ZAMIR GHAZALI
Kecoh dalam kalangan rakyat Terengganu Dan bertebaran ‘surah’ di whatspps akan perihal seorang YB Exco Pelancongan yang disiasat SPRM kes pelbagai tuntutan palsu bernilai RM1.65juta.
Saya tidak pasti sama ada ia punya kaitan dengan duluan kes yang terdedah sebelum itu kononnya dibina satu syarikat pelancongan berimej Turki untuk sang anak dan dilantik kumpulan penasihat yang terdiri daripada pakar Universiti namun berperanan menasihati syarikat tersebut.
Bererti di sini, duit rakyat diguna secara tebuk atap membayar sekumpulan pakar, tetapi fokusnya untuk mengoperasikan bisnes sang anak. Bukannya untuk kerja hakiki menasihati bagi membawa pelancong ke negeri.
Dari sumber sahih SSM, sang anak masih muda. Baru berumur 22 tahun. Status kes ini tidaklah saya ketahui. Dengarnya ia sudah sampai ke meja SPRM. Jadi biarlah Badan Penguatkuasa menjalankan tugas. Janganlah disaman saya pula. Saya hanya memetik hubaya ini dari laporan portal.
https://www.terengganureport.com/2021/06/apa-kepentingan-yb-ariffin-deraman.html
Apa yang saya ingin sentuh ialah keinginan seorang ayah untuk membantu sang anak berniaga. Di posisi anda mempunyai pelbagai peluang dan kuasa, SALAHKAH jika ingin dibantu bisnes anak. Jika tidak boleh pun, dalil boleh dicari. Itu tiada masalah. Itu kerja mudah. Jadi salahkah?
Sebagai orang yang terlibat banyak dalam program pembangunan kapasiti usahawan, saya cuma ingin berkongsi komentar kepada cara membangunkan usahawan tersebut. Mentelah pula usahawan itu ialah anak sendiri. Apakah cara yang dibuat ini betul? Bukan betul dari segi perundangan tetapi betulkah dari segi falsafah membangunkan usahawan?
Usahawan tidak dibina ketika kita ada kuasa dengan cara tubuhkan syarikat, kemudian letak anak sebagai nama pemilik dan CEO. Selanjutnya itu kita anugerahkan pelbagai jenis kontrak untuk tumpang lalu melalui syarikat tersebut. Atau pun kita lantik pula satu badan di luar untuk mengoperasikan bisnes tersebut. Nah, anak sudah jadi usahawan. Datang pejabat untuk ‘sign’ cek dan dokumen kemudian balik dengan kereta baru. Esok datang lagi dengan kot dan tali leher.
Seorang ayah YB, pada saya tidaklah salah untuk mahu bantu anak berniaga. Tiada undang-undang pun melarang. Namun jika anda ingin bantu, bukanlah dengan menjadikan anak berniaga ‘rubber stamp’. Tetapi dengan kuasa yang anda ada, buka ruang kepada anak untuk melalui ‘learning curve’ berniaga dengan lebih cepat.
Sebagai contoh, jika anak ingin memulakan bisnes syarikat travel Haji dan Umrah, hantar anak untuk belajar operasi di syarikat tersebut. Dengan status anda, hubungan baik dengan peniaga pasti ada. Di situ gunakanlah untuk letak anak belajar.
Jika ada skim kursus usahawan di bawah agensi, selitkanlah anak anda. Pasti agensi benarkan. Biar anak belajar hari demi hari dan bina hubungan bisnesnya secara organik.
Jika ada skim geran atau pinjaman yang layak anak minta secara merit, bantulah dia. Ini normal dibuat. Pegawai kerajaan bukan politik pun ramai buat. Kata kuncinya ialah LAYAK. Dengan status anda, pastilah ‘kecek kira’ itu lebih mudah. Tetapi biar padan dengan niaga sang anak.
Jika anak anda punya masalah dalam bisnes dan pastilah ada, bantu perkenalkan dia dengan lebih cepat kepada kenalan industri atau pegawai agensi. Bantu perkenalkan sahaja. Selanjutnya biar anak sendiri melalui proses kerja hubungan itu.
Pendek kata, sang anak perlu benar-benar berniaga. Dia perlu melalui proses calar-balar dan jatuh bangun berniaga tersebut. Status anda sebagai YB bukan bentang permaidani merah. Ini salah. Salah dari segi undang-undang dan salah dari sudut maksud melestarikan bisnes anak itu sendiri.
Dengan apa yang si YB bekas mutawif ( kerja asal beliau ) ini lakukan, jika akhir disabit kesalahan terus-terang dikatakan saya tidak simpati padanya. Padan muka.
Namun saya simpati pada anak dia.
Anaknya masih muda. Dalam mengejar cita-cita tiba-tiba diasak gambaran denda dan pintu penjara.