Salahkah ayah YB bantu anak berniaga?

ZAMIR GHAZALI

Kecoh dalam kalangan rakyat Terengganu Dan bertebaran ‘surah’ di whatspps akan perihal seorang YB Exco Pelancongan yang disiasat SPRM kes pelbagai tuntutan palsu bernilai RM1.65juta.

Saya tidak pasti sama ada ia punya kaitan dengan duluan kes yang terdedah sebelum itu kononnya dibina satu syarikat pelancongan berimej Turki untuk sang anak dan dilantik kumpulan penasihat yang terdiri daripada pakar Universiti namun berperanan menasihati syarikat tersebut.

Bererti di sini, duit rakyat diguna secara tebuk atap membayar sekumpulan pakar, tetapi fokusnya untuk mengoperasikan bisnes sang anak. Bukannya untuk kerja hakiki menasihati bagi membawa pelancong ke negeri.

Dari sumber sahih SSM, sang anak masih muda. Baru berumur 22 tahun. Status kes ini tidaklah saya ketahui. Dengarnya ia sudah sampai ke meja SPRM. Jadi biarlah Badan Penguatkuasa menjalankan tugas. Janganlah disaman saya pula. Saya hanya memetik hubaya ini dari laporan portal.

https://www.terengganureport.com/2021/06/apa-kepentingan-yb-ariffin-deraman.html

Apa yang saya ingin sentuh ialah keinginan seorang ayah untuk membantu sang anak berniaga. Di posisi anda mempunyai pelbagai peluang dan kuasa, SALAHKAH jika ingin dibantu bisnes anak. Jika tidak boleh pun, dalil boleh dicari. Itu tiada masalah. Itu kerja mudah. Jadi salahkah?

Sebagai orang yang terlibat banyak dalam program pembangunan kapasiti usahawan, saya cuma ingin berkongsi komentar kepada cara membangunkan usahawan tersebut. Mentelah pula usahawan itu ialah anak sendiri. Apakah cara yang dibuat ini betul? Bukan betul dari segi perundangan tetapi betulkah dari segi falsafah membangunkan usahawan?

Usahawan tidak dibina ketika kita ada kuasa dengan cara tubuhkan syarikat, kemudian letak anak sebagai nama pemilik dan CEO. Selanjutnya itu kita anugerahkan pelbagai jenis kontrak untuk tumpang lalu melalui syarikat tersebut. Atau pun kita lantik pula satu badan di luar untuk mengoperasikan bisnes tersebut. Nah, anak sudah jadi usahawan. Datang pejabat untuk ‘sign’ cek dan dokumen kemudian balik dengan kereta baru. Esok datang lagi dengan kot dan tali leher.

Seorang ayah YB, pada saya tidaklah salah untuk mahu bantu anak berniaga. Tiada undang-undang pun melarang. Namun jika anda ingin bantu, bukanlah dengan menjadikan anak berniaga ‘rubber stamp’. Tetapi dengan kuasa yang anda ada, buka ruang kepada anak untuk melalui ‘learning curve’ berniaga dengan lebih cepat.

Sebagai contoh, jika anak ingin memulakan bisnes syarikat travel Haji dan Umrah, hantar anak untuk belajar operasi di syarikat tersebut. Dengan status anda, hubungan baik dengan peniaga pasti ada. Di situ gunakanlah untuk letak anak belajar.

Jika ada skim kursus usahawan di bawah agensi, selitkanlah anak anda. Pasti agensi benarkan. Biar anak belajar hari demi hari dan bina hubungan bisnesnya secara organik.

Jika ada skim geran atau pinjaman yang layak anak minta secara merit, bantulah dia. Ini normal dibuat. Pegawai kerajaan bukan politik pun ramai buat. Kata kuncinya ialah LAYAK. Dengan status anda, pastilah ‘kecek kira’ itu lebih mudah. Tetapi biar padan dengan niaga sang anak.

Jika anak anda punya masalah dalam bisnes dan pastilah ada, bantu perkenalkan dia dengan lebih cepat kepada kenalan industri atau pegawai agensi. Bantu perkenalkan sahaja. Selanjutnya biar anak sendiri melalui proses kerja hubungan itu.

Pendek kata, sang anak perlu benar-benar berniaga. Dia perlu melalui proses calar-balar dan jatuh bangun berniaga tersebut. Status anda sebagai YB bukan bentang permaidani merah. Ini salah. Salah dari segi undang-undang dan salah dari sudut maksud melestarikan bisnes anak itu sendiri.

Dengan apa yang si YB bekas mutawif ( kerja asal beliau ) ini lakukan, jika akhir disabit kesalahan terus-terang dikatakan saya tidak simpati padanya. Padan muka.

Namun saya simpati pada anak dia.

Anaknya masih muda. Dalam mengejar cita-cita tiba-tiba diasak gambaran denda dan pintu penjara.

Ada individu curi tomato, halia di Mydin kerana lapar – Ameer

Kamariah Khalidi

KUALA LUMPUR – Kehidupan rakyat di negara ini semakin tenat akibat pandemik Covid-19 sehingga ada individu sanggup mencuri dua biji tomato dan halia kerana kelaparan.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin berkongsi satu insiden menjentik hatinya yang berlaku di salah sebuah rangkaian pasar raya miliknya.

“Sebelum ini biasanya kita nampak di Mydin orang curi barang elektrik seperti televisyan atau benda mahal tapi sebab mereka itu memang seorang pencuri. Mereka mencuri sebab mahu jual semula barang tersebut.

“Tapi dalam situasi sekarang pun masih ada orang yang mencuri tapi dia ambil makanan dan bukanlah benda mahal, dia ambil sayur.

“Saya lihat dia ambil dua biji tomato dan sedikit halia, saya tanya pada orang itu kenapa ambil tomato? Dia kata untuk masak dan memang dia sangat malu ketika saya bertanya.

“Jadi orang seperti ini sebenarnya dia sedang kelaparan, sebab itu saya rasa kita perlu buat sesuatu untuk bantu rakyat yang sedang dalam kesusahan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu beliau yang mewakili Persatuan Perniagaan Masjid India (MIBA) bersama Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah menyampaikan sumbangan berupa bakul makanan kepada penerima yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di ibu kota.

Dalam sesi tersebut, sebanyak 200 bakul makanan diagihkan kepada penerima yang menetap di sekitar Dang Wangi serta kawasan-kawasan berhampiran.

Mengulas lanjut, Ameer Ali berkata, tidak semua individu yang susah mahu tampil secara sukarela bagi meminta bantuan kerana dalam sesetengah situasi mungkin mereka berasa malu.

Jadi beliau berkata, tidak mustahil ada dalam kalangan rakyat yang tercicir daripada menerima bantuan yang disalurkan kerajaan.

“Kita tidak nafikan memang kerajaan salur jutaan malah berbilion ringgit tapi mungkin tak semuanya akan sampai kepada rakyat di seluruh pelosok, mungkin ada yang terlepas pandang walau seberapa daya pun mereka cuba,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ameer Ali yang juga Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera memohon kerajaan memberi kelonggaran terhadap sektor-sektor perniagaan yang masih belum dibenarkan untuk beroperasi ketika tempoh Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Marilah kita tengok apa yang boleh dibuka dan ikut prosedur operasi standard (SOP). Jangan kita hanya cakap itu keperluan (essential services) dan ini bukan keperluan. Contohnya tempat cuci kereta, kenapa mereka tidak boleh beroperasi? Ia hanya untuk cuci kereta, mungkin ia bukan keperluan?

“Sekarang kita lihat kedai pajak boleh dibuka tetapi kedai emas pula terpaksa tutup operasi. Kedai pajak boleh ikut SOP, kenapa tidak kedai emas?

“MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), janganlah terus menyusahkan peniaga-peniaga ini, mereka semua ingin mencari rezeki yang halal.

“Biar kami usaha sendiri, bukannya mengharap bantuan dari kerajaan, kami tidak mahu duit, cuma mahu cari rezeki sendiri. Kita akan ikut SOP, kalau tidak samanlah kita, tutuplah kedai kita,” katanya. – MalaysiaGazette

Apakah tindakan Dr. Han wajar?

Malaysia Gazette

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan bahawa siasatan sedang dijalankan berkenaan penularan klip video bertajuk “Malaysian Doctors on Strike/Mogok? 1st – 12th July 2021 Black Code” oleh Dr. Han atau Gigi Han yang memberi penjelasan tentang situasi permasalahan doktor-doktor kontrak dan kesannya kepada sistem kesihatan negara.

Menurut pihak PDRM, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Media 1998.

Adakah tindakan PDRM tersebut wajar?

Ringkasnya, menurut Seksyen 505 (5) Kanun Keseksaan, seseorang itu adalah melakukan suatu kesalahan sekiranya membuat, menerbitkan atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin atau berita dengan niat untuk mengapikan mana-mana golongan atau kaum bagi melakukan kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

Dalam hal ini, seseorang itu jika didapati bersalah boleh dihukum dengan pemenjaraan yang boleh sampai dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Namun begitu, jika diteliti peruntukan ini, terdapat kecualian iaitu seseorang itu adalah tidak bersalah jika orang yang berbuat tindakan tersebut mempercayai bahawa kenyataan, khabar angin atau berita itu adalah betul, dan orang itu membuat, menerbitkan atau mengedarkannya dengan tiada apa-apa niat untuk mengapi-apikan golongan yang dimaksudkan tersebut.

Manakala, secara ringkasnya, menurut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seseorang yang menggunakan apa-apa kemudahan atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar adalah melakukan suatu kesalahan yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Selanjutnya, seseorang itu juga boleh didenda lanjut RM1,000 bagi setiap hari kesalahan jika ia diteruskan selepas sabitan oleh mahkamah.

Secara peribadi, saya berpendapat bahawa tindakan ini PDRM memang bersifat sah menurut lunas undang-undang. Tambahan pula, menurut Pengarah Jabatan Siasatan Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, tindakan ini adalah diambil selepas satu laporan polis diterima oleh pihaknya.

Namun begitu, saya juga melihat bahawa tindakan ini adalah bukan suatu keperluan dan tidak wajar.

Menurut penelitian saya terhadap video yang berdurasi 6 minit 49 saat tersebut, ia hanya menjelaskan tentang situasi yang berlaku dalam kalangan doktor kontrak dan kesannya pada masa akan datang sekiranya isu ini tidak diselia dengan baik oleh pihak kerajaan.

Memang terdapat satu bahagian iaitu Dr. Han menyeru supaya individu yang ingin mengambil bahagian dalam kempen tersebut menukar gambar profil media sosial dengan warna hitam atau monokrom mulai 1 Julai hingga 12 Julai lalu. Dr. Han juga ada menyeru supaya tanda pagar #SaveMYcontractHCW #CodeBlackMY dan #BlackMondayMY digunakan pada 12 Julai 2021.

Persoalannya, apakah tindakan Dr. Han itu adalah sesuatu yang berbahaya sehingga boleh dianggap mengapi-apikan doktor untuk melakukan sebarang kesalahan sedangkan doktor kontrak secara realitinya memang berdepan dengan beberapa kekurangan dan permasalahan?

Walaupun demokrasi dan hak bersuara di Malaysia adalah terbatas dan terhad, saya melihat bahawa video tersebut hanya bersifat penerangan serta galakan untuk meneruskan kempen supaya nasib doktor-doktor kontrak ini terbela. Ia adalah suatu bentuk ekspresi munasabah yang pada hakikatnya tidak keterlaluan.

Dalam kes ini, PDRM masih di peringkat siasatan dan itu adalah hak pihak berkuasa untuk menjalankan tugasnya. Kertas siasatan tersebut kelak akan dibawa ke Jabatan Peguam Negara dan diharap dapat dinilai dengan sewajarnya.

Akhir sekali, seperti yang pernah saya nyatakan sebelum ini, isu berkenaan doktor kontrak ini bukan suatu isu remeh dan boleh “dibakulsampahkan”. Tetapi, ia adalah satu isu nasional yang bukan sahaja berkisar tentang masa depan dan apresiasi bakat doktor-doktor muda, malah ia adalah tentang masa depan dan hak rakyat Malaysia untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang unggul. Semoga pihak kerajaan dapat menilai serta mempertimbangkan tuntutan para doktor secara adil dan saksama.


Khairul Naim Rafidi

Penulis merupakan peguambela dan peguamcara yang beramal di Messrs Khairul Naim Rafidi dan menetap di Port Klang. Penulis boleh dihubungi melalui laman facebook Khairul Naim Rafidi atau Messrs Khairul Naim Rafidi

Bantahan bendera hitam, patung mayat di Dataran Merdeka

Malaysiakini 

Empat belas bendera hitam berkibar dan lima patung mayat berbalut kain kafan putih dibentangkan di Dataran Merdeka tanda bantahan 'flash mob' anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) hari ini.

Pada satu kenyataan, kumpulan itu berkata patung mayat tersebut menunjukkan peningkatan jumlah kematian akibat Covid-19, serta kes bunuh diri.

Di samping patung itu, sepanduk bertulis "Kita mati dalam derhaka" dengan hashtag #keluardanlawan. 

Sepanduk itu berilhamkan puisi nukilan Kassim Ahmad, Dialog yang berakhir dengan ayat: "Kian lama kita mati dalam setia, kali ini kita hidup dalam derhaka!"

Sementara itu, empat belas bendera hitam lambang "kemarahan rakyat" di semua negeri dan Wilayah Persekutuan yang ditunjukkan pada tanda pagar #lawan dan #KerajaanGagal di media sosial.

"Kami menegaskan bahawa kredibiliti kerajaan Perikatan Nasional dalam membendung pandemik Covid-19 telah gagal malah nasib rakyat yang mengangkat bendera putih dihina bahkan angka Covid-19 semakin meruncing dan meningkat.

"Sikap perdana menteri dan menteri-menteri kerajaan yang terus menerus menyindir kempen solidariti bendera putih rakyat adalah sangat tidak peka dan prihatin keluh kesah rakyat yang sedang terhimpit dan tertekan akibat tiada pendapatan atau mati akibat terkena jangkitan Covid-19.

"Dan perdana menteri masih boleh buat lawak bodoh untuk menaikkan bendera biru," kata SSR.

Kenyataan ini merujuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang berkata rakyat tidak perlu mengibarkan bendera putih, memandangkan bantuan secara bersasar akan disampaikan kepada sebahagian kumpulan bersasar yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

“Tak payah naik bendera putih ke hitam. Nak naik bendera biru tak apa. Maksud saya tadi, kita tahu di mana (perlukan bantuan) dan kementerian ada rekod,” kata Muhyiddin pada 15 Julai.

Dalam pada itu SSR pada kenyataannya mengemukakan tiga tuntutan, iaitu mendesak Muhyiddin mengundurkan diri, sidang parlimen penuh yang bukan hanya "ceramah kerajaan", dan moratorium automatik diperluas kepada semua orang.

Parlimen akan bersidang pada 26 Julai selama lima hari. Walau bagaimanapun, takwim Dewan Rakyat yang diberikan menunjukkan sebahagian besar sesi akan dihabiskan untuk taklimat mengenai situasi Covid-19 daripada kerajaan.

Sementara itu, moratorium pinjaman tersedia untuk semua orang, tetapi berdasarkan permohonan. Pengkritik juga menimbulkan soal faedah pinjaman akan bertambah sepanjang tempoh moratorium.

SSR seterusnya menggesa masyarakat untuk memakai pakaian hitam untuk menunjukkan kekecewaan mereka terhadap kerajaan PN.

Tunjuk perasaan itu berlangsung sekitar 40 minit dan polis dilihat hadir memantau situasi.

Namun, tidak ada tangkapan dilakukan, dan polis hanya mengambil gambar kad pengenalan salah seorang penganjur.

Dalam satu kenyataan kemudian, polis mengatakan pihaknya telah mengenal pasti tiga penganjur dan akan memanggil mereka untuk disoal siasat.

Bantahan itu disiasat bawah Peraturan-Peraturan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 iaitu Larangan Berhimpun.

Kluster menteri sudah jadi musuh parti sendiri, sanggup diperguna Mahiaddin

SANGGUP DIPERGUNA MAHIADDIN, KLUSTER MENTERI SUDAH JADI MUSUH PARTI SENDIRI

Shahbudin Husin

Semalam terdedah satu lagi rakaman audio mesyuarat MT UMNO yang diadakan pada 7 Julai lalu, dengan kali ini melibatkan suara Ismail Sabri Yaakob yang baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dalam audio itu, beliau antaranya bercakap mengenai perlantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, tentang masa yang sesuai untuk UMNO keluar daripada kerajaan dan kedudukan kerajaan PN yang menurutnya tidak akan jatuh kiranya UMNO menarik diri pada waktu ini.

Selain membangkitkan tentang darurat yang masih berkuatkuasa sebagai hujah kerajaan tidak jatuh, beliau juga menyebut berkenaan CSA atau perjanjian kepercayaan dan belanjawan yang didakwanya berlaku antara Mahiaddin Md Yasin dengan PH sekiranya UMNO mengambil tindakan menarik diri.

Kata beliau, dengan adanya perjanjian itu, meskipun setelah UMNO menarik diri, kedudukan kerajaan PN dan Mahiaddin sebagai Perdana Menteri tidak mungkin jatuh berikutan sokongan gantian telah diperolehi daripada PH.

Dalam audio seorang lagi ahli MT, Tajuddin Abdul Rahman yang viral sebelum ini, beliau juga menggunakan hujah yant sama sebagai sandaran ketidakperluan untuk UMNO menarik diri daripada kerajaan pada waktu sekarang.

Katanya, dengan sokongan baru daripada DAP kepada Mahiaddin di dalam Parlimen melalui CSA, penarikan sokongan oleh UMNO tidak memberi kesan apa-apa kepada kerajaan PN.

Berdasarkan dua audio yang terdedah setakat ini, tidak mustahil lebih ramai sebenarnya ahli MT yang menggunakan hujah CSA sebagai alasan dan kebimbangan UMNO tidak perlu menarik diri daripada kerajaan.

Soalnya, benarkah ada CSA antara kerajaan PN dengan PH?

Sebelum penafian Saifuddin Nasution Ismail semalam, sebetulnya telah beberapa kali pemimpin PH mengeluarkan kenyataan sebelum ini bahawa mereka sama sekali tidak akan bekerjasama dengan Mahiaddin, walau dalam ada keadaan sekali pun.

Blok pembangkang lain seperti Pejuang dan Warisan juga turut mengeluarkan kenyataan yang sama.

Jadi, kenapa pemimpin UMNO, termasuk yang berjawatan Timbalan Perdana Menteri, masih suka menggunakan hujah CSA itu?

Adakah mereka tiada pengetahuan mengenainya dan tidak mengikuti perkembangan semasa, walaupun dengan kedudukan sebagai anggota kabinet dan pemimpin parti di hireaki tertinggi, mereka sepatutnya sentiasa ke depan dengan maklumat di hujung jari?

CSA sebenarnya hanyalah helah semata-mata kerana alasan dan faktor sebenar ialah keinginan untuk pemimpin UMNO terbabit terus kekal menikmati habuan dan kedudukan, termasuk dengan jawatan baru sebagai orang nombor dua dalam kerajaan.

Nikmat jawatan itu terlalu sukar untuk mereka lepaskan, tambahan lagi setelah memperolehinya walau dalam keadaan UMNO tidak menang pilihanraya dan beberapa pemimpinnya sendiri sedang menuju ke penjara.

Dalam keadaan ini, mereka merasakan inilah peluang merembat habuan, sambil menyimpan impian kalau-kalau ada peluang menjadi pemimpin masa depan bagi menggantikan kepimpinan sedia.

Realitinya, dengan terus berada di dalam kerajaan yang paling dibenci rakyat ini, meski nikmat diperolehi, pemimpin UMNO yang takut kehilangan jawatan serta kedudukan itu secara automatik sudah masuk dalam perangkap “scheme of things” yang menjadi amalan Mahiaddin untuk mengekalkan jawatannya.

Lantaran keseronokan dengan habuan dan jawatan itu, mereka kini sudah tidak kisah menjadi musuh kepada parti sendiri.

Dan setiap kali Mahiaddin terasa kedudukannya terancam, ada saja “scheme of things” baru ditawarkan.

Sebab itu, di sebalik UMNO sudah menetapkan penarikan sokongan secara serta-merta terhadap Mahiaddin, kluster menteri dalam parti itu tiada perasaan malu sama sekali mempertahankan lagi Presiden Bersatu itu untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Perlakuan mereka itu bukan saja menimbulkan kehairanan kepada rakyat, malah barangkali isteri dan anak-anak di rumah yang sudah dewasa pun turut sama terasa peliknya.

Entahlah Labu, langsung tak berjenis mereka ini, ayam dan itik pun tahu memilih mana makanan yang perlu.

Keadaan ini sekaligus menjadikan tindakan UMNO menarik sokongan terhadap Mahiaddin hanya sia-sia dan tidak bermakna kerana umpan “scheme of things” lebih mudah untuk mengena sasaran berhanding jerit pekik tentang perjuangan.

Berkaitan CSA, PH dan blok pembangkang lain yang telah dikhianati oleh Mahiadin melalui Langkah Sheraton, ikut logik apa sekali pun, mustahil sanggup bekerjasama dengan PN untuk mengekalkan kerajaan sedia ada ini.

Jika itu yang sanggup PH lakukan, bermakna mereka juga tiada bezanya dalam konteks khianat kepada pengundi dan rakyat seluruhnya.

Akhirnya, tindakan itu akan membangkitkan kebencian rakyat dan memungkinkan tidak lagi menjadi pilihan pengundi bila pilihanraya diadakan.

Apakah itu yang mahu PH terima dengan percuma dalam perjuangan mereka? (ShahbudinHusin 17/07/2021)

Pegawai khas ADUN direman kerana salah guna kuasa, bebas dengan jaminan SPRM

FMT Reporters

Pegawai khas kepada ADUN di Perak dibebaskan dengan jaminan SPRM bersabit kes salah guna kuasa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

PETALING JAYA: Pegawai khas kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang direman bersabit kes salah guna kuasa Selasa lalu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia berikutan siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 telah lengkap.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Ipoh, Nurfarah Syahidah Mohd. Noh mengeluarkan perintah tersebut selepas tempoh reman selama lima hari ke atas lelaki berusia 57 tahun itu tamat hari ini.

Beliau membenarkan lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin.

Kes itu juga turut disahkan oleh Pengarah SPRM Perak, Mohd Fauzi Mohamad, menurut laporan Sinar Harian.

“Hari ini (Sabtu), suspek telah dibebaskan dengan jaminan selepas ditahan reman selama lima hari,” katanya.

Pegawai itu ditahan pada 12 Julai lalu di Pejabat SPRM Taiping ketika hadir memberi keterangan jam 3.30 petang.

Menurut laporan, lelaki berkenaan didakwa menyalahguna jawatan dan kedudukannya selaku ahli lembaga sebuah koperasi pertanian dengan mencadang dan melantik syarikat miliknya sendiri bagi mendapatkan projek ternakan ikan.

Projek berkenaan dibangunkan di atas tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) seluas 80.937 hektar di sebuah kawasan di Daerah Kerian yang telah dipajakkan kepada Koperasi Pertanian.

3 kesimpulan Ku Nan dibebaskan dan dilepaskan

MALAYSIA DATELINE

Peguam Dr Zulqarnain Lukman membuat tiga kesimpulan berhubung kes yang membabitkan Tengku Adnan Mansor atau Ku Nan yang dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat atas tuduhan menerima rasuah RM2 juta berhubung tugas rasminya, lima tahun lalu.

Tiga kesimpulan itu adalah derma politik boleh dijadikan pembelaan kalau dituduh di bawah seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Kedua, orang Melayu Islam khasnya yang pegang jawatan menteri dan sebagainya boleh minta derma politik berjuta-juta daripada orang Cina bukan Islam.

Dan ketiga katanya, meminta derma politik perlu dibuat secara kreatif supaya selamat daripada pertuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berikut kenyataan Dr Zulqarnain berhubung kes bekas Menteri Wilayah itu;

Pertuduhan terhadap Ku Nan:

“Bahawa kamu, pada 14 Jun 2016, di CIMB Bank Berhad Cawangan Pusat Bandar Damansara, Level 1, Lot A4, Block A, Pusat Bandar Damansara, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk diri kamu sendiri suatu barang berharga dengan dengan tiada balasan, iaitu, wang berjumlah RM2,000,000.00 daripada Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank bernombor 136822 milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd. yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn. Bhd. no. akaun 8001179747 yang di dalamnya kamu mempunyai kepentingan, yang mana kamu ketahui syarikat Aset Kayamas Sdn. Bhd. ada perhubungan dengan kerja-kerja rasmi kamu sendiri, dan oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 165 Kanun Keseksaan.”

Di peringkat Mahkamah Tinggi, beliau telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Fakta Kes:

Ku Nan adalah Menteri Wilayah Persekutuan pada ketika itu.

April 2013, Kementerian itu telah melancarkan program rumah mampu milik RUMAWIP untuk bina 80 ribu buah rumah di atas tanah DBKL. Ku Nan telah minta Tan Sri Chai (TS Chai) (Saksi Pendakwaan Ke-19) untuk turut terlibat dalam projek ini.

TS Chai terlibat melalui syarikat Aset Kayamas. Pada 26.1.2015, Aset Kayamas memberikan surat cadangan kepada DBKL untuk beli sebahagian tanah DBKL itu.

Aset Kayamas dan DBKL memasuki Perjanjian Jual Beli pada 1.6.2016. Ku Nan adalah SU Agung UMNO pada masa itu. Dalam keterangan, Ku Nan telah meminta derma politik dari TS Chai sebanyak RM5 – 6 juta untuk digunakan dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang akan diadakan pada 18.6.2016.

Ku Nan telah minta TS Chai untuk memberikan derma melalui syarikat Tadmansori Sdn Bhd. Dalam keterangan TS Chai – dia tidak tahu syarikat itu milik siapa, dia tak fikir untuk tanya Ku Nan kenapa derma perlu dibuat kepada syarikat dan bukan kepada UMNO. TS Chai beri derma politik RM2 juta kerana itulah kemampuannya pada waktu itu. TS Chai arahkan stafnya tulis cek bertarikh 14.6.2016, dua hari sebelum PRK.

Ku Nan serah cek kepada drebar dia pada hari yang sama dan cek itu clear dalam akaun Tadmansori pada 16.6.2016. Bank sahkan Tadmansori tidak bayar kepada UMNO. Tadmansori juga tiada sebarang kaitan dengan Aset Kayamas. Semasa sesi soal balas, TS Chai mengakui terima resit dari UMNO dan terus keluarkan resit UMNO no. 376241 bertarikh 4.6.2016 berjumlah 2 juta dengan ditulis ‘Sumbangan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar’. Resit ini jadi ekshibit mahkamah. TS Chai nyatakan resit itu diberikan kepadanya 2 hari selepas beliau beri cek itu.

Selepas keterangan mengejut itu, SPRM telah membuat serbuan ke pejabat UMNO dan ada saksi sahkan Ku Nan ada tandatangani resit itu atas kapasiti sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dan bukan untuk UMNO Ibu Pejabat.

Dapatan Mahkamah;

Elemen yang wajib dibuktikan adalah bahawa RM2 juta itu dibayar kepada Ku Nan dan bukan kepada orang lain atau entiti lain.

Peguam Ku Nan berhujah bahawa Hakim Bicara khilaf bila mana gagal untuk menimbangkan pembelaan bahawa RM2 juta itu adalah derma politik (political donation).

Oleh kerana TS Chai adalah saksi pendakwaan dan keterangan TS Chai sendiri mengakui bahawa RM2 juta itu adalah derma politik dan bukan untuk Ku Nan maka pendakwaan adalah terikat dengan keterangan saksinya sendiri.

Keterangan Pegawai Penyiasat juga menyatakan bahawa RM2 juta itu adalah derma TS Chai untuk PRK Kuala Kangsar dan Sg Besar.

Mahkamah dapati pendakwaan juga gagal untuk soal semula TS Chai berkaitan isu ini. Tiada impeachment dibuat ke atas saksi ini juga. Resit itu juga tidak dibuktikan sebagai palsu. Hakim Bicara gagal untuk timbangkan hal-hal itu menyebabkan sabitan ke atas Ku Nan tidak selamat.

Keputusan majoriti Mahkamah Rayuan ini diputuskan oleh Hakim Soraya Othman dan Hakim Ahmad Nasfy Yasin.

Hakim Dissenting;

Hakim Abu Bakar Jais menyatakan bahawa tiada sebab untuk beliau ganggu dapatan Hakim Bicara dengan mengambil kira antara lain Ku Nan pada masa itu berkhidmat untuk negara dan hukuman yang dikenakan juga telah menimbangkan kedahsyatan kesalahan itu (gravitiy of the offence)

(Sumber: Press Summary COA- 16.7.2021)

Kesimpulan

1) Derma politik boleh dijadikan pembelaan kalau dituduh di bawah seksyen 165 Kanun Keseksaan.

2) Orang Melayu Islam khasnya yang pegang jawatan menteri dan sebagainya boleh minta derma politik berjuta-juta daripada orang Cina bukan Islam.

3) Meminta derma politik perlu dibuat secara kreatif supaya selamat daripada pertuduhan SPRM

Kes wanita mati semasa divaksin di Miri dibawa ke Parlimen

MALAYSIA DATELINE 

RAYMOND LUI

Kes seorang wanita yang didakwa meninggal dunia semasa diberi suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Miri akan dibawa ke Parlimen.

Menurut Sanator Alan King, beliau akan mengemukakan kes berkenaan ke Dewan Negara memandangkan tiada laporan lengkap bedah siasat yang diterima oleh ahli waris setakat ini.

“Setakat ini, hanya Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed yang mengemukakan kenyataan berikutan kejadian itu, yang mana saya fikir ia tidak adil kerana kami mahukan laporan lengkap bedah siasat.

“Penemuan siasatan awal nampaknya menyalahkan tanda-tanda serangan jantung si mati menyebabkan anggota keluarga berasa tidak puas hati.

“Ini adalah kes penting dan ini berkaitan dengan semua orang lebih-lebih lagi sekarang Program Imunisasi Nasional sedang berjalan.

“Orang ramai bimbang, jadi laporan ini bukan sahaja dapat memenuhi kepentingan ahli keluarga, malah akan memberi pemahaman kepada masyarakat mengenai keadaan sebenar. Ramai yang berasa panik sekarang kerana ini,” katanya.

Ling turut memberitahu beliau telah menulis surat kepada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk meminta siasatan disegerakan.

“Namun, saya tidak mendapat jawapan sejak itu. Oleh itu hari ini bersempena dengan sidang media ini, saya menulis surat sekali lagi kepada Tan Sri bagi mengambil tindakan susulan kes ini, dengan harapan KKM dan pengarahnya sendiri memberi perhatian khusus terhadap kes tersebut. 

“Pihak keluarga mahukan laporan yang telus dan adil dijalankan secepat mungkin dan kerana panduan baru ini mengenai pampasan, yang baru saja dirumuskan dalam Kesan Khas Bantuan Kewangan dari Vaksin Covid-19 awal bulan ini,” katanya.

Ling menjelaskan dana yang dibentuk oleh kerajaan adalah mengeluarkan bantuan kewangan sekiranya seseorang tidak mengalami kesan sampingan serius dari vaksin Covid-19.

“RM50,000 akan dibayar kepada mereka yang mengalami kesan sampingan yang serius dan harus menjalani rawatan jangka panjang di hospital. RM500,000 akan dibayar sekiranya hilang upaya kekal atau mati, ” tegas beliau..

Ling menambahkan kesannya mesti terjadi dalam waktu tiga bulan setelah vaksinasi, tuntutan harus dibuat dalam satu tahun dan dalam kes kematian, laporan bedah siasat harus disertakan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan soal pampasan adalah perkara kedua bagi keluarga simati berkenaan.

“Keprihatinan utama bagi anggota keluarga adalah mendapatkan laporan dan mengetahui hasilnya. Tanpa bedah siasat, kita tidak akan dapat melakukan apa-apa,” ujarnya.

Justeru Ling berjanji akan mengemukakan kes itu semasa persidangan Dewan Negara yang dijadualkan bermula pada 3 Ogos ini.

“Saya pasti akan mengemukakannya di Parlimen, semoga sebelum ini KKM dapat tampil bedah siasat,” katanya.

Sementara, kakak wanita yang meninggal dunia itu Chu Siew Tzen berkata, keluarganya masih sangat sedih dengan kejadian tersebut kerana wanita berusia 57 tahun itu sihat ketika pergi ke pusat vaksinasi Covid-19 (PPV).

“Kami benar-benar tidak dapat menerima insiden ini hingga sekarang dan masih menunggu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan laporan akhir kepada kami perlu mengetahui apa yang sebenarnya terjadi.

“Kami tidak dapat menerima jawapan bahawa adik saya mengalami serangan jantung. Sekalipun serangan jantung terjadi padanya, dia tidak menunjukkan simptomnya dan agak normal ketika dia pergi melakukan vaksinasi,” jelasnya. .

Beliau mendakwa video viral yang menunjukkan adiknya dalam keadaan tertekan dan dihadiri oleh pekerja kesihatan di PPV menunjukkan bahawa tidak ada mesin oksigen di sekitarnya.

“Oleh itu, kami tertanya-tanya apakah apa yang telah mereka lakukan dapat membantunya mengatasi masalah pernafasan.

“Dan, kami semua berasa kecewa dan menggesa agar laporan itu dikeluarkan secepat mungkin kerana ini adalah kes yang sangat pelik dan mereka mesti melakukannya segera,” tambahnya.

Pada masa sama, anak perempuan wanita yang meninggal, Sim Geok Wei berkata beliau telah membuat laporan polis berikutan kejadian tragis itu serta meminta agar KKM tidak menangguhkan laporan bedah siasat.

“Ini adalah kes yang penting dan mereka harus menganggapnya sebagai serius. KKM seharusnya tidak memerlukan waktu yang lama untuk laporan tersebut kerana jika kita tidak mengetahui hasil laporan tersebut, kita tidak dapat melakukan apa-apa atau bahkan mengambil vaksin kerana kita tidak tahu sama ada ini berkaitan dengan masalah yang berkaitan dengan vaksin atau doktor atau jururawat.

“Kami tidak tahu, jadi kami memerlukan laporan secepat mungkin,” katanya.

Drama tipu paling hebat!

Agensi

STEPHANIE Hunter, 32, mengaku bersalah kerana menipu. FOTO Agensi.

STEPHANIE Hunter, 32, mengaku bersalah kerana menipu. FOTO Agensi.

London: Seorang wanita digelar penipu bersiri selepas memperdaya suami, rakan sekerja dan beberapa individu lain dengan mendakwa dia menghidap kanser paru-paru tahap akhir dan dijangka hidup 18 bulan sahaja.

Bagi meyakinkan mereka, Stephanie Hunter, 32, turut membotakkan kepalanya dan memakai selendang hingga rakan sekerjanya simpati dan mengumpul dana untuk menghadiahkan dia percutian terakhir ke Disneyland Paris bersama tiga anak berusia 13, sembilan dan lapan tahun.

Percutian VIP bernilai £7,000 (RM40,634.25) itu ditaja sepenuhnya dengan layanan mewah, sebelum penipuan Hunter akhir terbongkar apabila majikannya gagal mendapat pengesahan perubatan dan status terkini penyakitnya.

Dia akhirnya mengaku menipu ramai orang termasuk suami sendiri, Jamie Wilkinson apabila Perkhidmatan Sosial mula campur tangan berhubung urusan kebajikan anaknya selepas orang awam membuat aduan.

Kesnya dilapor kepada pihak berkuasa dan Hunter dari Freemantle Avenue, Hull dihadapkan ke Mahkamah Crown Hull, pada Khamis lalu dengan Hakim John Thackray menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan terhadapnya.

Ketika prosiding itu, Pendakwa raya David Godfrey memaklumkan mahkamah bahawa Hunter bekerja sebagai jurujual ResQ di George Street pada 2016, namun dilapor sakit dan mengemukakan surat cuti sakit selama 21 hari kerana kanser paru-paru dan memerlukan pembedahan.

Dia kemudian mendakwa rawatannya tidak berjaya dan perlu menjalani kemoterapi selama tiga bulan dan turut memberikan tarikh prosedur itu akan dijalankan menyebabkannya tidak boleh bekerja, tetapi masih dibayar gaji.

Mahkamah dimaklumkan pada Januari 2017, Hunter membotakkan kepalanya dan memakai selendang serta mampu bekerja selama seminggu sehingga September 2017.

Rakan sekerja yang prihatin kemudiannya mengumpul dana untuk Hunter bercuti buat kali terakhir bersama keluarga dan halaman kumpul dana secara dalam talian, Just Giving diwujudkan dengan keseluruhan dana diperoleh termasuk sumbangan ahli perniagaan adalah £10,446 (RM60,637.90).

Hakim John Thackray dalam penghakimannya berkata kepada Hunter bahawa dia seorang 'pemangsa dan memanipulasi' emosi dan kebaikan orang yang tersentuh dengan penderitaan yang didakwa dialaminya.

"Penipuan awak dan semua tindakan itu satu penghinaan. Kesalahan seperti ini akan menjejaskan keyakinan orang ramai dan menghalang mereka untuk menderma," katanya.

Hunter menangis sebaik dibawa keluar dari kandang tertuduh selepas hukuman dijatuhkan.

-Hmetro 

Merana kerana penguasa? Berdoalah

MALAYSIA DATELINE 

ATRIZA UMAR

Satu-satu isu menimpa negara dalam keadaan pandemik yang melanda dan belum tampak di mana penghujungnya.

Kesempitan dan kesakitan rakyat yang semakin parah, seakan tiada apa-apa di mata pemerintah. Kes bunuh diri, pelajar tertekan dan meninggal dunia serta banyak lagi isu lain yang sangat menguji.

Rakyat dihalang berleluasa dan diperintahkan mengikuti arahan Kawalan Pergerakan (PKP) sampai dijenama kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang punya fasa.

Namun, para pemimpin bebas ‘terbang’ ke sana sini, dalam negeri dan luar negara, tanpa melihat situasi rakyat yang sedang bergelumang dengan cabaran hidup yang sangat menduga.

Kononnya alasan tugasan kerja hingga ke luar negara, isu rakyat yang di depan mata dan semakin berlarutan pula seakan tidak dipedulikan!

Sebahagian ahli parlimen pula baru sahaja menerima notis persidangan lima hari bermula 26 Julai hingga 2 Ogos ini yang hanya ada sesi penerangan daripada menteri sahaja tanpa perbahasan.

Apakah ‘lawak’ yang sedang dilakukan? Penulis masih sangsi sama ada ini sidang Parlimen atau ceramah umum. Jika ceramah umum, baik disiarkan sahaja ceramah secara langsung, tidak perlu ahli-ahli Parlimen bersusah payah untuk hadir.

Prihatinlah wahai menteri

Rakyat sudah lama terkurung di rumah sendiri, walau rela paksa, demi mendambakan hidup yang lebih baik seperti sebelum berlakunya pandemik ini. Bukan itu sahaja, telah ramai rakyat kalian ‘pergi’ kerana wabak ini dan angka-angka terus meningkat setiap hari hingga melebihi 13,000.

Pihak barisan hadapan terutamanya para pegawai kesihatan pula terlalu penat, kerana tugasnya yang tidak mengenal waktu dan keadaan.

Dan kalian seenaknya mempamerkan aktiviti ke luar negara, ziarah-menziarahi, mengunjungi zoo, memberi makan haiwan, merasmikan itu ini di sana sini dalam keadaan rakyat tidak dapat bertemu insan-insan yang disayangi seperti emak ayah dan keluarga, saudara mara serta sahabat handai.

Mereka dilarang merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman, bahkan ada yang tidak dapat bertemu lagi kerana telah dijemput Ilahi.

Tulisan ini dizahirkan penulis dengan hati yang mendalam, mewakili rakyat yang ingin melihat negara dipimpin oleh pemimpin yang selayaknya dan yang ingin kembali hidup tanpa Covid-19 ini.

Kerajaan sewajarnya lebih telus dan bersikap adil serta prihatin yang menggunung dalam usaha menangani wabak dan segala masalah ini. Jangan terus menjadikan rakyat sebagai mangsa atas segala kerakusan kuasa kalian.

Jika tidak, kalian harus berundur dan berilah kepada mereka yang lebih layak melaksanakan amanah berat ini sebagaimana yang dipilih rakyat sebelum kalian melakukan ‘tebuk atap’ ini.

Harapan yang sesungguhnya agar negara mampu dipulihkan segera dan rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa, melaksanakan solat berjemaah di masjid dan surau, mengunjungi emak ayah di kampung, ke sekolah, bekerja, melakukan aktiviti kemasyarakatan dan juga berpersatuan.

Pendek kata, rakyat ingin melakukan rutin-rutin yang selalu dilaksanakan ketika sebelum ancaman pandemik ini bermaharajalela.

Dengan kuasa dan keberadaan yang kalian ada, bantulah kehidupan rakyat yang makin sakit dan membarah perit ini. Kerana amanah yang telah kalian ‘ambil’, pandanglah jiwa-jiwa rakyatmu ini dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab, seperti seorang ketua keluarga terhadap keluarga yang dipimpinnya.

Jika perkara itu tidak dapat kalian tangani, serahkanlah kepada yang ahli, bukan bermegah dengan jawatan dan kedudukan yang ‘dirampas’ itu. Jika benar kegagalan ini bukan kerana kalian, jadi siapa punya angkara semua ini?

Apakah sehingga perlu rakyat menadah tangan mendoakan penguasa yang sebegini yang sangat keterlaluan melakukan sesukanya dan rakyat berasa dizalimi?

Doa orang dizalimi

Ingatlah bahawa doa mereka yang dizalimi dan teraniaya sangat didengar Allah. Sebagai rakyat, teruskan doa-doa kita agar kembali mendakap kesejahteraan hidup sebagaimana sebelum Mac 2020 lalu.

Suka saya memetik status Furqan Abdullah yang menulis dan sering mengingatkan masyarakat.

“Saya ingin mengajak semua untuk membuat sesuatu perkara yang lebih bernilai tinggi (dan insya-Allah lebih berimpak) iaitu senjata paling ampuh yang ada dalam diri kita iaitu rintihan dan doa.”

Katanya, dalam hadis, Rasulullah SAW menjamin bahawasanya doa orang yang dizalimi tiada hijab antara dirinya dengan Tuhan.

“Justeru, bagi sesiapa yang rasa teraniaya dan terkesan teruk dengan sikap tak bertanggungjawab penguasa ini, mari sama-sama kita mengubah hamburan kemarahan kita di media sosial dengan berdoa merintih kepada Allah SWT agar memberi balasan yang setimpal akan kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan.”

“Memanglah bukan beliau seorang sahaja yang perlu dipertanggungjawabkan, namun melihat kepada siri keangkuhan dan sikap beliau amat menyesakkan dada kita semua.”

Beliau memetik satu ayat al-Quran untuk menjawab persoalan sama ada dibolehkan untuk berdoa ke atas orang yang menzalimi kita.

“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayai. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (An-Nisa’: 148)

Beliau juga memetik tafsiran Syeikh as-Sa’di berkaitan ayat ini. 

“Diharuskan untuk berdoa dan mengadu kepada Allah ke atas mereka yang bersikap zalim. Begitu juga terang-terangan membongkar keburukan bagi mereka yang terang-terang melakukannya tanpa membuat sebarang bentuk penipuan (mengada-adakan cerita) ataupun berlebih-lebihan daripada (kadar) kezalimannya. Begitu juga hendaklah tidak sampai melampau daripada sikap zalimnya dengan mencaci (peribadinya).”

Ya, kepada siapa lagi yang kita perlu harapkan selain kekuatan ‘senjata’ doa dan pengharapan kepada yang Maha Esa?

Ayuh, kita terus berdoa agar Allah hadirkan pemimpin yang dapat mengembalikan negara Malaysia yang tercinta ini ke arah yang lebih baik, tanpa Covid-19, tanpa rasuah, tanpa penunggang agama, tanpa maksiat, tanpa penindasan, tanpa pembohongan dan tanpa segalanya yang tidak baik, yang sesiapa pun tidak inginkan.

Ya Allah, dengarkanlah rintihan kami, hamba-Mu.

———-

Penulis adalah Pegawai Penerangan dan Perhubungan, Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Ke Istanbul jua akhirnya

MUHAIMIN SULAM

Kota Istanbul adalah antara kota tercantik yang pernah saya kunjungi. Tarikan Istanbul bukan setakat sejarahnya atau seni bina bangunan tetapi masyarakat tempatan yang moden, sekular tetapi Islamis. Kota ini pernah melakar sejarah sebagai kuasa besar dunia yang memiliki armada tentera terhebat.

Kota dua benua. Kota pertembungan tamadun dan budaya utama dunia. Kota yang pernah Laksamana Hang Tuah sampai ke sini dengan bahtera ‘Mendam Berahi’. Memang wajar untuk rakyat Malaysia pergi. Apatah lagi pemimpin negara. Memang patut berkunjung ke Istanbul. Itulah tanda pemimpin yang menghargai sejarah bangsa.

Pada tahun 2009, UNESCO mengisytiharkan kota Istanbul sebagai kota warisan Eropah biarpun keanggotaan Turki dalam EU masih belum menyeluruh. Keanggotaan Turki dalam EU hanya melibatkan soal kebudayaan, sukan dan belum mencapai perjanjian dalam ekonomi.

Pengalaman saya beraya di United Kingdom, tahun pertama saya sekeluarga raikan di Manchester. Tahun kedua, kami beraya di Swansea, tempat tinggal kami selama empat tahun di UK. Tahun ketiga, kami beraya di Sweden, antara negara termahal di dunia. Tahun berikutnya, kami beraya di Istanbul. Alang-alang tidak beraya di kampong halaman, biarlah beraya sakan di tempat orang.

Petang terakhir Ramadhan di sebuah kedai karpet di hadapan stesyen tren Sultanahmet yang sibuk; saya dipujuk oleh peniaga itu untuk masuk ke kedainya. Oleh kerana kami dari Malaysia, layanannya memang luar biasa sekali. Tujuannya untuk kami tertarik dengan karpet-karpet yang diperagakan di kedai itu. Turki terkenal sebagai pengeluar karpet. Dia menunjukkan puluhan jenis karpet dari tenunan tangan hinggalah corak yang moden.

Akhirnya saya alah untuk membeli. Barangkali sebagai galang gantinya, pekedai itu menjemput kami sekeluarga berbuka puasa di kedainya itu. Saya bersangka baik mungkin terselit juga dalam nawaitunya untuk bersedekah di bulan mulia ini. Namun ini juga adalah sebahagian politik orang berniaga. Ini kerana kulihat tadi, peniaga tadi merokok. ‘No thanks, we are fasting’, aku memberitahu semasa peniaga itu menawarkan air penghilang dahaga. Cepat-cepat disorokkan baki puntung rokok yang ada pada tangannya.

Hari terakhir bulan Ramadhan itu, banyak laluan utama kota Istanbul sibuk. Orang ramai memang sesak dan sibuk mencari persiapan terakhir sebelum mereka menyambut hari raya Aidil Fitri. Sebuah canopy besar yang terletak berhampiran laluan itu menjadi tumpuan orang ramai kerana menyediakan jamuan berbuka puasa percuma. Ingin juga saya berbaris untuk berkongsi pengalaman berbuka puasa di tempat awam. Namun, saya batalkan kerana orang yang berbaris menunggu giliran berbuka puasa itu terlalu panjang. Biarlah saya pilih menjadi saksi dari jauh daripada berbaris panjang sekadar ingin mendapatkan pengalaman begitu. Tambahan pula, saya mendapat jemputan untuk berbuka puasa oleh peniaga karpet tadi.

Majlis berbuka puasa di tingkat atas bangunan kedai karpet itu agak eksklusif. Disediakan beberapa meja dan aneka makanan Turki yang aku sendiri tidak tahu namanya. Balkoninya luas menghadap bangunan Aya Sofia dan Masjid Biru yang menarik. Langit senja yang kekuningan melatari hujung waktu Ramadhan itu bagai sebuah lukisan. Tentu sekali kami tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto sebagai kenangan berada di situ.

Sayapun bergambar dengan tuan kedai yang pemurah itu. Masa itu, kami gunakan kamera untuk merakamkan kenangan. Teknologi handphone yang mempunyai telefon masih mahal. Tiadalah idea hendak update dalam facebook peribadi.

Sementara menanti waktu berbuka, kami bersembang sesama kami tentang kemurahan di bulan mulia ini. Setidak-tidaknya, petang itu menunjukkan betapa murahnya rezeki kami mengembara di bulan puasa.

Hidangan makanan yang pelbagai jenis, menjadikan kami sedikit keliru. Sup kambing, kuah dal, manisan, bubur, roti yang pelbagai dan pulut sejemput tersedia di hadapan kami. Bagaimana harus kami memulakan untuk berbuka puasa ini? Baca doa makan, semuanya pasti beres! Ambil makanan yang paling hampir dengan kita. Itulah adab makan mengikut sunnah.

Azan dari menara Masjid Biru bersahut-sahutan kedengaran menandakan waktu berbuka puasa dan maghrib. Beberapa masjid lain melaungkan azan bersilih ganti seperti keadaan di Mekah. Suara membesarkan Tuhan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Pemurah. Laungan mengajak manusia sujud kepada Tuhan yang Esa. Hilang rindu pada kampong halaman sebentar bila mendengar merdu dan mendayunya suara muazin itu. Bagai berderai air mata kesyahduan.

Selepas solat Isya’, saya tanya kepada salah seorang jamaah di Masjid Biru tentang waktu sembahyang raya esok. ‘Eight o’clock’ jawabnya. Make sure you come early. The space for sisters is very limited. Dia memberikan pandangan yang kukira memang munasabah untuk difikirkan. Ini bermakna kami perlu awal-awal sampai untuk tidak ketinggalan bersembahyang raya di masjid yang pernah menjadi kandang kuda semasa era Kamal Ataturk.

Saya fikir dari segi ganjaran bersembahyang di masjid ini sama dengan masjid-masjid lain. Tetapi setidak-tidaknya, Sultan Muhammad al Fateh, pembinasa Empayar Byzantine itu adalah antara tokoh Islam yang pernah bersembahyang di sini. Saya tumpang menikmati ‘syafaat’ pemimpin besar itu.

Nada takbir rayanya tidaklah mendayu-dayu seperti di tanahair. Saya bertakbir bersama-sama ahli jamaah lain. Saya duduk beriktikaf di bawah kubah besar. Lingkaran lampu yang berwarna keemasan menjadikan suasananya begitu syahdu. Suara imam cukup jelas bergemersik tatkala memimpin laungan takbir. Baju Melayu yang kupakai membezakan antara aku dengan ribuan jamaah lain yang kebanyakannya berkot dan bertali leher. Sekurang-kurangnya masih tebal keMelayuanku di bumi asing.

Bendera Turki besar digantung di pintu utama masuk Masjid Biru. Deretan polis berbaris mengawal kemasukan setiap ahli jamaah. Jika membawa beg, polis akan periksa sebelum dibenarkan masuk. Tidak seperti waktu-waktu lain. Saya fikir lebih dua tiga ratus anggota polis beruniform mengawal di kawasan Masjid Biru itu.

Saya difahamkan, Presiden Turki pada masa itu, Abdullah Gul dijadualkan bersolat di sini. Ini merupakan protokol dan prosedur keselamatan yang melibatkan pemimpin utama negara. Terasa bimbang juga. Kewujudan anggota polis kadangkala dikaitkan dengan keadaan yang tidak selamat. Wajah serius polis itu menambah-nambahkan lagi ketegangan di pagi raya.

Istilah ‘keselamatan’ memiliki definisi yang pelbagai. Sama juga dengan istilah lawatan rasmi dengan lawatan tidak rasmi. Seperti juga ucapan Selamat Hari Raya pemimpin yang tersiar dalam akhbar atau kaca televisyen. Slogan tersebut lebih untuk memastikan kedudukan mereka sebagai pemimpin terus selamat. Itu sebenarnya ucapan untuk diri sendiri meski secara umumnya ucapan tersebut untuk orang lain. Dalam politik, bahasa tidak sama dengan makna dalam kamus. Politik membina makna yang tersendiri. Termasuklah, mengucapkan Selamat Hari Raya.

————

*Artikel ini adalah sebahagian daripada tulisan dalam buku penulis bertajuk ‘Meredah Eropah’ yang sedang dalam proses pembikinan. Buku tersebut mengandungi pengalaman penulis tinggal di United Kingdom selama empat tahun bagi menyiapkan pengajian PhD.

Degil tak nak tutup kilang, warga TikTok ‘santau’ Azmin Ali

NASUHA RAHMAN

Tidak berpuas hati dengan kes COVID-19 yang melonjak lebih 13,000 kes positif semalam warga TikTok kali ini cuba ‘menyantau’ Menteri MITI Azmin Ali.

Dengan harapan agar Azmin Ali terbuka hati untuk menutup kilang-kilang bagi meredakan kes.

Memuat naik video seorang pengguna akaun TikTok @fazhan menunjukkan bagaimana cara untuk Azmin Ali menutup kilang iaitu dengan menggunakan ubat nyamuk yang tengah berasap diatas gambar Azmin Ali.

Walaupun ianya melucukan tetapi ia memberi tamparan kepada menteri terbabit

Seorang lagi @BuDakBuaH pula menggunakan tuala yang digubah menjadi patung kemudian mencucuk pada patung tersebut.

“Kita cuba cara lagu ni pulak, menyantau bagun pagi esok dia tergerak hati nak tutup kilang,” tulis pengguna TikTok ini.

Ada yang menggunakan ‘spaghetti’ sebagai alat untuk menyantau Azmin Ali dengan menepuk-nepuk di atas gambar menteri itu.

“Menatau lepas ni terbukak hati nak tutup kilang,” tulis @budakcheflenggong.

Walaupun video-video pendek ini dilihat melucukan tetapi ia memberi tamparan kepada menteri berkenaan. 

Pelbagai cara yang diluahkan rakyat negara ini untuk menyatakan rasa tidak puas hati dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilihat ‘separuh masak’ dengan membenarkan kilang-kilang beroperasi.

Di mana kes langsung tidak menunjukkan penurunan yang ketara sejak PKP dilaksanakan sedangkan rakyat pula dikurung.

Keputusan Putrajaya benarkan kilang beroperasi ‘bunuh rakyat’, kata MB N9

FMT Reporters

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan pusat membenarkan kilang beroperasi tanpa kawalan sewajarnya ketika kes Covid-19 mendadak umpama ‘mengikat tangan dan kaki’ kerajaan negeri dalam perang melawan wabak, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Beliau menambah kerajaan pusat mengkhianati amanah menjaga rakyat, dan oleh itu bertanggungjawab atas apa yang berlaku di Negeri Sembilan.

“Kerajaan Negeri Sembilan akan usaha sedayanya melindungi rakyat namun kerajaan persekutuan dengan kuasa ordinan darurat sebenarnya ‘membunuh rakyat’,” katanya di Twitter.

Ditanya pengguna Twitter bila kerajaan negeri nak tutup kilang di Negeri Sembilan, Aminuddin memaklumkan keputusan untuk membuka atau menutup premis perniagaan dan kilang ditentukan Majlis Keselamatan Negara.

Beliau menambah Negeri Sembilan telah mencadangkan kilang yang melaporkan kes positif ditutup selama 14 hari bagi mengawal penularan dalam industri di negeri itu, pada 30 Jun lalu.

“Pihak berkuasa tempatan pula berperanan hanya untuk membantu agensi kerajaan persekutuan dan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menutup kilang,” katanya.

Polis cekup buruan kes bunuh Bill Kayong lepas 6 tahun

Malaysiakini 

Seorang suspek yang dikehendaki oleh polis berhubung kes pembunuhan aktivis hak tanah adat Orang Asal Sarawaik Bill Kayong kini dalam tahanan polis setelah enam tahun menjadi buruan pihak berkuasa.

Menurut DayakDaily, suspek Koong Siang Ming @ Batu Ming berusia 26 tahun telah terbang dari Kuala Lumpur hari ini dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Miri sekitar jam 1.55 tengah hari tadi dan kemudian ditahan di Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Laporan itu mendakwa Koong dipercayai bersembunyi di China sebelum pihak berkuasa negara itu menahan dan mengusirnya ke Malaysia kerana pasport yang telah tamat tempoh.

Bill Kayong atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah, 43, ditembak mati di persimpangan lampu trafik dekat E-Mart Supermarket di jalan pintas Tudan, Miri-Kuala Baram pada kira-kira 8.20 pagi, 21 Jun 2016.

'Bouncer' (pengawal keselamatan) kelab malam, Mohamad Fitri Pauz telah dijatuhkan hukuman mati pada tahun 2018 kerana membunuh Kayong yang juga setiausaha PKR Miri itu.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Miri pada Jun 2017 membebaskan dan melepaskan Lie Chang Loon, Chin Wui Ching dan ahli perniagaan Datuk Stephen Lee Chee Kiang daripada pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan Kayong.

Ini setelah pihak pendakwaan gagal menunjukkan bukti prima facie yang mengaitkan mereka dengan pembunuhan Kayong.

TITAH AGONG DIDERHAKAI LAGI, SIDANG KHAS PARLIMEN BERUPA TAKLIMAT MENTERI 26 JULAI INI WAJAR DIBOIKOT

Shahbudin Husin

Sidang Parlimen yang sebenar akhirnya ditetapkan selama 15 hari bermula 2 September 2021.

Meskipun titah Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja adalah sangat jelas tentang keperluan Sidang Parlimen diadakan dengan segera dan secepat mungkin, Mahiaddin Md Yasin selaku Ketua Majlis Parlimen nampaknya tetap dengan kedegilan kepada rancangan asalnya sebelum ini bahawa Parlimen hanya boleh dibuka pada September atau Oktober.

Maksud pihak Istana agar Sidang Parlimen perlu diadakan segera dan secepat mungkin untuk membincangkan tentang Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara terlihat langsung tidak dipedulikan dan cuba difahami oleh kerajaan tanpa majoriti ini.

Dengan Sidang Parlimen ditetapkan pada 6 September iaitu setelah tempoh darurat berakhir, untuk apa lagi perlunya dibincangkan tentang darurat sebagaimana kehendak Agong dan Raja-Raja?

Bermakna dalam hal ini, titah Agong Majlis Raja-Raja seolah-olah telah dipermain-mainkan oleh Perdana Menteri dan kerajaan. 

Sebaliknya, Sidang Parlimen selama 5 hari bermula 26 Julai yang diwar-warkan lebih awal sebelum ini telah ditukar menjadi Mesyuarat Khas yang tidak lebih berupa majlis taklimat daripada menteri-menteri mewakili kerajaan kepada Ahli Parlimen semata-mata.

Perlukah Ahli-Ahli Parlimen hadir ke Parlimen semata-mata untuk sekadar mendengar taklimat sehala daripada pihak kerajaan?

Seperti kata Najib Razak, jika semata-mata majlis taklimat menteri-menteri saja, lebih baik dibuat rakaman dalam bentuk video, kemudian dimuat-naik dalam youtube dan Ahli-Ahli Parlimen menontonnya di situ saja.

Benar kata Najib itu kan!!

Melihat tindakan Mahiaddin yang sekali lagi menderhakai titah Agong dan Raja-Raja berkaitan pembukaan Parlimen ini, sebenarnya tidak keperluan untuk Ahli-Ahli Parlimen membazirkan masa hadir Sidang Parlimen khas pada 26 Julai ini.

Lebih baik mereka memboikotnya sebagai tanda tidak setuju dengan penderhakaan Mahiaddin dan kerajaan yang berterusan terhadap Agong dan Raja-Raja.

Adalah membuang masa saja menghadirkan diri dalam sidang khas itu jika untuk mendengar taklimat tanpa ada ruang untuk berbahas dan bertanya soalan.

Tambahan lagi, untuk apa terus diberi ruang kepada kerajaan tanpa majoriti ini bermaharajalela lagi?

Mahiaddin sekarang ini hanya cuba melengah-lengahkan masa menahan kuasa yang sedang dinikmatinya daripada dijatuhkan.

Selepas ini nanti, entah apa-apa lagi helah yang cuba dilakukannya.

Sesuai dengan UMNO ketika ini yang sudah membuat keputusan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, apa yang sepatutnya parti itu dan blok pembangkang lakukan ialah mengambil ketetapan memboikot sidang Parlimen pada 26 Julai ini.

Sekiranya dapat ditunjukkan kepada rakyat dan dunia bahawa lebih separuh daripada Ahli-Ahli Parlimen memboikotnya, bermakna dengan sendirinya terbukti Mahiaddin tiada lagi sokongan majoriti.

Kalau bukti tiada majoriti sudah dapat ditunjukkan dengan lebih nyata kepada rakyat dan dunia dengan lebih separuh Ahli Parlimen memboikot Sidang khas Parlimen, apakah Mahiaddin masih mampu hidup dengan tiada perasaan malu lagi?

Dalam waktu yang sama, dengan memboikot itu juga dapat memudahkan UMNO mengenal pasti siapa di kalangan Ahli-Ahli Parlimennya yang mengutamakan perjuangan atau lebih sayangkan jawatan. (ShahbudinHusin 16/07/2021)

'Tiada kerjasama antara UMNO dan Pas di Terengganu' - Ahmad Said

Nur Fazlizai Ali

KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu menegaskan tidak wujud kerjasama antara kepimpinan Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) di negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata meskipun dua pemimpin UMNO pusat telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan Luar Negeri namun itu tidak mengubah pendirian pimpinan UMNO Terengganu.

Katanya pendirian UMNO Terengganu tetap teguh dan tidak berganjak apatah lagi kerajaan negeri Terengganu juga tidak berlaku adil kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Antara yang disentuh Ahmad berhubung pengagihan peruntukan RM10 juta daripada kerajaan pusat bagi menangani pandemik COVID-19 tidak diberikan sama rata kepada wakil rakyat.

"Muafakat Nasional di Terengganu tiada. Macam mana mahu berpakat? Peruntukan 10 juta yang diterima tidak dibahagi sama rata, macam mana nak berpakat?" katanya.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata pihaknya telah memberikan ruang dan peluang kepada parti Pas sebelum ini untuk menjurus ke arah itu.

"Keputusan di Terengganu telah muktamad, tidak ada Muafakat Nasional.

"Kita sudah memberi ruang setahun lebih untuk berpakat," jelasnya lagi.

Luahan Ahmad itu bukanlah pertama kali kerana sebelum ini, ADUN Kijal itu dilihat lantang dalam mengkritik kepimpinan Pas.

Malah, beliau telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan UMNO akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN pada PRU15.

Zaman PH 2 kes sehari Hadi tidak sabar, PN 10,000 kes sehari dia kata haram tidak sabar

IPOHMALI

Baca berita Harakah tadi. Haji Hadi kata haram hukumnya tidak sabar dengan ujian. Tapi zaman Pakatan Harapan, Kes baru dua kes sehari, dalam tempoh dua Bulan baru 22 Kes, sorang pun tak mati.

Dia ajak rakyat jatuhkan kerajaan. Sampai tak boleh masuk ikut pintu, ceroboh tebuk atap. Masa tu awat tak sabar?

Tak lekang dari mulut Haji Hadi dok hukum haram, wajib. Dah perasan Nabi pula dah. Dah macam Allah turunkan wahyu kat dia nak kata Haram ini, wajib itu.

Sampaikan dah terbukti gagal, cuma tutup dengan kenyataan hanya kerajaan Allah yang sempurna. Itu tak payah habaq pun tak apa. Semua orang tahu.

Masa PH dulu, kenapa tak kata tak ada kerajaan yang sempurna. Ada je tak kena.

Masa tebuk atap, khianat tak ada pula fikir halal dan haram. Tapi masa itu dia main hukum orang ini beriman dan kafir pula.

Susah macam ini. Kot mana pun depa ada dalil. Sampaikan hari ini dia tanya, mana negara yang boleh selesaikan isu Covid-19.

Dia tidur kot padahal negara sebelah je. Brunei itu kot lah negeri yang tak terdedah kepada orang luar. Tengok Singapura cukuplah. Hari ini dah pakat boleh makan di kedai, solat di Masjid. Kat sini nak solat pun tak boleh lagi.

56,757 kes baharu Covid-19 Indonesia, ahli perniagaan Taiwan ‘cabut balik’

Metra Syahril Mohamed

JAKARTA: Seramai 90 ahli perniagaan dan ekspatriat Taiwan menempah penerbangan untuk keluar dari negara ini untuk kembali ke negara asal.

Detik melaporkan, ini kerana keadaan penularan Covid-19 di negara ini dilaporkan semakin memburuk.

Ketua Pusat Pejabat Perdagangan Indonesia-Taiwan (ITCC), Kuo Chang-hsin berkata, penerbangan ke Taiwan yang bakal membawa kira-kira 100 warga Taiwan dijadual berlepas pada 28 Julai ini.

Mereka akan menaiki pesawat Batik Air.

Hari ini, sebanyak 56,757 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan selain 982 kes kematian

MP tidak dibenar bawa usul tidak percaya, Hanipa persoal kenapa Rais menyibuk

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin mengkritik tindakan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim yang dilihat cuba mencampuri urusan di Dewan Rakyat.

Ini susulan kenyataan Rais semalam yang memberi amaran bahawa segala langkah untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin tidak akan dibenarkan.

Hanipa berkata, tidak pernah lagi seorang Dewan Negara memasuki hal urusan di Dewan Rakyat.

“Dia (Rais) bukan Speaker Dewan Rakyat. Awat dia pi sibuk urusan Dewan?

“Dia keliru ke tentang fungsi jawatan dia? Atau terlebih mengampu,” soalnya.

“Setakat yang saya tahu tak pernah dengar lagi seorang speaker Dewan Rakyat buat kenyataan seperti dia  (Rais) kata. Apatah lagi speaker Dewan Negara yang sibuk ceroboh wilayah Dewan Rakyat,” katanya lagi dalam satu kenyataan ringkas.

Rais seperti dipetik Utusan Malaysia berkata, Perintah Tetap (Standing Orders) tidak membenarkan Ahli Parlimen menggerakkan usul undi tidak percaya yang dengan sengaja untuk memburukkan keadaan.

Beliau berkata, sidang khas Parlimen yang bermula 26 Julai nanti hanya akan menumpukan pada isu-isu mengenai pandemik Covid-19, lebih-lebih apabila Ahli Parlimen akan bersidang hanya lima hari.

Rais juga mengatakan bahawa usul itu tidak mungkin dimasukkan di dalam urusan majlis kerana semua usul mesti datang dari anggota Kabinet.

Sementara itu Hanipa yang juga Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional berkata, Ahli Parlimen mempunyai hak untuk memfailkan sebarang usul di Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

“Tugas Speaker kena lihat dan baca usul yang difailkan itu dulu dan tidak buat kenyataan seperti dia (Rais) buat.

“Parlimen bukan kelab mafia atau samseng untuk ancam dan gertak orang,” katanya lagi.

Lelaki mengamuk dengan pedang ditembak mati

Bernama

Seorang lelaki maut ditembak selepas bertindak menyerang anggota polis dengan sebilah pedang dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Kaki Bukit, di Padang Besar, Perlis semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Saifudin Aslin Abbas berkata terdahulu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padang Besar tiba di rumah itu pada kira-kira 5.30 petang selepas menerima aduan daripada seorang suri rumah mendakwa didera suaminya.

“Tindakan lelaki berusia 55 tahun itu yang enggan keluar dari rumah telah memaksa anggota polis memasuki rumah berkenaan melalui tingkap.

“Lelaki itu yang memegang sebilah pedang bertindak agresif hingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis lalu polis melepaskan satu tembakan amaran,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dia berkata polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan kedua demi melindungi keselamatan semua anggota polis dan anak lelaki itu selepas lelaki berkenaan terus bertindak agresif menyerang polis.

Menurutnya lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat.

Lelaki itu mempunyai enam rekod jenayah lampau melibatkan penyalahgunaan dadah, ugutan jenayah, khianat serta kesalahan di bawah Akta Racun.

Kes berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, katanya.

-Bernama

Suspek conteng tembok Istana, tumbuk anggota polis, ditemui maut kemalangan

Predeep Nambiar

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman yang dikesan menconteng tembok Istana Kedah di sini dan kemudian menumbuk muka seorang anggota polis wanita ditemui meninggal dunia selepas motosikal ditunggang terbabas ketika cuba melarikan diri dari polis.

Lelaki berusia 35 tahun itu, yang namanya belum dapat dipastikan pada mulanya menconteng tembok Istana Anak Bukit dan menconteng bahagian tembok dengan perkataan ‘SAMR’ kira-kira jam 3 petang dan kemudian meninggalkan kawasan dengan menaiki motosikalnya.

Sumber polis berkata, lelaki berkenaan kemudian pergi ke ibu pejabat polis Kota Setar kira-kira jam 5 petang dan secara tidak sengaja menumbuk seorang anggota polis wanita berusia 30 tahun berhampiran balai pengawal dan kemudian melontar pistol sarung pistol palsu yang turut dirakam kamera litar tertutup.

Ketua Polis Kedah, Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki itu akhirnya ditemui di Gurun tetapi melarikan diri dengan motosikalnya.

“Polis terus mengejar dan memberi peringatan agar dia berhenti tetapi tidak diendahkan. Dalam percubaannya untuk melepaskan diri, dia kemudian menunggang motosikal dengan laju sehingga melanggar sebuah pembahagi jalan di Bedong. Ketika paramedik tiba, dia disahkan meninggal dunia ”katanya.

Kamarul berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mencederakan penjawat awam dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 memiliki senjata tiruan.

Pakar jelaskan bagaimana 20,000 kes Covid-19 sehari diramalkan

Predeep Nambiar

GEORGE TOWN: Tiga faktor – R0, varian Delta dan kadar vaksinasi – semuanya menjadi petunjuk lonjakan jangkitan Covid-19 kepada 20,000 kes dalam dua minggu lagi, kata seorang pakar virologi yang membuat ramalan itu.

Dr Kumitaa Theva Das dari Universiti Sains Malaysia berkata, ramalan itu adalah senario paling buruk, dengan andaian masih ada rakyat yang teragak-agak mendapatkan vaksin, berdasarkan laporan berita ramai yang tidak menghadiri janji temu vaksinasi mereka.

“Ramai yang bertanyakan sama ada angka yang saya ramalkan ini dibuat secara rambang. Sebenarnya tidak. Apa yang kami lakukan di tempat kerja berdasarkan trend.

“Trend mungkin berubah, tetapi dalam hal ini, trend diramal berdasarkan angka reproduksi atau R-nought (R0),” kata pensyarah kanan kluster infektomik USM itu kepada FMT.

Baru-baru ini, Kumitaa memberitahu FMT, varian Delta hampir mengatasi varian lain dan angka korban mungkin mencecah 200 sehari dalam senario paling buruk, ketika sistem kesihatan menghampiri hadnya.

Kumitaa berkata, tiga faktor – R0, varian Delta dan kadar vaksinasi – diambil kira.

“Varian seperti kereta. Katakan anda mempunyai sebuah kereta yang boleh bergerak sehingga 50 km sejam (km/j) dan ini adalah varian kurang berjangkit, seperti Alpha, dan satu lagi boleh bergerak sehingga 200 km/j, varian lebih mudah berjangkit seperti Delta.

“Walaupun anda diberikan kereta pertama yang bergerak bermula sejam lebih awal, kereta kedua itu mampu mengejar. Ini tidak bermaksud kereta kedua lebih berbahaya, ia cuma mempunyai keupayaan untuk bergerak atau menular lebih pantas.

“Sekarang, bayangkan jika anda mempunyai bonggol had laju atau vaksin di laluan kereta ini. Ada bonggol had laju yang berfungsi lebih baik daripada yang lain, tetapi apapun, ia sentiasa berfungsi untuk memperlahankan kereta.

“Lebih banyak bonggol yang anda miliki, lagi mudah anda memperlahankan kereta itu, memperlahankan penularan virus secara berkesan,” katanya.

Beliau berkata, varian Delta yang mudah merebak kerana data daripada 64 negara menunjukkan individu dengan strain itu mempunyai 97% peluang menjangkiti orang lain berbanding strain lama. Sekiranya virus lama merebak daripada seorang kepada dua orang, varian Delta akan menular kepada empat orang.

Kumitaa berkata, berdasarkan R0 terkini 1.16, virus itu merebak pada kadar stabil.

“Katakan jika R0 kita ialah 1, mari kita lihat dua situasi. Jika 10 orang dijangkiti pada Isnin, kita jangkakan melihat 10 lagi kes baharu (10 x 1 = 10) pada Selasa. Ini nampaknya boleh dikawal.

“Tetapi, katakan jika 10,000 orang dijangkiti pada Isnin, maka pada Selasa, kita akan melihat 10,000 lagi kes baharu juga (10,000 x 1 = 10,000). Sedikit sukar untuk dikawal.

“Anda terus gandakannya untuk mendapat angka yang diramalkan itu untuk hari berikutnya. Menggunakan R0 terkini = 1.16, sekiranya dua situasi terus berulang, anda akan sedari angka yang diramalkan itu meningkat dengan cepat.

“Tetapi, bukan semuanya kelihatan suram. Lagipun ini adalah angka yang diramalkan dan vaksinasi ialah kunci untuk menurunkan angka itu.

“Bukan sahaja ia menghalang orang ramai daripada dijangkiti dan menjangkiti orang lain, ia akan mengawal jumlah jangkitan dan mengurangkan peluang untuk varian baharu muncul pada masa depan.”

Lelaki berpeluh di bawah katil rumah janda

Zuliaty Zulkiffli

am@hmetro.com.my

LELAKI yang ditemui menyorok bawah katil dicekup kerana disyaki berkhalwat di rumah seorang janda di Kota Sarang Semut. FOTO Ihsan JAIK

LELAKI yang ditemui menyorok bawah katil dicekup kerana disyaki berkhalwat di rumah seorang janda di Kota Sarang Semut. FOTO Ihsan JAIK

Alor Setar: Seorang lelaki ditemui menyorok di bawah katil rumah seorang janda ketika pegawai masjid bersama anggota polis melakukan pemeriksaan di sebuah rumah kampung di Kota Sarang Semut di sini, hari ini

Lelaki berusia 32 tahun itu berbuat demikian kerana bimbang dicekup khalwat kerana menumpang di rumah janda berusia 33 tahun.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIK Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pada serbuan jam 7.30 pagi tadi, lelaki yang bekerja di kedai besi itu memberi alasan menumpang di rumah wanita berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, rumah itu turut dihuni bapa wanita itu dan tiga anaknya.

"Bapa wanita itu dipercayai sakit dan ketika inilah lelaki itu mengambil kesempatan menumpang di rumah wanita berkenaan.

"Ketika pemeriksaan, lelaki itu menyorok di bawah katil dalam bilik kedua rumah berkenaan untuk mengelak daripada ditahan," katanya pada kenyataan.

Radzi berkata, pasangan itu ditahan kerana disyaki berkhalwat selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen membuktikan mereka pasangan suami isteri atau mahram.

Beliau berkata, mereka kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk laporan tangkapan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.

"Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Aneh Pas salahkan rakyat yang dikurung hampir setahun

SENATOR DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH

Apa yang diidamkan oleh Pas, iaitu menguasai Putrajaya telah tercapai walaupun dengan menggunakan kaedah pintu belakang atau tebuk atap.

Apa yang nyata, kuasa serta kedudukan telah dimiliki sepenuhnya di peringkat Putrajaya dan juga tiga negeri dominan Melayu Islam Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Tidak semena-mena Mohktar Senik, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat dan mantan Ketua Dewan Ulama Pas Pahang menegur kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan RTM untuk menghentikan ‘program maksiat’.

Setahu kita, program drama RTM merupakan lakonan semata-mata sementara judi di Kasino Genting, cabutan judi Magnum serta Sport Toto dan pembuatan arak Carlsberg di Malaysia adalah benar-benar wujud secara ‘real’ yang disertai oleh manusia yang berminat dan bernafsu, walaupun pada masa darurat.

Adakah lakonan lebih tinggi maksiatnya daripada perbuatan yang memporak-perandakan keluarga yang rosak kerana judi dan mabuk arak tidak kira agama dan bangsa?

Lagi pun Kasino Genting di mana terdapat judi serta arak terletak di negeri Mokhtar Senik iaitu Pahang.

Yang anehnya, Pas sekarang adalah dalam kerajaan Malaysia dan memerintah tiga negeri dominan Melayu Islam. Jadi, adakah beliau marah pada kerajaan Melayu Islam sendiri?

Kalau dah jadi kerajaan perintahlah secara yang dijanjikan dan dikehendaki, jangan marah kerajaan sendiri kerana Presiden, Timbalan serta Setiausha Agung Pas dan beberapa tokoh lain bertaraf Menteri kerajaan. 

Ahli Parlimen dan pemimpin Pas mengetuai JAKIM dan YADIM – pusat dakwah Islam diketuai ulama Pas. Apa lagi Pas mahu dikuasai yang tidak cukup?

Menteri Agama, Datuk Zulkifli Al Bakri, orang Terengganu adalah rakan rapat Presiden Pas, Dato Seri Hadi Awang.

Dengan kedua-dua JAKIM dan YADIM diketuai orang kuat Pas, kita menjangka kemajuan pendekatan Islam dan dakwah menyeluruh berlaku.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2430931880384063&id=251826234961316

Pembaharuan ulama Pas

Apa kita dapati adalah ‘kemajuan’ dengan ‘pendekatan Islam’ baharu perkahwinan dalam talian dengan kadi negara Thailand dan juga penceraian melalui WhatsApp yang diberitakan dimanfaatkan oleh beberapa orang kuat Pas juga. Mungkin ini pembaharuan dibawa oleh ulama Pas setelah menjadi kerajaan.

Apabila Pas menguasai kementerian menjaga hal ehwal agama, dengan senyap-senyap amanat kafir mengkafir oleh Presiden Pas, Haji Hadi Awang yang telah difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja, dipadamkan dari portal rasmi JAKIM.

Sehingga hari ini, Menteri Agama dan timbalannya tidak menjawab kenapa ini berlaku.

Itulah antara kemajuan penyalahgunaan kuasa dicapai oleh ulama Pas dalam kerajaan untuk kepentingan diri sendiri.

Kami ingin menyarankan Mokhtar Senik dan Pas lebih prihatin terhadap nasib rakyat Melayu Islam di Terengganu, Kelantan dan Pahang yang merupakan tiga negeri tertinggi masalah dadah dan narkotik di Malaysia.

Di sini terdapat pengundi deposit tetap tertinggi kerajaan Melayu Islam Pas-PN dan tidakkah nasib mereka mahu dibela?

Atau adakah Pas bersikap asalkan undi diperoleh, isu ini tidak penting dan biarlah mereka bergelumang dalam dadah?

YADIM patut menambah usaha dakwah di kawasan kawasan FELDA di ketiga-tiga negeri ini di mana masalah dadah amat tinggi.

Masalah kemiskinan tinggi dan mat rempit juga adalah masalah ekonomi serta sosial besar di negeri-negeri dikuasai Pas dan perlu diberi perhatian.

Saranan saya janganlah hanya menyalahkan kerajaan Putrajaya kerana di peringkat negeri negeri ini, Pas berupaya bertindak. 

Tambahan pula, Pas kini pun berada di dalam kerajaan, di mana isu ini boleh dibawa dalam mesyuarat Kabinet.

Pas bercakap seolah-olah sebagai pembangkang. Adakah ini tandanya Pas tidak tahu untuk mentadbir negara? Seolah-olah kuasa dimiliki senantiasa tidak cukup atau mereka tidak tahu mengunakan kuasa dengan baik.

Apabila rakyat menderita pandemik Covid-19, Pas memarahi rakyat mengibar bendera putih meminta bantuan dan menyarankan memadai berdoa sahaja tanpa usaha lain.

Tiada pihak lain yang boleh disalahkan lagi sekarang oleh Pas. Pas hari ini sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan dan patut berusaha membela rakyat dengan mengubah negara ke arah yang lebih baik.

Yang terbaru Ketua Penerangan Dewan Muslimat Pas, Dr. Najihatulssalehah Ahmad menyatakan :

“BUKAN KERAJAAN, SEBALIKNYA RAKYATLAH YANG GAGAL BANTU KERAJAAN.”

Rakyat yang dikurung tanpa boleh berkerja hampir setahun tetapi rakyat juga dipersalahkan, sungguh aneh.

Ini mengesahkan Pas tidak fahan serta tahu bertanggungjawab bagaimana boleh mengurus dan memimpin negara yang dilanda pandemik yang dasyat ini.

#KerajaanGagal #kitajagakita #NegaraGagal

Polis siasat kes kandungan wanita hamil gugur lepas dilarang jumpa doktornya

Hariz Mohd

Polis melancarkan siasatan terhadap kejadian seorang wanita hamil mengalami keguguran janin kandungan selepas dia tidak dibenarkan meninggalkan kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan daripada doktornya.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata mereka menerima laporan polis daripada suami wanita itu, yang tidak berpuas hati dengan tindakan anggota polis yang melarang isterinya meninggalkan kawasan berkenaan untuk pergi ke klinik pada 6 Julai.

"Hasil semakan mendapati pada 6 Julai 2021, lelaki tersebut telah memohon kebenaran untuk keluar dari kawasan PKPD bagi tujuan rawatan isterinya yang sedang hamil.

"Lelaki tersebut dinasihatkan oleh anggota polis yang bertugas untuk merujuk kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertugas di kawasan PKPD tersebut dan dibenarkan keluar untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

"Susulan dari laporan Polis yang dibuat oleh pengadu, siasatan yang terperinci dijalankan dan tindakan yang sewajarnya akan diambil oleh pihak polis," kata Beh pada satu kenyataan hari ini.

Pun begitu, masih belum dapat ditentukan lagi sekiranya menangguhkan usaha mendapatkan rawatan boleh membawa keguguran terhadap wanita itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas suami wanita berkenaan memperincikan kisah mereka di sebuah laman web In Real Life, yang menerbitkan pengakuan orang ramai.

Untuk rekod, pihak berkuasa mula melaksanakan PKPD di Bandar Baru Sentul pada 3 Julai, berikutan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 di kawasan itu.

Dihantar ke klinik lain

Menurut laman web itu, suami, yang hanya dikenali sebagai Ayie, berkata isterinya mengalami pendarahan pada bulan Jun dan dia diberi ubat oleh doktornya.

Dia berkata doktor juga menasihati isterinya, yang berada pada fasa pertama tempoh satu pertiga kehamilan(13 hingga 14 minggu) untuk segera kembali ke klinik itu sekiranya pendarahan berlaku lagi pada masa akan datang.

Pada hari kejadian, isterinya dikatakan mengalami pendarahan lain sekitar tengah hari.

Hal ini mendorong lelaki itu memohon izin daripada polis untuk membawanya berjumpa doktor, tetapi permintaan ini telah ditolak.

Dia mendakwa seorang pegawai polis wanita telah melarang mereka pergi ke klinik berkenaan, berkata perkara itu bukan kes kecemasan.

Pegawai itu juga didakwa mengarahkan mereka menghubungi Pasukan Perubatan Bergerak yang bersiap sedia di kawasan PKPD terbabit.

Pasangan berkenaan didakwa perlu menunggu selama beberapa jam sebelum ambulans membawanya ke sebuah klinik kerajaan lebih dari dua jam kemudian.

Wanita hamil itu telah diperiksa oleh seorang doktor, yang kemudian membenarkan pasangan tersebut pulang dengan tablet Asid Folik dan menasihati mereka untuk menghubungi 999 jika si isteri tiba-tiba "merasa banyak darah atau pendarahan keluar".

"Kami dihantar pulang dengan tablet Asid Folik dan MC (sijil cuti sakit). Tidak ada pemeriksaan ultrasound yang dilakukan di Klinik Kesihatan itu untuk memastikan keadaan bayi kami baik-baik saja.

"Kami pulang ke rumah, bimbang dan bingung dengan apa yang baru saja terjadi. Kami tidak diizinkan untuk melakukan pemeriksaan bayi dan kami juga tidak diberi ubat tambahan yang telah habis," katanya seperti yang dilaporkan.

Pasangan itu hanya mengetahui bahawa isterinya keguguran beberapa hari kemudian ketika mereka dibenarkan pergi ke klinik swasta untuk pemeriksaan lanjutan. Ketika itu, pasukan polis yang lain bertugas.

Suami wanita itu juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenai kejadian tersebut. Jurucakap EAIC mengesahkan pihaknya telah menerima aduan berhubung kejadian itu pada 11 Julai.

'Birokrasi, pegawai tidak terlatih'

Ketika ditanya apakah keguguran itu berkaitan dengan polis yang tidak membenarkan ibu mendapatkan rawatan tepat pada waktunya, ketua polis daerah Sentul berkata pihaknya percaya itu bukan penyebab langsungnya.

"Bukan macam itu. Dipercayai ada kaitan tetapi bukan disebabkan masalah tersebut," kata Beh.

Sementara itu, seorang pakar perubatan ketika dihubungi oleh Malaysiakini menunjukkan bahawa apa yang berlaku dalam kes tersebut campuran kekurangan latihan dan kerenah birokrasi prosedur.

Perunding sakit puan Obstetrik dan Ginekologi Dr NKS Tharmaseelan berkata tindakan anggota polis melarang pasangan itu kerana dia barisan hadapan bukan perubatan dan oleh itu tidak dilatih untuk membezakan masalah perubatan kecemasan dan bukan kecemasan.

"Memiliki kelebihan pengalaman yang lalu, tidak adil bagi saya untuk memberi komen isu-isu di lapangan yang bersifat situasional.

"Yang paling penting, barisan hadapan bukan perubatan harus dilatih untuk mengetahui apa itu kecemasan. Yang ditambahkan adalah tekanan dan bilangan tambahan yang harus mereka hadapi," katanya.

Dia menambah bahawa polis wanita itu, bagaimanapun, telah melakukan sesuatu yang benar dengan memberikan si suami nombor kontak pasukan perubatan yang bertugas.

Mengenai kejadian wanita itu dibawa ke klinik kerajaan dan bukannya ke doktornya yang biasa, Tharmaseelan berkata ini berpunca oleh protokol yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, di mana ambulans tidak dibenarkan membawa pesakit ke klinik swasta.

Ini berlaku walaupun ambulans dibenarkan membawa pesakit dari klinik swasta ke hospital awam.

"Kementerian Kesihatan perlu memperbaiki hal ini (menunda khidmat ambulans) dengan memiliki prosedur memudahkan mengenai ambulans, yang akan digunakan dalam keadaan kecemasan.

"Ini adalah keadaan kecemasan dan penundaan selama hampir 4 jam itu tidak masuk akal.

"Terlalu banyak kerenah birokrasi. Mengapa ambulans tidak dapat membawa pesakit ke kemudahan swasta apabila ambulans dibenarkan untuk membawa pesakit dari klinik swasta? Ia adalah paradoks.

"Apa yang paling penting dalam kes ini, pesakit seharusnya dibenarkan menggunakan pengangkutan sendiri ke klinik GP sekiranya ambulans tidak dapat melakukannya," katanya.

Menurut Tharmseelan, sama ada berjumpa doktor lebih awal akan menjamin kelangsungan hidup janin wanita itu atau tidak ia masih lagi diperdebatkan.

Sebelum ini, wanita berkenaa juga dilapor penah mengalami keguguran.

"Tetapi tentu saja, pasangan itu akan memiliki peluang yang lebih baik. Kes ini dengan keguguran sebelumnya adalah kes berisiko tinggi tetapi anggota polis terbabit tidak terlatih," jelasnya.

Pendapatan rasmi Abdul Hadi tidak kurang RM764,000 setahun

ABD MALEK HUSSIN

Saya mengemaskan fail dan dokumen urusan Parlimen hari ini (30 April 2021). ‬Kebetulan saya temui satu dokumen yang menarik perhatian.‬

‪Dokumen itu ialah Pemberitahuan Pertanyaan Bertulis Dewan Rakyat, Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 mengenai jawaban rasmi Kerajaan kepada pertanyaan bertulis Soalan No.537.‬

‪Soalan itu “meminta Menteri Kewangan menyatakan senarai nama-nama Ahli Parlimen yang dilantik menjadi pengerusi badan berkanun, GLC dan duta khas sejak 1 Mac 2020 serta nyatakan elaun, gaji, emolumen yang diterima sebulan.”‬

‪Saya tertumpu kepada jawaban Menteri Kewangan mengenai Duta Khas Kepada Perdana Menteri Ke Timur Tengah.

Sebelum ini, saya seringkali ditanya oleh ramai mengenai elaun, gaji, emolumen jawatan Duta Khas Kepada Perdana Menteri Ke Timur Tengah yang disandang oleh MP Marang, Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas. Saya tidak dapat memberi jawaban dengan pasti pada ketika itu.

‪Menteri Kewangan menjawab ringkas sahaja. Katanya, “Duta Khas diberikan saraan bersesuaian dengan kelayakan, tugas dan tanggungjawab yang dipikul. Amalan ini sama seperti mana pelantikan Duta Khas semasa di bawah pentadbiran terdahulu.”‬

‪Soalan No.537 yang ditanya itu spesifik, tetapi jawaban Menteri Kewangan kabur. Tidak disebutkannya berapa sebenarnya emolumen diterima sebulan untuk Duta Khas Kepada Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu. Menteri Kewangan cuma menjawab dengan bersandarkan kepada amalan terdahulu.‬

Lalu saya pun semak amalan terdahulu.‬ Saya selidiki dan meneliti risalat-risalat Parlimen yang berkaitan bagi tahun-tahun terdahulu, khasnya yang dibentang dalam Dewan Rakyat pada masa Belanjawan 2018, 2019, 2020 dan 2021.‬

‪Saya tidak temui apa-apa keterangan dalam dokumen Belanjawan 2019, 2020 dan 2021.‬

‪Namun, saya temui keterangan yang terkandung dalam dokumen “CMD 25/2017 – Senarai Perjawatan Di Kementerian-Kementerian Dan Jabatan-Jabatan Dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan, 2018 Jilid 1” yang dibentang pada 27 Oktober 2017.‬

Keterangan itu menunjukkan Duta Khas Ke India Dan Asia Selatan Dalam Bidang Infrastruktur diberikan gaji RM27,227.20 sebulan. Jawatan itu disandang oleh Presiden MIC Samy Vellu semasa pemerintahan BN.‬

‪Berdasarkan keterangan dokumen Parlimen itu dan jawapan Menteri Kewangan kepada Pertanyaan Bertulis Soalan No.537, saya boleh menyebut bahawa gaji Abdul Hadi Awang bagi jawatan Duta Khas Kepada Perdana Menteri Ke Timur Tengah ialah RM27,227.20 sebulan.‬

‪Saya boleh menyimpulkan pendapatan rasmi Abdul Hadi Awang sebulan kini, seperti berikut:‬

‪Pendapatan Rasmi:‬

‪▪️Gaji Duta Khas Kepada Perdana Menteri Ke Timur Tengah RM27,227.20 ‬

‪▪️Gaji Ahli Dewan Rakyat (Marang) RM16,000.00‬

‪▪️Pencen Menteri Besar (Terengganu) RM15,000.00‬

‪▪️Pencen Ahli Dewan Negeri (Ru Rendang) RM5,500.00‬

‪Di Jabatan Perdana Menteri, sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang diberikan keistimewaan berpejabat dengan empat pegawai, seperti berikut:‬

‪- Setiausaha Sulit Kanan (Gaji Gred 54)‬

‪- Pegawai Khas (Gaji Gred 52)‬

‪- Setiausaha Sulit (Gaji Gred 41)‬

‪- Pembantu Khas (Gaji Gred 19)‬

‪Kesimpulannya, pendapatan rasmi Abdul Hadi Awang berjumlah tidak kurang RM63,727.20 sebulan.

Ini tidak termasuk tuntutan, ganjaran dan berbagai keistimewaan sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri Ke Timur Tengah yang juga bertaraf Menteri.

Ha ha ha: Azmin, Mukhriz antara calon Perdana Menteri: Dr Mahathir

NAZRIN ZULKAFLI

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa terdapat sekurangnya-kurangnya empat atau lebih yang berpotensi menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang.

Katanya, antara calon yang disebut oleh orang ramai adalah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Ada tiga hingga empat calon dan boleh jadi lebih. Ramai yang melihat saya mesra kepada Azmin, dia salah satu calonnya. Saya juga rasa ada calon Perdana Menteri yang bukan datang daripada ahli politik terkemuka.

“Mereka berada di luar daripada kumpulan ahli politik dan orang baharu. Mereka yang tunjuk minat dalam politik dan saya tidak boleh namakan kerana tidak adil buat mereka.

“Ada juga menamakan Mukhriz iaitu anak saya. Tetapi saya tidak percaya dengan memilih seorang dan mereka kena bersaing untuk mendapat jawatan ini. Apa pun pemimpin Pejuang perlu bekerja keras,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah program bertajuk ‘What’s Going On Malaysia’ yang dikendalikan oleh pelawak, Harith Iskander pada malam Rabu.

Menjawab persoalan untuk beliau menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga, Dr Mahathir berkata, perkara itu tidak mungkin akan berlaku disebabkan umurnya yang telah mencecah 96 tahun.

-sinarharian

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Prof Agus Yusoff: Mahiaddin perlu buktikan sokongan majoriti pada 26 Julai ini

SITI NUR ZAWANI MISCON

Kenyataan jemaah menteri yang mengumumkan mengekalkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin, tidak memberi apa-apa signifikan kerana sokongan majoriti bukan ditentukan oleh menteri, tetapi 220 Ahli Parlimennya.

Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, jika tujuan pengumuman adalah untuk menunjukkan Mahiaddin mempunyai majoriti, itu sama sekali tidak menjawab persoalan asas yang menjadi perdebatan sekarang, iaitu sama ada perdana menteri mempunyai majoriti untuk terus berkuasa atau tidak.

Justeru katanya, sidang Parlimen yang akan diadakan pada 26 Julai nanti merupakan peluang terbaik bagi Mahiaddin membuktikan beliau mendapat sokongan di Dewan Rakyat.

“Apa signifikannya apabila kesemua menteri menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri? Bagi memenuhi konsep tanggungjawab kolektif, wajar sahaja semuanya menyokong. Jika tidak, menteri yang berseberangan perlu meletakkan jawatan.

“Di pihak kerajaan, ini peluang terbaik untuk menguji sokongan majoritinya. Dalam keadaan negara menghadapi pelbagai isu kesihatan dan ekonomi, kerajaan perlu mengesahkan legitimasinya dan mengembalikan fungsi Parlimen.

“Legitimasi kerajaan ini penting bagi memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan, meyakinkan pelabur dan pasaran, menghentikan politiking dengan tekaan jajaran parti baharu, menghentikan spekulasi Ahli Parlimen A atau B menyokong siapa, dan menstabilkan politik negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pagi ini.

Sementara itu Mohammad Agus berkata, pertanyaan tentang siapa yang akan menang di Dewan Rakyat nanti tidak relevan untuk difikirkan.

Sebaliknya beliau menyarankan agar diserahkan kepada kebijaksanaan Ahli Parlimen bagi memikirkan parti mana, siapa dan kerajaan mana yang terbaik untuk negara kerana mereka yang mempunyai kuasa mengundi.

Bagaimanapun Pensyarah Sains Politik UKM itu berpendapat, ketika ini adalah tidak sesuai untuk diadakan pilihanraya mengambil kira perkembangan semasa peningkatan kes Covid-19.

“Jika begitu, apakah tujuan saya menulis pandangan ini? Secara sederhana, dua sahaja, iaitu: (i) meminta kerajaan menyelesaikan masalah legitimasi ini dengan menguji sokongannya di Dewan pada 26 Julai nanti.

“Dan (ii) meminta kerajaan membuka Parlimen kerana data menunjukkan darurat tidak berkesan untuk mengawal Covid-19,” ulasnya.

Walau dan macai dah kowtim dengan Dong Zong?

Dulu bantah, kini sijil UEC layak sertai Program Ijazah Perguruan

SURI LAILA

Pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kini layak untuk menyertai program latihan perguruan biarpun isu berkaitan pengiktirafan sijil berkenaan pernah ditentang hebat oleh Pas dan pembangkang sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Facebooknya, berkongsi satu poster yang memaparkan tawaran dari KPM bagi pelajar lepasan SPM untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Fasa 2 dan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan.

Pemegang sijil UEC bagi tahun 2021 juga disenaraikan sebagai keutamaan yang digalakkan untuk memohon bagi mengikuti program berkenaan.

“Pengambilan khas calon guru bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Fasa 2 dan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Lepasan SPM yang mempunyai Sijil Menengah Agama (SMA) Atau Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sijil Unified Examination Certificate Unified (UEC) bagi tahun 2021.

“Permohonan bagi program tersebut bermula pada 16 Julai 2021 dan pemohon boleh layari laman sesawang https://pismp.moe.gov.my untuk maklumat lanjut,” tulis poster KPM itu.

Sijil UEC adalah peperiksaan dikendalikan oleh badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.

Sukatan mata pelajaran UEC berasal sepenuhnya dari Taiwan dan dikelolakan oleh Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Sebelum ini, isu UEC paling banyak dimainkan oleh parti Pas semasa pentadbiran PH.

Pas lantang menentang pengiktirafan sijil berkenaan sehingga perang cabar mencabar berlaku yang mendesak DAP untuk keluar daripada kerajaan Persekutuan.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad antara yang menentang tindakan itu dengan mengatakan cadangan mengiktiraf UEC adalah pengkhianatan besar kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan, bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996 dan melebarkan jurang perkauman di Malaysia.

Pemimpin Pas yang lain juga menyifatkan pengiktirafan UEC sama seperti mengiktiraf komunis.