Idris Ahmad cemarkan imej akhlak muslim

NASUHA RAHMAN

Kononya berbangga dengan pantun yang dicipta Naib Presiden Pas Idris Ahmad yang dikongsi dalam laman facebook media rasmi Pas, malangnya bukan mendapat pujian tetapi kecaman daripada netizen.

Pantun dua rangkap Idris yang menyindir kerajaan Pakatan Harapan dianggap netizen satu sikap yang tidak sesuai dengan imej seorang alim ulama apatah lagi Pas itu sendiri yang mendaulatkan Islam.

“Macam ni ke ajaran Islam yang PAS tunjukkan ke rakyat Malaysia.. menanam sifat benci membenci.. berkata buruk tentang orang lain..,” tulis Kahirul Lejen.

“Terbaik la akhlak Tuan, risau wooo.. jika dicontohi generasi muda kini… matang sungguh. kipidup,” perli Ahmad Firi Zainul.

“Tak sangka pulak seorang Ustaz boleh berkata demikian rupa.. memang jauh bezanya seorang Ustaz yang berpolitik dan Ustaz yang tiada kaitan dengan politik,” kata Wan Mohd Nazmie.

Ramai yang tidak bersetuju cara celaan yang dilontarkan pemimpin seperti Idris Ahmad yang menggambarkan akhlak sebenar seorang muslim.

“Maaf saya tak setuju dengan cara celaan sebegini yg tidak menggambarkan AKHLAQ seorang muslim apatah lagi ulama’ yg tidak lebih menunjukkan keaiban diri sendiri,” komen Aslam Selamat.

Bahkan bagi netizen Pas yang menjadi sebahagian daripada kerajaan hari ini tidak sepatutnya membangkitkan kelemahan kerajaan lama sebaliknya memperkemaskan petadbiran hari ini dengan melaksanakan tuntutan rakyat.

“Sepatutnya sekarang bukan masa nak raikan kejatuhan Kerajaan PH. PAS kena lebih matang bila dalam Kerajaan PN dan cuba selesaikan masalah-masalah rakyat bila dah ada kuasa. Yang ni bila dah ada kuasa, rendahkan pihak lain pula. Pelik,” komen Muhammad Hafizuddin Yahaya.

“Rasanya lagi bagus, kalau war-warkan, apa yg PN buat dan apa sumbangan Pas dalam PN, selama setahun ni…..baru rakyat nampak dan akan terus undi PN dan PAS……dan yg x sokong PN akan sokong….yang menyampah akan jadi sayang….x gitu Admin..,” komen Dik’A Azhar.

Terdahulu, FB Harakahdaily berkongsi satu poster yang tertera gambar Idris Ahmad dengan dua rangkap pantun yang diciptanya dalam Bicara Harakah yang bertajuk Setahun Kejatuhan Kerajaan PH.

'Polis S'pura pernah maklum BNM transaksi Jho Low dengan syarikat suami Zeti'

Malaysiakini

Polis Singapura pernah membuat makluman kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung transaksi mencurigakan daripada ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, kepada syarikat milik suami dan anak lelaki Zeti Akhtar Aziz, ketika dia masih menjadi gabenor bank tersebut.

Laporan The Edge menyatakan dokumen dan komunikasi daripada Jabatan Hal Ehwal Komersial Polis Singapura (CAD) pada 2015 dan 2016 ada mengongsikan maklumat transaksi melibatkan Iron Rhapsody Ltd dengan BNM.

Zeti hanya bersara daripada BNM pada April 2016.

Menurut laporan itu, transaksi dibuat pada 2008 dan 2009 dan dimaklumkan kepada BNM pada 2015 dan 2016, apabila CAD mula menyiasat transaksi yang berkaitan 1MDB.

The Edge berkata dokumen yang dikongsikan CAD kepada pihak Malaysia menunjukkan akaun Iron Rhapsody di bank UBS Singapura menerima AS$16.22 juta daripada syarikat atau akaun yang berkaitan dengan Jho Low.

Ia termasuklah AS$7.42 juta pada 18 Jun 2008, daripada syarikat Jho Low iaitu Butamba Investments Ltd, yang terlibat dalam urus niaga tanah bernilai RM3 bilion dengan Khazanah Nasional di Johor, hanya sebulan sebelumnya.

Jho Low dilaporkan mengaut untung RM400 juta daripada urus niaga itu setelah dia menjual kepentingannya dalam pemilikan tanah itu.

Satu lagi transaksi kepada Iron Rhapsody adalah sebanyak AS$732,000 pada 21 Mei 2009, daripada firma guaman Shearman & Sterling di Amerika Syarikat.

Firma guaman itu turut membuat pemindahan sebanyak AS$6.25 juta kepada Iron Rhapsody pada 17 Disember 2009.

Jho Low kemudiannya menggunakan Shearman & Sterling untuk mencuci dana 1MDB yang diselewengkan ketika fasa Good Star.

CAD Singapura juga memaklumkan dua lagi transaksi dari Jho Low kepada Iron Rhapsody, yang dianggarkan berjumlah AS$567,000 pada 1 Jun 2009 dan AS$1.25 juta pada 18 Disember 2009.

The Edge memetik CAD sebagai mengesahkan sumber semua dana yang dipindahkan kepada Iron Rhapsody pada 2009 adalah daripada keuntungan yang diraih Jho Low dan sekutunya daripada pengeluaran bon berjumlah RM5 bilion oleh 1MDB/Terengganu Investment Authority (TIA) pada Mei tahun yang sama.

Sementara itu, The Edge turut melaporkan yang suami Zeti, Tawfiq Ayman dipercayai salah seorang rakan niaga Jho Low dalam Abu Dhabi Malaysia Kuwait Investment Corporation (ADKMIC) yang ditubuhkan pada 2007.

Menurut laporan, perkara itu didedahkan kepada CAD oleh seorang pegawai bank Singapura bernama Yak Yew Chee, yang kemudiannya dipenjara kerana bersubahat dengan Jho Low dalam skandal 1MDB.

ADKMIC juga digunakan Jho Low antara 2011 dan 2013 untuk mencuci dana yang diselewengkan daripada 1MDB ketika fasa Good Star.

Dakwaan terhadap suami dan dua anak lelaki Zeti berkaitan dana 1MDB mula muncul pada Disember tahun lalu.

Antara dakwaan yang timbul adalah sebahagian dana yang diterima Iron Rhapsody kemudian dipindah kepada Cutting Edge Industries Ltd, yang turut memiliki akaun di Bank UBS Singapura.

Terdapat perakuan bersumpah (SD) yang ditandatangani Tawfiq dan dua anak lelakinya Abdul Aziz dan Aliff Ayman pada 2009, yang mengesahkan mereka sebagai pemilik Cutting Edge Industries.

Dalam SD tersebut, mereka memberi kebenaran kepada CAD Singapura untuk mendapat perintah bagi memindahkan dana daripada Cutting Edge Industries kepada akaun seperti yang ditentukan 1MDB.

1MDB ketika itu cuba mendapatkan semula dananya yang diseleweng.

Terdahulu, Zeti menyifatkan dakwaan terhadap dirinya dan keluarganya adalah palsu dan berniat jahat, dan mereka tidak pernah menerima dana 1MDB.

Bagaimanapun, Zeti tidak memberi ulasan lanjut kerana dia mungkin dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes 1MDB melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak yang masih berlangsung.

Suntikan vaksin pun ada dua darjat?

NASUHA RAHMAN

Jika sebelum ini SOP kuarantin dikatakan sebagai SOP dua darjat kini program vaksinasi yang sedang berjalan turut dilabelkan sebagai dua darjat apabila barisan hadapan tidak diberi keutamaan.

Dr Rafidah Abdullah dalam posting di media sosial hari ini meluahkan rasa kecewa apabila barisan hadapan seperti petugas-petugas kesihatan yang mengandung, menyusukan bayi, pegawai-pegawai (contohnya farmasi) di lapangan, dan doktor-doktor gigi swasta tidak diberi vaksin terlebih dahulu.

Beliau memahami dan tiada halangan Perdana Menteri, Menteri Agama dan Menteri Besar mengambil suntikan vaksin terlebih dahulu sebagai tanda simbolik.

“Tapi dah kenapa pulak ahli-ahli Exco, Adun, menteri-menteri lain, kuncu-kuncu mereka nak vaksinasi awal? Maaf, kami petugas barisan hadapan tidak faham.

“Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) kenapa jadi pak mak turut ni? Tugas anda adalah menjaga kebajikan petugas-petugas kesihatan hospital, swasta dan komuniti bukan yang berdarjat,” katanya.

Beliau berkata, petugas bawahan tidak mampu faham amalan dua darjat sebaliknya hanya tahu pergi balik kerja, memakai PPE dan menyelamatkan nyawa manusia.

“Mana hak petugas-petugas kesihatan yang mengandung, menyusukan bayi, pegawai-pegawai (contohnya farmasi) di lapangan, doktor-doktor gigi swasta, kenapa tiada dalam senarai? Turunlah, berbincanglah dengan setiap seorang. Takkan keluarkan senarai sahaja.

“Kasihan mereka alih-alih nama terkeluar atau langsung tidak masuk senarai. Tambah terkejut, muncul nama-nama YB tidak dikenali.

“Nak bersuara, takut. Please, middle managers. Do what is right, get rid of these nonsense. Protect the people under you. I don’t think that’s too much to ask,” tulis beliau.

Beliau turut meminta netizen sarankan kepada pejabat MOSTI supaya keluarkan senarai nama dan tonjolkan siapakah yang divaksinasi terlebih dahulu daripada barisan hadapan.

“You can come, give us motivation during our vaccination. Bukan diri sendiri tersorong-sorong batang hidung dan lengan untuk ambil vaksin dahulu. Show that you care for us, and not for yourself. Let healthcare workers finish vaccination first.

“Jangan buang masa kipas orang yang ada darjat buatan manusia. Ketepikan golongan ini dahulu, kini dan (harapnya) selama-lamanya. Professionals work professionally,” katanya yang turut memberitahu masih belum ada tarikh vaksin.

Kejutan!!! 3 lagi Adun dari Amanah sertai PKR

Malaysiakini 

Sekurang-kurangnya tiga lagi ahli dewan undangan negeri (Adun) Amanah dari Johor, disahkan menyertai PKR.

Penyertaan ke PKR - yang merupakan sekutu Amanah dalam PH - membabitkan Adun Senggarang Khairuddin A Rahim; Adun Serom Faizul Amri Adnan; dan Adun Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Perkara itu disahkan oleh Khairudin dan tiga sumber daripada PKR.

Ini pertukaran parti terbaru daripada Amanah ke PKR, setelah tahun lepas, dua Adun Amanah dari Selangor - Adun Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar serta Adun Sabak, Ahmad Mustain Othman - turut menyertai PKR.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Khairuddin memberitahu bahawa permohonannya yang dihantar September tahun lalu, diterima kira-kira pada Oktober tahun sama, namun tidak mengheboh-hebohkannya untuk menjaga hubungan antara parti.

Meskipun menyatakan dia berpindah ke PKR bukanlah kerana faktor kerusi, dia berharap agar dapat diberikan ruang untuk bertanding kerusi parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) yang akan datang nanti.

“Saya berniat nak bertanding (kerusi) Parlimen.

“[...] Harap ada ruanglah. Ini perjuangan rakyat, saya berjuang untuk rakyat, untuk isu rakyat.

“Jadi ada ruanglah bagi saya sini, kawan-kawan dalam PKR. Itu harapan sayalah. Pada saya, untuk itu saya kira bersama dengan PKR,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Senggarang merupakan kerusi di bawah kawasan Parlimen Batu Pahat, yang kini disandang oleh Rashid Hasnon. Rashid menang kerusi itu atas tiket PKR dalam PRU lalu, sebelum dia menyertai Bersatu tahun lepas.

Malaysiakini masih menunggu maklum balas daripada Said dan Faizul.

Faizul melepaskan jawatan dalam Amanah tahun lepas, ekoran hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan parti di Johor. Dia memberitahu bahawa dia tidak lagi berminat menjadi calon PRU-15 untuk Amanah.

Tahun lepas, Mustain dipecat daripada parti kerana dikatakan melanggar perlembagaan parti.

Pagi tadi, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata ketika parlimen mungkin bersidang tidak lama lagi, ada pihak yang berusaha mengumpan ahli parlimen pembangkang untuk bertukar sokongan.

Lelaki potong anu sendiri

Berita Lama 

Agensi

Costa del Sol, Sepanyol: Seorang lagi lelaki ditemui dengan kemaluannya terputus di negara ini, apabila polis mendapati seorang lelaki berkeliaran sambil memegang dan menggoyang-goyangkan zakarnya yang sudah dipotong di Benalmadena, Ahad lalu.

Polis menahan lelaki berusia sekitar 30-an itu selepas ternampak kesan darah pada seluarnya dan ketika ditemui polis, lelaki itu menjerit mendakwa dirinya adalah makhluk asing bernama Sergio, namun kemudian berkata, dia adalah wanita bernama Naomi.

Menyedari dia memegang kemaluan yang putus, lelaki itu segera dikejarkan ke hospital.

Daily Mail melaporkan lelaki terbabit yang kepalanya turut berlumuran darah dan kelihatan bingung, berkata: “Saya makhluk asing! Ini bukan saya punya!”.

Doktor mendapati lelaki itu mengikat bahagian kemaluannya dengan tali kasut dan getah gelang bagi mengelak pendarahan berterusan

Doktor mengesahkan separuh daripada alat sulit lelaki terbabit dipotong manakala bahagian yang tertinggal, terkoyak.

Menurut laporan akhbar Diario Sur, siasatan mendapati lelaki itu bukan di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah dan pihak berkuasa mengesyaki dia mengalami gangguan mental atau halusinasi yang mendengar suara menyuruhnya memotong kemaluan sendiri.

Lelaki itu dilaporkan menjalani pembedahan bagi menyambung semula kemaluannya namun tidak dapat dipastikan sama ada pembedahan itu berjaya atau tidak.

Zeti ‘mungkin cukup tahu’ tentang wang daripada Jho Low dalam akaun syarikat milik suami di Singapura?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis Singapura berkongsi maklumat dengan Bank Negara (BNM) mengenai transaksi mencurigakan akaun bank milik syarikat suami dan anak Zeti Akhtar Aziz, melibatkan wang daripada syarikat atau akaun bank yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, pada 2015 dan 2016.

Zeti masih gabenor BNM pada 2015 apabila Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) polis Singapura berkongsi maklumat dengan bank pusat itu, mengenai transaksi akaun bank milik Iron Rhapsody Ltd, yang dimiliki Tawfiq Ayman, dan seorang anak lelaki mereka, menurut laporan The Edge.

Iron Rhapsody, menerima USD16.22 juta daripada syarikat atau akaun bank yang dikaitkan dengan Low, pada 2008 dan 2009, kata laporan itu lagi, menurut dokumen yang dikongsi CAD dengan penyiasat di Malaysia.

Zeti bersara sebagai gabenor BNM pada April 2016.

Zeti “mungkin cukup tahu” mengenai akaun bank yang dimiliki suaminya di Singapura, menurut The Edge, yang membuat rumusan itu berdasarkan dokumen yang ditelitinya.

Zeti sebelum ini menafikan ahli keluarganya menerima dana 1MDB walaupun suami dan dua anaknya, mengaku mengetahui tentang wang 1MDB di dalam akaun mereka, menurut akuan berkanun (SD) yang ditandatangani mereka pada Mac 2019.

SD itu, yang dilihat FMT, adalah tulen dan boleh dipercayai, menurut peguam yang menandatangani dokumen itu.

Tawfiq Ayman, dan anak mereka, Abdul Aziz dan Alif Ayman Aziz, menguruskan akaun itu bawah nama Cutting Edge Industries LTd, yang berpangkalan di Singapura.

Menurut pendedahan MalaysiaToday, wang dalam akaun mereka itu disalurkan daripada Iron Rhapsody Ltd, yang ditubuhkan untuk menerima wang daripada Low.

Menurut The Edge, polis Singapura menghubungi BNM mengenai transaksi mencurigakan akaun Iron Rhapsody pada 2015, selepas beberapa negara, termasuk Malaysia, melancarkan siasatan mengenai penyelewengan dan penggubahan wang berbilion ringgit milik 1MDB.

The Edge turut melaporkan bahawa Ayman bersama Low adalah rakan kongsi syarikat Abu Dhabi Kuwait Malaysia Investment Corp (ADKMIC) yang ditubuhkan pada 2007.

Dari Jun 2011 hingga Sept 2013, siasatan CAD mendapati USD153 juta dipindahkan ke akaun ADKMIC di Singapura dari akaun Good Star Ltd di Switzerland, menurut The Edge.

Good Star dimiliki oleh Low. Syarikat itu dilaporkan menerima USD700 juta daripada 1MBD pada 2009 secara haram.

Langkah terdesak kerajaan hilang majoriti dengan ugutan, tawar habuan

MALAYSIA DATELINE

PKR mengecam langkah terdesak untuk membuatkan Ahli-ahli Parlimen mereka keluar parti menjadi bebas atau menyertai parti Kerajaan, sama ada melalui ugutan mahupun habuan.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, Ahli-ahli Parlimen PKR harus berpegang teguh kepada prinsip perjuangan dan semangat reformasi, serta sentiasa beringat bahawa rakyat menilai setiap tindakan mereka dan siap membalasnya pada Pilihanraya Umum ke-15 kelak.

Beliau mengambil maklum bahawa wujud langkah-langkah terancang yang sedang diusaha pihak-pihak tertentu untuk melemahkan kekuatan wakil rakyat terutama Ahli-Ahli Parlimen pembangkang termasuk dalam kalangan PKR.

“Ini sedang dilakukan dengan pendekatan ugutan dan umpan habuan sama ada berkait isu cukai pendapatan, siasatan polis dan SPRM atau melalui tawaran projek dan jawatan dalam GLC,” katanya.

Saifuddin percaya tindakan terdesak ini berlaku tatkala kerajaan sedia ada sudah hilang sokongan majoriti di Parlimen, dan dalam keadaan sidang Parlimen boleh diadakan sewaktu darurat berkuatkuasa.

“Pada masa yang sama, jelas di mata ramai bahawa kerajaan kini sudah tidak mampu menyelesaikan pelbagai masalah rakyat, sama ada berkait pendidikan, pekerjaan, mahupun kesihatan awam,” kata beliau.

Ini susulan titah YDPA bahawa parlimen boleh bersidang semasa darurat, ekoran itu pembangkang mula mendesak Muhyiddin segera menghadap Agong bagi menentukan tarikh yang sesuai.

Dalam masa yang sama Muhyiddin sudah kehilangan majoriti apabila tiga Ahli Parlimen BN menarik sokongan kepadanya, iaitu Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, MP Machang Ahmad Jazlan Yaakub dan MP Padang Rengas Nazri Aziz telah mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan PN. Keadaan kerajaan Muhyiddin seperti telur dihujung tanduk.

Asyraf enggan mohon maaf pada Maszlee

Shakira Buang

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki enggan memohon maaf kepada bekas menteri pendidikan Maszlee Malik dan bertegas mempertahankan kenyataannya sebelum ini berhubung isu buku teks Sejarah Tingkatan Empat.

Kata Asyraf, dia tidak pernah memetik nama sesiapa termasuk Maszlee Malik ketika membuat kenyataan mendesak KPM menarik balik buku teks itu.

Pun begitu, ketua pemuda Umno itu tetap mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai pihak yang bertanggungjawab 'mengagung-agungkan komunis' dalam buku tersebut.

“Cuba semak balik saya punya kenyataan, satu patah perkataan pun saya tidak sebut nama dia (Maszlee), saya hanya beritahu soal kandungan buku teks Sejarah Tingkatan Empat ini perlu di tarik balik dan perlu dipinda.

“Dan penulisan kandungan buku teks ini dimanipulasi dan berlaku zaman kerajaan Pakatan Harapan,” katanya mengulas desakan permohonan maaf dibuat oleh Maszlee.

Asyraf berkata demikian semasa sesi perbincangan yang disiarkan di laman Facebook Pemuda Umno Malaysia yang bertajuk ‘buku teks sejarah dimanipulasi-komunis pula diagungkan?, malam tadi.

Terdahulu, Maszlee berkata dia sudah mengarahkan peguamnya menghantar surat tuntutan undang-undang kepada Asyraf.

Ahli parlimen Simpang Renggam itu meminta Asyraf membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan kerana fitnah berhubung isu buku teks Sejarah Tingkatan Empat yang dibangkitkannya sebelum ini.

Maszlee menjelaskan proses penulisan buku teks itu sudah bermula pada tahun 2017 dan ketika itu menteri pendidikan Mahdzir Khalid daripada parti Umno.

Bagaimanapun, kata Asyraf semalam dakwaannya itu berdasarkan kelulusan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) pada 24 April 2018 dan kemudiannya perlu mendapat kelulusan kabinet bagi membolehkan proses pencetakkan.

Dakwa Asyraf, pada tarikh 24 April itu, kerajaan BN telah membubarkan parlimen dan jemaah kabinat BN sudah terbubar.

“Antara perkara menjadi pertikaian ataupun menjadi isu, yang peringkat Pemuda (Umno) sendiri cetuskan adalah apabila kita melihat apa berlaku dibawah kerajaan PH.

"Tapi ramai mengatakan Kementerian Pendidikan kata 24 April 2018 DSKP meluluskannya (zaman BN) maknanya sebelum kerajaan PH.

"Tapi, kena ingat parlimen dibubar pada 7 April 2018, persoalannya kalau sudah diluluskan di DSKP pada 24 April, saya difahamkan biasanya kabinet yang perlu meluluskan sebelum proses penulisan buku teks ini akan mula dilakukan dan akhirnya dicetak.

“...dan kena ingat percetakan buku teks untuk Sejarah Tingkatan 4 ini dibuat pada tahun 2019.

"Jadi, di antara April 2018 hingga 2019 proses penulisan itu berlaku bukan zaman kerajaan BN kerana Parlimen sudah terbubar, 24 April DSKP ini diluluskan sebagai asas untuk penulisan buku teks ini dan dicetak,” katanya lagi, malam tadi.

Untuk rekod, walaupun parlimen dibubar pada 7 April 2018 - ketika tempoh pilihan raya umum dari tarikh kempen ke hari mengundi - Malaysia masih ditadbir oleh kerajaan sementara (care taker) yang masih dikendalikan barisan kabinet BN yang sama.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 25 Feb lalu turut menegaskan buku teks sejarah tingkatan empat melalui proses kawalan mutu yang ketat merangkumi pelbagai proses, sebelum diperakukan sejak April 2018.

Proses-proses tersebut, kata KPM, melibatkan Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM, Jawatankuasa Peningkatan Mutu Buku Teks, Jawatankuasa Pembaca Luar dan Jawatankuasa Penilaian Teknikal 4 KPM.

Buku teks itu juga melibatkan pakar rujuk negara, Prof Madya Shamrahayu Aziz (UIAM); Prof Kamaruzaman Yusoff (UTM); Prof Emeritus Abdullah Zakaria Ghazali dan Dr Ho Hui Ling (UM); Prof Sivamurugan Pandian (USM); Prof Madya Rohani Abd Ghani (UKM) dan Prof Madya Bilcher Bala (UMS).

Maszlee fail saman terhadap Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi dan tuntut permohonan maaf secara terbuka

SITI NUR ZAWANI MISCON

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi susulan dakwaannya bahawa Pakatan Harapan (PH) cuba mengagungkan pengkhianat komunis sebagai pejuang kemerdekaan di dalam buku teks Sejarah tingkatan empat.

Maszlee menerusi satu siri Twitternya hari ini berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar surat tuntutan kepada Asyraf atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu juga menuntut Asyraf membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Saya memberi arahan kepada peguam supaya surat tersebut menuntut Dr Asyraf Wajdi membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan kerana memfitnah.

“Budaya politik fitnah jahat ini perlu dihentikan kerana ia sedikit pun tidak menguntungkan rakyat.

“Sepatutnya sekarang ahli politik perlu fokus bantu rakyat dan memulakan budaya politik khidmat, bukan mencari salah, menuduh dan menfitnah sesuka hati,” katanya

Terdahulu, Asyraf mendakwa Maszlee cuba memanipulasi fakta sejarah dalam buku teks tingkatan empat semasa pentadbiran PH selama 22 bulan.

Dakwaan itu disangkal Maszlee yang menjelaskan bahawa Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi tingkatan empat telah diperkenalkan pada tahun 2017 lagi yang ketika itu Menteri Pendidikannya dari parti Umno sendiri.

Beliau juga menasihatkan Asyraf untuk bertanya sendiri kepada menteri pendidikan Umno waktu itu sebelum mengeluarkan tuduhan melulu tanpa usul periksa.

Dalam pada itu Maszlee menerusi ciapannya berkata, tindakannya memfailkan saman itu diharap dapat menyedarkan semua pihak tidak kira parti, agar budaya fitnah jahat berunsur perkauman segera dihentikan.

Skandal 1MDB: Ambank setuju bayar RM2.83 bilion pada kerajaan

 Malaysiakini 

AMMB Holdings Berhad setuju untuk membayar RM2.83 bilion bagi menyelesaikan semua tindakan dan tuntutan tertunggak berkaitan penglibatan AmBank dengan 1MDB.

Perkara itu dinyatakan Kementerian Kewangan dalam kenyataan petang tadi.

Menurut Kementerian Kewangan, penyelesaian terbaru itu sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB, melibatkan semua pihak yang terlibat secara langsung dan juga tidak langsung.

"Ini susulan rundingan kerajaan yang berjaya memeterai penyelesaian RM15.8 bilion (AS$3.9 bilion) dengan Goldman Sachs pada Julai 2020.

"Penyelesaian ini tidak membebaskan entiti dan individu daripada dakwaan penglibatan mereka dalam 1MDB dan sistem keadilan jenayah akan meneruskan tindakan terhadap mereka," menurut kenyataan itu.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menyifatkan penyelesaian itu akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

"Langkah menyelesaikan isu ini menerusi sistem mahkamah akan memakan banyak masa, wang dan tenaga.

"Dengan penyelesaian ini, bayaran akan dipercepat, berbanding pertembungan di mahkamah yang panjang, dan ia dapat digunakan untuk menjelaskan obligasi (hutang) 1MDB," katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan berkata, sebagai sebahagian daripada terma penyelesaian di peringkat global, Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan mengarahkan AmInvestment Bank Berhad membuat langkah-langkah pembetulan, termasuk mewujudkan proses dan sistem untuk mengukuhkan proses due dilligence mereka.

Menurut kementerian itu lagi, jumlah penyelesaian itu tidak termasuk penalti RM53.7 juta yang dikenakan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada AmBank Group.

Ia juga menekankan penyelesaian di peringkat global tidak akan menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti ahli perniagaan Low Taek Jho, bekas pegawai perundangan 1MDB Jasmine Loo dan pihak berkaitan lain yang terbabit dalam skandal 1MDB.

Kementerian Kewangan juga menyatakan penghargaan kepada SC, Pejabat Peguam Negara, BNM, polis, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NAFCC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Governans, Integriti & Anti Rasuah Nasional atas usaha untuk mencapai penyelesaian itu.

Implikasi keputusan Mahkamah Agung dalam kes liwat

DR ZULQARNAIN LUKMAN

Kes Iki Putra bin Mubarrak v Kerajaan Negeri Selangor & Anor

1. Semalam ramai yang telah beri komen berkaitan kes di atas. Keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari menyatakan mana-mana negeri tidak boleh menggubal undang-undang yang dalam bidangkuasa Persekutuan. Dalam kes di atas, yang menjadi pertikaian adalah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 iaitu persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang.

2. Kesan pertama dalam kes ini adalah bahawa negeri tidak boleh menggubal undang-undang berkaitan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii seperti kesalahan liwat atau ityan al bahimah.

3. Bagi saya yang lebih penting adalah untuk melihat keseluruhan penghakiman Mahkamah Persekutuan yang menekankan peri penting hubungan Federalisme dalam Perlembagaan Persekutuan.

4. Perkara 73 sehingga 95E menjelaskan hubungan antara Persekutuan dan Negeri. Peruntukan ini menetapkan bidang kuasa Persekutuan dan Negeri untuk membuat undang-undang. Jadual Kesembilan Perlembagaan telah menggariskan perkara-perkara yang dalam bidang kuasa Persekutuan dan Negeri serta bidang kuasa bersama.

5. Peruntukan ini juga menjelaskan bahawa jika berlaku pertentangan dalam mana-mana undang-undang yang dibuat maka undang-undang yang digubal oleh Persekutuan akan mengatasi undang-undang yang dibuat oleh negeri dan undang-undang negeri itu akan menjadi tidak sah setakat wujudnya pertentangan itu.

6. Selain itu, Perkara 76 menyatakan bahawa Persekutuan juga boleh membuat undang-undang bagi pihak negeri dalam Senarai Kedua, Jadual Kesembilan jika ianya bertujuan untuk mewujudkan keseragaman undang-undang seperti yang ada sekarang adalah Kanun Tanah Negara dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

7. Perkara 76A pula membolehkan Parlimen untuk membuat apa-apa undang-undang yang memberikan kuasa kepada Negeri untuk membuat undang-undang yang berada dalam bidang kuasa Persekutuan. Dahulu pernah timbul cadangan semasa kerajaan Kelantan ingin membuat undang-undang Qisas dan Hudud dengan menggunakan peruntukan ini bagi membolehkan kerajaan negeri membuat undang-undang berkaitan bidang kuasa hukuman jenayah Syariah.

8. Selain itu, ramai juga yang mencadangkan supaya pihak kerajaan negeri dan Persekutuan duduk bersama untuk selesaikan hal ini. Bagi saya tak perlu pun untuk selesaikan perkara yang dah selesai. Lebih baik untuk selesaikan perkara yang belum selesai seperti tunggakan kes di Mahkamah Syariah, pemerkasaan institusi wasiat, hibah, wakaf, baitulmal dan Majlis Agama Islam sendiri.

9. Bayangkan jika institusi ini dapat diletakkan benchmark yang tinggi dari segi integriti dan pengurusan kewangan. Bayangkan kalau ada institusi wakaf yang mempunyai aset berbilion ringgit pastinya itu akan menjadi contoh teladan yang baik kepada semua kaum termasuk kaum bukan Islam.

10. Selain itu jika kita tengok jawapan rasmi dalam DUN Selangor pun menyatakan bahawa antara tahun 2013 hingga 2016 tiada pun sesiapa didakwa di bawah kesalahan persetubuhan di luar tabii ini. Lagipun bukannya pesalah liwat ini tidak boleh didakwa, mereka masih boleh didakwa tetapi pendakwaan kena dibuat di Mahkamah Sivil. Butiran itu boleh diperolehi dalam web kerajaan (klik di sini)

11. Jadi bagi saya tiada apa orang Islam perlu sedih atau dukacita dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini. Apa yang penting adalah apakah pelan masa hadapan? Pastinya, patuhilah Perlembagaan Persekutuan dan tak payahlah kita berdemonstrasi atau berhimpun kat mana-mana padang tapi akhirnya tiada hasil pun kepada umat Islam sedangkan banyak lagi ruang untuk Islam berkembang yang kita masih belum optimakan.

Penulis adalah peguam yang benyak terlibat dalam kes Mahkamah Syariah dan sivil.

2 polis antara 4 ditahan dalam siasatan ‘wang perlindungan’ RM500,000

Predeep Nambiar

GEORGE TOWN: Empat lelaki termasuk dua anggota polis ditahan reman untuk membantu siasatan berhubung “wang perlindungan” berjumlah RM500,000 daripada sindiket dadah di sini.

Sindiket itu dipercayai menerima wang untuk mendapat maklumat mengenai serbuan sejak beberapa tahun lalu.

Mahkamah Majistret membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat suspek berusia antara 23 hingga 43 tahun itu.

Difahamkan, seorang daripada suspek berpangkat asisten superintendan manakala seorang lagi lans koperal. Dua lagi suspek masing-masing pegawai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan seorang ahli perniagaan.

Dua anggota polis dan pegawai MBPP terbabit direman dua hari bermula hari ini, manakala ahli perniagaan berkenaan direman empat hari.

Peguam K Kumaran dan Muniandy Vestanathan mewakili anggota dan pegawai MBPP terbabit, tetapi ahli perniagaan itu tidak diwakili peguam. Permohonan reman dibuat di depan penolong pendaftar Muhammad Azam Md Eusoff.

Penganalisis ramal apa mungkin berlaku bila Parlimen bersidang

Nicholas Chung

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik meramalkan sokongan majoriti pemerintah akan dicabar apabila Dewan Rakyat kembali bersidang, tetapi dua pakar lain menjangkakan usaha itu akan dapat dipatahkan.

Azmi Hassan, sebelum ini di Universiti Teknologi Malaysia, berkata persidangan itu akan beri peluang kepada pembangkang untuk membuktikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Inilah sebabnya mengapa pembangkang mendesak Parlimen bersidang semula, katanya kepada FMT.

Desakan itu digalakkan lagi baru-baru ini apabila dua Ahli Parlimen Umno – Nazri Aziz dan Ahmad Jazlan Yaakub – mengumumkan tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Azmi Hassan.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong berkata Parlimen boleh dibenarkan bersidang semasa darurat, yang akan berkuatkuasa sehingga Ogos.

Beberapa pemerhati menjangkakan Parlimen akan bersidang bulan depan.

Sekiranya Muhyiddin benar-benar hilang sokongan majoriti, Azmi percaya kemungkinan besar Agong akan melantik seorang perdana menteri sementara dan Jemaah Menteri sementara untuk berkhidmat semasa darurat.

“Saya rasa Agong, dengan kuasanya semasa darurat, boleh beri peluang kepada parti-parti politik untuk sementara waktu membentuk suatu gabungan pemerintah sebelum pilihan raya umum,” katanya, mengambil contoh peristiwa di Itali baru-baru ini.

Namun James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania percaya nasib PN terletak di tangan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, yang boleh membenarkan atau menghalang usul undi tidak percaya dibentangkan.


James Chin.

“Andai PN tiada majoriti ringkas pun, hal itu mesti diuji di Parlimen dan untuk itu suatu usul undi tidak percaya diperlukan,” katanya.

“Dalam sistem Malaysia, Speaker memihak kepada perdana menteri.”

Sekiranya Azhar tidak membenarkan usul undi tidak percaya, Nazri dan Jazlan boleh duduk di barisan tengah dan tidak bersama pembangkang.

Chin menjangkakan sidang Dewan Rakyat akan ditangguhkan sehingga selepas Mac, memandangkan tarikh persidangan kebiasaannya ditetapkan perdana menteri.

“Muhyiddin akan cuba sedaya upaya untuk menangguhkannya,” katanya.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura meramalkan “tidak banyak” akan berlaku apabila Parlimen bersidang semula.

Oh Ei Sun.

Ini kerana pemerintah mengawal prosiding Parlimen dan dengan mudah boleh menyekat usul undi tidak percaya, seperti yang berlaku tahun lalu.

Namun, Agong boleh meminta Muhyiddin meletak jawatan sekiranya beliau tiada sokongan majoriti.

“Dalam demokrasi berparlimen ala Westminster tradisional, perdana menteri akan meletak jawatan secara terhormat atau mengadakan pilihan raya jika beliau merasakan Parlimen hilang kepercayaan terhadapnya,” katanya.

“Beliau bahkan tidak akan menunggu sehingga dikalahkan dalam undi tidak percaya.

“Tetapi jika langkah itu tidak berlaku, Agong boleh menjalankan tugas perlembagaan Westminsternya untuk menasihati atau mengingatkan perdana menteri agar segera mengambil tindakan yang betul dan terhormat,” katanya.

Sekiranya ini berlaku, kata Oh, kemungkinan perdana menteri baharu akan dilantik, bukan perdana menteri interim.

Perkasa dan Ibrahim diarah bayar ganti rugi RM150,000 kepada Guan Eng

SITI NUR ZAWANI MISCON

Mahkamah Persekutuan mengarahkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Presidennya, Datuk Ibrahim Ali untuk membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung kenyataan fitnah kumpulan itu yang diterbitkan pada Oktober 2011.

Memetik Malay Mail, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Datuk Nallini Pathmanathan pada September lalu telah mendengar rayuan Lim terhadap Perkasa dan Ibrahim, dengan dua hakim hari ini memutuskan untuk memihak kepada setiausaha Agung DAP itu.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal ketika membacakan ringkasan majoriti penghakiman berkata, pampasan sebanyak RM150,000 yang perlu dibayar oleh Perkasa adalah lebih dari wajar dan tidak berlebihan.

“Sebagai kesimpulan dan atas alasan yang disebutkan, pegawai awam ketika memfailkan saman sebagai individu, sama ada saman secara peribadi atau atas kapasiti rasmi, tidak menghalang untuk mengemukakan tindakan fitnah,” kata hakim ketika membaca ringkasan dalam talian melalui Zoom.

“Oleh itu, rayuan dibenarkan. Perintah Mahkamah Tinggi yang berkaitan dengan responden, telah ditetapkan,” katanya, ketika menetapkan jumlah RM150,000 yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Perkasa dan Ibrahim Ali.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Rahman Sebli juga membacakan keputusan minoritinya, di mana dia mengatakan bahawa rayuan Lim harus ditolak.

Terdahulu pada 2012, Guan Eng memfailkan saman fitnah terhadap Perkasa, Ibrahim, Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kassim, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan Utusan Melayu (M) Sdn Bhd.

Saman difailkan atas kenyataan yang dibuat oleh Ruslan dan disiarkan di laman web Perkasa pada 1 Oktober 2011 yang membayangkan Guan Eng membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara kepada Singapura.

Kesemua mereka kemudiannya mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan pada 2016, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Guan Eng yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang tidak boleh menyaman media kerana memfitnah atas kedudukan rasmi beliau.

Ini menyebabkan Guan Eng memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan tahun berikutnya.

Bagaimanapun, Utusan Melayu dan NSTP tidak mahu meneruskan tindakan mahkamah dan bersetuju membayar ganti rugi masing-masing berjumlah RM200,000 kepada Guan Eng.

Pada 2019, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran merayu yang dipohon Guan Eng untuk merujuk isu undang-undang dalam kes saman yang dikemukakan terhadap tiga pihak iaitu Perkasa, Ibrahim Ali dan Ruslan Kassim.

Muhyiddin akan lakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa

FAZLI RADZI

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad menegaskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Walaupun pada masa ini, PN hanya mempunyai 109 sokongan ahli Dewan Rakyat, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menutup saluran untuk menjatuhkannya.

“Muhyiddin sendiri pun kata mereka bukan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

“Tetapi apabila dapat kuasa maka dia akan lakukan apa sahaja yang perlu bagi mengekalkan kuasa termasuk gantung Parlimen supaya tiada saluran untuk jatuhkan dia sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata demikian dalam slot Bicara YB Khalid Samad (Siri 98) menerusi JOMchannel Facebook Live bertajuk “Darurat: Parlimen Bersidang Kembali?” malam tadi.

Beliau berkata, Parlimen masih boleh bersidang walaupun dalam tempoh Proklamasi Darurat bahkan boleh juga diprorog (digantung) atau dibubarkan terpulang pada keputusan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, ahli politik yang berpegang pada falsafah Machiavelli iaitu tokoh politik Itali, Niccolo Machiavelli abad ke-16 tidak peduli soal prinsip dan peraturan.

“Setelah dapat kuasa dia akan bertindak untuk mengekalkan dirinya berkuasa. Dia tidak kisah apa berlaku pada negara.

“Yang penting dia terus berkuasa kerana itulah matlamat politik bagi golongan yang mengikut falsafah Machiavelli.

“Ahli politik jenis ini mereka ada kepentingan. Apabila membentuk kerajaan, mereka membuat keputusan mengikut kepentingan mereka.

“Yang mana menentang seperti yang terbukti, boleh dibeli dengan jawatan, sogokan dan pelbagai lagi untuk berdiam diri mengikut kehendak sesiapa yang berkuasa.

“Oleh sebab mereka berkepentingan, maka sesuatu dasar adalah bagi menjamin kedudukan kuasa mereka berterusan,” tegas Khalid lagi.

Naib Canselor UPM ‘dicutikan’ tanpa sebab

SITI NUR ZAWANI MISCON

Naib Canselor UPM ‘dicutikan’ tanpa sebab

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman dilaporkan telah diarah bercuti selama sebulan sehingga 17 Mac depan.

Memetik akhbar Utusan Malaysia hari ini, Mohd Roslan ‘dicutikan’ bermula 18 Februrari lalu sehingga Mac atas sebab yang tidak diberitahu.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM, Prof Dr Daud Ahmad Israf Ali yang memberitahu telah menerima surat tersebut dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menerusi surat itu, KPT juga dilapor melantik Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Datuk Dr Zulkifli Idris untuk menjalankan tugas-tugas Naib Canselor.

“Kami terima surat daripada Menteri Pengajian Tinggi mengenai perkara ini iaitu diarahkan bercuti tetapi tidak diberitahu sebab-sebabnya,” katanya seperti dipetik akhbar Utusan.

Sementara itu, Dr Zulkifli yang dihubungi juga mengesahkan telah diarah menjalankan tugas naib canselor namun tidak mengulas lanjut.

Untuk rekod, Mohd Roslan dilantik sebagai naib canselor berkuatkuasa 1 September 2020 hingga 31 Ogos 2023 dan telah dipertanggungjawabkan menjalankan fungsi untuk jawatan itu sejak 1 Julai 2020.

Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM selama hampir tiga tahun serta menggalas jawatan pentadbiran dan akademik yang lain, antaranya Pengerusi Jemaah Pengetua Kediaman Pelajar UPM dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.

Beliau juga berjaya menerbitkan lebih daripada 200 hasil penyelidikan dalam jurnal berimpak tinggi.

Apa nak jadi penguatkuasa kat Malaysia ni

Pegawai kanan, 5 anggota polis dicekup ‘pesta dadah’ bersama 8 wanita

Shaq Ismail

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata semua mereka ditahan dalam serbuan 1.30 pagi oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

IPOH: Seorang pegawai kanan dan lima anggota polis antara 14 yang ditahan ketika berpesta dan berhibur dalam ‘parti liar dadah’ di sebuah pangsapuri di bandar ini pagi tadi.

Semua mereka ditahan dalam serbuan 1.30 pagi oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, pegawai kanan berusia 30-an dan lima anggota pelbagai pangkat berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu bertugas di kontinjen Perak.

“Ujian saringan air kencing dijalankan mendapati hanya pegawai terbabit dan empat angggota positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

“Dalam serbuan itu, kita turut menahan lima wanita tempatan dan tiga wanita Indonesia masing-masing berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Semua wanita tempatan dan dua wanita Indonesia yang ditahan itu didapati positif dadah,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, ketika ini polis sedang menyiasat sama ada premis digunakan mereka untuk berpesta disewa atau dimiliki individu yang ditahan.

Katanya, polis akan memohon perintah reman hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sindiket dadah tumpas

Dalam perkembangan berasingan, Mior berkata polis Perak berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga lelaki dan merampas 22.24kg dadah bernilai RM866,577 dalam tiga kes berasingan di Kamunting, Taiping, Ipoh dan perairan Pangkor.

Katanya, dalam tangkapan 1 pagi di sebuah rumah di Kampung Baru di Kamunting, kelmarin, oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, dua lelaki berusia 35 dan 26 tahun ditahan.

“Dalam tangkapan itu, kita merampas 110 peket plastik lutsinar dadah jenis heroin seberat 240g dan 6.77g syabu dengan nilai pasaran RM9,077.

“Tangkapan kedua pada 4 petang hari sama di kawasan Lapangan Symphony Business Park di Ipoh, JSJN IPK Perak menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang sedang menunggang motosikal.

“Ketika ditangkap, suspek cuba melarikan diri namun cubaannya gagal. Pemeriksaan menemui 10 peket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 4.5kg dianggarkan bernilai RM157,500,” katanya.

Beliau berkata, dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 17.5kg turut dijumpai terapung di perairan Pangkor pada 9.45 pagi, semalam.

Katanya, dadah yang diisi dalam guni itu dijumpai terapung oleh nelayan sebelum menghubungi polis.

“Pemeriksaan mendapati, terdapat 20 bungkus plastik serbuk teh dalam guni tersebut di mana daripada jumlah itu, 17 bungkus mengandungi dadah manakala selebihnya rosak kerana terendam dalam air.

“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM700,000,” katanya.

Umno akan luput jika terus bersama Bersatu - Fuad Zarkashi

MALAYSIA DATELINE

Umno tetap dengan pendirian tidak akan bersama dengan Perikatan Nasional (PN) khasnya Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang, kata Ahli Majlis Tertinggi Dr Mohd Puad Zarkashi, lapor The Malaysian Insight.

Ini kerana, Umno akan luput jika terus bersama dengan PN akibat dari tindakan tikam belakang dan tidak ada kesetiaan dalam politik.

“Umno tak akan jadi parti luput. Umno akan luput kalau terus bersama PN yang tidak ada kejujuran politik dan tikam belakang, maksudnya kalau kita biarkan diri kita ditikam belakang, itu namanya pondan politik,” katanya.

Katanya, Umno tidak akan bekerjasama dengan PN  bukan rahsia lagi selepas 118 daripada 190 bahagian Umno dalam mesyuarat mereka pada awal Januari meluluskan usul untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.

Sebelum itu, 147 ketua bahagian Umno dalam satu kaji selidik dalaman Umno menyatakan pendirian yang sama.

“Pada saya ia jadi rahsia terbuka. Bila ada keputusan 118 dari 147 (bahagian meluluskan usul tolak Bersatu) maksudnya putus hubungan.

“Patutnya Muhyiddin Yassin faham-fahamlah bahawa sebenarnya sudah ada keputusan. Pada saya pendirian Umno sudah jelas,” katanya dalam wawancara dengan The Malaysian Insight.

Puad berkata antara perkara yang menyebabkan Umno kecewa dengan Bersatu ialah apabila ketua kampung yang dilantik oleh PN tidak mahu memberikan kerjasama dengan pemimpin Umno di akar umbi.

Menurut Puad, Umno tidak semestinya bersendirian dalam pilihan raya akan datang sekiranya ia tidak bersama dengan Bersatu dan PN.

“Ramai salah faham menuduh Umno ini bila tak kerjasama dengan PN seolah Umno akan bertanding solo, bersendirian… tak semestinya begitu.

“Kita tak boleh ‘rigid’ macam itu sebab soal kawan politik kita boleh kawan dengan siapa saja. Yang penting pada saya, cari kawan politik yang lebih jujur,” kata beliau sebagaimana dilaporkan laman berita itu.

Agong boleh tentukan tarikh panggil, prorog atau bubar Parlimen tanpa nasihat PM

ZULHAZMI SHARIFF

Istana Negara hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) boleh bersidang ketika tempoh Darurat berkuatkuasa.

Perenggan 3 Kenyataan Istana Negara menyebut :

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat YAB Perdana Menteri.”

Ini sesuai dengan peruntukkan Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang memperuntukkan seperti berikut :

14 (1) – Bagi tempoh darurat berkuat kuasa –

(a) peruntukkan yang berhubungan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan; dan

(b) Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Walaubagaimanapun kenyataan menyebut atas nasihat Perdana Menteri.

Menjunjung kasih Ke Bawah Duli Tuanku, rasanya terdapat sedikit kekhilafan dalam kuasa memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen yang dimaksudkan di dalam kenyataan akhbar tersebut.

Dalam keadaan biasa di mana peruntukkan Perkara 55 Perlembagaan terpakai, kuasa memanggil, memprorog dan membubar Parlimen secara lazimnya adalah di atas nasihat Perdana Menteri.

Sekarang di dalam tempoh darurat berkuatkuasa di mana Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 terpakai malah Seksyen 14 (1) (a) khususnya menyebut bahawa peruntukkan memanggil, memprorog dan membubar tidak terpakai malah diperuntukkan sub-seksyen (1)(b), jelas bahawa kuasa untuk menasihat oleh Perdana Menteri tidak terpakai.

Justeru Tuanku YDPA boleh pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai memanggil, memprorog atau membubarkan Parlimen tanpa nasihat Perdana Menteri.

Jika masih memerlukan nasihat Perdana Menteri, peruntukkan Seksyen 14(1)(a) tidak perlu diletakkan.

Peruntukkan Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan YDPA hendaklah memanggil Parlimen bersidang manakala Perkara 55(2) memperuntukkan YDPA boleh memprorog dan membubarkan Parlimen tetapi peruntukkan Seksyen 14(1)(b) jelas memperuntukkan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan.

Beza perkataan “boleh” dan “hendaklah” amat ketara.

Orang lain mungkin berbeza pandangan dalam tafsiran undang-undang tapi ini tafsiran saya sekarang.

Kuasa di tangan Ke Bawah Duli Tuanku sepenuhnya. Panggil Perdana Menteri mengadap dan titahkan beliau memanggil Parlimen bersidang.

MUHYIDDIN DITANYA, SEMALAM MANA LEBIH SAKIT – KENA CUCUK VAKSIN ATAU TITAH AGONG PARLIMEN BOLEH BERSIDANG?

Nak tanya Muhyiddin, semalam mana yang lebih sakit. Kena cucuk vaksin atau Titah YDP Agong bahawa Parlimen boleh bersidang.

Tiba tiba angka COVID mencanak naik 3545 kes.

Perkara yang paling ditakuti oleh Muhyiddin dan PPBM ialah sidang Parlimen dan PRU. Silap langkah PPBM boleh meninggal.

Kehilangan Johor dan Perak di ketika PPBM amat berkuasa di Kerajaan pusat menghiris hati pemimpin PPBM.

PPBM memang runsing bila 147 Ketua UMNO Bahagian menolak kerjasama dengan PPBM.

Itu bermakna UMNO tetap bertanding di 16 kerusi lompat dari UMNO ke PPBM.

Maka apa yang tinggal untuk PPBM. Pagoh sendiri belum tentu dapat dipertahankan.

Apa jaminan bukan Melayu akan mengundi PPBM?

PPBM bukan parti akar umbi. Tun M rancang jika PH berkuasa, Cawangan UMNO automatik jadi cawangan PPBM.

Sekarang apa jadi? Boleh tanya tak, berapa cawangan PPBM di 16 kerusi lompat. Contoh Larut dan Mersing.

Saja tanya. Jangan saman pula.

DR. PUAD ZARKASHI

Ahli MT UMNO

(Gambar) Jumpa berguni wang dalam rumah sendiri

HASIF IDRIS

ORANG ramai membantu mengira wang yang dijumpai di rumah Biyok di Sumatera Barat. -INSTAGRAM

PADANG: Seorang warga emas teruja apabila menemui wang berjumlah 80 juta rupiah (RM22,925) di rumahnya di Kampung Tigo Diate, bandar Payakumbuh, Sumatera Barat. 

Lapor Tribunnews, Palyuri, 81, menemui wang tersebut ketika membersihkan rumahnya yang dipenuhi longgokan baju yang diberikan oleh orang ramai. 

Ketua Kampung Tigo Koto Diate, Musleniyetti berkata, orang kampung turut membantu mengeluarkan pakaian dan barangan milik warga emas itu yang mesra dipanggil Biyok. 

Katanya, wang berselerakan ditemui di dalam rumah Biyok dengan pecahan wang 100 (dua sen) hingga 100,000 rupiah (RM28).  

“Terdapat banyak wang di lantai, dalam pakaian, bawah bantal dan tilam. Banyak sangat wang yang dijumpai bermula dari 25 hingga 100 rupiah,” katanya. 

Menurut Musleniyetti, agak sukar untuk mengira wang tersebut kerana mengambil masa yang panjang. 

Malah, katanya, seramai lapan orang mengira wang tersebut pada hari pertama dan bertambah 16 orang pada hari kedua. 

“Wang itu akan disimpan di Bank Nagari atas nama lelaki itu dan masih terdapat beberapa guni wang yang masih belum dikira. 

“Setakat ini, kami kira jumlahnya sudah melebihi 80 juta rupiah, belum lagi wang di bank. Selepas dikeluarkan semua wang baru dihitung berapa jumlah keseluruhan,” katanya. 


Mengulas lanjut, beliau berkata, wang yang dikumpul Biyok bukanlah hasil meminta sedekah tetapi pemberian daripada orang lain. 

Jelasnya, lelaki itu dikenali kerana suka membantu walaupun tanpa diminta ketika majlis perkahwinan dan dia sering menerima penghargaan berupa wang tunai. 

Pesalah PKP kini berdepan denda RM10,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Individu yang melanggar peraturan ditetapkan perintah kawalan pergerakan (PKP) kini boleh didenda sehingga RM10,000.

Ini berdasarkan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021 yang baharu, diterbitkan di laman web Warta Persekutuan, hari ini.

Ordinan berkenaan turut menyatakan syarikat yang melanggar peraturan PKP boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM50,000.

Ordinan itu akan berkuat kuasa mulai 11 Mac.

Ordinan berkenaan turut merangkumi pindaan terhadap penalti umum mengikut Seksyen 24, dengan menyatakan mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah Akta itu, “yang tiada penalti diperuntukkan dengan nyata” boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tujuh tahun.

Selain itu, ia turut menyatakan orang yang diberi kuasa boleh mengarahkan pesakit Covid-19 atau kontak rapat untuk memakai alat pengesanan seperti gelang tangan atau peranti lain.

Ordinan itu turut menjadikan kesalahan untuk merosakkan peranti berkenaan.

Selain itu, bagi syarikat yang menyalahi PKP, wakilnya boleh didakwa di mahkamah.

Adun Sebatik keluar Warisan, sokong GRS

Malaysiakini 

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik Hassan A Gani Pg Amir daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini mengumumkan keluar parti atas alasan Warisan masih mengutamakan politik berbanding kesejahteraan rakyat.

Katanya beliau kini seorang Adun Bebas yang menyokong Kerajaan Negeri Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

"Saya melihat perkara yang diperlukan oleh negara pada hari ini adalah kestabilan politik. Kestabilan ini penting untuk memastikan kerajaan dapat memberikan sepenuh perhatian dalam menangani Covid-19 dan menjaga kesejahteraan rakyat.

"Saya amat berdukacita melihat pendirian Parti Warisan yang dilihat masih bermain dengan rentak politik Pakatan Harapan (PH) yang mengutamakan kepentingan politik berbanding kesejahteraan rakyat yang terbeban dengan isu Covid-19." katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di Kota Kinabalu hari ini.

Susulan tindakan Hassan A Gani menyokong GRS, gabungan itu yang dianggotai parti komponen Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah kini memiliki sokongan 48 Adun daripada keseluruhan 79 Adun negeri tersebut.

Hassan A Gani berkata antara punca yang amat mengecewakan dirinya ialah tindakan Warisan menolak Belanjawan 2021 di Parlimen yang menurut beliau jelas membelakangkan kepentingan rakyat terutama dalam usaha menangani Covid-19.

"Segala usaha dibuat kerajaan menangani Covid-19 memerlukan peruntukan melalui bajet yang dibentangkan… cukup-cukup sudah bermain politik, masa ini kesejahteraan rakyat perlu diutamakan," katanya.

Beliau berkata tindakan kepimpinan Warisan yang membelakangkan pemimpin dan ahli akar umbi termasuk Adun parti itu terutama dalam usaha menyuarakan kepentingan rakyat juga menyebabkan beliau mengambil keputusan meninggalkan parti berkenaan.

“Saya juga membuat keputusan keluar daripada Warisan demi membantu rakyat di kawasan yang saya wakili. Saya akan lebih senang membantu rakyat apabila menjadi Adun bebas yang menyokong kerajaan GRS," katanya.

Hassan A Gani berkata beliau membuat keputusan itu tanpa desakan mana-mana pihak dan percaya kerajaan negeri ditadbir GRS kini dapat membantu rakyat Sabah terutama penduduk di kawasan yang diwakilinya.

- Bernama

Sajat diminta beri kerjasama, serah diri

FMT Reporters

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang mengesan usahawan kosmetik, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36, bagi melaksanakan waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selasa lalu.

Nur Sajat dikenakan waran tangkap tanpa jaminan selepas gagal hadir ke mahkamah pada sebutan semula kesnya.

Harian Metro melaporkan Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima waran tangkap terbabit daripada mahkamah, semalam.

“Mahkamah mengeluarkan waran tangkap tanpa jaminan terhadap usahawan kosmetik itu.

“Jadi, saya sudah arahkan anggota penguat kuasa JAIS mencari dan menahannya untuk dibawa ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini Sajat masih belum ditahan dan pihaknya sedang berusaha mengesannya.

Katanya, JAIS menasihati Sajat supaya memberi kerjasama dan menyerah diri.

Terdahulu, Nur Sajat dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Menurut sumber, waran tangkap itu dikeluarkan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii.

Pada 6 Jan lalu, Nur Sajat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid SHaee @ Shaii.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat, pada 7.30 malam, 23 Feb 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kecoh!!! Kesalahan liwat yang digubal oleh DUN Selangor tidak sah

 FAZLI RADZI

Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara memutuskan kesalahan liwat yang digubal oleh Dewan Negeri Selangor adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah, kata Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Menurutnya, penghakiman Mahkamah Persekutuan hari ini antara lain memutuskan Dewan Negeri Selangor tidak mempunyai kuasa membuat undang-undang kesalahan jenayah syariah berkaitan dengan liwat.

“Walaupun Perlembagaan menyatakan ‘kesalahan melanggar perintah agama Islam’ adalah bidangkuasa DUN tetapi ia mesti tidak termasuk di dalam senarai Persekutuan yang menyatakan jenayah adalah bidangkuasa Persekutuan.

“Oleh itu, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, Zainul Rijal berpendapat kedudukan undang-undang syariah berkaitan liwat bagi negeri-negeri lain selain Wilayah Persekutuan juga adalah terjejas.

“Hal ini sangatlah mendukacitakan,” tegasnya.

Tambahnya, walaupun mahkamah hanya menyatakan Seksyen 28 tersebut sahaja tidak sah tetapi ia akan membuka ruang pada masa hadapan untuk dicabar peruntukan jenayah syariah yang lain.

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini susulan tindakan Iki Putra bin Mubarrak, 35, mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Dia sebelum itu didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di sebuah rumah di Selangor pada 9 November 2018.

Tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, Iki Putra telah mencabar peruntukan seksyen tersebut dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan jenayah. 

Titah Agong ‘mimpi ngeri’ buat Muhyiddin, halang kerajaan PN berkuasa penuh

FMT Reporters

PETALING JAYA: Titah Yang di-Pertuan Agong membenarkan persidangan Parlimen kembali diadakan dalam tempoh proklamasi darurat akan memberi kelegaan dan harapan agar amalan demokrasi berparlimen dapat disambung, sekali gus menghalang kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertindak sewenang-wenang.

Bekas Ahli Parlimen Sri Gading Ab Aziz Kaprawi berkata, sejak proklamasi darurat dilaksanakan, belum ada mana-mana peruntukan bawah Akta Darurat diguna pakai bagi menangani wabak Covid-19.

Justeru katanya, rakyat melihat pelaksanaan darurat hanyalah “lesen” kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk berkuasa sepenuhnya.

“Sepanjang tempoh darurat dan PKP yang diwartakan oleh kerajaan awal tahun lalu jelas menampakkan kelemahan dan kepincangan dalam menentukan SOP sehinggalah kepada perubahan pendirian mengenai pembukaan sekolah yang akhirnya menyusahkan rakyat.

“Rakyat sendiri mempersoalkan logik kerajaan apabila sedikit demi sedikit kelonggaran diberikan terhadap SOP, tetapi masih mewartakan majoriti negeri dalam keadaan perintah kawalan pergerakan,” katanya dalam kenyataan.

Agong berpandangan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh proklamasi darurat, iaitu pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai olehnya atas nasihat perdana menteri.

Menurut Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

Aziz berkata, beliau percaya melalui sidang Parlimen segala tindakan dan keputusan kerajaan dalam menghadapi krisis dapat disemak oleh Ahli Parlimen supaya tidak berlaku perkara yang melibatkan kepentingan politik atau peribadi dalam keputusan yang diambil.

“Titah Agong bahawa Parlimen boleh bersidang semasa darurat pada tarikh yang ditetapkan kelak amat di alu-alukan rakyat, terutama bagi memastikan sistem demokrasi berparlimen berjalan dengan sempurna.

“Hal ini amat penting dalam menghadapi tiga krisis utama yang melanda negara kita, iaitu krisis pandemik Covid-19, krisis ekonomi dan krisis kerajaan minoriti,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi mendakwa perkara paling ditakuti Muhyiddin dan PPBM adalah kebenaran sidang Parlimen dan Pilihan Raya Umum (PRU).

Katanya, sekiranya PPBM silap langkah, boleh memberi kesan kepada parti itu.

“Nak tanya Muhyiddin, semalam mana yang lebih sakit. Kena cucuk vaksin atau titah Agong bahawa Parlimen boleh bersidang.

“Tiba tiba angka Covid-19 mencanak naik 3545 kes,” katanya secara sinis di Facebooknya.

Puad berkata kehilangan Johor dan Perak di ketika PPBM amat berkuasa dalam kerajaan pusat menghiris hati pemimpin PPBM.

Katanya, PPBM memang runsing apabila 147 ketua Umno bahagian menolak kerjasama dengan PPBM.

“Itu bermakna Umno tetap bertanding di 16 kerusi lompat dari Umno ke PPBM,” katanya.

Puad berkata Muhyiddin juga belum pasti dapat mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh nanti.

“Maka apa yang tinggal untuk PPBM. Apa jaminan bukan Melayu akan mengundi PPBM?

“PPBM bukan parti akar umbi. Dr Mahathir Mohamad rancang jika Pakatan Harapan (PH) berkuasa, cawangan Umno automatik jadi cawangan PPBM.

“Sekarang apa jadi? Boleh tanya tak, berapa cawangan PPBM di 16 kerusi lompat. Contoh Larut dan Mersing. Saja tanya. Jangan saman pula,” katanya.

Setelah setahun memerintah, 20 soalan untuk Bersatu, Umno dan Pas

MALAYSIA DATELINE

Setelah setahun Bersatu, Pas dan juga Umno bergabung dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional, penyokong Pakatan Harapan khasnya AMANAH mengemukakan 20 untuk mereka.

Persoalan ini ditimbulkan kepada mereka kerana gabungan mendakwa mewakili 95 peratus pengundi Melayu dan Islam.

Mereka menamakan kesemua persoalan itu sebagai ‘Soalan rakyat’ untuk kerajaan Perikatan Nasional.

Kesemua 20 soalan itu adalah:

1. Adakah RUU 355 telah diluluskan?

2. Apakah harga barang turum?

3. Apakah harga minyak turun?

4. Apakah penjenayah rasuah dan salah guna kuasa didapati bersalah dan dihukum penjara?

5. Apakah arwah Adib telah dibela?

6. Apakah tidak berlaku murtad?

7. Apakah LGBT telah lenyap dari muka bumi Malaysia?

8. Apakah masalah air Kelantan telah selesai?

9. Apakah hutang Felda telah di hapuskan?

10. Apakah PTPTN telah dimansuhkan?

11. Apakah pinjaman kenderaan TANPA interest?

12. Apakah kilang arak telah ditutup?

13. Apakah tempat judi telah di tutup?

15. Apakah Tanah Rizab Melayu telah di kembalikan?

16. Apakah dadah di kalangan masyarakat Melayu telah selesai?

17. Apakah masalah penyakit seksual di Kelantan telah selesai?

18. Apakah tidak ada lagi penganggur Melayu Islam?

19. Apakah wanita telah terbela dan tidak ada lagi keganasan rumah tangga?

20. Apakah Pas, Umno dan Bersatu sudah berhenti dari mencipta alasan demi alasan.

“Sekarang baru kau tahu… Kau pun tak mampu buat. Takkan baru kawin nak beranak kan? Itu la alasan kamu akan guna,” kata mereka menyindir kerajaan PN terutama Pas itu.

Persoalan ini sekarang disebarkan di media-media sosial untuk disampaikan kepada penyokong Bersatu, Pas dan juga Umno.

Dakwa buku sejarah agungkan komunis - Maszlee sekolahkan Asyraf

Dr Maszlee Malik

Cerita hari ini, pagi-pagi lagi sudah kena fitnah.

Saya tengah sibuk menguruskan bantuan kepada anak-anak Simpang Renggam ketika ramai wartawan menghubungi saya, meminta pandangan balas kepada kenyataan Dr Asyraf Wajdi, Ketua Pemuda Umno.

Saya sangat tidak suka bergaduh dan bertengkar apatah lagi mencari salah orang lain ketika sepatutnya ahli politik perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada membantu rakyat yang tengah sengsara sekarang ini.

Dr Asyraf Wajdi sepatutnya lebih sedar situasi sekarang. Apatah lagi, beliau ialah sebahagian daripada Kerajaan yang memerintah.

Jika beliau nak tahu lebih lanjut tentang isu kurikulum Sejarah ini pun, beliau sebenarnya boleh menghubungi KPM dan minta penjelasan sebelum mengeluarkan kenyataan.

Tetapi itu tidak berlaku.

Tidak mengapa. Saya akan terangkan satu persatu untuk memahamkan Dr Asyraf Wajdi apa sebenarnya proses penggubalan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Untuk menggubal kurikulum sesuatu subjek, ia memerlukan proses yang panjang dan ia telah dijadualkan secara teratur.

Untuk pengetahuan Dr Asyraf Wajdi, kurikulum Sejarah telah disemak semula pada tahun 2014 dan dilaksanakan pada tahun 2017 bermula dengan murid-murid tingkatan satu.

Ini bererti, kohort murid-murid tingkatan satu pada 2017 akan memasuki tingkatan empat pada tahun 2020.

Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) ini sebenarnya telah diperkenalkan pada 2017 menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang mula dilaksanakan pada tahun 1989.

Kesimpulannya mudah, KSSM ini telah bermula pada tahun 2017, yang mana waktu itu Menteri Pendidikan adalah dari parti Umno.

Dr Asyraf Wajdi boleh bertanya sendiri kepada menteri waktu itu.

Proses penggubalan kurikulum sebenarnya mengambil masa beberapa tahun dan proses ini melibatkan panel pakar yang berpengalaman dalam subjek Sejarah.

Mereka terdiri daripada pakar sejarah terkenal dalam negara, pensyarah universiti, pensyarah Institut Pendidikan Guru, guru pakar dan guru-guru mata pelajaran sejarah.

Setiap kurikulum yang selesai digubal akan melalui proses ujian rintis di sekolah sebenar bagi memastikan kebolehlaksanaan kurikulum tersebut di samping mendapatkan pandangan guru-guru yang akan melaksanakan kurikulum tersebut.

Melalui ujian rintis tersebut, penambahbaikan akan dilakukan berdasarkan pandangan guru-guru.

Semua proses ini melibatkan beberapa fasa seperti pengkopsepsian kurikulum, pemetaan kurikulum, uji rintis & pelaksanaan Dokumen Standard Sekolah Rendah (DSKP) dan kursus penataran. Ini semua mengambil masa sekitar 3 hingga ke 5 tahun.

Amat mustahil untuk PH melakukan semua ini dalam masa setahun lebih memerintah.

Ini bermakna untuk buku teks yang dicetak pada 2019 dan digunakan pada tahun 2020, prosesnya bermula sejak 2014/2015 lagi.

Sekali lagi, saya nak beritahu kepada Dr Asyraf Wajdi, Menteri Pendidikan pada tahun 2015 adalah dari parti Umno. Boleh tanya beliau sendiri.

Saya juga ingin menarik perhatian Dr Asyraf Wajdi bahawa melalui KSSM yang dimulakan pada 2017, Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP) menetapkan kandungan KSSM Sejarah adalah berbentuk kronologi yang membincangkan perihal kehidupan masyarakat dan negara daripada aspek politik, ekonomi dan sosial.

Seperti dinyatakan di dalam DSKP; “Peristiwa sejarah disusun secara kronologi supaya murid dapat memahami proses perkembangan masyarakat dan negara yang menumpukan kepada pemahaman yang menyeluruh tentang pembinaan negara bangsa Malaysia bermula dari Zaman Prasejarah hingga kini. Ilmu tersebut membolehkan murid membuat perbandingan peradaban yang dicapai oleh negara luar dengan negara kita...,”

Dr Asyraf Wajdi juga boleh meneliti sendiri senarai Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah & Buku Teks Sejarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu Prof. Madya Shamrahayu Aziz (UIAM); Prof. Kamaruzaman Yusoff (UTM); Prof. Emeritus Abdullah Zakaria Ghazali dan Dr. Ho Hui Ling(UM); Prof. Sivamurugan Pandian (USM); Prof. Madya Rohani Abd Ghani (UKM) dan Prof. Madya Bilcher Bala (UMS).

Adalah lebih tepat sebenarnya jika Dr Asyraf bertanya kepada pakar-pakar ini, daripada menuduh saya dan PH secara membuta tuli.

Kesemua pakar yang diletakkan penghargaan di muka depan buku teks ini adalah pakar Sejarah di negara ini, dan sebahagiannya dikenali memang rapat dan condong dengan parti Umno.

Saya juga kepilkan di sini surat dan dokumen bukti yang menjelaskan bahawa KSSM ini telah diputuskan pada 2017 lagi, proses-proses selepasnya hatta sehingga zaman saya menjadi Menteri Pendidikan pun, ialah prosedur biasa.

Konklusinya jelas, cetakan 2019 ialah hasil daripada keputusan 2017.

Jadi saya berpendapat tuduhan melulu Dr Asyraf Wajdi yang menyalahkan pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan (PH) adalah sebuah komen kosong tanpa usul periksa.

Beliau menunjukkan sisi tidak mahir tentang proses dan tatacara penggubalan kurikulum oleh pihak KPM serta sebuah kecaman terhadap budaya kerja penjawat awam di KPM.

Untuk makluman Dr Asyraf Wajdi juga, selama 20 bulan ketika saya menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan, kerajaan PH memberikan kebebasan kepada profesional di dalam Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) KPM untuk meneruskan kelansungan pelaksanaan KSSM seperti yang dirancang melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2012-2025).

Langsung tidak ada campur tangan saya dan PH dalam proses ini walaupun saya tahu ada di kalangan Pakar Rujuk memang sangat cenderung kepada Umno.

Apa yang saya cuba lakukan dahulu adalah mengubah sistem pendidikan sedia ada secara besar-besaran dan menyelesaikan masalah-masalah yang sekian lama wujud seperti sekolah daif, murid cicir, pendidikan OKU dan banyak lagi.

Usaha ini dilaksanakan melalui penubuhan MPPK dan JKDPN yang hari ini terus terbantut.

Akhir kata saya ingin memberi nasihat kepada Dr Asyraf Wajdi supaya menyiasat, membuat usul periksa dan memahami proses dan tatacara gerak kerja penjawat awam dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan.

Takut nanti banyaknya tertembak kumpulan sendiri, luka dan jatuh kemudian menanam jasad sendiri.

Nota Tambahan:

Saya sedang berusaha membantu 500 anak-anak Simpang Renggam menyediakan kelengkapan mereka ke sekolah.

Saya mengalu-alukan bantuan ramai pihak untuk misi penting ini.

Sayap wanita muda Umno, pemuda Bersatu pula bercakaran

ZAMZANI HUSIN

Sayap wanita muda Umno, pemuda Bersatu pula bercakaran

Percakaran antara Umno dan Bersatu semakin memuncak dan bukan hanya melibatkan antara ahli majlis tertinggi parti sahaja.

Terbaharu, Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan membuat serangan balas terhadap kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menerusi hantaran di Facebook, Zahida mengingatkan Bersatu bahawa hidup mati Umno bukan berada di tangan parti serpihannya itu.

Ini gara-gara gesaan Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan supaya Umno akur bahawa parti itu bukan lagi menjadi kuasa besar dalam politik negara.

“Hidup mati Umno bukan di tangan kamu. Kamu boleh tanya pada rakyat dan lebih 3 juta ahli Umno, adakah parti ini sudah tidak relevan?

“Alhamdulillah, ‘pohon’ Umno masih kukuh dikuatkan oleh akar umbinya yang setia,” kata Zahida.

Tambahnya, Umno juga sudah biasa dengan serangan demi serangan pihak lawan.

“Parti keramat ini akan terus kuat, untuk terus memayungi rakyat dan negara.

“Kamu kata zaman Umno sudah berakhir. Ironinya, bos kamu dahulu Tun Mahathir (Mohamad) mengaku masih sayang Umno. Jadi, zaman siapa yang sudah berakhir?

“Kami sudah biasa dengan serangan demi serangan, tapi untuk melemahkan parti ini tidaklah mudah, tidak semudah ‘mencetak wang’,” tegasnya.

Untuk rekod, Umno dikatakan membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu dan dianggotai Pas selepas mesyuarat di Janda Baik, Pahang pada 19 Februari lalu.

Agong: Parlimen boleh bersidang ketika darurat

Malaysiakini 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah bertitah parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan perkara ini pada satu kenyataan hari ini.

"Perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (KuasaKuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.

"Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

"Perlu ditegaskan di sini bahawa perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat perdana menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini," kata kenyataan Istana Negara.

Ahmad Fadil Shamsuddin turut memaklumkan terdahulu Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Negara Senator Dr Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini.

"Dalam sesi menghadap ini, Seri Paduka Baginda telah menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip keluhuran perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak eksekutif, kehakiman mahupun parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut," kata kenyataan Istana Negara.q

"Dalam sesi menghadap hari ini, Seri Paduka Baginda juga mengambil maklum atas hal-hal sampingan berkaitan budaya, warisan dan etika tataperlakuan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melunaskan tanggungjawab berbahas dan bertindak agar sentiasa bersifat mulia dan dipandang tinggi," katanya lagi.

Majlis Raja-Raja akan putuskan status fahaman “Ibu Yati”, kata Jakim

FMT Reporters

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Abdul Aziz Jusoh berkata, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam sudah menyerahkan keputusannya mengenai status fahaman “Ibu Yati” yang dikatakan sesat untuk ditentukan Majlis Raja-Raja.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-118 minggu lalu.

“Setakat ini, saya tidak boleh mendedahkan keputusan muzakarah dan kita tunggu keputusan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan Covid-19 dan pelepasan konvoi bantuan bencana pasca banjir ke Kelantan, oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad.

Pada 2 Feb, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat, dilapor berkata Jabatan Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman sedang menyiasat kes membabitkan seorang wanita yang dikenali sebagai Ibu Yati yang didakwa membawa fahaman sesat.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan dilapor menasihatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan fahaman itu yang didakwa menggunakan lafaz syahadah pelik.

Timbalan Menteri kerajaan PN berucap dalam majlis Parti Komunis China

MALAYSIA DATELINE

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker telah menjadi tetamu dan seterusnya memberikan ucapan dalam majlis perhimpunan Parti Komunis China hari ini.

Menurut satu kenyataan dari MCA, Lian Ker dijemput berucap oleh Jabatan Antarabangsa, Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China mengenai isu “Penyatuan Nasional dan Kestabilan Politik”.

Ucapan yang dibuat secara online itu didengar oleh ribuan pemimpin Parti Komunis China yang memerintah negara itu sekarang.

Ti Lian Ker juga adalah Timbalan Menteri Perpaduan Negara yang dilantik dalam Kabinet Malaysia 2020.

Beliau menggantikan Datuk Seri Tiong King Sing yang kemudiannya dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Negara China.

Beliau merupakan Ahli Dewan Negara Malaysia yang dilantik bagi mewakili Dewan Undangan Negeri Pahang pada 2018 lalu.

Pada 5 Mei 2020, beliau telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara di Istana Negara bersama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Azam Baki.

Pergelutan politik PN ‘jauh lebih teruk’ berbanding PH

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Perbalahan dalaman Perikatan Nasional (PN) jauh lebih teruk berbanding pertelagahan Pakatan Harapan ketika menerajui kerajaan, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau mendakwa dalam kes PN, “hampir setiap hari dan minggu”, parti sekutu dalam kerajaan terbabit dalam “perbincangan dan usaha” menjatuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

“Dahulu, kita sering dituduh kerajaan PH ini tidak stabil, ada masalah pergelutan antara dua pemimpin tertinggi dan saya akur memang ada.

“(Tetapi) kalau dulu teruk, sekarang jauh lebih teruk dalam pergelutan politiknya kerana setiap minggu, setiap hari akan ada perbincangan untuk tarik sokongan supaya kerajaan (PN) jatuh,” katanya dalam wawancara Sinar Harian malam tadi.

Beliau berkata, kerajaan PN tidak akan berupaya memberi fokus kepada usaha memerangi Covid-19, sekiranya krisis politik dan gerakan menjatuhkan kerajaan berterusan.

Katanya, pengurusan Covid-19 di bawah Dzulkefly Ahmad sebagai menteri kesihatan di bawah pentadbiran PH jauh lebih baik berbanding Dr Adham Baba di bawah kerajaan PN.

“Dzulkefly menangani Covid-19 menggunakan data dan sains, tapi saya tahu keputusan yang dibuat (hari ini) tidak berdasarkan sains dan data.

“Jadi, kalau (PN) ada maruah, ini masa terbaik (kerajaan) ‘u-turn’ (dan) ubah balik keputusan (cara mengendalikan Covid-19),” katanya.

Antara yang perlu dikaji semula, menurut Syed Saddiq, adalah SOP yang sering dipertikaikan rakyat.

Beliau yakin jika PH masih menerajui Putrajaya, Parlimen tidak akan digantung dan institusi demokrasi tidak dilemahkan sepertimana yang dilakukan kerajaan PN ketika ini.

Dalam wacana itu, Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin menepis tuduhan kerajaan PN gagal menguruskan Covid-19 dengan baik sehingga rakyat terabai dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Beliau turut menempelak kebolehan PH memerangi Covid-19, jika masih berkuasa.

“Kalau pentadbiran sebelum ini (PH) yang memerintah sekarang, saya tidak yakin mereka dapat umumkan belanjawan dan bantuan rakyat sebesar (kerajaan PN) ini.”

Beliau berkata, zaman PH “tidak ada krisis kesihatan, tidak ada krisis ekonomi, yang ada hanya krisis siapa nak jadi perdana menteri”.

“Tetapi, kerajaan hari ini kita kekal fokus nak majukan kehidupan rakyat dan berdepan krisis dan pulihkan ekonomi kembali,” katanya.

Pengkhianatan Akan Tumbang

AMK

1. Hari ini genap setahun mandat rakyat dikhianati melalui Langkah Sheraton yang telah menodai demokrasi didamba rakyat sejak sekian lama dan sekaligus telah memporak perandakan negara pada hari ini.

2. Langkah Sheraton yang didalangi pengkhianat bersama kuncu-kuncu mereka hingga tertubuhnya Perikatan Nasional merupakan bukti jelas bahawa semua itu sudah dirancang berbulan-bulan lamanya. Sabotaj dalaman ini telah menjawab pertikaian terhadap beberapa keputusan Kerajaan Pakatan Harapan ketika itu yang tidak selari dengan perjuangan reformasi.

3. Jika turut diimbas banyak kenyataan Tun Dr Mahathir dari sebelum Langkah Sheraton hingga kini yang membelakangi janji, tidak menjiwai agenda reformasi serta berterusan menyerang Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah pasti menguatkan dakwaan bahawa beliau juga adalah sebahagian daripada watak utama yang mengkhianati Pakatan Harapan.

4. Di atas dasar ini, AMK Malaysia telah mengambil jalan tegas dan berprinsip demi mempertahankan agenda reformasi dengan memfokuskan kepada isu-isu rakyat terutamanya ekonomi dan anak muda.

5. Kini dengan siri kegagalan dan kecelaruan Perikatan Nasional dalam mengendalikan krisis COVID-19, amalan 2 darjat prosedur operasi standard (SOP), pelaksanaan darurat yang menjadi pertikaian, dan pendidikan negara yang semakin cacamarba bukan sahaja membebankan rakyat, bahkan telah mencalarkan imej Malaysia di pentas antarabangsa.

6. Maka tidak hairanlah ekonomi negara kian merudum dengan kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) sehingga 68%, keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang menguncup hingga -5.6% jauh dari unjuran Menteri Kewangan, penurunan penarafan kewangan oleh Fitch Rating dari A- kepada BBB+ serta Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang jatuh 6 anak tangga ke kedudukan 57.

7. Resam pengkhianatan tidak akan bertahan lama dan pasti tumbang. Rakyat akan bangkit memadamkan detik hitam demokrasi Malaysia dengan memilih parti yang tulen dan ikhlas membawa obor perjuangan reformasi demi manzahirkan Malaysia Baru yang sebenar pada Pilihanraya Umum ke-15 nanti.

AKMAL NASIR

Ahli Parlimen Johor Bahru

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Buku ’30 Dalil Zahid kena letak jawatan’ kini sampai ke rumah ahli Umno

MALAYSIA DATELINE

Buku ’30 Dalil Zahid kena letak jawatan” kini dikatakan sudah sampai kepada rumah ahli-ahli Umno di peringkat bahagian dan cawangan seluruh Malaysia.

Menurut sumber, buku bercetak itu dihantar dengan menggunakan khidmat pos dan kurier terus ke rumah pemimpin dan ahli Umno di peringkat akar umbi.

Sebelum ini buku itu dibuat dengan pdf sahaja namun ia tidak menarik minat untuk dibaca dan tidak sampai ke akar umbi Umno.

“Ini mesti kerja orang dalam Umno sendiri kerana hanya mereka yang mempunyai alamat dan data ahli Umno,” kata salah seorang penerima buku itu kepada Malaysia Dateline.

Menurut pandangan beliau, selain orang dalam, kumpulan yang mungkin melakukan kerja-kerja ini adalah Kluster Menteri iaitu pemimpin Umno yang berada dalam kerajaan PN sekarang.

“Orang yang paling mungkin adalah bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa kerana dia mempunyai akses kepada data keahlian Umno sebelum ini,” kata beliau lagi.

Annuar telah dipecat sebagai Setiausaha Agung Umno dan digantikan oleh Datuk Ahmad Maslan. Beliau juga dipecat dari jawatan sebagai Setiausaha Agung BN baru-baru ini.

Sumber itu yakin, ada pihak-pihak yang terlibat dalam operasi untuk menjatuhkan Zahid ini kerana beliau adalah penghalang utama usaha untuk membolehkan Umno bekerjasama dengan Bersatu dan Pas dalam pilihan raya umum akan datang.

“Hanya dengan kerjasama Umno sahaja pertembungan satu lawan satu antara PN + BN melawan PH boleh berlaku bagi mengalahkan PH dalam PRU akan datang.

“Jika tiga penjuru antara PN, BN dan PH, PH akan menang lagi dalam PRU akan datang,” kata sumber itu.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Janda Baik baru-baru ini mengambil keputusan untuk tidak bekerjasama dengan PN dalam pilihan raya umum akan datang selari dengan keputusan mesyuarat Umno Bahagian Januari lepas.

Keputusan itu dicapai walaupun cuba dibantah oleh pemimpin Umno yang pro PN.

Buku ini dipercayai sebagai sebahagian dari kempen untuk menjatuhkan Zahid dan digantikan oleh pemimpin yang boleh bekerjasama dengan PN.

Tajuk asal buku dalam bentuk PDF itu adalah “30 Dalil Mengapa Zahid Perlu Letak Jawatan sebagai Presiden UMNO”.

Sebuah laman web, Thecoverage.my menyiarkan kandungan penuh buku itu dengan tajuk “30 Dalil & Dosa Mengapa Zahid Hamidi Perlu Berundur Dan Dijatuhkan Sebagai Presiden UMNO”.

Kesan sampingan vaksin termasuk sakit kepala, bengkak, demam, menggigil

Kesan sampingan seperti sakit dan bengkak di tempat suntikan, keletihan, sakit kepala, demam dan menggigil adalah gejala biasa dialami penerima vaksin Covid-19 Moderna dan Pfizer-BioNtech, lapor Agensi Berita Xinhua memetik CNBC dalam laporan kesihatan baru-baru ini.

Mereka yang mengalami kesan sampingan itu boleh mengambil pil penahan sakit OTC untuk mengurangkan gejala, kata CNBC, merujuk saranan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan itu adalah sesuatu yang biasa bagi tubuh manusia mengalami kesan sampingan kerana sistem imunisasi tubuh berfungsi untuk mempersiap dan melindunginya daripada virus menerusi proses "peradangan terkawal," semasa vaksin mRNA bertindak balas.

Bagi mengurangkan kesan sampingan yang mungkin sangat serius dalam beberapa kes, CDC AS berkata orang ramai boleh mengambil ubat penahan sakit OTC seperti ibuprofen, aspirin, antihistamin atau asetaminofen. Namun, agensi itu menyarankan mereka mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

CDC AS bagaimanapun tidak menyokong pengambil pil tersebut sebelum menerima suntikan kerana ia boleh melemahkan tindak balas sistem imun terhadap vaksin.

Cara lain yang boleh digunakan untuk mengurangkan kesan sampingan termasuk tuam dengan kain lembap dan sejuk di tempat suntikan untuk menghilangkan rasa sakit, minum banyak air jika demam, dan memakai pakaian tipis.

Laporan itu menyatakan lebih ramai akan mula mengalami kesan sampingan selepas menerima suntikan kedua kerana suntikan pertama hanya merangsang tindak balas imun manakala yang kedua untuk meningkatkannya.

- Bernama

Lelaki ludah adunan roti ditangkap polis

MetroUtama

Agensi

New Delhi: Tindakan seorang lelaki meludah di dalam adunan roti mengundang padah apabila dia ditahan polis di Meerut, Uttar Pradesh, Ahad lalu.

Guf News melaporkan, lelaki itu ditahan selepas video perbuatannya itu tersebar di internet yang menimbulkan kemarahan orang ramai.

Rakaman berkenaan menunjukkan Sohail meludah ke dalam adunan roti yang siap diuli sebelum dibakar dan dihidangkan di sebuah majlis perkahwinan.

Kejadian itu dirakam seorang individu sebelum dimuat naik di media sosial.

Menurut Ketua Hindu Jagran Manch, Sachin Sirohi, Sohail ditahan pihak berkuasa dan dituduh menyebarkan koronavirus.

Jurucakap polis berkata, dia akan menjalani ujian Covid-19 dan tindakan lanjut akan diambil selepas laporan penuh diperoleh.

Di dalam video yang tular, Sohail dilihat akan meludah setiap roti yang siap diuli sebelum diletakkan di dalam pembakar.

Selepas itu dia akan menghantarnya sebagai hidangan kepada tetamu.

Video itu mengundang reaksi marah netizen yang menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak wajar dan pelakunya perlu dikenakan tindakan tegas.

Apa beza RUU355 semasa Pas jadi pembangkang dan kerajaan?

MOHD ALI HASHIM

Apabila Timblan Presiden Pas menyatakan bahawa bukan mudah untuk membawa Rang Undang-Undang (RUU) 355 kerana perlu melalui Raja-Raja serta pelbagai halangan dan kekangan Perlembagaan menjadi satu persoalan kepada umum apakah ianya mudah semasa, menjadi pembangkang dan amat berbeza semasa menjadi sebuah kerajaan.

Malah semasa menjadi kerajaan, RUU 355 itu dikatakan menjadi urusan muamalat dan bukan lagi urusan akidah.

Demikian tanda tanya yang dilontarkan Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

“Alasan itulah yang dibawa dan dibahaskan berkali-kali sebelum ini setelah mereka menganggap RUU 355 sebagai akidah dan orang lain pula dikecam sebagai munafik, sedangkan tiada langsung rasa bersalah dengan pelbagai kecaman yang pernah dibuat sebelum ini.

“50,000 yang dikatankan hadir di Padang Merbok sehingga kelihatan sebagai ‘ lautan ungu’ merupakan satu kemuncak momentum perjuangan RUU 355 dan diraikan dengan penuh semangat kegembiraan seolah-olah matlamatnya telah menjadi realiti.

“Sudah pasti diyakini kerana turut hadir adalah Mufti Wilayah Persekutuan yang dilihat sebagai berilmu, sederhana dan zuhud serta tarikan pelakon veteran Mustafa Kamal yang juga memeriahkannya dan merupakan kemuncak momentum,” ujar beliau.

Malah katanya lagi, tidak harus dilupakan sebelum ini surah dan ayat-ayat orang munafik dibaca dan dikhatam berulang kali secara literal terjemahannya yang membawa maksud menolak RUU 355 adalah sebagai golongan munafik.

Tambahnya, harus difahami bahawa politik sememangnya termasuk dalam sendi atau juzuk agama, namun begitu politik bukan berada dalam juzuk aqidah kerana ia berada dalam juzuk muamalat.

Menurut Dr Zaidi lagi, walaupun benar RUU 355 merupakan urusan politik dan urusan agama, tetapi ia bukannya urusan mahu pun juzuk akidah dan tatkala ia dimasukkan sebagai juzuk akidah, maka ia dibaca dan dikhatam surah dan ayat-ayat munafik acap kali seolah-olah menghukum yang terkeluar agama sepertimana amaran yang dilontarkan suatu ketika ‘kalau Kak Wan mati pada masa itu, kami tanam di Jirat Cina’.

Bapa berdepan 67 tuduhan rogol anak berusia 14 tahun dan rakan anaknya

Malaysiakini

Seorang lelaki berusia 42 tahun akan menghadapi 67 tuduhan jenayah merogol anak kandungnya dan rakan sekolah yang berusia 14 tahun.

Menurut Ketua Polis Klang Selatan Shamsul Amar Ramli, suspek telah merogol anaknya sejak dia berusia 10 tahun empat tahun lalu.

Dia akan didakwa di Mahkamah Sesyen Klang esok dengan sembilan tuduhan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, suspek juga akan didakwa dengan 58 pertuduhan bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan kerana kesalahan sumbang mahram yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Shamsul berkata dalam kes pertama, siasatan mendapati suspek mengajak rakan anaknya ke rumah di Klang pada 7 Januari.

"Kemudian suspek telah menolak mangsa ke atas katil dan merogol. Selepas itu, dia berpesan supaya tidak beritahu sesiapa.

"Bagaimanapun, mangsa memberitahu insiden tersebut kepada seorang rakan bernama Natasha (bukan anak suspek) dan Natasha telah memberitahu kepada ibu mangsa.

"Mangsa dibawa ke balai buat laporan," kata Shamsul pada kenyataan hari ini.

Selepas itu, anak perempuan suspek, ditemani oleh ibunya, juga membuat laporan setelah mengetahui bahawa rakannya membuat laporan polis.

Dia mendedahkan bapa kandungnya itu telah merogol dirinya sejak berusia 10 tahun dengan insiden terbaru didakwa berlaku pada bulan lepas.

Suspek merupakan penjual air tebu mempunyai dua rekod jenayah termasuk kesalahan berkaitan dadah.

‘Bersatu di tempat duduk pemandu, Umno sebagai abang besar bimbang’

SITI NUR ZAWANI MISCON

Sebarang kerjasama yang mungkin dilakukan antara Bersatu dan Umno, hanya akan menguntungkan sebelah pihak sahaja, kata pemerhati politik Kim Quek.

Beliau berkata, tidak mungkin kerjasama itu akan bertahan, apatah lagi berjaya.

“Gabungan Perikatan yang bekerjasama pada saat-saat akhir pada satu tahun yang lalu di antara Bersatu, Pas dan Umno adalah untuk satu tujuan iaitu merebut kuasa dari Pakatan Harapan.

“Sekarang, Bersatu yang kecil sudah berada di tempat duduk pemandu dengan semua kuasa yang ada. Umno sebagai abang besar sememangnya bimbang.

“Seiring berjalannya waktu, Bersatu akan bertambah besar dan kuat sementara pengaruh Umno akan berkurang,” katanya yang juga penganalisis politik dan undang-undang.

Sementara itu Kim Quek berkata, Umno tidak mempunyai pilihan lain selain perlu bekerjasama dengan gabungan lain sekiranya mahu bertahan dan berkembang maju.

Beliau juga mengingatkan bahawa pemimpin dan ahli Umno perlu melihat suasana politik secara serius dengan mengambil kira dengan siapa mereka boleh bekerjasama untuk berhadapan pilihanraya.

“Cari siapa di antara kumpulan berkuasa yang boleh bekerjasama untuk mewujudkan bukan sahaja kuasa memerintah, tetapi juga kejayaan jangka panjang untuk negara,” tambahnya lagi.

Perang Bersatu-Umno meruncing: Faiz panggil Puad makhluk bukan mangkuk!

ARIF ATAN

Krisis antara Umno dengan parti serpihannya, Bersatu terus panas apabila ahli majlis tertinggi parti masing-masing berterusan berperang secara terbuka ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) makin hampir.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman hari ini menyelar Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang dianggapnya tidak puas hati dengan Muhyiddin Yassin.

Faiz mendakwa Puad kerap menyerang apa sahaja yang berkaitan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.

Bahkan, dua kali Faiz memanggil “makhluk” merujuk kepada Puad yang dilihat mencerminkan kemarahannya terhadap bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu.

“Bukan PM (Perdana Menteri) saja, malah hampir semua elemen yang berkait kerajaan PN dan parti Bersatu dihentam secara terbuka sejak berbulan-bulan lalu oleh makhluk (bukan mangkuk) bernama Puad Zarkashi ini.

“Tuduhannya seringkali tanpa asas atau bukti hingga memaksa pihak PM tiada pilihan lain selain mengambil tindakan undang-undang.

“Jadi Puad, apa masalah peribadi kamu dengan Tan Sri Muhyiddin sebenarnya? PM tidak perlu buang masa untuk melayan makhluk seperti kamu ini berdebat kerana pemimpin negara kita itu sibuk dengan urusan rakyat yang lebih patut diberi perhatian,” berangnya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Bersatu pada masa ini mempunyai 31 kerusi termasuk kumpulan Azmin Ali dari PKR yang mengkhianati kerajaan Pakatan Harapan (PH) genap setahun lalu menerusi Langkah Sheraton manakala Umno mempunyai 39 kerusi Parlimen.

Mengulas lanjut, Faiz yang berkelulusan doktor perubatan itu mendakwa banyak pihak tahu sikap Puad yang kerap melemparkan tuduhan, ejekan, dan kata-kata nista terhadap Muhyiddin sejak tertubuhnya kerajaan PN.

“Terlihat watak yang kalah di tempat sendiri dalam PRU lalu itu bagaikan mempunyai dendam peribadi dengan Presiden parti kami (Bersatu).

“Lebih-lebih lagi setelah ‘Tuannya’ (bekas Presiden Umno yang juga Pengerusi BN) Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana korupsi kes terkait 1MDB.

“Dari situ Puad cuba mencipta persepsi seolah-olah Tan Sri Muhyiddin yang sengaja ‘mengenakan’ bekas Perdana Menteri kesayangannya tersebut,” tempelaknya.

Serangan Faiz itu selang dua hari selepas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan menganggap Faiz seolah-olah ada ‘assignment’ untuk mempersoal dan menyerang Umno secara terbuka.

Shahril berkata demikian selepas Faiz mendesak Umno untuk mendedahkan keputusan rasmi mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Akademi Umno dekat Janda Baik, Pahang pada 19 Februari lalu.

“Hairannya tidak pula Ketua Penerangan Umno saudara Shahril Hamdan menganggap Puad bagaikan ada ‘assignment’ khusus untuk menghentam PM kerajaan yang sedang disokong partinya sendiri,” bidas Faiz kembali.

Menjahanamkan perpaduan

Bernada lebih garang Faiz yang juga ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bahkan mengaitkan Puad sebagai individu yang menggagalkan perpaduan kuasa politik Melayu-Muslim-Bumiputera.

“Jika mahu lihat watak mana yang mahu menjahanamkan perpaduan kuasa politik Melayu-Muslim-Bumiputera yang membentuk kerajaan Malaysia hari ini, mustahil kalian tidak nampak perangai si Puad ini sejak dari awal lagi cukup ghairah ‘friendly fire’ kerajaan sendiri.

“Bayangkan jika ada ahli MPT Bersatu hentam Presiden Umno secara terbuka kerana beliau tandatangan akuan bersumpah (SD) menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar jadi PM ketika Covid-19 sedang mengganas, sudah tentu kami diherdik sebagai ejen pemecah belah pula.

“Puad perlu tahu pihak mana yang bersungguh-sungguh berulang-alik ke rumah Tan Sri Muhyiddin bagi memujuk Bersatu agar membentuk kerajaan PN.

“Tidak pula yang memujuk itu letak syarat mahu jawatan apa setelah kerajaan terbina kelak. Asalkan dapat tumbangkan kerajaan PH dan menghalang proksi DAP naik jadi PM, itu matlamat asalnya,” kata Faiz.

Sehubungan itu, dia dilihat mengungkit sikap beberapa pemimpin Umno mendendangkan cerita kononnya kerajaan PN tidak adil terhadap parti mereka.

Sejak awal lagi, Bersatu dan Umno ‘tidak sebulu’ dan dilihat saling mahu mendominasi.

Ekoran Perdana Menteri disandang Muhyiddin dari Bersatu, portfolio kementerian yang paling penting dikuasai parti bunga raya itu walaupun Umno mempunyai paling banyak kerusi Parlimen.

Mengulas lanjut, Faiz menganggap akar umbi Umno yang rasional pun mampu menilai keikhlasan watak-watak warlords mereka yang sering membalun kerajaan sendiri.

“Jujurlah, saya nak tanya, tidak adil kepada Umno atau tidak memenuhi hasrat peribadi yang mendakwa itu?

“Jika kemaruk sangat nak berdebat biarlah dengan watak yang sama tahap. Rakyat lagi meluat jika kita semua gila berpolitik,” katanya yang pernah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur itu.