin kepada ketua setiausa sulit PM. Adakah projek ini untuk kepentingan pihak tertentu?,” soal Mahfuz lagi.

Umno pecah tiga, Annuar Musa antara puncanya kata Fuad Zarkashi

Balik dari Langkawi, Annuar tweet minta “ceasefire”. Rupanya, dia terus membuat tuduhan liar menyerang Presiden dan UMNO.

Annuar macam Muhyiddin yang terus menyerang UMNO bila hilang jawatan parti.

Skrip dia sama. Presiden pecat dia; UMNO mahu Anwar jadi PM; UMNO bergabung dengan DAP; dan UMNO berpecah.

Sebenarnya, tindakan berterusan Annuar menghentam Presiden dan UMNO secara terbuka adalah supaya UMNO dilihat berpecah. Dia pelaksana game plan musuh.

Dia kata UMNO pecah tiga. Dia lupa pecah tiga itu kerana adanya power broker sejak UMNO kalah. Ada yang mahu menjual UMNO kepada Mahathir. Mereka jadi katak macam Hamzah and the gang.

Ada yang tidak jadi melompat. Sekarang mahu jual UMNO kepada Muhyiddin pula. Muhyiddin dalam video yang sudah lama viral dedahkan akan beli pemimpin UMNO dengan jawatan Menteri dan GLC.

Justeru, apa yang Annuat Musa mahu hairankan pasal pecah tiga. Dia adalah sebahagian daripadanya.

Dalam temu bual beliau di Mingguan Malaysia semalam, Annuar mendakwa UMNO akan luput jika tersalah pilih pakatan di PRU 15 nanti.

Tidak semudah itu. UMNO pernah diharam. UMNO pernah ada team A dan team B. UMNO melahirkan beberapa parti serpihan. Bahkan UMNO juga sudah ada pengalaman hilang kuasa. Apakah UMNO luput?

Itu sebab UMNO tidak mahu bekerjasama dengan PPBM. PPBM jelas menikam UMNO dari belakang. Selepas 11 bulan bersama PN, PPBM adalah kawan yang tidak jujur.

Mendendangkan naratif “No Anwar No DAP” adalah game plan Hamzah Zainuddin, Azmin dan Muhyiddin. Ia mahu mengelirukan ahli UMNO. Matlamatnya supaya UMNO berpecah dan UMNO tidak tinggalkan PN.

Dalam pertemuan Ketua Bahagian pada 5.1.2021 dan Mesyuarat MKT pada 6.1.2021 tidak berbangkit pun isu Anwar dan DAP. Jelas Annuar Musa mahu UMNO bermain dalam galeri dia.

Sebab itu Keputusan menggugurkan Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung BN amat tepat. PPBM kehilangan senjata yang boleh pecahkan UMNO dari dalam.

Jangan hairan satu hati nanti Annuar Musa akan naik pentas PPBM seperti mana Muhyiddin naik pentas DAP untuk menyerang UMNO

Sebab itu apabila Muhyiddin mendapat perkenan YDP Agung untuk istihar darurat, Annuar mungkin bertepuk puas kononnya UMNO kena checkmate”.

Annuar akan terus menghentam UMNO. Dia tidak Akan berhenti. Dia mencari kepuasan diri. Alang alang menyeluk pekasam biar sampai ke lengan tangan

Tetapi Annuar juga tahu UMNO akan terus kekal wujud. UMNO adalah parti akar umbi. UMNO tidak akan mereput.

UMNO hanya boleh dihapuskan melalui undang undang. Pada 25 Januari ini Mahkamah Persekutuan akan memutuskan permohonan 16 orang bekas ahli UMNO supaya UMNO dibubarkan.

Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sudah menolak permohonan mereka. UMNO sudah pernah diharamkan. Insyaallah UMNO tidak akan luput atau reput.

DR. PUAD ZARKASHI, AHLI MT UMNO

18 Januari 2021.

‘Serang’ pimpinan kerajaan pintu belakang bukan pegawai kerajaan

MALAYSIA DATELINE

Presiden AMANAH Mohamad Sabu meminta pimpinan dan ahli parti itu tidak menyerang mana-mana kakitangan kerajaan khususnya pasukan keselamatan negara seperti Panglima Angkata Tentera atau Ketua Polis Negara.

Mohamad berkata jika mahu memberi kritikan hendaklah tumpu kepada Perdana Menteri dan menteri-menteri ‘kerajaan pintu belakang’.

“Jika mahu membuat kritikan, tumpukan kritikan kepada Perdana Menteri dan menteri menteri kerajaan pintu belakang, bukan kritikan terhadap mana mana kakitangan kerajaan khususnya pasukan keselamatan negara,” kata beliau dalam kenyataan ringkas.

Katanya, jika ada sebarang kesilapan dilakukan oleh individu, ia adalah kesalahan individu dan bukan kesalahan pasukan kerana mereka bekerja dibawah ‘government of the day’.

“Tumpukan kritikan terhadap mereka yang terlibat merampas kuasa dalam kalangan ahli-ahli politik kerana mereka ada ruang menjawab kritikan kita.

“Berbeza dengan kakitangan kerajaan yang berada di bawah ‘government of the day’ dan hanya melaksanakan tugas,” ujarnya.