Perwakilan setuju tolak Bersatu, gesa tindakan tegas unsur 'khianat' parti

Malaysiakini

PAU 2021 | Walaupun belum dimuktamadkan, pendirian Umno untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang sudah diketahui umum.

Malah sepanjang Perhimpunan Agung Umno (PAU) hari ini, ucapan para pemimpin turut mengekalkan nada seperti itu, antaranya Timbalan Presiden Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki.

Begitu juga dengan sejumlah perwakilan Umno yang ditemui Malaysiakini di PWTC, Kuala Lumpur hari ini. Bagaimanapun ada yang menyatakan pandangan berbeza berhubung langkah seterusnya yang perlu diambil parti itu.

Exco Pemuda Umno Farhan Khairudin tidak menolak kerjasama dengan mana-mana parti, termasuk Pakatan Harapan (PH), namun menegaskan ia tidak boleh sehingga melanggar dasar parti.

“ Umno hanya akan berkerjasama dengan mana-mana pihak yang menerima falsafah dan prinsip Umno. Itu jelas.

“Kalau PKR dan DAP tidak boleh terima prinsip Umno, tak mungkin kami berkerjasama dengan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, bagi Perwakilan dari Seangor, Omar Al-Khattabi dan Exco Pemuda Kuala Kangsar Mustafa Shah Abdul Hamid, mereka mahukan parti itu bergerak sendiri pada PRU akan datang.

“BN yang sebelum mentadbir masih cukup kuat. BN tak sempurna tapi gabungan ini yang terbaik,” kata Mustafa.

Jelas Omar pula, partinya hanya perlu membuat keputusan berhubung gabungan dengan mana-mana parti politik selepas PRU.

“Pendirian kami hanya dengan BN, selepas pilihan raya baru putuskan kerjasama dengan siapa. Itu bergantung selepas pilihan raya,” jelasnya.

Ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pagi ini, Mohamad sekali lagi mengulangi gesaan agar kerjasama dengan Bersatu ditamatkan.

Jelas merujuk Bersatu, dia berkata "pemimpin serpihan parti Melayu yang baru setahun jagung" tidak perlu membangkitkan perpaduan ummah dengan Umno apabila mereka sendiri tiada rekod dalam soal itu.

Asyraf pula membangkitkan PAS yang mempertahankan kerjasama dengan Bersatu sebagai "bermadu" dan melukai Umno.

Pada masa sama, dia menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi agar tidak menandatangani "watikah" untuk pemimpin parti itu yang bersikap hipokrit.

Ia dipercayai merujuk kepada watikah pencalonan sebagai calon BN bagi PRU ke-15 nanti.

Tindakan tegas untuk ahli khianati parti

Mengulas ucapan Asyraf, perwakilan dari Kuantan, Muhammad Faiz Hashim turut mendakwa kenyataan Asyraf lebih merujuk kepada pihak yang dilihat mengkhianati parti itu.

“Senang cerita, siapa yang makan cili dia terasa pedas,” jelasnya.

Perwakilan dari Selangor Afif Farhi Othman turut menggesa agar tindakan tegas diberikan kepada ahli yang dianggap melemahkan Umno.

“Duri dalam daging Umno tak patut diberi peluang untuk bertanding mewakili Umno dalam PRU," katanya.

“Tindakan tegas perlu diberikan kepada mereka yang khianat parti,” kata Mohd Shahrizan Sahri, juga perwakilan dari Selangor.

Untuk rekod, tetap ada sejumlah pemimpin Umno yang dianggap cenderung untuk meneruskan kerjasama dengan Bersatu, yang diterajui bekas timbalan presiden Umno sendiri, Muhyiddin Yassin.

Antara nama yang sering dikaitkan dengan kumpulan itu - digelar sebagai "kluster kabinet" - ialah Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

Dua pemimpin Umno daripada Perlis, iaitu Shahidan Kassim dan Zahidi Zainul Abidin juga menunjukkan kecenderungan sedemikian.

Perhimpunan Agung UMNO: Dua hari yang boleh mengubah masa depan parti dan negara

MUAMMAR QADDAFI

Hari ini, perwakilan UMNO seluruh negara akan bersidang sempena Perhimpunan agung UMNO (PAU) 2020.

Setiap tahun PAU akan menjadi tumpuan, hatta ketika tumbangnya UMNO pada 2018, liputan PAU tetap dibuat media arus perdana melebihi parti lain.

PAU 2020 adalah cukup berbeza berbanding sebelum, ujian dan pertempuran juga akan lebih dasyat berbanding sebelumnya kerana PAU kali ini, boleh jadi penentu kepada masa depan parti itu sendiri, dan juga corak pentadbiran negara.

Tema utama perbahasan tahun ini pastinya berkisah kedudukan UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Walaupun UMNO telah dengan jelas mengeluarkan ketetapan bahawa akan menyokong kerajaan Perikatan Nasional sehingga PRU15 tetapi tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada PRU15, namun ada gerakan lain yang kita nampak berlaku iaitu usaha membawa keluar UMNO dari kerajaan PN.

UMNO sebagai parti yang berusia lebih 60 tahun, berdepan kejatuhan mengerikan pada 2018, ramai menjangkakan riwayat parti UMNO akan berakhir setelah gagal membentuk kerajaan.

Momentum awal kejatuhan dilihat rombangan ahli parlimen UMNO keluar parti, ia ibarat curah garam keluka, sudahlah jatuh dikhianati pula. Begitu juga dengan sekumpulan ahli parti menyertai PPBM.

Namun tidak lama untuk UMNO kembali membina kekuatan, kelemahan pentadbiran Pakatan Harapan dalam mengawal persepsi dan kelicikan pihak lawan bermain sentimen telah menimbulkan satu gelombang perkauman yang telah memberi nafas baharu kepada UMNO.

UMNO juga berjaya menunggang crowd PAS untuk memastikan mesej sampai lebih jauh dan lebih dalam.

Isu Adib, perlantikan peguam negara, maknyah, menjadi peluru hidup kepada UMNO untuk memberi kembali nafas baru kepada parti itu.

Kemuncak momentum menaik UMNO adalah apabila termeterai perjanjian kerjasama dengan PAS dalam satu gabungan disebut Muafakat Nasional (MN).

Kemuncak ini telah memberi gambaran, jika esok PRU15, maka gabungan UMNO dan PAS ini akan berjaya menawan kerajaan dari Pakatan Harapan.

Tetapi, UMNO tersilap langkah, UMNO tidak sabar, UMNO mahu kembali menjadi kerajaan, lalu mereka bersekongkol dengan para pengkhianat, Kartel Azmin Ali dan PPBM.

Setiap mereka ada cita cita, PPBM mahukan Mahathir kekal Perdana Menteri, Azmin Ali mahu Anwar tidak menjadi perdana menteri, dan UMNO mahu kembali jadi menteri.

Langkah Sharaton berjaya mengambil tempat dan runtuh kerajaan Pakatan Harapan, cuma gagalnya apabila yang naik bukan Mahathir tetapi Muhyiddin Yassin.

UMNO kembali sebagai sebuah kerajaan, mendapat habuan menteri dan GLC.

Ibarat penzina, sedapnya sekejap, tidak lama sebelum UMNO tersedar mudarat yang lebih besar.

UMNO berada dalam satu gabungan bersama parti yang berkongsi niche atau market yang sama dengannya, yang bermaksud UMNO akan kehilangan kerusi dek kerjasama ini.

PPBM sebagai parti yang memegang posisi perdana menteri, mendapat kedudukan lebih selesa dalam menekan kepada kerusi.

Apabila PPBM mula mendapat tempat selesa setelah satu masa berlalu pasca langkah Sharaton, UMNO semakin faham bahawa kerjasama dengan PPBM telah membunuh parti mereka untuk jangka panjang.

Lalu langkah untuk meneutralkan momentum menaik sokongan terhadap PPBM adalah dengan cuba menarik diri dari gabungan tersebut, UMNO umum keluar Perikatan Nasional dan wujud gerakan untuk jatuhkan kerajaan tebuk atap pimpinan Muhyiddin dengan cuba bekerjasama dengan Anwar. 

Langkah mereka bukan kerana mendokong Anwar, tetapi untuk UMNO survive untuk jangka masa panjang ke depan.

Masa depan UMNO adalah sekiranya PPBM dijatuhkan dan PAS dilemahkan, maka UMNO akan menjadi parti melayu dominan terbesar kembali.

Sekiranya UMNO bersama PPBM dan PAS, maka UMNO akn memberi nyawa lebih panjang kepada PPBM dan nafas UMNO akan lebih sempit.

Tidak bermakna jika UMNO sendirian itu kuat, UMNO juga akan berdepan risiko tewas PRU15 sekiranya bersendirian.

Namun jika PRU15 PPBM berjaya dijatuhkan, dan PAS hilang kuasa dan kepercayaan, UMNO mungkin lebih selesa pada PRU16 sebagai parti melayu terkuat.

Jadi dua keputusan ini samada bersama PN atau meninggalkan PN, akan memberi kesan kepada UMNO dan perwakilan perlu bahaskan soal ini.

Andai kata mereka memilih kekal dan kemudian meneruskan kerjasama pada PRU15, demi elak risiko tewas PRU15, maka Pakatan akan berdepan pertarungan sukar namun UMNO akan kehilangan pengaruhnya dari masa ke masa.

Andai mereka pilih untuk menarik diri dari menyokong kerajaan PN, Pakatan akan lebih selesa dan PPBM akan dilumpuhkan, masa depan lebih baik untuk UMNO.

Ini juga tidak memustahilkan Pakatan mengambil alih pentadbiran sebelum PRU15 atau berdepan PRU15 dalam masa terdekat ini.

Apapun kita nantikan perbahasan dan ketetapan PAU 2020.

Kemana UMNO membawa diri dan negara.

Hanya makan minum, tiada ‘muafakat’ Umno, PAS di Terengganu - Ahmad Said

Adam Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Said, mendakwa tiada istilah “muafakat” di negeri berkenaan antara partinya dengan PAS, walaupun di peringkat pusat kedua-dua parti Melayu-Islam itu secara rasmi menjalinkan kerjasama menerusi Muafakat Nasional sejak September 2019.

Ahmad berkata, perkara ini dapat dilihat apabila kerajaan Terengganu pimpinan PAS tidak bersikap adil terhadap wakil rakyat dari Umno, termasuk dirinya, yang dipinggirkan selepas kerajaan negeri langsung tidak mengagihkan peruntukan RM10 juta yang disampaikan kerajaan persekutuan.

“Negeri paling ‘yo-yo’ adalah Terengganu. Kita yakin dengan situasi semasa mereka (rakyat) akan kembali pada Umno, rakyat juga minta bila lagi hendak ubah kerajaan. Apatah lagi di Terengganu, saya katakan muafakat itu tidak berlaku, walaupun Terengganu satu-satunya 94% pengundi Melayu.

“Kita lihat PAS tidak berlaku adil terhadap Umno. Selepas MN, apa yang PAS lakukan adalah, bila kita uji kejujurannya, bila kerajaan pusat yang ada Umno dan PAS di dalamnya beri dana RM10 juta kepada negeri untuk wakil rakyat agihkan kepada rakyat, masa itu saya tidak terima apa-apa,” katanya.

Dalam forum bertajuk “bersahabat biar jujur” yang disiarkan Umno Online sempena Perhimpunan Agung Umno 2020, Ahmad berkata, ketika itu, wakil rakyat PAS memperoleh peruntukan RM350,000 untuk diagihkan kepada rakyat, manakala bagi kawasan yang PAS tewas, pegawai DUN menerima jumlah sama untuk diagihkan.

“Saya bising. Saya katakan kalau ini peruntukan daripada PAS, saya tidak bising, tetapi ini peruntukan dari pusat, iaitu Umno dan PAS ada sama. Kenapa kami tidak dapat? Setiausaha penerangan PAS yang juga Exco negeri katakan peruntukan ini bukan untuk wakil rakyat PAS dan Umno, tetapi hak rakyat.

“Kalaulah ini hak rakyat, kenapa tidak berikan sama adil, ada yang bagi bantuan sembunyi-sembunyi. Menteri besar ada datang jumpa saya, cakap pula soal pelantikan ketua kampung dan beberapa hari kemudian saya menerima surat dari pejabat daerah mengenai peruntukan Umno hanya RM45,000. Ini yang orang tidak tahu,” katanya.

Dakwa Ahmad, tiada apa-apa agenda dibawa dan tidak ada keputusan dicapai dalam mesyuarat MN antara Umno dan PAS di negeri berkenaan, sebaliknya hanyalah makan dan minum saja, sedangkan Terengganu ialah negeri pertama yang mengadakan perhimpunan MN selepas keputusan dicapai di peringkat pusat.

“Tidak pernah ikhlas, jujur. Exco PAS isytihar di Kemaman PAS akan pertahankan 20 kerusi yang dimenangi, selepas itu menteri besar pula di Dungun umumkan akan pertahankan enam daripada lapan kerusi Parlimen. Bincang tidak dibuat, apa-apa tidak dibuat, dia keluarkan kenyataan,” katanya.

Bulan lalu, Ahmad berkata, Umno Terengganu tidak akan memberi peluang kepada PAS dan PPBM yang mahu bertanding di semua kerusi Parlimen serta DUN negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, tidak akan berlaku sebarang kerjasama dalam MN bersama PAS di negeri itu, termasuk tidak menyertai gabungan PN.

Ahmad Said cadangkan Umno, PAS bertembung di T'ganu, Kelantan dan Kedah

Malaysiakini 

Walaupun wujud kerjasama rasmi di antara Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN), bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said mempunyai cadangan tersendiri untuk kedua-dua parti.

Pengerusi Umno Terengganu itu malah menyarankan Umno dan PAS bertanding "secara mesra" dalam pilihan raya umum (PRU) di tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Menurutnya, persaingan secara sihat perlu diwujudkan supaya rakyat diberikan peluang untuk memilih siapa yang layak memimpin negeri.

“Sebab tu Muafakat Nasional perlu bertanding secara friendly… beri ruang kepada rakyat (pilih) siapa yang nak pimpin negeri.

“Terengganu, Kelantan, Kedah yang mana majoritinya orang Melayu," katanya.

Untuk berunding mengelakkan pertembuang kata Ahmad, ia boleh dibuat di negeri lain di Pantai Barat bagi memastikan MN menguasai kawasan Melayu.

Menjadi tetamu sesi temu bual Umno Online sempena Perhimpunan Agung Umno di PWTC Kuala Lumpur hari ini Ahmad berkata walaupun kedua-dua parti bertanding sesama sendiri di tiga negeri terbabit, tidak timbul kebimbangan kuasa akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod, pada PRU ke-14 Kelantan kekal dikuasai PAS seperti dilakukan parti itu sejak 1990, namun Terengganu dirampas dari Umno.

Campak daging korban

Kedah pula ditadbir PH sehinggalah berlaku perubahan kuasa di peringkat pusat dan beberapa Adun berpaling tadah menyebabkan penyandang menteri besar Mukhriz Mahathir dijatuhkan.

Adun Jeneri merangkap anggota Jawatankuasa Pusat PAS Muhammad Sanusi Md Nor menjadi menteri besar.

Di sebalik kewujudan MN, PAS tidak berkongsi kuasa pentadbiran negeri di Kelantan dan Terengganu. Malah di Terengganu Ahmad sendiri bersikap lantang mengkritik PAS dalam beberapa isu.

Pada Sept 2020 Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata partinya bakal mendominasi sejumlah besar kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU ke-15. 

Mengulas lanjut hubungan PAS dan Umno di Terengganu, Ahmad berkata orang luar dari negeri itu tidak boleh faham senario politik di situ yang diwarnai pelbagai krisis.

Kelihatan beremosi Adun Kijal itu menceritakan bagaimana persaingan Umno dan PAS di Terengganu menyebabkan perpecahan serius dalam kalangan penduduk setempat suatu ketika dulu.

“Orang lupa bagaimana PAS boleh lakukan kepada Umno sebegitu rupa. Negeri lain tak berlaku.

“Satu mukim ada dua masjid. Sembahyang di masjid yang sama, sembahyang tarawih - orang ni baru takbir, orang (lain) baru mula sembahyang,” katanya menceritakan persengketaan antara dua parti di negeri itu sehingga mewujudkan kejadian sembahyang dua imam.

“Sampai daging korban kita beri dicampakkan saja sebab yang sembelih (orang Umno).

“Sekarang apa jadi? (PAS) kembali Umno. Sebab tu saya jumpa orang PAS dia terasa malu,” katanya.

Menteri-menteri PN bergaduh isu Undi18

MALAYSIA DATELINE

Menteri-menteri PN bergaduh isu Undi18

Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) disifatkan bergaduh sesama sendiri mengenai Undi18 apabila Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertikaikan kenyataan Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini.

“Siapa janji laksana Undi18 2021,” tanya Azmin menerusi sebuah laman berita yang cuba mempertahankan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menangguhkan Undi18 ke September 2022.

“Nampaknya Menteri PN bergaduh sesama sendiri pasal pengundi 18 tahun,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi ketika mengulas apa yang berlaku.

“Azmin Ali tanya, siapa yang janji pengundi 18 tahun boleh mengundi pada tahun 2021.

“Kalau begitu, apakah Takiyuddin suka suka hati dia umum pengundi 18 tahun boleh mengundi pada bulan Julai 2021?” tanya beliau lagi.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, “Kalau Astro Awani salah lapor, mereka kena minta maaf dengan Takiyuddin.

“Nanti kena saman pula,” kata beliau yang dipercayai menyindir tindakan saman yang dikenakan ke atas beliau oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri-menteri PN termasuk parti-parti dalam kerajaan turut bergaduh sesama sendiri ekoran pengumuman Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh itu.

Media mula disajikan dengan cadangan untuk menyekat Undi18 apabila Speaker Dewan Negara yang juga pemimpin Bersatu, Tan Sri Rais Yatim menyatakan Undi18 tidak wajar.

Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah meluluskan usul Undi18 secara sebulat suara.

Pada 3 November lalu, Menteri Undang-undang, Takiyuddin Hassan berkata, Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik akan dilaksanakan Julai 2021.

Kelmarin,Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin meminta semua pihak tidak takut dengan Undi18.

Beliau berkata, semua pihak perlu berani berdepan dengan semua peringkat umur dalam mendapatkan legitimasi pemerintahan melalui proses demokrasi. 

Menurutnya, penyertaan anak muda seawal usia 18 tahun dalam proses demokrasi khususnya pilihan raya adalah satu medan terbaik untuk mereka menentukan masa depan negara.

Jurucakap Pemuda MCA juga membuat kenyataan membantah keputusan SPR ini.

Menjelang PAU: Najib minta bincang rancangan mahu musnah, gantikan Umno

MALAYSIA DATELINE

Menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) hari ini dan esok, bekas presidennya Datuk Seri Najib Razak meminta perwakilan membincang dan membuat rancangan untuk menyelamatkan Umno.

Ini kerana, kata beliau, ada parti-parti tertentu membuat perancangan licik untuk memusnahkan Umno dan menggantikannya dengan parti mereka.

“Kita kena bincangkan, apakah langkah yang boleh menggagalkan rancangan licik parti-parti tertentu yang mahu memusnahkan dan menggantikan Umno,” kata Najib dalam ucapan khas melalui Facebooknya malam tadi.

Bagi beliau ia perlu disuarakan dan dibincangkan dalam perhimpunan Umno kali ini.

Kenyataan Najib ini dipercayai ditujukan kepada Bersatu yang banyak membeli dan mencuri pemimpin dan ahli Umno agar bersama mereka.

Ia telah menimbulkan kemarahan di kalangan pemimpin Umno khasnya di peringkat akar umbi cawangan dan bahagian sehingga mereka membuat usul agar Umno tidak bersama Bersatu dalam PRU-15 nanti.

Menurut Najib lagi dalam pesanannya kepada perwakilan PAU kali ini, perwakilan perlu bertanya, apakah yang mereka mahu untuk Umno.

“Apakah jalan terbaik untuk parti kita. Apakah langkah terbaik yang boleh kukuhkan parti kita,” kata bekas perdana menteri itu dalam pesanannya.

Beliau juga berkata, perwakilan Umno perlu berbangga dengan Umno sekarang kerana semua pihak mahu bersama Umno sekarang.

“Saban hari nama Umno dipetik oleh mereka untuk bekerjasama,” kata Najib lagi.

Cukuplah PH meratib kerajaan 'tebuk atap' - Prof Dr Mohammad Agus Yusoff

Prof Dr Mohammad Agus Yusoff

Sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Mac 2020, PH sering meratib kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang adalah kerajaan tebuk atap dan kerajaan pintu belakang.

Setelah setahun berlalu, cukuplah PH meratib perkara yang sama.

PH pun tidak kuat dan tidak bersatu lagi seperti mana semasa menghadapi PRU-14. Ini dapat dilihat dari kegagalan PH menyekat usaha kerajaan PN menukar speaker Dewan Rakyat dan juga Bajet 2021.

Jika pun speaker dewan membenarkan ‘undi tidak percaya’ diusulkan di dewan sekarang, belum tentu PH dan pakatannya boleh memenangi usul tersebut.

Jadi, cukuplah dengan ratib ini. Rakyat sudah bosan dan rakyat nampak macam pemimpin PH ini gila kuasa atau menjadi nanar setelah tidak berkuasa.

Sebaliknya, ambillah kesempatan dengan pelbagai isu sekarang untuk memperjuangkan sesuatu yang bermakna bagi rakyat, sekali gus bersedia menghadapi PRU-15.

Isu apa yang perlu PH perjuangkan?

Isunya banyak. Tentu sekali yang utama ialah ekonomi, pelaburan asing, peluang pekerjaan, bebanan kos hidup dan Covid-19. Biarpun kerajaan PN menafikan Malaysia kehilangan pelaburan asing ke negara-negara jiran, namun Laporan UNCTAD menunjukkan pelaburan asing ke Malaysia jatuh sebanyak 68 peratus kepada hanya US$2.5 bilion pada tahun 2020, menjadikan Malaysia negara terburuk prestasinya di rantau Asia Tenggara (AT).

Negara-negara jiran kita seperti Singapura, Vietnam dan Indonesia terus mencatat pelaburan yang kukuh. Pada tahun 2019, ketiga-tiga negara tersebut menerima lebih daripada 80 peratus aliran masuk pelaburan langsung asing ke rantau ini.

Pada tahun 2020, Singapura mencatat aliran masuk pelaburan langsung asing sebanyak AS$58 bilion iaitu 23.2 kali ganda lebih banyak daripada Malaysia.

Bukan hanya itu. Biarpun kerajaan PN menyatakan keadaan ekonomi negara dan pelaburan Malaysia adalah baik, realitinya adalah banyak syarikat yang menutup kilangnya.

Misalnya, pada 14 Januari 2020, Nikkei Asia melaporkan Toyota dan Honda menutup kilang di Malaysia. Pada November 2020, syarikat IT Jerman T-Systems telah menjual perniagaannya di Malaysia menyebabkan 800 pekerja kehilangan pekerjaan.

Pada 3 Disember 2020, FMT melaporkan Sony akan menutup kilangnya di Perai selepas 36 tahun di negara ini menjejaskan 3,400 pekerja. Pada 23 Mac 2021, FMT melaporkan IBM akan menutup pusat penyampaian global di Cyberjaya pada 31 Mei ini menjejaskan 1,000 orang pekerja.

Begitu juga dengan kenaikan harga barang yang semakin ketara sekarang. Laporan CPI Jabatan Statistik Malaysia mencatatkan 326 jenis barang naik harga, termasuk harga makanan dan minuman. Ini memang betulpun. Tanya sahaja suri rumah, berapa kenaikan harga sayur, harga minyak masak, telur dan lainnya? Jawapan mereka tentunya sama: harga barang semakin naik dan kos hidup semakin tinggi.

Dari segi pekerjaan pula, PH perlu perjuangkan peluang pekerjaan untuk anak muda. Usah dibincangkan peluang pekerjaan untuk sektor lain, peluang pekerjaan untuk doktor siswazah pun sukar sekarang. Dalam menghadapi pandemik Covid-19 yang memerlukan bilangan doktor yang ramai, mereka yang baharu selesai menjalani ‘houseman’ hanya dilantik secara kontrak sahaja.

Mengapa sampai begitu sekali? Adakah disebabkan oleh bilangan doktor yang terlalu ramai atau bilangan hospital yang sedikit atau keupayaan kewangan kerajaan yang terbatas menyebabkan mereka ini tidak dilantik secara tetap?

Hal sebegini harus menjadi perjuangan utama PH bukan sahaja untuk menarik sokongan rakyat, tetapi memperjuangkan kebajikan rakyat.

Akhirnya, perlu bagi pemimpin PH memperjuangkan SOP Covid-19 dan pelaksanaannya. Rakyat terkeliru dengan denda RM10,000 dan bagi industri pula RM50,000.

Apakah denda sebanyak ini adil kerana kesannya besar kepada rakyat? Jika ini adalah kesalahan jenayah, maka ‘pesalah’ ini hilang masa depan. Kenapa buat undang- undang dahulu dan baharu kemudian mahu perincikan pelaksanaannnya?

Perkara di ataslah yang perlu PH perjuangkan dari terus merintih tentang kuasa yang hilang dan meratib isu kerajaan tebuk atap atau kerajaan pintu belakang.

Tebuk atap atau pintu belakang, yang jelasnya satu: kerajaan PN adalah kerajaan yang sah biarpun dengan majoriti yang kecil.

Menutup kata, saya mempunyai satu harapan besar kepada pemimpin politik negara kita. Saya mahu pemimpin kita memberi jiwa kepada politik dan memanusiakan rakyat, tanpa mengira apapun parti kita. Bertindak adillah dalam memerintah negara. Layani rakyat dengan saksama. Hapuskanlah tindakan dua darjat dalam sebarang keputusan.

Yakinlah dengan cara ini, kita boleh menjauhi kebencian dalam politik.

Saya akhiri dengan kata-kata Martin Luther King, Jr. seperti berikut: “We need leaders not in love with money but in love with justice. Not in love with publicity but in love with humanity.”


PROF DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF ialah seorang penganalisis politik dan pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Polis siasat cikgu ‘campak’ budak dalam video tular

FMT Reporters

Klip video 10 saat yang tular menunjukkan kejadian dalam bilik darjah.

PETALING JAYA: Polis menyiasat seorang guru bagi kes penderaan selepas video tular menunjukkan seorang budak dikasari dalam bilik darjah.

Dalam klip video sepanjang 10 saat itu, wanita terbabit dilihat mengangkat kanak-kanak berkenaan sebelum menolaknya dengan kasar ke lantai di depan sekumpulan anak kecil yang turut nampak terkejut melihat kejadian itu.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah tadika di Klang, dan difahamkan guru berkenaan sudah digantung tugas.

“Saya dapat sahkan laporan polis dibuat oleh ibu bapa terbabit dan kes ini sedang disiasat,” kata Ketua Polis Shah Alam Baharudin Mat Taib dipetik Astro Awani.

Baharudin menambah, wanita terbabit dipanggil untuk siasatan selepas ibu bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000, penjara 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhyiddin Tak Akan Jadi PM Lagi Selepas PRU15 – Tun Mahathir

1. Kata Perdana Menteri Pilihan Raya akan diadakan apabila darurat ditamatkan kerana masalah wabak COVID-19 sudah selesai.

2. Muhyiddin percaya Perikatan Nasional (PN) akan menang pilihan raya kerana ia sudah buat persediaan. Bendera dan sepanduk sudah ditempah dan agihan kawasan antara Bersatu, PAS dan UMNO sudah dirunding.

3. Bagi Muhyiddin hanya terdapat satu masalah yang belum diselesai. Muhyiddin berharap tidak ada parti lawan yang akan bertanding. Dengan ini Perikatan Nasional akan menang tanpa bertanding.

4. Untuk ini Muhyiddin boleh menentukan supaya parti musuh tidak akan didaftar. Ia bermula dengan Pejuang. Jika Pejuang tidak didaftar maka parti ini tidak akan dapat bertanding sebagai parti Pejuang. Mungkin calon Pejuang terpaksa bertanding sebagai calon bebas. Jika ini dilaku maka calon-calon bebas ini tidak dapat mengguna simbol dan bendera Pejuang. Ini akan kelirukan pengundi.

5. Mungkin Pejuang bertanding dengan nama parti lain seperti Bersatu dalam PRU 14 terpaksa guna symbol dan bendera PKR. Ini juga boleh kelirukan pengundi. Jika dicuba PKR mungkin tidak setuju memberi banyak kawasan kepada Pejuang. Sokongan juga mungkin tidak diberi. Maka akan kalahlah Pejuang.

6. Pada PRU 14 Najib membatal pendaftaran Bersatu dan tidak mendaftar Pakatan Harapan (PH). Maka parti-parti pembangkang terpaksa bertanding atas nama PKR, guna simbol dan bendera PKR. Percubaan Najib ini dapat ditangani oleh parti-parti lawan dengan bertanding sebagai parti PKR.

7. Parti lawan masih dapat sokongan yang cukup untuk menewas BN.

8. Muhyiddin mungkin cuba adakan PRU awal semasa Pejuang dan Muda tidak didaftar. Pejuang pula tidak ikat diri dengan mana-mana parti. Pejuang berharap akan menjadi kuasa ketiga. Harapan Muhyiddin ialah dia tidak dihadapi oleh musuh.

9. Tetapi Bersatu yang sekarang sudah jadi parti berbilang kaum tidak mungkin menang banyak. Dengan itu parti Perikatan Nasional dan BN dan Muafakat akan pilih orang lain sebagai Perdana Menteri. UMNO dan PAS memberi jawatan PM kepada Muhyiddin dahulu kerana mereka hanya boleh jadi gabungan majoriti jika Bersatu keluar dari PH dan menyertai Muafakat.

10. Yang mencukupi bilangan ialah Azmin dengan paksinya dari PKR. Secara tidak langsung Azmin diberi jawatan tertinggi tetapi bukan Timbalan Perdana Menteri.

11. Keadaan politik selepas PRU 15 tidak mungkin berbeza dari sekarang. Tetapi Muhyiddin tidak akan jadi Perdana Menteri.

12. Pejuang tidak mungkin jadi Kerajaan. Tetapi sokongan Pejuang akan tentukan gabungan mana yang akan jadi Kerajaan. Sokongan Pejuang hanya jika syarat Pejuang diterima.

DR MAHATHIR BIN MOHAMAD

25 Mac 2021

Sumber – http://chedet.cc/?p=3343

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pilih kasih

 Frankie D'Cruz

Juruterbang syarikat penerbangan S Mani Vannan (kiri) kesal kerana kerajaan tidak bersimpati terhadap keadaan keluarganya namun memberikan Santhara Kumar ‘layanan istimewa’.

PETALING JAYA: Seorang juruterbang syarikat penerbangan yang merayu untuk menjalani kuarantin di rumah supaya dapat menjaga ibunya yang menderita akibat kanser, kecewa apabila permohonannya ditolak Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

S Mani Vannan, juruterbang Singapore Airlines, berkata penolakan itu sangat mengecewakan memandangkan dia meminta pengecualian sejak awal bulan lalu dan sudah melakukan tujuh ujian reaksi rantai polimerase (PCR) Covid-19 dan mengambil suntikan vaksin di republik itu.

Beliau berkata, ibunya yang disahkan menghidap kanser payudara, memerlukan penjagaan sepenuh masa kerana perlu menjalani kemoterapi dan radioterapi selama tiga minggu.

“Saya perlu menjaga ibu kerana adik-beradik lain sibuk dengan keluarga dan bekerja,” katanya.

Dia pulang ke rumahnya di Kulai, Johor, pada 1 Mac apabila selesai menjalani kuarantin selama tujuh hari di sebuah hotel di Johor Bahru.

Mani Vannan memberitahu FMT, dia mendedahkan pengalamannya dengan harapan kerajaan akan menunjukkan simpati kepada rakyat Malaysia yang mengalami situasi sama.

Dia tidak membantah undang-undang bahawa setiap orang yang pulang dari luar negera harus menjalani kuarantin di hotel atau pusat kuarantin ditetapkan kementerian.

Bagaimanapun, dia kecewa apabila timbalan menteri Wilayah Persekutuan Santhara Kumar, baru-baru ini dibenarkan menjalani kuarantin di rumah selepas bercuti selama 55 hari di New Zealand. 

Santhara sebelum ini melakukan perjalanan yang menimbulkan kontroversi ke New Zealand untuk melihat keluarganya ketika sekatan perjalanan Covid-19 berkuat kuasa.

Kementerian Kesihatan berdiam diri berhubung pelepasan yang diberikan kepada Santhara walaupun kerajaan dikecam teruk atas sikap pilih kasih terhadap ahli politik dan rakyat biasa.

Mani Vannan turut mempersoalkan Noor Hisham melalui e-mel: “Bagaimana kami dapat mempercayai anda apabila anda mempertaruhkan nyawa rakyat dengan membiarkan Santhara melakukan kuarantin di rumah? Adakah Santara mengatasi undang-undang?”

Mempersoalkan ketidakadilan itu, Mani Vannan berkata: “Beritahu saya betapa tegasnya anda dan itu adalah penting dalam mematuhi protokol Covid, tetapi anda masih mengamalkan sikap pilih kasih.

“Saya telah menjalani tujuh ujian Covid sebelum datang ke Malaysia dari Singapura, saya diberi vaksin dan saya tunjuk kepada anda betapa tegasnya Kementerian Kesihatan di Singapura terhadap juruterbang dalam hal kuarantin.

“Tidak ada kes Covid-19 di Singapura ketika saya memohon pengecualian semasa menunjukkan keputusan ujian saya.”

Mani Vannan mengulas jawapan diberikan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) kementerian terhadap permohonannya untuk menjalani kuarantin di rumah pada 6 Feb lalu.

CPRC, dalam surat penolakannya pada 22 Feb menyatakan: “Syarat untuk kuarantin adalah wajib bagi semua rakyat Malaysia dan bukan warganegara yang pulang dari luar negeri walaupun mereka membawa sijil vaksinasi Covid-19 kerana vaksin masih baru.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa vaksin ini tidak boleh dijadikan satu pelepasan untuk pengecualian kuarantin.”

Umno kongsi matlamat AMANAH lawan Pas di Kelantan, kata Che Ibrahim

ARIF BASHARUDIN

Umno perlu mengambil sikap tegas dengan Pas di Kelantan kerana sudah terang lagi bersuluh Pas bermain dua kolam untuk kepentingan kuasanya walaupun mengkhanati rakannya sendiri.

Oleh itu, Umno Kelantan patut membuat keputusan tegas untuk tidak bersama Pas kerana jelas parti itu tidak ikhlas bila berkawan sehingga digelar ‘pelacur’ oleh veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi AMANAH Kelantan, Che Ibrahim Mohamed menyokong penuh bahawa Pakatan Harapan (PH) dan AMANAH perlu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan rakyat Kelantan sebagaimana yang dinyatakan oleh Pengerusi PH Kelantan, Ustaz Mohamad Husain semalam.

“Sebab itu kita sokong pandangan Ustaz Mat Husain bahawa AMANAH sedia berunding dengan pelbagai pihak dengan syarat mematuhi prinsip-prinsip yang diperjuangkan AMANAH dan PH,” kata Che Ibrahim, bekas Kadhi Kota Bharu itu.

Semalam Pengerusi AMANAH Kelanan, Ustaz Mohamad Husain mengumumkan kesediaan AMANAH untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak di Kelantan termasuk Umno dengan syarat ia mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan parti itu dan PH.

Antaranya menentang rasuah dan memperjuangkan good governance atau pengurusan kerajaan yang baik.

Kelmarin, Umno Kelantan memberikan kata dua kepada Pas samada mahu bekerjasama dengan mereka atau Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini berikutan sikap Pas yang masih mahu bekerjasama dengan Bersatu dalam kerajaan PN yang sudah di’cerai’ Umno sedangkan sebelum ini mereka sudah menjalinkan kerjasama dalam Muafakat Nasional.

Bagi Che Ibrahim, tindakan Umno yang kini memberikan kata dua kepada Pas di Kelantan sebenarnya hanya menuruti jejak langkah yang dipelopori oleh AMANAH dan Pakatan Harapan itu sendiri.

“Kegagalan Pas mentadbir Kelantan dilihat menjadi faktor utama perlunya suatu gerakan pemulihan dan islah untuk dijalankan demi membantu rakyat dan negeri Kelantan dari terus ketinggalan dari pelbagai aspek kehidupan, tidak sebagaimana yang dinikmati oleh negeri yang lain,” kata beliau.

Oleh sebab itu AMANAH sedia bekerjasama dengan semua pihak yang sanggup bersama untuk menggantikan Pas di Kelantan seterusnya membentuk sebuah kerajaan yang lebih prihatin dan berkemampuan untuk membangunkan semula Kelantan ini, kata beliau yang juga AJK PH Kelantan.

Keretakan hubungan kerjasama di antara Umno dan Pas di Kelantan kini semakin parah apabila Pas dilihat tamak dan bermain di dua kolam dengan PPBM yang merupakan musuh utama Umno.

Mengimbau sejarah perpecahan di antara Pas dan Umno sebelum ini, Ustaz Che Ibrahim berkata, sebelum ini dua parti ini pernah mengadakan kerjasama politik yang berakhir dengan kegagalan dan perpecahan.

Kerjasama pertama yang dibuat pada 1974 itu kemudian menemui kegagalan apabila Pas anggap Umno tidak sekufu dengan mereka.

Kini, kerjasama kedua menerusi perjanjian Muafakat Nasional pula dijangka berakhir dengan kegagalan apabila sikap tamak haloba Pas tidak dapat dibendung apabila berjaya meraih kuasa bersama PPBM, hingga Umno nekad memfailkan perceraian bagi menamatkan kerjasama sia-sia itu.

Keangkuhan Pas Kelantan terserlah apabila ramai aktivis dan pimpinan Pas di negeri itu mencabar dan menghina Umno sebagai sebuah parti gagal yang tidak diperlukan, sebagai reaksi kepada permintaan Umno Kelantan yang sebelum ini menuntut penjelasan dari Pas sama ada untuk meneruskan kerjasama dengan mereka atau terus bersekongkol dengan PPBM sekaligus mengkhianati perjanjian di antara mereka dalam MN.

Kesemua kerjasama politik dengan Pas sebelum ini biasanya berakhir dengan kegagalan kerana sikap dan sombong dari Pas yang merasakan diri mereka terlalu kuat dan lebih mulia berbanding pihak yang lain.

Penguasaan Pas selama lebih 30 tahun di Kelantan juga menjadikan mereka anggap Umno sebagai pakaian pakai buang yang boleh dibuat sesuka hati mereka.

Zahid saman Mkini RM220 juta atas liputan prosiding kes rasuah

Hidir Reduan Abdul Rashid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah mengemukakan saman fitnah bernilai RM220 juta terhadap Malaysiakini berhubung laporan liputan perbicaraan kes rasuahnya.

Tuntutan itu, yang diajukan pada 24 Mac, memetik 22 artikel yang diterbitkan oleh Malaysiakini, termasuk empat artikel Bernama, serta komen pembaca.

Presiden Umno itu kini dibicarakan berhubung 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah, dan 27 tuduhan pengubahan wang haram.

Saman itu menamakan Malaysiakini, ketua pengarang Steven Gan, dan seorang wartawan sebagai defendan.

Dalam tuntutan saman fitnah itu, pasukan undang-undang Zahid berpendapat bahawa beberapa artikel, termasuk yang ditulis oleh Bernama, telah salah melaporkan atau memberi gambaran yang salah mengenai prosiding mahkamah, dan menimbulkan gambaran negatif terhadap presiden Umno itu.

Selain menuntut ganti rugi, presiden Umno itu juga meminta perintah injuknksi untuk melarang penerbitan artikel dan komen pembaca yang memfitnah.

Peguam Zahid mengeluarkan surat tuntutan (LOD) terhadap Malaysiakini pada Ogos lalu mengenai artikel dan komen dalam artikel tersebut.

Peguam Malaysiakini K Shanmuga menjawab LOD itu pada bulan yang sama untuk meminta penjelasan lebih lanjut.

"Pemberitahuan permintaan anda tidak menjelaskan dengan jelas kata-kata dan atau komen tertentu di lampiran yang didakwa memfitnah anak guam anda, tetapi membuat pernyataan umum bahawa semua laporan berita tersebut memiliki makna yang sama, dan didakwa sebagai fitnah kepada anak guam anda," tulis peguam Malaysiakini.

Pihak Zahid tidak menjawab permintaan untuk penjelasan itu.

Bagaimanapun, pihak plaintif telah menyatakan bahagian mana dari artikel dan komen yang mereka percayai sebagai fitnah dalam tuntutan yang diajukan pada hari Rabu.

Tuntutan itu difailkan oleh Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq.

Pertamuan Najib Zahid dan Ku Li petunjuk awal halatuju Umno

BORHAN AHMAD

Pertemuan tiga pemimpin utama Umno, Presiden Datuk Seri Zahid Hamidi, Penasihat Barisan Nasional Datuk Seri Najib Razak dan Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah memberikan petunjuk awal halatuju parti itu menjelang pemilihan pimpinannya yang dijangka tahun ini.

“Bagi saya pertemuan ini sangat penting dalam menyusun halatuju Umno menjelang pelihan raya ke 15 nanti.

“Ia adalah persiapan pertarungan dalam Umno menjelang pemilihan parti itu yang diadakan tahun ini,” kata penganalisis politik dari UTM, Kuala Lumpur, Dr Mazlan Ali.

Dr Mazlan yakin, mereka bertiga berbuat demikian bagi menyatakan dengan jelas sikap mereka dan halatuju yang perlu diikuti oleh ahli-ahli dan penyokong Umno.

“Yang menarik juga ketiga-tiga mereka memberitahu secara terbuka pertemuan ini dalam Facebook masing-masing,” kata Mazlan yang menunjukkan kesepatan di kalangan mereka bertiga.

Zahid sebelum ini memberi jaminan pemilihan parti itu akan tetap diadakan tahun ini.

Beliau berkata, walaupun tarikh pemilihan parti belum ditentukan, namun ia akan diadakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

TIGA KUMPULAN DALAM UMNO

Menurut Mazlan, menjelang pemilihan Umno tahun ini, terdapat tiga kumpulan yang sedang berebut pengaruh dalam Umno.

Mereka adalah kumpulan yang diketuai oleh Najib dan Zahid yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu.

Kumpulan juga adalah mewakili pandangan majoriti akar umbi Umno sebagaimana yang dinyatakan dalam mesyuarat agung bahagian masing-masing Januari 2021 lalu.

Kumpulan kedua adalah kumpulan yang mahu mempastikan Umno bekerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU-15 nanti. 

Jurucakap utama kumpulan ini, kata Mazlan, adalah Tan Sri Annuar Musa.

Kumpulan ketiga adalah mereka yang mengambil sikap untuk mengkaji kebaikan dan keburukan kerjasama dengan Bersatu.

Kumpulan ini diketuai oleh Timbalan Presiden Umno sekarang, Datuk Seri Muhamad Hassan.

“Pertemuan mereka bertiga ini adalah untuk mengukuhkan kedudukan kumpulan yang menentang Bersatu yang disepakati oleh ketiga-tiga mereka,” kata Mazlan lagi.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan itu, perkara pertama yang mereka akan laksanakan adalah memastikan suara akar umbi Umno didengar dan dilaksanakan.

“Apa yang diputuskan oleh akar umbi, Umno mesti tegas mendengar dan melaksanakan amanah akar umbi tanpa sebarang kompromi,” kata kenyataan itu.

Najib dan Zahid dengan jelas menolak kerjasama dengan Bersatu, begitu juga Tengku Razaleigh.

“Namun yang lebih jelas lagi, kalau ketiga-tiga mereka bersatu bermakna, Pas juga tidak ada tempat dalam Umno jika kumpulan mereka menang dalam pemilihan nanti,” kata Mazlan.

Ini berdasarkan kenyataan keras Tengku Razaleigh sebelum ini bahawa “Pas adalah pelacur politik” yang telah menimbulkan kemarahan di segenap lapisan Pas.

Pertemuan mereka bertiga juga dianggap sebagai usaha mereka untuk persiapan kepada halatuju Umno sekiranya Najib dan Zahid tidak lagi boleh memimpin Umno selepas mendapat tekanan dari Bersatu melalui kerajaan Perikatan Nasional.

“Mereka mahu menunjukkan jalan kepada penyokong Umno, kedudukan mereka adalah selamat walaupun Najib dan Zahid tidak lagi boleh memimpin Umno tetapi mereka masih ada Ku Li,” kata Mazlan.

Cubaan bunuh PM, menteri: Kenapa Muhyiddin tak maklumkan, tanya PH

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) malam ini membangkitkan persoalan mengapa Muhyiddin Yassin tidak memaklumkan mengenai wujudnya rancangan menyerang pemimpin negara pada 2020.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan lewat malam ini Majlis Presiden PH berkata pendedahan pegawai kanan Bukit Aman mengenai rancangan serangan ganas itu berlaku ketika Muhyiddin berkhidmat sebagai menteri dalam negeri.

Untuk rekod ketika itu kabinet Malaysia - termasuk Muhyiddin - diketuai Dr Mahathir Mohamad.

"Kami kesal atas sikap Muhyiddin yang merupakan menteri dalam negeri pada waktu itu yang gagal memaklumkan perkara berkenaan kepada pimpinan PH serta rakyat Malaysia amnya.

"Kegagalan tersebut menimbulkan persoalan motif sebenar perkara ini disembunyikan daripada pengetahuan pemimpin berkenaan dan kerajaan PH," kata kenyataan tersebut.

Ia ditandatangani Pengerusi PH merangkap Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Siang tadi seorang pegawai kanan Bukit Aman mendedahkan Cawangan Khas Counter Terorisme (E8) menahan seorang lelaki yang mengaku merancang untuk melakukan serangan ke atas beberapa pemimpin utama kerajaan.

Menurut Penolong Pengarah E8, Azman Omar, lelaki terbabit ditangkap pada Jan 2020 dan mengaku merancang mahu menyerang Mahathir, Lim - ketika itu menjadi menteri kewangan - dan Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof serta Tommy Thomas yang menjadi peguam negara. 

Bagaimanapun rancangan itu dapat ditumpaskan apabila lelaki terbabit ditangkap.

Untuk rekod Polis Diraja Malaysia berada di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri.

Majlis Presiden PH berkata mereka mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan kerana bertindak pantas dan tegas menggagalkan cubaan tersebut.

Namun katanya sikap Muhyiddin yang tidak memaklumkan mengenai ancaman tersebut menimbulkan tanda tanya.

"Oleh itu, kami menggesa Muhyiddin untuk memberikan penjelasan di atas perkara ini pada kadar segera," katanya.

Kalau Umno dah tak cantik, kenapa ada usaha nak melamar?

Naib Presiden Umno, Khaled Nordin hari ini menempelak pihak yang mengkritik parti itu dengan mengatakannya sudah tiada kekuatan.

Katanya, jika benar Umno sudah hilang kekuatan kenapa masih ada usaha dari pihak lawan untuk melamar parti keramat Melayu itu bagi menjalinkan kerjasama politik.

"Beberapa hari lagi kita akan berhadapan dengan PAU dan kita dapat lihat menjelang perhimpunan agung Umno ini pelbagai alasan, telahan dan komentar diterbitkan.

"Itu menunjukkan bahawa pentingnya Umno kepada politik dan masa depan Malaysia, apatah lagi ucapan dan perbahasan serta apa saja keputusan yang dibuat ia memang akan mempengaruhi perjalanan Malaysia.

"Jadi, untuk musuh Umno, dia akan kata Umno dah tak ada kekuatan, jadi kalau dah begitu mengapa memberi tumpuan kepada Umno?" soalnya dalam siaran langsung di Facebook Pergerakan Wanita Umno Malaysia, malam ini.

Mengulas lanjut, Khaled berkata banyak kenyataan berbeza dikeluarkan pihak lawan, namun ia jelas memperlihatkan terdapat usaha untuk 'melamar' Umno.

"Walaupun kenyataan berbeza-beza dan tak sama antara satu sama lain, nampak macam ada usaha nak melamar Umno.

"Sama ada daripada Bersatu itu sendiri ke? PAS ke, yang memang dah bersama kita sekarang ini dan berada dalam kerajaan PN dan kita pun ada kerjasama dalam MN (Muafakat Nasional).

"Kemudian ada pula cakap cakap parti-parti yang memang jadi musuh tradisi Umno seperti PKR, DAP dan baru baru ini seperti Amanah.

"Semuanya nampak macam nak melamar Umno. Kalaulah Umno ini dah tak cantik, tak molek dan tak ada apa-apa kenapa semua orang nak melamar Umno?"soalnya

Anwar perlu bijak prioriti, usah tersilau dengan umpan

ZAKARIA MUSA

Apa pun gerak politik yang diusahakan oleh mana-mana pemimpin atau parti sekarang, pertimbangan utama adalah sejauhmana ia memberi impak kepada pengundi dalam pilihan raya akan datang.

Rasanya perlumbaan untuk mendapatkan “cukup bilang” bagi menukar kerajaan dan mencari Perdana Menteri sudah tidak begitu relevan.

Namun begitu, Muhyiddin Yassin sepatutnya menamatkan polemik tentang keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan membuka kembali sidang Parlimen.

Di pihak Pakatan Harapan (PH), blok terbesar koalisi politik, tumpuan harus difokuskan untuk memperkukuhkan jentera pilihan raya (termasuk aspek tabungan dana), merapatkan barisan kepimpinan dan saf penggerak, mengurangkan perselisihan di antara pembangkang serta menarik sokongan lebih besar pengundi khususnya anak-anak muda.

Malang sekali PH, apabila parti pembangkang dan kumpulan individu berpengaruh di luar PN dilihat membazirkan masa yang agak lama.

Sejurus mandat rakyat dikhianati hujung Februari 2020, perdebatan hangat sekitar faktor Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. Pembangkang tidak dapat mencapai kata sepakat calon Perdana Menteri menyebabkan Muhyiddin terselamat. Banyak masa dan sumber terbazir.

Anwar mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR pada 18 Mac lalu.

“Pembulian” Bersatu

Mungkin perbahasan mengenai faktor Mahathir seakan reda, meletus pula isu apakah PH perlu melebarkan persefahaman politik dengan Umno pula. Perkongsian kuasa di antara Umno dan Bersatu dalam kerajaan PN sedang meniti liku-liku sukar

Hanya menunggu keputusan rasmi di kala akar umbi dan para pemimpin Umno tidak lagi berselindung meluahkan kekesalan dengan “pembulian” Bersatu itu.

Tentu sekali tidak mudah pendukung PH terutama daripada kalangan AMANAH dan DAP untuk bersekutu, secara formal atau tidak langsung dengan Umno.

Meskipun secara umumnya pintu perbincangan tetap terbuka dengan mana-mana individu atau parti politik atas prinsip-prinsip tertentu yang disepakati, namun pandangan umum khalayak juga mesti diambil kira. Apatah lagi pendirian dan sikap politik rakan-rakan sekutu PH.

Eksperimen panjang ahli-ahli dan pendukung AMANAH-DAP berdepan kerenah penguasa Umno pasti berbeda dengan pengalaman penyokong setia Anwar. Presiden PKR itu juga merupakan saf kepemimpinan tertinggi Umno selama lebih 16 tahun, termasuk setengah dasawarsa sebagai orang nombor dua parti.

Secara lebih khusus, tentu sedikit sebanyak tersimpan hubungan sentimental antara Anwar dan Najib Razak, Penasihat BN. Najib, bekas Perdana Menteri yang dihukum mahkamah atas pelbagai kesalahan serius, adalah regu Anwar dalam barisan pimpinan Pemuda pada awal 1980-an.

“Minta nyawa”

Semasa berlaku pemilihan Umno pada 1993, mereka berdua juga dalam satu pasukan, Team Wawasan. Dan dilaporkan pada malam keputusan PRU14, selepas PH disahkan menang, Najib ada menghubungi Anwar kemungkinan untuk “minta nyawa”. Petanda hubungan Najib-Anwar tidak setegang Najib-Mahathir.

Merujuk hubungan Anwar dengan Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno, ia disifatkan lebih akrab dan mendekati berkongsi idealisme perjuangan hampir sama.

Sewaktu Anwar dipecat daripada semua jawatan dalam Umno dan kerajaan pada September 1998, Zahid adalah Ketua Pemuda Umno.

Zahid dilihat hadir menyatakan solidariti buat Anwar di Bukit Damansara pada hari-hari awal yang penuh kritikal itu. Zahid turut ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama kumpulan penyokong Anwar.

Dalam perhimpunan Umno 1998 sejurus sebelum Anwar disingkirkan, Zahid melemparkan kritikan keras kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Mahathir. Kecaman Zahid itu disifatkan sebagai menyambung serangan Anwar kepada Mahathir, dalam isu-isu kronisme, nepotisme dan korupsi.

Selain itu, mutakhir ini dua tokoh yang dilihat menjadi rujukan dekat Anwar, iaitu Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PKR dan Johari Abdul, Ketua PKR Kedah, juga mempunyai hubungan rapat dengan Zahid, terutama dalam konteks pergerakan Pemuda Umno 1990-an.

Tidak mudah untuk AMANAH dan DAP bersekutu secara formal atau tidak langsung dengan Umno.

Kluster mahkamah

Justeru, tidak hairanlah apabila Umno di bawah Zahid dan pengaruh besar Najib boleh membuka laluan untuk berunding dengan Anwar. Zahid dan Najib yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran Muhyiddin turut menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri, dalam surat mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Memang dinamika politik Malaysia kadang-kadang tidak terduga, namun bagi gabungan yang menawarkan agenda perubahan, Anwar sebagai Pengerusi PH harus lebih berhati-hati.

Sensitiviti akar umbi dan rekod pemimpin Umno sewaktu berkuasa dahulu tidaklah sampai menutup pintu rundingan, namun penjelasan di atas begitu banyak kemusykilan harus diberikan.

Persoalan “kluster mahkamah” tidak boleh diremehkan atau dipandang ringan. Masyarakat sedang menilai isu pertelingkahan di antara Umno-Bersatu ini; apakah ia melibatkan agenda penting rakyat ataupun sekadar perebutan kuasa sesama anggota kerajaan “tebuk atap”?

Sikap politik DAP untuk bekerjasama dengan Umno tidak sukar untuk ditelah. Semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) ditubuhkan pasca tragedi 13 Mei dahulu pun, DAP tidak menyambut undangan sepertimana Gerakan, PPP dan Pas.

Malah, persepsi negatif sebahagian besar pengundi bukan Melayu — yang menjadi penyokong kuat DAP — kepada Umno, rasanya tidak berubah. Umno dilihat masih mewarisi tabiat lama. Tempoh 22 bulan berstatus pembangkang terlalu sekejap untuk “menginsafkan” Umno.

Anwar sebagai Pengerusi PH harus lebih berhati-hati kerana persoalan “kluster mahkamah” tidak boleh dipandang ringan.

Kompas moral

Di pihak AMANAH pula, sifirnya lebih mudah difahami. Parti Islam yang memilih pendekatan inklusif, progresif dan moderat ini sendiri tertubuh apabila para penggeraknya sewaktu dalam Pas pada 2015 menentang keras usaha kerjasama dalam gelap dengan Umno.

Sepertimana kata seorang pemimpin AMANAH, ketika Umno dilihat tidak pun pernah berubah daripada amalan buruk semasa memerintah dulu, maka jika PH sedia menjalin hubungan dengannya, yang dilihat rakyat sudah berubah dan meninggalkan kompas moral itu adalah PH sendiri. Jangan jadi, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Anwar boleh sahaja bergerak untuk mengumpulkan sokongan ahli-ahli Parlimen sebelum PRU15, tetapi prioritinya mesti jelas dan jangan terbuai oleh “umpan” Umno.

PH masih blok terbesar yang bukan sahaja dipertahankan, tetapi mesti dimantapkan. Idea “grand coalition” parti-parti di luar PN harus diteroka dengan jiwa besar dan berstrategik. Persepsi umum masyarakat yang lebih luas mesti ditangani secara lebih bijaksana.

Rekod buruk PN berkaitan pengurusan pandemik Covid-19, proklamasi Darurat dan krisis teruk ekonomi adalah cabaran sekali gus potensi atau peluang terbesar bagi memulihkan keyakinan kepada PH

Polis patah rancangan bunuh Dr M, Guan Eng

FMT Reporters
PETALING JAYA: Pasukan anti-pengganas polis mematahkan rancangan membunuh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng tahun lepas, kata Penolong Pengarah Unit Cawangan Khas Bahagian Counter Terrorism (E8) Azman Omar.

Bercakap di satu forum maya berkenaan radikalisme dan ekstremisme pagi tadi, Azman berkata individu yang ditangkap juga mengaku merancang untuk menyerang secara bersendirian bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa dan bekas peguam negara Tommy Thomas.

Menurut laporan The Malaysian Insight, individu itu merancang untuk menikam mereka.

“Kami berjaya menghalangnya melakukan jenayah itu pada Jan 2020 beberapa bulan sebelum negara dikenakan perintah sekatan,” katanya di forum anjuran Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia.

Kes itu antara tujuh tangkapan yang dibuat E8 pada 2020, kata Azman, berbanding lebih 10 serbuan dan tangkapan pada 2019, dan 109 serbuan dan tangkapan pada 2018.

Berhubung ancaman militan agama, Azman berkata situasi sekarang terkawal dengan golongan pensimpati kurang dorongan selepas kematian pemimpin IS, Abu Bakar Al-Baghdadi, dan militan warga Malaysia lain.

“Usaha yang pasti gagal bagi mereka,” katanya.

PAS sertai PN untuk bertanding PRU15 sebagai kerajaan - Hadi Awang

Malaysiakini 

PAS bekerjasama dengan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) supaya dapat menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sebagai kerajaan dan bukannya pembangkang, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Katanya, langkah PAS "sangat panjang" melangkaui Langkah Sheraton - yang menyaksikan PH tumbang dan PAS menjadi salah satu komponen kerajaan PN.

"PAS bersama dalam melakukan perubahan kerajaan daripada PH kepada PN yang dilaksanakan secara demokratik mengikut undang-undang yang sah dan berprinsip.

"Langkah ini diambil bagi menyertai PRU15 sebagai kerajaan sementara, bukan lagi sebagai pembangkang seperti dahulu.

"PAS melangkah menuju PRU15 bersama tiga model kerajaan negeri (Kedah, Terengganu, Kelantan) dan menyertai kabinet kerajaan pusat.

"Langkahnya sangat panjang, bukan sekadar Langkah Sheraton," katanya dalam catatan Minda Presiden di Facebook.

Pun begitu, daripada catatannya, tidak jelas apa langkah yang telah direncana PAS.

Bagaimanapun, dua hari lalu, anggota jawatankuasa PAS pusat Khairuddin Aman Razali berkata bahawa PAS, Umno dan Bersatu perlu memenangi PRU-15 dengan majoriti dua pertiga.

Hal itu, katanya akan membolehkan persempadanan semula pilihan raya dibuat bagi memberikan manfaat kepada Melayu-Islam.

Berdasarkan Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen boleh meluluskan persempadanan baru pilihan raya apabila telah sampai tempohnya, tanpa kelulusan dua pertiga Dewan Rakyat.

Sempadan pilihan raya untuk Sarawak tidak boleh diubah sehingga 2023, diikuti Sabah pada 2025, dan Semenanjung Malaysia pada 2026

Cadangan Khairuddin bahawa perlunya majoriti dua pertiga, berkemungkinan satu isyarat bahawa PAS berniat meminda Perlembagaan Persekutuan supaya persempadanan semula pilihan raya boleh dibuat lebih awal.

Bagaimanapun, sekutu PAS, Umno dan Bersatu hampir pasti bertembung dalam PRU akan datang.

Beberapa pihak dalam Umno menuntut PAS untuk membuat pilihan, berbanding kekal tidak berpihak. 

‘Umno hanya kuda tunggangan Bersatu’

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pemimpin Umno, Mohd Rafi Awang Kechik menganggap pemimpin parti itu yang masih mempercayai Bersatu, sebagai bodoh dan tidak sedar diri.

Beliau berkata, pemecatan Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim kerana menyokong Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak, menunjukkan isyarat jelas bahawa Umno hanyalah kuda tunggangan Bersatu sahaja.

“Signal (isyarat) pecat ini cukup jelas. Umno hanya kuda tunggangan Bersatu sahaja.

“Itu pun masih ada pemimpin Umno bongok dan tak sedar diri. Masih tak faham dengan taktikal Bersatu,” kata Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Wangsa Maju itu dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Semalam, Bersatu dilaporkan telah mengambil keputusan untuk memecat Hasnul dan ianya disahkan oleh Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Pemecatan itu difahamkan berpunca daripada tindakannya yang menyokong Saarani sebagai MB Perak ketika sidang DUN Disember tahun lalu, sekali gus mengambil alih kedudukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang gagal mendapatkan sokongan undi percaya.

Menurut Zainol Fadzi, perkara itu sudah jelas berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam laporan media sebelum ini.

Bagaimanapun, Hasnul memaklumkan bahawa beliau tidak menerima sebarang surat mengenai perkara pemecatan tersebut dan hanya mengetahui perkara itu daripada laporan media.

1MDB:Muhyiddin digesa perjelas dakwaan Bersatu terima komisen RM500 juta

SITI NUR ZAWANI MISCON

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengakhiri sikapnya yang terus membisu berhubung dakwaan yang mengaitkan kerajaan telah membayar komisen sebanyak RM500 juta kepada partinya kerana membantu mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berkata, pentadbiran Muhyiddin terus menerus memperlihatkan sikap seperti pemerintahan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini yang suka berselindung disebalik alasan ‘kerahsiaan’ untuk menyembunyikan kebenaran.

Beliau berkata, Muhyiddin perlu berterus terang tentang dakwaan membabitkan partinya itu kerana maklumat tentang bayaran kepada peguam berprofil tinggi sama sekali tidak dilindungi di bawah akta kerahsiaan dan orang ramai berhak mengetahuinya.

“Meski lantang dikritik oleh pembangkang dan orang  awam, kerajaan Muhyiddin tetap menolak untuk mendedahkan syarat-syarat penyelesaian dengan Goldman Sachs, yang sememangnya tidak memuaskan.

“Walaupun kerajaannya mungkin telah menandatangani perjanjian tanpa pendedahan (NDA) dengan Goldman Sachs, namun bayaran yang telah dibayar 1MDB kepada para peguam profesionalnya tidak tertakluk di bawah NDA dan boleh dinyatakan kepada rakyat Malaysia.

“Kegagalan untuk melakukannya hanya akan memperlihatkan legasi Muhyiddin akan turut dicemari seperti yang dimiliki oleh Najib,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menafikan dakwaan parti itu melantik ejen untuk mengambil komisen kerana membantu Putrajaya mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.

Ia selepas ADUN Kuang, Sallehudin Amiruddin membuat laporan menggesa polis menyiasat dakwaan RM500 juta dibayar kepada sebuah parti politik melalui seorang peguam berprofil tinggi.

Bagaimanapun, Wan Saiful menafikan dan berkata parti itu tidak terlibat dengan perbuatan kotor kerana sudah menjadi asas parti itu ditubuhkan antaranya memperjuangkan integriti dan tadbir urus yang telus.

Pua kemudiannya membidas kenyataan Wan Saiful dan berkata, sekiranya ia benar-benar mengenai pentadbiran yang telus, mengapa kerajaan Muhyiddin bersembunyi di sebalik alasan ‘kerahsiaan’.

Beliau turut membangkitkan kemungkinan timbul keraguan baru di mana kerajaan mungkin tidak telus dalam menangani kes 1MDB dan Goldman Sachs yang menurutnya penyelesaian antara dua pihak pada tahun lalu adalah tidak bersih.

Jelasnya, ketika pentadbiran Pakatan Harapan, mereka sentiasa memastikan bahawa perincian penting dari semua kontrak dan perjanjian, terutama harga untuk projek-projek mega tersedia untuk diteliti oleh masyarakat.

“Seperti kata pepatah Melayu, ‘berani kerana benar’.  Namun, kerajaan Perikatan Nasional bersikap sama seperti pentadbiran Najib dengan menyembunyikan rahsia dan melindungi kepentingan,” ujarnya.

Kedah umum rancangan ‘sekat air’ di Sungai Muda

FMT Reporters

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengumumkan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang akan menakung air di beberapa kawasan di sungai itu, berkemungkinan boleh menyebabkan bahagian selatan sungai kering dan menjejaskan Pulau Pinang.

Projek itu akan memastikan Kedah mempunyai bekalan air mencukupi sepanjang musim kemarau, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, ia akan menstabilkan permukaan air Sungai Muda ketika musim kemarau.

Katanya, baraj baharu juga akan dibina untuk menstabilkan paras air Sungai Muda, bagi memastikan pam-pam Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak tergantung, khususnya ketika kemarau akibat kekurangan air.

Terdapat 14 TAPS, setiap satu kawasan takungan besar, berkedalaman 20 hingga 30m dengan lebar sehingga 1km.

Sanusi berkata, TAPS akan dimulakan tahun ini dan pihaknya sudah mengenal pasti kontraktor untuk melaksanakannya.

“Dulu masa buat projek tebatan banjir kelebaran sungai ditambah menyebabkan paras air turun, projek itu tidak disekalikan dengan menjajarkan semula kedudukan pam di rumah-rumah pam sepanjang Sungai Muda, akibatnya ia tergantung (semasa air kurang),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, selepas paras air Sungai Muda dapat distabilkan, kapasiti pengaliran air dari sungai itu akan dapat dikawal pada masa depan.

“Peruntukan (untuk TAPS) daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebab ia berkaitan air mentah, kena bagi geran. Projek ini bukan sahaja faedah untuk kegunaan atau minuman Kedah sahaja, kerana Kedah bekalkan 42% padi untuk negara, jadi sumber air ini untuk pertanian juga.

Sementara itu, mengenai kenyataan beliau sebelum ini yang membayangkan kemungkinan Pulau Pinang terpaksa menggunakan “air selut” jika kerajaan negeri itu berkeras enggan membayar caj air mentah kepada Kedah, katanya ia bukanlah satu ugutan.

“Saya maklumkan supaya mereka bersedia sebab kita akan buat projek TAPS. Air Sungai Muda sewaktu banyak kita akan takung, ada 14 TAPS, setiap satu kawasan takungan besar, kedalaman 20 hingga 30m dengan lebar sehingga 1km.

“Jadi Pulau Pinang kena bersedia dengan keadaan ini, kecuali dia berpakat dengan kita (kerajaan Kedah)…Kita kena rancang untuk elakkan mereka minum lumpur (selut), kalau tak pakat dan tak buat bayaran (caj air mentah), kita rancang untuk kita sahajalah,” katanya.

Beliau berkata, Kedah tidak pernah menutup pintu rundingan dengan Pulau Pinang mengenai isu bekalan air, dan akan sentiasa mengalu-alukan perbincangan untuk menetapkan kadar caj bekalan air mentah.

“Kita bukan tutup pintu (rundingan) pun, kita sentiasa tersenyum untuk berunding tentang bayaran air mentah tu, bukan tak mau bagi (air), nak bagi, tapi kena bayarlah sebab kita ada (kos) penyelenggaraan untuk kawasan tadahan,” katanya.

Umno Kelantan desak Pas putuskan mahu bersama Umno atau Bersatu

MALAYSIA DATELINE

Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan mendesak Pas membuat keputusan dengan jelas dan segera sama ada mahu bersama Umno atau Bersatu dalam menghadapi PRU15 nanti.

Desakan itu dibuat selepas Badan Perhubungan Umno Kelantan mengadakan mesyuarat semalam.

Menurut Setiausahanya Akbar Salim dalam kenyataan, keputusan itu turut dipersetujui ahli Umno yang dihadiri 12 bahagian dari 13 bahagian setelah satu bahagian Tanah Merah digantung.

Selain itu, Umno Kelantan juga membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Bersatu sebagaimana usul yang diluluskan 12 Mesyuarat Perwakilan Bahagian daripada 13 Bahagian yang bermesyuarat.

Bagaimanapun katanya, Umno Kelantan terus mendokong institusi kepresidenan dan menyokong kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti yang dipilih secara demokrasi.

Akbar juga beranggapan pendirian yang dibuat oleh bahagian Ketereh terhadap Ahmad Zahid sebelum ini sebagai kes terpencil.

“Pendirian Umno bahagian Ketereh yang dihantar kepada pesiden adalah kes terpencil kerana tidak melalui badan perhubungan Umno negeri,” katanya.

Sebelum ini, Umno Bahagian Ketereh menghantar surat kepada Ahmad Zahid Hamidi berhubung pendirian mereka menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Surat tersebut memutuskan empat perkara itu sudah ditandatangani oleh 30 Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Ketereh.

antaranya, ketetapan untuk terus menyokong kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Takkan nak biar Bersatu terkontang-kanting sendiri hadapi PRU? - PAS

Malaysiakini 

Di kala Umno hampir pasti memutuskan hubungan kerjasama dengan Bersatu, PAS pula nampaknya masih tetap dengan pendirian tidak mahu meninggalkan mana-mana daripada rakan sekutunya itu menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti.

Kata Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad, kedua-dua parti itu telah membuat pengorbanan besar dalam menjayakan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Kamarulzaman berkata Bersatu dan Umno sama-sama telah melakukan pengorbanan besar membentuk pentadbiran PN.

Katanya, Umno sebagai sekutu dengan kerusi paling banyak, berkorban memberi laluan kepada perdana menteri daripada Bersatu.

Sementara itu, kata Kamarulzaman lagi, Bersatu pula telah membuat pengorbanan besar dengan sanggup keluar daripada Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk PN.

Oleh hal yang demikian, Bersatu tidak harus dibiarkan sendirian untuk menghadapi PRU-15, kerana katanya, prinsip berkawan bukanlah hanya berkawan ketika memerlukan semata-mata.

“Orang kata kalau PAS dengan Umno pun dah boleh, cukup untuk bekerjasama, boleh membentuk kerajaan pada PRU-15 dengan kedua-dua pangkalan yang ada.

“Tetapi bagaimana dengan pengorbanan rakan kita (Bersatu) yang sudah keluar daripada PH. Nak masuk PRU macam mana? Takkan nak biar mereka terkontang-kanting?

“Ini rakan yang tidak setia. Berkawan hanya masa perlu. Dah tak perlu, tendang letak ke tepi.

“Kita prinsip kita nak berkawan secara jujur dengan semua orang,” katanya.

Dia berkata demikian dalam wawancara bersama Suara Merdeka tengah hari tadi, ketika ditanyakan mengenai calon perdana menteri daripada parti manakah yang wajar diangkat sekiranya mereka menang secara bersama dalam PRU-15 nanti.

Bagi Kamarulzaman, isu yang paling penting bukanlah soal siapa perdana menteri, tetapi bagaimana ketiga-tiga parti itu dapat duduk bersama dan berbincang bagi mencari jalan mengekalkan kerajaan PN selepas PRU nanti.

Dia berkongsi nada serupa dengan beberapa pemimpin PAS yang mahu kerjasama antara ketiga-tiga parti itu diteruskan sehingga PRU-15, dan PAS katanya mengambil pendirian untuk memperkasa Muafakat Nasional (dengan Umno), dalam masa sama mempertahankan PN.

Untuk itu, katanya, setiap pihak di dalam PN harus menerima kebaikan atau keburukan, kelebihan mahupun kekurangan masing-masing, bagi membolehkan mereka menang pilihan raya akan datang.

“Maka PAS melihat bahawa, untuk politik menjelang PRU, semua pihak dalam kerajaan PN perlu duduk bersama untuk meneruskan kerajaan yang ada.

“Sebab tanpa satu sahaja parti politik ini, dia akan menjejaskan keputusan PRU15 nanti,” katanya.

Majlis Tertinggi Umno telah membuat keputusan untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu menjelang PRU15, menjadikan hubungan keduanya ibarat retak menanti belah.

Keputusan itu ditentang sebahagian Umno negeri dan pemimpin Umno sendiri, menyebabkan adegan dakwa-mendakwa yang mencetuskan gelaran-gelaran seperti kluster mahkamah, kluster menteri dan kluster broker di dalam Umno.

Hubungan Umno dan Bersatu sememangnya tegang sejak awal penubuhan PN, malah, kenyataan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sejak awal lagi memberi bayangan kerjasama antara kedua-dua parti itu hanya akan bertahan sehingga PRU15 sahaja.

Lebih-lebih lagi, Bersatu yang merupakan parti serpihan Umno, membuka pintunya untuk ramai ahli parlimen Umno melompat menyertainya ketika mereka bersama PH, selepas BN tumbang dalam PRU-14.

Pun begitu, kata Kamarulzaman dalam politik, tidak ada yang mustahil.

Malah, akuinya, PAS kini memainkan peranan untuk menjadi pendamai antara Umno dan Bersatu.

AMK Terengganu pertikai Majlis Pimpinan PKR tidak bela Yuslaini

SITI NUR ZAWANI MISCON

Timbalan Ketua AMK Terengganu, Wan Muhamad Haikal Wan Ghazali kesal dengan kenyataan Majlis Pimpinan Negeri PKR Terengganu (MPNT) yang tidak membela atau memberikan sokongan moral kepada Srikandi parti itu, Yuslaini Azmi.

Beliau berkata, Majlis Pimpinan PKR negeri juga cuba memberi persepsi buruk kepada Yuslaini dengan mengatakan bahawa Srikandi Keadilan itu sedang disiasat di bawah Akta Hasutan di mana dakwaan itu katanya adalah tidak benar.

Malah katanya, sikap yang ditonjolkan Majlis Pimpinan negeri seolah-olah mahu mencuci tangan ketika pimpinan sayap parti sendiri ditimpa masalah.

“Sungguh berbeza sikap MPNT jika dibandingkan dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengerusi AMANAH Pulau Pinang dimana beliau telah memberikan sokongan kepada Faiz Fadzil.

“Kami juga kesal dengan tindakan MPNT yang memilih untuk mempertikaikan jawatan saudari Yuslaini pada waktu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Haikal berkata, salah faham berkaitan jawatan Srikandi Keadilan di bawah Wanita Keadilan dan Biro Wanita Muda di bawah AMK telah diselesaikan dengan Kaukus Srikandi Keadilan.

Justeru tegasnya, tiada keperluan untuk pihak majlis pimpinan negeri membangkitkan isu tersebut ketika sayap wanitanya sedang dilanda ujian besar.

Pada semalam, Majlis Pimpinan PKR Terengganu mendakwa jawatan yang digunakan Yuslaini dalam beberapa program kononnya sebagai Ketua Wanita Srikandi negeri, tiada dalam rekod lantikan mereka. 

PKR memaklumkan, hasil semakan dari Daftar Pimpinan Negeri PKR Terengganu 2018-2021 yang dikemaskini sehingga 15 Januari tahun ini mendapati, Yuslaini tidak pernah dilantik sebagai penyandang jawatan Ketua Srikandi Negeri atau Ketua Biro Wanita Muda AMK Negeri, sebagaimana yang didakwa.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Yuslaini telah ditahan oleh pihak PDRM di bawah Akta Hasutan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu Muhamad Haikal menegaskan, salinan laporan polis berhubung dakwaan mencabul, dipercayai telah disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mempolitikkan isu tersebut.

BEZA SEBELUM DAN SELEPAS PAS ADA DALAM KERAJAAN

Shahbudin Husin

Tampalan ini adalah ambilan daripada media sosial yang didapati tersebar agak luas, khususnya dalam aplikasi WhatsApp.

Sama-sama kita fikir dan renung mengenainya.

1) MINUM & JUAL ARAK :-

Dulu = Haram.

Sekarang = Itu hak orang bukan Islam.

2) HUKUM HUDUD :-

Dulu = Wajib laksana.

Sekarang = Kena tengok keadaan, jangan jadi suara syaitan.

3) PERLEMBAGAAN MALAYSIA :-

Dulu = Kafir.

Sekarang = Islamik.

4) PERTANDINGAN RATU CANTIK :-

Dulu = Haram.

Sekarang = Boleh dirunding dengan syarat.

5) ISU LGBT :-

Dulu = Haram.

Sekarang = LGBT harus disantuni.

6) SEKOLAH VERNAKULAR :-

Dulu = Mencetuskan masalah perkauman.

Sekarang = Kepentingan setiap kaum harus dijaga.

7) KES KENA LANGGAR PEMANDU MABUK :-

Dulu = Salah DAP, agenda komunis.

Sekarang = Salah individu.

8) JUAL ASSET TABUNG HAJI:-

Dulu = Agenda komunis, jual aset umat Islam, Islam terancam.

Sekarang = Sebagai strategi pengurusan kewangan.

9) RUU 355 :-

Dulu = Wajib.

Sekarang = Kita cadang sebab kita pembangkang, sekarang dah jadi kerajaan kena runding dan tengok keadaan dulu.

10) UCAP MERRY CHRISTMAS :-

Dulu = Haram.

Sekarang = Harus.

11) NILAI ASB JATUH :-

Dulu = Bukti kerajaan gagal.

Sekarang = Kesan ekonomi global.

OH MALAYSIA TANAH AIRKU!!

ADAKAH ISLAM MAKIN TERPELIHARA SETELAH PAS ADA DALAM KERAJAAN?

Umno tak akan bersama PKR tanpa tawaran besar

Zikri Kamarulzaman

Dalam perhimpunan agungnya hujung minggu ini, Umno dijangka akan secara rasmi memutuskan hubungan dengan Bersatu bagi PRU akan datang.

Pada masa sama, Presiden PKR Anwar Ibrahim juga berbincang secara tidak rasmi dengan Umno - dipercayai melibatkan presidennya Ahmad Zahid Hamidi - berhubung kemungkinan bekerjasama.

Bagaimanapun Umno kemungkinan tidak akan menjadikan PKR sebagai rakan kerjasama sebaik memutuskan hubungan dengan Bersatu - kecuali ia melibatkan tawaran yang tinggi nilainya.

Ada pihak mendakwa Zahid dan para pemimpin lain yang berdepan perbicaraan di mahkamah mungkin akan terlepas daripada hukuman jika dapat membantu Anwar ke Putrajaya.

Namun bagi kalangan yang lain dalam parti itu, tidak banyak kelebihan yang akan diperolehi daripada kerjasama dengan PKR dan PH.

"Cabaran besar buat Zahid untuk meyakinkan 'kluster menteri' untuk bersama PKR dan PH, terutamanya kerana mereka tahu jika kerjasama itu berjaya, ia akan menipiskan peluang mereka untuk mengekalkan jawatan sekarang," kata penganalisis politik Rabi'ah Aminudin kepada Malaysiakini.

Kluster menteri merujuk kepada menteri Umno yang cenderung mengekalkan hubungan dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) ekoran pelantikan dalam kerajaan.

Rabi'ah berkata golongan sederhana dalam parti itu juga sukar untuk menerima kerjasama itu kerana ia akan meletakkan Umno dalam kedudukan tidak dominan.

"Jika Umno sekapal dengan PKR dan PH, mungkin akan ada pertembungan di kalangan pemimpin akar umbi bagi merebut kedudukan atau pencalonan dalam pilihan raya," katanya lagi.

Pemerhati politik Tyra Hanim Razali juga setuju yang hanya minoriti dalam Umno yang cenderung ke arah kerjasama dengan PKR dan PH.

"Memandangkan ada cakap-cakap yang PRU sudah dekat, sejumlah pemimpin akar umbi dalam Umno pastinya mahu menggunakan kelebihan sebagai parti dalam kerajaan untuk lebih banyak kerusi dan bangkit daripada kekalahan dalam PRU sebelumnya.

"Memahami bagaimana Umno bergerak, saya tak fikir Zahid mampu (meyakinkan parti untuk menerima PKR) tanpa membuat tawaran balas kepada 'kluster menteri', sekurang-kurangnya pada masa ini.

"Bagaimanapun, percaturan pada masa ini mungkin berbeza sama sekali dengan ketika PRU15," katanya lagi.

Spekulasi Zahid akan menyokong Anwar diperkatakan sejak ahli Parlimen Port Dickson itu berkata dia memiliki sokongan majoriti pada September tahun lalu.

Bagaimanapun, pada ketika itu dan juga semasa pengundian Belanjawan 2021, Zahid tetap tidak mengubah sokongannya kepada Anwar.

Di pihak PKR pula, Rabi'ah dan Tyra berkata lebih mudah untuk parti itu dan PH untuk bekerjasama dengan Umno jika mereka dapat meyakinkan para penyokong dengan naratif "musuh bersama".

"Ada kemungkinan undi sedikit terjejas, tetapi pengundi kebanyakannya bertindak berdasarkan sentimen. Sebelum ini berkaitan 1MDB, kali ini tentang 'kerajaan pintu belakang' dan kegagalan mereka untuk mentadbir secara berkesan di tengah-tengah wabak," kata Tyra.

Satu tawaran yang mungkin dapat menarik Umno adalah untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru di 25 kerusi Bersatu, yang sebelum ini dimenangi Umno atau PKR.

Sumber PKR membayangkan ia mungkin antara perkara yang dibincangkan oleh kedua-dua parti.

Perkara ini mungkin lebih memberi manfaat kepada Umno berbanding PKR dalam usaha merampas semula kerusi mereka yang berpaling tadah kepada Bersatu, memandangkan kerusi yang terlepas daripada tangan PKR kebanyakannya di kawasan propembangkang.

"Jika Anwar dapat meyakinkan parti PH lain, Umno mungkin akan bersetuju," kata Rabi'ah.

Satu lagi kemungkinan kerjasama PKR-PH dan Umno adalah jika tiada yang mendapat majoriti jelas pada PRU akan datang.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata senario seperti itu mungkin akan membawa kepada kerjasama dan gabungan baru.

Bagi Rabi'ah, jika ia berlaku, Umno atau Bersatu akan mempunyai kedudukan paling kuat untuk membentuk gabungan.

"Saya tidak melihat kerjasama jangka panjang antara Umno dan PKR-PH sebagai kerajaan.

"Saya tetap melihat kembalinya parti Melayu - sama ada Umno atau Bersatu - sebagai pemerintah, kerana orang ramai pesimis dengan kemampuan PH untuk mentadbir dan rapuhnya gabungan politik tanpa parti berasaskan kaum. Politik Malaysia masih lagi berasaskan kaum.

"Ini bermakna jajaran politik yang paling berkemungkinan adalah dengan PAS, GPS dan parti kecil lain seperti Gerakan, MIC dan MCA," katanya lagi.

Tyra pula yakin PH akan mempunyai kelebihan jika mereka bertanding di lebih banyak kerusi, berbanding mengharapkan parti sekutu di luar gabungan.

Katanya, lompat parti masih boleh berlaku dalam mana-mana gabungan yang dibentuk sebelum atau selepas pilihan raya.

"Mana-mana gabungan sukar bertahan tanpa undang-undang lompat parti, kecuali gabungan itu menang majoriti dua pertiga di Parlimen," katanya lagi.

Dakwaan cabul: ADUN Amanah sudah bertemu pucuk pimpinan parti, kata Khalid

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: ADUN Permatang Pasir Faiz Fadzil telah berjumpa dengan kepimpinan tertinggi parti itu bagi menjelaskan dakwaan beliau mencabul kehormatan seorang pembantu kedai.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad mengesahkan Faiz telah berjumpa dengan presiden parti, Mohamad Sabu dan timbalan presiden, Salahuddin Ayub, setelah kesnya mula disiasat polis.

“Beliau telah datang jumpa dengan presiden dan timbalan presiden. Beliau dah jelaskan dan keluarkan kenyataan,” kata Khalid kepada FMT.

Kes itu masih dalam siasatan polis, kata Khalid, dan pihaknya menyerahkan kepada mereka untuk menyiasatnya.

Semalam, Faiz menafikan dakwaan beliau mencabul kehormatan seorang pembantu kedai, dan menimbang tindakan undang-undang untuk membersihkan namanya.

Beliau memberi kenyataan mengenai dakwaan itu kepada polis pada 18 Mac, dan akan terus memberikan kerjasama penuh dalam siasatan itu.

Faiz, anak kepada bekas presiden PAS, Fadzil Noor, yang juga seorang peguam, adalah wakil rakyat penggal pertama selepas memenangi kerusi Permatang Pasir pada PRU14.

Terdahulu, seorang pembantu kedai membuat laporan polis mendakwa seorang ADUN Pulau Pinang meraba dan memeluknya semasa mereka dalam perjalanan ke restoran di Lembah Klang bagi berbincang hal politik semasa, dua minggu lalu.

Ketua Polis Subang Jaya Khalid Othman mengesahkan laporan itu dan berkata, kes dikelaskan bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.

PKR Terengganu jauhkan diri dari wanita itu, polis siasat di bawah Akta Hasutan

MALAYSIA DATELINE

PKR Terengganu jauhkan diri dari wanita itu, polis siasat di bawah Akta Hasutan

PKR Terengganu menjauhkan diri mereka dari seorang wanita dengan menafikan beliau adalah Ketua Srikandi Negeri dan Ketua Biro Wanita Muda AMK Negeri Terengganu sebagaimana yang didakwanya sebelum ini.

Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu, Syed Mohd Al-Amin bin Tuan Sharif berkata, pihaknya memandang serius laporan polis yang dibuat oleh wanita berkenaan yang kini disebarkan dengan meluas.

“Salinan repot tersebut telah tersebar secara meluas dalam beberapa kumpulan whatapps dan media sosial.

“Difahamkan beliau telah ditahan oleh pihak PDRM di bawah Akta Hasutan untuk siasatan lanjut,” kata Syed Mohd Al – Amin dalam kenyataan medianya.

Wanita itu dikatakan membuat laporan polis terhadap Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil kononnya peguam itu membuat perkara tidak senonoh terhadap beliau.

Faiz telah membuat laporan polis balas dan menafikan segala tuduhan wanita itu melalui laporan polis itu. Beliau juga mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya.

“Dari pemantauan MPNT, Saudari ******* telah kerap kali menggunakan nama-nama jawatan parti sama ada di peringkat cabang mahupun negeri apabila beliau dilibatkan dalam beberapa program dan kenyataan media yang dibuat sebelum ini.

“Hasil siasatan mendapati ******** tidak pernah dilantik sebagai penyandang jawatan Ketua Srikandi Negeri atau Ketua Biro Wanita Muda AMK Negeri sebagaimana yang didakwa,” kata kenyataan PKR Terengganu itu.

Rakyat memang menyampah dengan Menteri PN, kata tokoh wartawan

MALAYSIA DATELINE

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, diminta tidak bersedih dengan layanan yang diterima beliau dan rakan-rakan ahli Parlimen di Parlimen semalam kerana sememangnya ada menteri kerajaan Perikatan Nasional yang memang tidak tahu malu.

Kadir meminta Abang Mat jangan bersedih kerana rakyat memang menyampah terhadap menteri-menteri PN.

Menurut tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin, Mohamad yang dipanggil Abang Mat itu tidak keseorangan ketika berperasaan sedemikian terhadap para menteri PN kerana majoriti rakyat negara ini sememang menyampah dengan mereka.

“Berkenaan Abang Mat tak tahu macam mana nak hormat Menteri-menteri kerajaan tebuk atap yang berlagak seolah-olah merekalah yang memiliki Malaysia, dia tidak keseorangan.

“Rasanya majoriti rakyat jelata pun menyampah dengan mereka,” kata bekas Penasihat Media Perdana Menteri itu.

Beliau yakin menteri-menteri itu tahu yang rakyat jelata benci kepada mereka.

“Ada antara mereka yang memang jenis tak tahu malu. Tapi ada juga yang berpura-pura konfiden untuk menutup rasa malu.

“Takkanlah mereka tak rasa malu langsung lompat parti dan lepas itu khianati mandat pilihan raya rakyat jelata?” kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, media terbesar negara itu.

Kadir mengulas kenyataan Mohamad Sabu semalam yang menyesali tentang layanan “lepas batuk di tangga” oleh penguasa Parlimen ketika beliau dan rakan-rakannya Ahli Parlimen pembangkang ke sana semalam.

Bagi Kadir, ia tidaklah memeranjatkan.

“Saya katakan macam ini kepada Abang Mat (walaupun dia tujuh tahun lebih muda daripada saya) apabila dia membangkitkan Malaysia dengan Australia bahawa Malaysia bukan Australia.

“Australia negara kafir. Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional adalah negara Melayu-Islam.

“Di negara Melayu-Islam ini, Ketua Pembangkang tidak bertaraf menteri macam di Australia. Di Malaysia Duta Khas ke Timur Tengah baru bertaraf menteri,” katanya.

Mohamat berkata, semasa dia bersama Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng berjumpa Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar “Art” Azizan Harun, layanan yang dia bagi “agak baik”.

Azhar berjanji secara lisan untuk bantu Pembangkang mengadakan pertemuan di bangunan Parlimen.

“Tapi pada 22 Mac 2021 apabila Anwar mengetuai Ahli-ahli Parlimen Pembangkang untuk mengadakan pertemuan, mereka telah diperlakukan dengan “tindakan yang agak menghinakan,” kata Mohamad.

Tidak seorang pun pegawai Parlimen hadir untuk menyambut Ketua Pembangkang dan rombongannya. Bahkan dewan yang diberikan pun tidak dapat menampung jumlah ahli yang hadir.

“Abang Mat kena faham siapa Art Harun ini. Dia bukan lagi Art Harun yang kita kenal sebagai rakan seperjuangan. Dia sekarang adalah Yang di-Pertua Dewan lantikan kerajaan PN.

“Susah juga kalau dia dituduh membenarkan pembangkang menggunakan Parlimen seolah-olah Parlimen tidak digantung apatah lagi untuk melakukan “check and balance” ke atas kerajaan,” katanya.

Ahli MT Umno nasihat pensyarah UUM jangan jadi pencacai

MALAYSIA DATELINE

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff dinasihati oleh anggota Majlis Tertinggi Umno agar menjadi “profesor politik dan bukan pencacai”.

Datuk Dr Puad Zarkashi dalam tulisan di Facebook beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Kamarul Zaman kononnya Umno meminta dana politik dari Bersatu semasa pilihan raya negeri Sabah.

“Soalnya sahihkah Umno dapat dana dari PPBM. Mana Kamaruzzaman dapat cerita?

“Orang akademik kena telus. Elok dedahkan sumber supaya tidak digelar “pencacai”.

“Nasihat saya, jadilah profesor politik bukan pencacai politik,” kata Puad, bekas timbalan menteri itu kepada Kamarul Zaman.

Menurut Puad, Dr Kamarul Zaman mendakwa Umno minta dana politik daripada Bersatu semasa Pilihan Raya Negeri Sabah tahun 2020.

Menurut Kamaruzzaman, kata Puad, yang minta ialah Tan Sri Annuar Musa yang ketika itu ialah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

“Apakah Annuar Musa bocor maklumat kepada Kamarul Zaman?” tanya Puad.

Menurut Puad, hujah Kamarul Zaman, kalau ikut logik akal, jika Bersatu mahu membuli Umno sudah pasti Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan bagi dana kepada Umno.

Katanya lagi, jika benar Umno dibuli oleh Bersatu di PRN Sabah, sudah pasti Umno Sabah negeri pertama akan putuskan hubungan dengan Bersatu.

“Dengan bahasa mudah, ikut logik profesor politik ini ialah, PPBM hilang akal kerana bagi dana politik kepada Umno yang ia mahu buli.

“Sekarang ini siapa yang tidak logik dan hilang akal? Umno, PPBM atau Profesor Politik?.

“Apakah Kamarul Zaman ingat, Umno adalah parti yang boleh dirasuah, di jual beli dan dilacur dengan wang ringgit.

“Nak tanya Kamarul Zaman apakah dengan membina sekolah, jalan kampung dan lain lain maka rakyat wajib undi parti pemerintah?” katanya.

Bagi beliau, bantuan dana bukan alasan Umno boleh dibuli.

“Umno tidak boleh ditikam belakang kerana dana politik. Bukan bermakna boleh sesuka hati taja calon bebas lawan calon Umno,” kata bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan Barisan Nasional dahulu itu.

Bagi beliau, orang yang membuli ragamnya berbagai.

“Sana sini dia bagi duit. Macam Amerika, dia bantu Iraq untuk serang Iran. Akhirnya, Amerika serang Iraq dan hancurkan negara itu.

“Logikkah Prof Kamarul Zaman?” tanya beliau lagi dalam posting di Facebooknya itu.

Detik cemas perompak serang taska guna senapang angin

Bernama

KUALA BERANG: Seorang penyelia taska dan enam kakak-kanak berdepan detik cemas, apabila seorang lelaki yang bersenjatakan senapang angin memasuki premis untuk merompak.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 9.30 pagi tadi dan suspek telah mengarahkan mangsa menyerahkan wang sambil mengacu senapang angin di kepala mangsa.

Beliau berkata mangsa sempat menepis senapang angin itu hingga menyebabkan suspek melepaskan tembakan, namun terkena pada bahagian lantai dapur taska tersebut.

“Kemudian suspek mengambil beg tangan milik mangsa sehingga berlaku tarik menarik antara mereka namun suspek berjaya melarikan beg tangan itu.

“Suspek turut memecahkan cermin tingkap nako di bahagian dapur dan melarikan diri dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna merah, yang nombor pendaftarannya belum dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek tersebut mengambil barangan kemas, wang tunai berjumlah RM4,000, telefon bimbit dan dokumen peribadi mangsa.

“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati suspek memecah masuk ke dalam taska itu melalui pintu belakang.

“Mangsa dan enam kanak-kanak asuhan taska itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan masih dijalankan,” katanya yang meminta orang ramai segera menghubungi balai polis berhampiran sekiranya mempunyai maklumat berkaitan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata tajam.

‘Saya akan tembak depa’, netizen ugut ADUN PKR

Predeep Nambiar

Tangkap layar ugutan terhadap ADUN Batu Uban, Kumaresan Aramugam daripada PKR.

GEORGE TOWN: Seorang ADUN Pulau Pinang membuat laporan polis hari ini, susulan ugutan seorang pengguna Facebook akan “tembak depa” selepas melihat sebuah keluarga miskin menerima bantuan makanan daripada sebuah NGO di kawasannya.

Pengguna bernama “Hashim Rastaman” itu menyerang ADUN Batu Uban, Kumaresan Aramugam dengan mendakwa beliau tidak membantu golongan miskin dan NGO perlu melakukan tugasnya sebagai wakil rakyat.

“[…] Kalau jumpa dengan YB dan MPKK , saya akan tembak depa dulu kerana menyengsarakan rakyat,” demikian menurut catatan Hashim.

Susulan ugutan itu, Kumaresan membuat laporan polis dengan berkata, beliau bimbang mengenai keselamatan diri dan keluarganya.

Beliau berkata, pengguna Facebook itu turut berbohong dengan mendakwa beliau “mencuri tanah dan kenikmatan rakyat”.

“Rumah yang menerima bantuan daripada NGO itu selalu dibantu pusat khidmat saya. Kami mempunyai rekod untuk menyokongnya, tiada isu siapa yang dipinggirkan,” katanya kepada FMT.

Klip video dalam catatan Facebook menunjukkan seorang ahli Penggerak Komuniti Tempatan menyerahkan bantuan makanan kepada keluarga yang menjalani kuarantin Covid-19.

Timbalan Ketua PKR Pulau Pinang, Sim Tze Tzin berkata, jenayah kebencian sedemikian perlu ditangani segera memandangkan polis mempunyai lebih banyak kuasa ketika darurat.

“Mengugut wakil rakyat ialah perkara serius. Terdapat ugutan dahulu, tetapi mereka sudah berhenti. Kenapa ugutan itu muncul kembali, kami tidak tahu.

“Pihak berkuasa perlu bertindak segera untuk menghalang pihak lain membuat kenyataan tidak tahu malu dalam talian.”

Catatan Facebook itu ialah klip video selama 27 saat oleh Persatuan Demi Rakyat Pulau Pinang yang menunjukkan ahli Penggerak Komuniti Tempatan (PekT), M Navalingam menyerahkan bantuan makanan kepada keluarga menjalani kuarantin Covid-19 di Kampung Sungai Nibong Kecil, Pulau Pinang.

Menurut catatan itu, tidak ada ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau Kumaresan yang melawat keluarga itu. MPKK membabitkan pemimpin tempatan yang dilantik kerajaan negeri untuk membantu akar umbi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong mengesahkan pihaknya menerima dua laporan polis.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan ugutan jenayah tanpa nama, serta penyalahgunaan internet mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Faiz Fadzil, Adun Permatang Pasir nafi dakwaan mencabul

SITI NUR ZAWANI MISCON 

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil menafikan tuduhan mencabul seorang wanita sebagaimana yang didakwa dalam satu laporan polis yang tersebar semalam.

Beliau mengesahkan telah dipanggil untuk satu siasatan pihak polis pada 18 Mac lalu berkaitan laporan polis yang dibuat seorang wanita berusia 31 tahun.

Bagaimanapun beliau memaklumkan bahawa butiran pembelaan tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan masih berjalan.

“Saya telah memberikan kenyataan saya kepada pihak polis. Saya menafikan tuduhan tersebut.

“Saya juga sedang berbincang dengan pasukan peguam bagi mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi membersihkan nama saya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pada masa sama, Adun Permatang Pasir itu memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan pihak polis bagi membantu siasatan.

Pada semalam, tersebar satu laporan polis yang mendakwa Faiz mencabul seorang wanita yang juga anggota parti politik.

Menerusi laporan yang dibuat, wanita berkenaan mendakwa Faiz cuba meraba dan memeluknya yang kemudian memberi amaran untuk merahsiakan perkara tersebut.

Posting itu bagaimanapun didapati telah dipadam dari satu akaun Facebook yang menyebarkan laporan polis tersebut.

Adun Amanah nafi cabul wanita

Malaysiakini 

Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil menafikan tuduhan mencabul seorang wanita pada Januari lalu.

Kata Adun dari Amanah itu, dia sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya.

“Saya mengesahkan telah dipanggil untuk satu siasatan pihak polis pada 18 Mac lalu berkaitan satu laporan polis ke atas saya. Saya telah memberikan kerjasama kepada pihak polis dan akan terus memberikan kerjasama bagi membantu proses siasatan.

“Saya telah memberikan kenyataan saya kepada pihak polis. Saya menafikan tuduhan tersebut. Butiran pembelaan saya tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan masih berjalan.

“Saya juga sedang berbincang dengan pasukan peguam bagi mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi membersihkan nama saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Faiz juga, buat masa ini, dia akan meneruskan tugasnya sebagai Adun seperti biasa.

Pagi tadi, Malaysiakini melaporkan seorang Adun dari utara Semenanjung disiasat polis atas tuduhan mencabul seorang pembantu kedai wanita dua minggu lalu, ketika mereka keluar membeli-belah di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Khalid Othman, wanita berusia 31 tahun itu membuat laporan polis pada 16 Mac.

Dalam laporannya, wanita itu mendakwa suspek cuba memegang tangannya namun ditepisnya, dan di dalam kereta suspek kemudiannya, suspek didakwa meraba, menarik bahu pengadu dan memegang tangan wanita itu tetapi ditolaknya.

Laporan wanita itu turut menyatakan suspek mengingatkannya agar tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian berkenaan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, undang-undang yang menetapkan kesalahan berhubung dengan menggunakan kekerasan untuk memalukan kesopanan seseorang.

'Wartawan pun Muhyiddin tak berani berdepan, apa lagi nak debat Dr M'

Yasmin Ramlan

Beberapa individu yang memihak kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad membayangkan perdebatan antara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pejuang Tanah Air (Pejuang) mustahil akan terjadi.

Mengulas mengenai surat terbuka Tamrin Ghafar, anak kepada bekas timbalan perdana menteri Abdul Ghafar Baba yang mencabar Muhyiddin untuk berdebat dengan Mahathir, Setiausaha Politik Mahathir, Abu Bakar Yahya memberi gambaran Muhyiddin tidak berani untuk menyahut cabaran tersebut.

“Rasanya tak perlu lagilah,” katanya kepada Malaysiakini apabila ditanya sama ada ahli parlimen Langkawi itu akan bersetuju dengan cadangan itu dan adakah pihaknya akan turut menghantar jemputan untuk berdebat dengan Muhyiddin.

“Dengan wartawan pun tak mahu berdepan, apatah lagi dengan Tun Mahathir,” kata Abu Bakar.

Pada masa sama, Ketua Penerangan Pejuang Ulya Aqamah Husamudin juga tidak melihat perkara itu akan terjadi.

“Ini tidak pernah dibincangkan setakat ini,” katanya. 

Pada 21 Mac, Tamrin (gambar atas) dalam satu kenyataan telah mencabar Muhyiddin untuk berdebat dengan Mahathir di mana dua pucuk surat telah dihantar ke kediaman Muhyiddin dan pejabatnya pada awal bulan ini.

Menurutnya, kedua-dua surat itu dipercayai telah diterima oleh Muhyiddin berdasarkan maklumat pengesanan dari perkhidmatan pos yang digunakan - Pos Laju dan GDex.

Katanya, Muhyiddin gagal untuk membalas surat berkenaan pada tarikh terakhir yang diberikan iaitu hari ini, di mana ia menunjukkan bahawa presiden Bersatu itu takut untuk berdepan dengan kenyataan sebenar.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Tamrin berkata tujuannya hanyalah untuk mendapatkan penjelasan apa yang terjadi selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang mealui Langkah Sheraton pada akhir Februari tahun lalu.

“Kita bercakap tentang perubahan kerajaan, kenapa Mahathir letak jawatan dan kenapa dia (Muhyiddin) ambil alih.

"Cara terbaik kita nak tahu siapa yang bercakap benar. Jadi kaedah paling bagus melalui perdebatanlah, siapa yang bercakap benar.

“Kalau dia boleh jawab dia jawablah. Itulah cara paling baik sekali dan rakyat boleh jadi pengadil,” katanya.