Ketua Pemuda PH kritikal akibat Covid-19

FMT Reporters

Shazni Munir Mohd Ithnin kini dalam Kategori 4, iaitu menghidap radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas disahkan positif Covid-19 awal minggu ini.

Setiausaha Pemuda Amanah, Asim Abdullah Ainullotfi berkata, Shazni yang juga Ketua Pemuda Amanah kini dalam Kategori 4, iaitu menghidap radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.

Katanya, isteri dan anak Shazni yang turut disahkan positif Covid-19 sedang dikuarantin di rumah, sementara menunggu arahan lanjut daripada pihak berkuasa kesihatan.

“Kami mohon doa dan sokongan daripada semua agar kondisi beliau segera pulih. Dalam masa sama, bagi meringankan bantuan keluarga beliau berhadapan ujian ini, mana-mana sahabat yang ingin membantu boleh disalurkan bantuan terus kepada isteri beliau,” katanya dalam catatan Facebook.

Mereka yang mahu membantu keluarga Shazni boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank isteri Shazni 1642 2155 9968 (Maybank).

Isnin lalu, Shazni mengumumkan dirinya positif Covid-19 selepas mengalami demam panas dan sakit di seluruh badan.

Padanlah Pemuda PN tak ada simpati pada Syed Saddiq

Malaysiakini 

Kemampuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumpul dana daripada orang awam sehingga lebih RM700,000 dalam tempoh kurang dari 24 jam menunjukkan begitu ramai penyokong bekas menteri tersebut, kecuali Pemuda Perikatan Nasional.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata keadaan itu bagaimanapun tidaklah pelik atau mengejutkan jika melihat kepada pendirian ketuanya Khairil Nizam Khirudin.

Katanya ia sesuai dengan kedudukan Khairil Nizam sebagai ketua Pemuda PAS, parti yang kini menolak usaha membenarkan rakyat Malaysia menjadi pengundi seawal usia 18 tahun. 

Anggota Dewan Negara itu menambah, PAS menunjukkan menanggap golongan muda sebagai kelompok rakyat yang belum matang untuk menentukan sikap memilih pemimpin negara walaupun sebelum menjadi kerajaan mereka berpendirian sebaliknya.

"Berbanding dengan pemimpin Pemuda Umno dulu dan sekarang yang lebih agresif menyokong penyertaan orang muda, Pemuda PAS menunjukkan sikap sebaliknya, lemah serta menyedihkan dan meletakkan mereka sebaris dengan Pemuda Bersatu, MCA, dan MIC," katanya.

Menurut Raja Kamarul Bahrin apa yang lebih menarik dilihat ialah, Pemuda Umno sendiri tidak senada dengan Khairil Nizam yang menyerang Syed Saddiq.

Semalam ahli parlimen Muar itu mengumumkan dia menutup kempen pendanaan awal bagi mengumpul wang membayar kos guaman serta ikat jamin dalam kes mahkamahnya.

Kelmarin bekas menteri belia dan sukan itu didakwa dengan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Dia didakwa menyalahgunakan dana Bersatu bernilai RM1.12 juta. 

Syed Saddiq mengaku tidak bersalah dan menganggap pertuduhan tersebut bermotifkan politik. Hakim membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM330,000.  Ia mendorong bekas ketua Pemuda Bersatu (Armada) itu melancarkan kempen pendanaan awam.

Malam tadi kempen itu ditamatkan selepas dana yang terkumpul melebihi sasaran awal. 

Khairil Nizam yang mengulas pendakwaan tersebut berpendapat pandangan dibuat ketua penaja parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) atas pendakwaan itu sebagai "amat mengecewakan."

Dia juga mendakwa kenyataan Syed Saddiq sebagai tuduhan yang liar, tidak matang dan tidak berasas serta mempunyai agenda tersendiri.

Raja Kamarul Bahrin berkata sebagai ketua pemuda, Khairil Nizam seharusnya menunjukkan rasa simpati dan solidariti terhadap Syed Saddiq.

"Sebagaimana pemimpin senior atau lama dalam PAS, Khairil Nizam dilihat tiada arah tuju politik yang jelas dan mempamerkan kepimpinan yang lemah, hanya mengikut telunjuk perdana menteri agar boleh terus berkuasa," katanya.

SPRM diminta jelaskan bagaimana Rina langsai hutang RM1.3j

Malaysiakini 

Lima anggota parlimen pembangkang hari ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan bagaimana Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berjaya mengumpulkan dana untuk membayar hutangnya baru-baru ini.

Menurut mereka, penyelesaian hutang berkenaan dilihat tidak setimpal dengan aset yang diisytiharkan oleh Rina kepada SPRM dan diterbitkan tahun lalu.

"Sebarang kelewatan dalam menyiasat perkara ini akan mengakibatkan persepsi masyarakat terhadap SPRM menjadi negatif ketika badan itu seharusnya bebas, adil dan bertindak dengan penuh integriti," kata mereka dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Salahuddin Ayub (Amanah-Pulai), Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu), Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud), Sivarasa Rasiah (PKR-Sungai Buloh) dan Teo Nie Ching (DAP-Kulai).

Pada Feb lalu Rina yang juga pemimpin sayap wanita Bersatu menyelesaikan tuntutan hutang bernilai RM1,340,642.02 oleh tiga syarikat Perancis.

Menurut rekod pengisytiharan aset menteri kabinet kepada SPRM yang dikeluarkan pada Julai lalu, Rina mempunyai pendapatan bulanan RM34,004.48 dan aset bernilai kurang daripada RM1 juta.

Inisiatif pengisytiharan harta digerakkan oleh Pakatan Harapan (PH) tidak lama selepas gabungan itu mendirikan kerajaan berdasarkan mandat yang diterima daripada rakyat pada 2018.

Untuk rekod ketika ini SPRM tidak lagi menyiarkan maklumat tersebut kepada umum.

Kelima-lima anggota parlimen terbabit mengeluarkan kenyataan berkenaan sebagai tindak balas terhadap keputusan SPRM untuk mendakwa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan pertuduhan menyalahgunakan dana RM1.12 juta yang dikatakan milik Bersatu.

Mereka berkata bahawa keputusan untuk menuduh Syed Saddiq adalah bermotifkan politik.

"Sangat mencurigakan apabila kedua-dua tuduhan ke atas Syed Saddiq itu dibuat sekarang apabila dakwaan itu berlaku tahun lalu dan sebelum pilihan raya 2018," kata mereka.

“Pas umpama ayam berkokok tetapi tidak bertelur”

MALAYSIA DATELINE

Pemimpin Pas diumpamakan ayam yang pandai berkokok tetapi tidak pernah bertelor, kata Datuk Ibrahim Ali, Presiden Putra.

Ia merujuk kepada pemimpin Pas yang pandai berkata-kata tetapi apabila diberikan amanah mentadbir negeri dan negara, tidak berhasil.

“Pas ni macam ayam berkokok tetapi tidak bertelor. Bunyi macam guruh tetapi tidak hujan,” kata Ibrahim dalam wacana khas beliau dengan Jeming Hassan malam tadi.

Oleh itu, kata beliau, jika rakyat Kelantan mahu mengubah kedudukan mereka di negeri itu, mereka perlu mengubah kerajaan.

“Kelantan kena cari pemimpin baharu. Kena ubah dalam pilihan raya akan datang ini. Kalau tak ubah lagi gak, tak tahulah,” kata beliau.

Bagi bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu, sudah sampai masanya rakyat Kelantan berbuat demikian selepas 30 tahun ditadbir oleh Pas dan Kelantan jauh ketinggalan dari negeri-negeri lain.

Namun Ibrahim memberikan ingatan, kalau kerajaan Pas Kelantan hendak diubah, alternatif yang baik perlu diberikan kepada rakyat.

“Kalau kerajaan Kelantan hendak diubah, kita perlu ada alternatif yang meyakinkan rakyat dan berjaya.

“Jangan pula ketika rakyat marah, mereka ubah, tetapi selepas itu pilih ikut suka sahaja tanpa penyusunan yang baik.

“Jika begitu, akan kembali kepada asal juga. Dua kali lima, lima kali dua,” kata beliau.

Bagi Ibrahim, pengalaman yang ada di Kelantan sudah cukup untuk memberikan pengajaran kepada rakyat agar Kelantan diubah kepada yang lebih baik.

“Kena buat pakatan. Saya sedia berbincang dengan mana-mana pihak tanpa apa-apa sekatan atau syarat,” kata Ibrahim yang pernah melancarkan gerakan sehingga kerajaan Pas pernah jatuh sebelum ini.

Hangpa ni makhluk apa sebenarnya?

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Dulu depa ni Gomen Tebuk Atap

La ni depa nak buat sidang parlimen lah tapi 100 peratus ikut hawa nafsu selera depa..

Depa habaq kat kami dalam sidang nanti depa nak bawa risalat- risalat tertentu (lepas tu depa hanya letak kat atas meja kami je) dan tak sebut pun hak kami – yang wakili RAKYAT untuk bahas kesemua ordinan tu di DEWAN RAKYAT!

Apa?

La ni hangpa semua dah jadi GOMEN OFFICE BOY pula kah? Setakat nak pi BAWA atau ANGKUT risalat risalat je kah?

Inilah akibat bila mengarut itu tidak lagi mengenal sempadan.. Habis semua disondol!

Ditampar Penghulu Pas, warga emas mahu ambil tindakan undang-undang

NASUHA RAHMAN

Jamaludin Zakaria warga emas yang didakwa telah ditampar penghulu di Kampung Salor Pasir Mas tidak akan memaafkan tindakan penghulu dari parti Pas itu.

Di dalam temubual secara maya bersama Ketua Pemuda AMANAH Kelantan Hazmi Hassan Jamaludin tidak berpuas hati dengan tindakan penghulu terbabit yang menamparnya di depan orang ramai.

“Saya tidak puas hati saya nak dakwa juga penghulu kampung ini. Saya malu ditampar depan orang ramai. Saya tidak akan maafkan,” katanya yang berasal dari Kedah.

Beliau yang menetap di Kelantan sejak tahun 2010 baru sahaja kehilangan isteri menceritakan tindakan penghulu yang tiba-tiba muncul di depannya dan terus menampar beliau.

“Saya keluar nak pergi beli rokok duduk di satu tempat tiba-tiba dia datang terus tampar saya, tidak tahu apa sebab.

“Saya dapat cek daripada YB Salor RM300, saya masukkan cek ke akaun Affin Bank saya selepas beberapa hari saya semak duit belum ada dalam akaun saya dan saya dimaklumkan duit itu ditarik balik. Maknanya saya dapat cek kosong.

“Saya jumpa semula dengan tok penghulu jelaskan cek itu kosong, dan saya beritahu saya dianiaya dan mahu jumpa dengan YB,” katanya.

Beliau turut memaklumkan klip video yang tular itu dirakam oleh kawan kepada penghulu terbabit, bagaimanapun video itu tidak merakam beliau ditampar kerana perakam telah menurunkan telefon tersebut.

Jamaludin difahamkan telah membuat laporan polis terhadap penghulu terbabit yang bertindak menampar beliau.

Menurut Hazmi pihak Kanun AMANAH Kelantan akan membantu dan membela Jamaludin jika masalah ini selesai disiasat pihak polis.

“Selepas polis buat siasatan kita akan bawa peguam kita, Abg Din boleh saman malu atau gangguan emosi,” kata Hazmi dalam temubual itu. 

Bagi Hazmi, penghulu terbabit tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana negara ini ada undang-undang dan perlembagaan.

“Dia tiada hak walau sebesar zarah untuk pukul Abg Din.

“Saya akan bersama peguam Kanun kita untuk membela Abg Din dan akan bincang apa proses seterusnya.

“Janganlah sekali-kali kita guna undang-undang hutan kerana kita berada dalam Malaysia yang ada undang-undang dan perlembagaan.

“Nasihatkan bila dilantik sebagai penghulu orang kampung, kalau ada masalah bawa berbincang jika ada yang melanggar undang-undang atau bertindak tidak betul buatlah laporan polis,” katanya.

Dalam tempoh 24 jam, Syed Saddiq berjaya kumpul lebih RM700,000

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menutup sumbangan orang ramai selepas lebih RM700,000 berjaya dikumpul dalam tempoh 24 jam untuk melunaskan wang jaminannya.

Jumlah keseluruhan yang berjaya dikutip adalah RM715,573.77 dari 9,836 penyumbang.

Menurutnya, jumlah tersebut telah lebih daripada yang diperlukan untuk melunaskan wang jaminannya sebanyak RM330,000, berikutan tuduhan salah guna dana Bersatu bernilai RM1.12 juta.

Bekas menteri belia dan sukan yang turut menzahirkan rasa terima kasih terhadap orang ramai, menceritakan dia berasa sebak apabila terdapat seorang lelaki berumur tampil ke pejabatnya untuk menyumbangkan RM10 sebagai sumbangan.

“Saya tutup fundraising (kutipan dana) kerana dana untuk bayaran wang jaminan sudah lebih mencukupi.

“Petang tadi, ada pakcik datang ke pejabat saya. Ingatkan nak minta bantuan. Rupanya nak sumbangkan RM100 kepada saya.

“I felt like crying (saya rasa seperti mahu menangis). It’s in moment like this, i am reminded why I joined politics (Saat seperti ini mengingatkan saya semula mengapa saya menyertai politik),” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Syed Saddiq semalam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyalahgunakan dana Bersatu bernilai RM1.12 juta.

Dia mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di depan hakim, Azura Alwi.

Azura kemudian membenarkan Syed Saddiq diikat jamin RM330,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Semalam, Syed Saddiq melalui siaran langsung di Facebook memohon sumbangan orang ramai untuk membantunya melunaskan wang ikat jamin itu, di mana menurutnya dia diberi tempoh sehingga Selasa depan.

Bomba selamatkan wanita cuba terjun dari tingkat 14

FMT Reporters

Bomba berkata, wanita itu berjaya diselamatkan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. (Gambar JBPM)

PETALING JAYA: Bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita yang dipercayai cuba terjun dari tingkat 14 sebuah residensi di Apartment Pelangi Damansara, Petaling Jaya hari ini.

Wanita berusia 30-an itu yang bertindak mengunci grill dan pintu depan sebelum dipercayai mahu terjun melalui tingkap.

Menurut kenyataan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara, pihak mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.42 tengah hari.

Difahamkan, mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Usaha menyelamatkan turut melibatkan BBP Shah Alam.

“BBP Shah Alam membantu kerja-kerja memasang ‘air cushion’ dan membantu kerja memasang tali menyelamat di tingkat 16 dan anggota bersedia untuk memecahkan pintu gril dan pintu utama, mangsa berjaya diselamatkan,” menurut kenyataan.

Bekas ketua bahagian MCA Marang maut ditembak jiran, anak saudara parah

FMT Reporters

Anggota polis mengangkat mayat seorang lelaki yang maut ditembak jirannya dipercayai menggunakan senapang patah dalam kejadian di Taman Raya Wakaf Tapai Marang Terengganu, hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang lelaki maut akibat ditembak dengan senapang patah oleh rakan baiknya yang juga jiran manakala anak saudaranya parah dalam kejadian di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang, Terengganu, hari ini.

Mangsa, Fong Swee Fuan, 65, yang juga bekas ketua bahagian MCA Marang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala, anak saudaranya, Teo Hock Beng, 45, pula parah dan kini dirawat di Hospital Hulu Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata, dua mangsa bersama suspek dikatakan berada di kawasan rehat di taman perumahan berkenaan sebelum insiden itu berlaku.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 2 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Rohaimi berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berusia 56 tahun melepaskan dua das tembakan menggunakan senapang patah dipercayai milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke arah kedua-dua lelaki terbabit.

“Sebelum meninggalkan lokasi kejadian, suspek ada mengeluarkan amaran yang dia mempunyai 75 butir peluru dan akan membunuh lebih ramai orang sebelum membunuh diri.

“Suspek yang melarikan diri menaiki sebuah jip bagaimanapun berjaya ditahan di kawasan kebun di Durian Mentangau, Dungun kira-kira 4.20 petang tadi.

“Kita turut merampas senjata yang digunakan suspek untuk menembak kedua-dua mangsa,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Rohaimi berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek adalah kawan rapat serta tinggal di kawasan perumahan sama.

Katanya, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini.

“Mengenai dakwaan yang mengatakan kejadian ada kaitan dengan kes judi dan minuman keras, tiada sebarang botol minuman keras atau unsur perjudian di lokasi kejadian.

“Kita sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Kuala Terengganu untuk bedah siasat manakala anak saudaranya yang cedera dibawa ke Hospital Hulu Terengganu,” katanya.

Menteri sibuk selfie, keputusan pesakit Kategori 1 dan 2 tidak ke CAC tidak terlaksana

MALAYSIA DATELINE 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta melaksanakan segera keputusan untuk mempastikan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 tidak dihantar ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) bagi mengelakkan limpahan berlaku di pusat itu.

Dr Dzulkefly Ahmad dan Dr Musa mendengar taklimat dari Pengurus syarikat yang mengendalikan Stadium Melawati, Ahmad Sayuti Bashiron tentang pengendalian CAC itu.

Anggota Pasukan Bertindak Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Dr Musa Nordin berkata, selepas sembilan hari keputusan dibuat agar pesakit Kategori 1 dan 2 tidak dibawa ke CAC, tijauan beliau dan pasukannya ke CAC Stadium Malawati hari ini mendapati ia tidak berlaku.

Suasana di CAC Stadium Melawati hari ini.

“Saya agak 90% covid kategori 1-2. Mereka tak sepatut ada di sini. Boleh dipantau dari rumah,” kata Dr Musa dalam catatan beliau menerusi Twitternya.

Menurut Dr Musa, sembilan hari telah berlalu tetapi KKM masih lagi tidak operasikan pemantauan digital di rumah.

“Greater Klang Valley Task Force (GKVTF) gagal untuk operasikan kaedah baru ini!

“Pimpinan KKM mungkin sibuk siapkan protokol cantik di Putrajaya selama 9 hari … atau mungkin sibuk selfie?” kata beliau merujuk kepada gambar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham baba yang turut datang ke CAC itu hari ini tetapi sibuk berselfie sahaja (gambar atas sekali).

Menurut Dr Musa, keadaan luarbiasa yang berlaku sekarang perlukan tindakan luarbiasa.

Ibu dengan bayinya yang turut terpaksa datang ke CAC Melawati hari ini.

“KKM mesti lebih proaktif! Pimpinan KKM yang WFH (work from home) mesti turun padang ke-CAC, PPV, PKD, PKRC, MAEPS.

“Hanya demikian mereka memahami realiti di medan perang covid,” kata beliau.

Dr Musa meminta mereka menyaksikan sendiri bagaimana para petugas dan sukarelawan yang bertugas di sini sudah keletihan.

“Saksikan doktor & sukarelawan yang keletihan, pitam, burnout & kenapa quit KKM,” kata beliau.

“Quit KKM” dipercayai merujuk kepada para doktor dan petugas kesihatan yang mula meletakkan jawatan mereka dari KKM.

Hari ini, pihak pengurusan CAC Stadium Melawati menjangkakan 5,000 pesakit Covid-19 akan pusat penialaian itu, lebih 500 pesakit berbanding 4,500 pesakit yang mengunjungi CAC itu 12 Julai lalu sehingga menimbulkan kekecohan di pusat itu.

Ekoran itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Chong Chee Kheong, mengumumkan pihak akan membuat dasar baharu iaitu pesakit kategori 1 dan 2 tidak perlu ke CAC, mereka boleh membuat kuarantin kendiri di rumah masing-masing dengan bantuan aplikasi yang disahkan termasuk Selangkah yang disiapkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Namun, pada hari ini lawatan Dr Musa bersama dengan Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad, Pengerusi STFC mendapati 90 peratus dari yang datang ke CAC  itu termasuk dalam Kategori 1 dan 2 ini.

Anak TPM dikecam, tayang gambar seksi masa ambil vaksin

MALAYSIA DATELINE

Tindakan anak Timbalan Perdana Menteri, Datin Nina Sabrina Ismail Sabri menayangkan gambar beliau dengan berpakaian seksi ketika menerima vaksin dikecam oleh pengguna laman sosial.

Nina menayangkan gambar beliau sedang dicucuk vaksin dengan berpakaian seksi menerusi Intagram beliau semalam.

Padahal, menjadi peraturan kepada mereka yang hendak mendapatkan vaksin hendaklah berpaiakan sopan ketika menghadiri Pusat Pemberian Vaksin Covid-19.

Gambar  yang Nina buat naik dalam Instagram beliau ketika mengambil vaksin itu kini disebarkan menerusi pelbagai laman sosial khasnya Whatsapp.

WOW!! 15,573 kes Covid-19 hari ni

Malaysiakini 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan 15,573 kes baru, yang merupakan rekod tertinggi jangkitan baru yang pernah dicatat di dalam negara.

Kes berdasarkan negeri:

Selangor - 7,672 (351,618)

Kuala Lumpur - 2,063 (105,600)

Johor - 722 (82,504)

Sabah - 516 (77,940)

Sarawak - 461 (73,318)

Negeri Sembilan - 682 (65,477)

Pulau Pinang - 530 (41,019)

Kelantan - 372 (38,905)

Kedah - 937 (36,394)

Perak - 415 (32,841)

Melaka - 452 (27,093)

Pahang - 457 (20,557)

Terengganu - 229 (13,778)

WP Labuan - 21 (9,548)

WP Putrajaya - 41 (3,258)

Perlis - 3 (641)

Kisah penghulu tampar penduduk kampung di Kota Bharu kini tular

Malaysia Dateline

Kisah seorang penghulu atau ketua kampung di Kelantan yang memukul seorang penduduk di kampungnya kini menjadi tular dalam masyarakat.

Turut tersebar adalah salinan laporan polis yang dibuat oleh mangsa berikutan kejadian itu. 

Menurut salinan laporan polis itu, ia berlaku pada Rabu 21 Julai lepas di Kampung Aur Duri, Salor, Kota Bharu apabila mangsa diserang oleh penghulu berkenaan di sebuah kedai makan.

Ia berpunca dari dakwaan penghulu berkenaan kononnya mangsa menyebarkan cek tunai yang beliau beri tetapi tidak boleh ditunaikan oleh mangsa.

Menurut laporan itu, mangsa telah ditampar pada pipi dan juga pada dahinya di kedai berkenaan dan mengugut mangsa agar memohon maaf.

Jika tidak, beliau akan dihalau dari kampung berkenaan.

Penghulu itu dikatakan marah kerana mangsa menyebarkan cek RM300 itu untuk beliau yang dinafikan oleh mangsa.

Amerika berundur tinggalkan Afghanistan tanpa ucap selamat tinggal

ZIN MAHMUD

Tentera Amerika Syarikat sudah pun meninggalkan Afghanistan. Tanpa ucapan Selamat Tinggal. Tanpa upacara tentera paluan berundur. Di pangkalan tentera Bagram, peralatan tentera termasuk senjata ditinggalkan begitu sahaja. Tiada proses penyerahan tersusun kepada tentera Afghanistan.

Presiden Amerika, Joe Biden berkata biarlah rakyat Afghanistan selesaikan masalah mereka sendiri. Tetapi umum maklum bahawa tanpa kehadiran tentera Amerika, penguasaan Taliban terhadap negara itu tidak boleh dielakkan.

Tentera Afghanistan tidak akan dapat menghalang Taliban. Buat masa ini Taliban menguasai lebih separuh daripada Afghanistan. Mereka semakin mendekati Kabul. Siapa kuasai Kabul, dia jadi kerajaan.

Sebaik saja tentera Amerika keluar, pertempuran antara tentera kerajaan dengan Taliban meningkat. Taliban telah menguasai laluan keluar masuk sempadan Afghanistan dengan Iran di barat dan Uzbekistan di utara.

Kini pertempuran sengit berlaku di Spin Boldak iaitu pintu masuk ke Afghanistan dengan Pakistan. Afghanistan tidak mempunyai laluan laut. Ia bersempadan dengan Iran, Pakistan, Uzbekistan, Turkmenistan dan Tajikistan.

Semasa Soviet Union masih ada, Uzbekistan, Turkmenistan dan Tajikistan adalah sebahagian daripada negara komunis itu.

Negara moden Afghanistan muncul di atas keruntuhan Empayar Safawiah dengan sempadannya dengan Iran ditetapkan pada masa itu, iaitu pada kurun ke-18.

Bagaimanapun, sempadan di utara dan timur ditetapkan oleh Rusia dan British untuk menjadikan Afghanistan sebagai negara penampan bagi sebarang pertembungan dan rebutan kedua-dua empayar.

Ini berlaku selepas British gagal menguasai sepenuhnya. Spin Boldak tentu masih diingati oleh para pemerhati dan peminat Afghanistan yang mengikuti perkembangan ketika Amerika mula melancarkan perang darat di situ.

Selain Kabul, nama-nama seperti Kandahar yang merupakan pangkalan Taliban, Jalalabad Mazar-i-Sharif di mana letaknya sebuah masjid purba biru yang cantik pasti diingati.

Gua Baiman di mana terdapatnya patung raksasa Buddha berdiri yang dimusnahkan oleh Taliban tentu tidak akan dilupakan. Di situlah nampak sikap yang dianuti oleh Taliban.

Mengapa perlu dimusnahkan artifak bersejarah itu? Tidak ada siapa yang menyembah berhala itu.

Tetapi Taliban berpegang kepada aliran fahaman yang tidak melihat kepentingan pemeliharaan warisan sejarah negara. Bagi mereka, semua berhala wajib dimusnahkan.

Tetapi Taliban yang ada hari ini tidak serupa yang dahulu. Pemimpinnya sudah berubah dan anggotanya tentulah juga terdiri daripada generasi baharu. Ia ditubuhkan pada tahun 1994, iaitu 27 tahun lalu. Banyak pemimpin dan anggotanya yang dahulu tentu sudah mati dan mereka digantikan dengan orang lain.

Setelah melalui pengalaman kolektif selama 27 tahun itu, pastinya mereka menimba pelajaran lalu. Nama rasmi Taliban adalah Emiriah Islam Afghanistan. Inilah nama rasmi negara Afghanistan ketika Taliban memerintah dari tahun 1996 hingga 2001.

Nama rasmi kerajaan Afghanistan sekarang ialah Republik Islam Afghanistan. Walaupun ada anggota tentera Afghanistan yang meletak senjata dan lari ke Uzbekistan apabila berasa tidak berupaya melawan Taliban tetapi

pihak kerajaan masih yakin dapat mengalahkan mereka. Komandernya ada menyatakan tentera Afghanistan akan dapat mengambil semula kawasan yang terlepas pada Taliban sejak tentera Amerika berundur.

Presiden Biden pun berkata bahawa masih ada kemungkinan bahawa kerajaan Afghanistan boleh menghalang Taliban daripada berkuasa. Sungguhpun begitu umum percaya Taliban akan menang tetapi tidak menyeluruh.

Jika begitu, perang saudara ini akan berlanjutan. Apa yang berlaku ialah kedua-dua pihak mahukan keamanan tetapi dengan memperoleh kuasa sebesar mungkin. Untuk perkara ini, rundingan damai telah mula diadakan di Doha, Qatar pada Sabtu lepas.

Di Doha juga terdapat pejabat Taliban. Syarat utama Taliban ialah pelaksanaan Syariah. Tetapi masalahnya, Syariah cara Taliban tidak berbentuk apa yang difahami oleh kebanyakan umat Islam di seluruh dunia.

Pihak kerajaan pula meletakkan gencatan senjata sebagai syarat awal bagi meneruskan rundingan. Matlamat rundingan itu adalah untuk menubuhkan satu kerajaan bersama semua kumpulan dengan bersifat inklusif.

Ia menyatukan kerajaan dan Taliban, atau pada maksud lain, penggabungan Republik Islam dengan Emiriah Islam. Qatar menjadi bukan saja tuan rumah tetapi orang tengah. Rakyat Afghanistan berhak untuk mengecapi perdamaian dan kerajaan stabil.

Rundingan ini sudah lama dimulakan apabila Amerika berasa Taliban tidak boleh dikalahkan. Iaitu pada zaman Presiden Barack Obama. Kesediaan Amerika berunding dengan Taliban tanpa penyertaan kerajaan Afghanistan dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kumpulan itu.

Tujuan rundingan itu ialah mencari jalan supaya Taliban dapat menyertai kerajaan bagi mewujudkan keamanan dan kestabilan di negara itu.

Amerika yang tentunya mempunyai maklumat luas dan komprehensif terhadap Afghanistan merancang untuk keluar dari negara itu.

Rundingan itu gagal. Taliban mahukan supaya mereka menjadi kerajaan dan melaksanakan syariah versi mereka. Tetapi rundingan itu kemudian diteruskan antara kerajaan dengan Taliban. Presiden Donald Trump juga bersetuju untuk keluar dari negara itu.

Mereka tidak mahu lagi mengorbankan tentera Amerika dan membelanjakan lebih banyak wang di sana. Sasaran asal Amerika adalah untuk menundukkan Al-Qaeda dalam apa yang mereka panggil sebagai Perang Melawan Keganasan.

Osama ben Lasin pun telah mereka bunuh iaitu semasa pentadbiran Obama dengan menggunakan teknologi jarak jauh.

Kemudiannya Amerika berhasrat membina semula negara Afghanistan untuk menjadi stabil dengan kerajaan yang mampu menundukkan sebarang ancaman keganasan termasuklah dari Taliban.

Untuk itu mereka mewujudkan sistem demokrasi berparlimen dengan pilihan raya. Usaha ini diharapkan dapat mewujudkan kerajaan yang dipilih rakyat, bukan pemerintahan yang berkuasa melalui senjata.

Setelah 20 tahun berlalu, Taliban bukan saja enggan menyertai pilihan raya tetapi melakukan serangan bagi menggagalkannya.

Mereka berpendapat, Emiriah Islam adalah kerajaan yang memerintah iaitu sejak 25 tahun lalu tetapi Amerika datang dan merampas kuasa daripadanya.

Bagi mereka, Amerika perlu kembalikan kuasa kepada mereka. Sementara itu, kerajaan Afghanistan yang berfungsi sejak 20 tahun ini tidaklah bersih, cekap dan amanah. Mereka ini korup dan tidak berkesan.

Pelanggaran hak manusia dan hak wanita berlaku. Terdapat banyak kesusahan dan penderitaan yang ditanggung rakyat, termasuk kemiskinan dan kekurangan makanan.

Kerajaan Afghanistan banyak bergantung pada bantuan luar dan ekonominya bergerak atas kehadiran adanya pangkalan tentera Amerika dan anggota NATO lainnya. Pengunduran tentera Amerika akan memberi pukulan kepada negara ini.

Ada antara pemimpin mereka merupakan golongan elit dengan berpendidikan dari Amerika dan Eropah sekali gus terputus dengan keadaan rakyat di pedesaan. 

Sebahagian rakyat terutama di Kabul lebih selesa dengan kerajaan sedia ada. Suasana bebas dan tidak dibayangi dengan kekerasan dan ketakutan. Wanita bebas keluar belajar dan bekerja.

Bagi generasi terdahulu yang pernah hidup di bawah Taliban tentu masih ingat kekerasan hukuman yang dikenakan oleh mereka.

Sememangnya pada masa pemerintahan Taliban dikatakan jenayah amat berkurangan tetapi suasana konservatif seperti pelbagai jenis sekatan tentu tidak menyenangkan sebahagian rakyat.

Bagaimanapun, masyarakat di luar Kabul dapat menerima suasana konservatif ini. Namun kerajaan sekarang ini adalah sebuah Republik Islam. Parti politik yang dibenarkan oleh Perlembagaan hanyalah mereka yang dapat menerima fahaman Islam.

Maka parti sekular tidak boleh didaftarkan. Sesiapa menjadi kerajaan mesti melaksanakan islam. Tetapi Taliban tidak dapat menerima Republik islam ini.

Presiden Biden kata, biarlah rakyat Afghanistan selesaikan masalah mereka sendiri. Sememangnya sepatutnya begitu. Sejarah mungkin berubah jika kuasa luar tidak campur tangan.

Bayangkan andai kata Soviet Union tidak masuk ke Afghanistan walaupun kerajaan komunis yang merampas kuasa meminta bantuan dari mereka, maka keadaan juga berbeza.

Tanpa Soviet, Amerika pun tidak masuk. Begitu juga Pakistan dan Arab Saudi juga tidak masuk. tidak akan lahir al-Qaeda dan Taliban.

Ini kerana Taliban dikatakan lahir dari perut Pakistan. Amerika mendaratkan tenteranya di Afghanistan 20 tahun lalu iaitu 2021. Pendaratan itu berlaku setelah berhari-hari jet pejuang Amerika menjatuhkan bom yang kuat dasyhatnya di gunung-gunung ada gua.

Di situlah mereka percaya Osama dan anggota kumpulan Al-Qaeda bersembunyi. Akhirnya Osama terselamat dan Al-Qaeda terus beroperasi. Apa yang musnah ialah manusia-manusia, perkampungan mereka, ladang-ladang, ternakan, pokok-pokok, haiwan dan gunung-ganang.

Lebih 10 hari menanti Adun Bersatu yang mahu lompat

HARUN ZAKARIA

Sudah lebih 10 hari menanti tindakan ‘berani’ dari Adun Bersatu di Johor yang mahu mengumumkan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Adun Benut, Hasni Mohamed. Berani atau tidak, ia bergantung kepada kemampuan empat orang Adun berkenaan.

Ternyata jelas bahawa mereka hanya bermain wayang sahaja seperti mana sebelum ini tindakan mereka yang mahu bersama PH dengan syarat pasukan mereka itu mahu menjadi Menteri Besar. Terang lagi bersuluh sekiranya mereka tidak berani maka khabar itu akan senyap sepi semula.

Apatah lagi, hari ini dikatakan dakwaan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dituduh atas penyelewengan dana pilihan raya.

Pertuduhan itu pasti akan menjadi ugutan terbuka hingga membuatkan empat Adun itu menarik ‘hand brake’ serta mengatur semula langkah seterusnya selepas terbantut.

Umno pula berjaya memainkan peranannya yang jitu selepas mereka tahu Bersatu di Johor ini dibarisi oleh kalangan mereka yang bapok. Umno tahu selepas berulang kali mereka mempermainkan maruah Bersatu di Johor tetapi Adun-Adunnya tidak berani memberikan pendirian tegas.

Masing-masing mahu menyelamatkan kedudukan mereka. Semua mahu cari kerusi selamat seperti mana di Dun Permas, dia mestilah bersama dengan mana-mana pihak yang kuat seperti PH atau BN untuk terus mendapatkan peluang bertanding di kerusi berkenaan.

Kalau nak harap prestasi peribadi dan reputasi PN, pastilah ia akan menyukarkan peluang Adun itu untuk memenangi kerusi di Dun Permas. Akhirnya, dirinya tersepit akibat tamakkan kuasa dan jawatan.

Apalah yang boleh diharapkan dengan Adun-Adun Bersatu Johor yang semakin hilang maruahnya apabila dipermainkan oleh Umno di negeri ini. Ugut mengugut hanya menambah perisa untuk Umno lebih membunuh mereka.

Untuk mencari tempat selamat, mereka harus bergabung dengan PH, namun ‘demand’ yang diberikan oleh ketua kumpulan itu yang menetap di Kempas untuk jawatan Menteri Besar semula yang membantutkan segalanya.

Keinginan dan ‘tekak besar’ mereka membuatkan keadaan menjadi terbatas dan apa yang mereka pandai hanyalah mengugut Umno, itu sahaja. Untuk ubah kerajaan, bagaikan menanti bulan jatuh ke riba.

Terpisah dengan suami akibat PKP, isteri curang dicekup edar dadah bersama kekasih

FMT Reporters

Dadah jenis heroin, syabu dan pil Eramin 5 dengan dianggarkan bernilai RM6,000,yang dirampas dari kedua-dua suspek.

PETALING JAYA: Seorang wanita yang sudah lama terpisah dengan suaminya akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bukan sahaja bertindak curang, malah mengedar dadah bersama kekasihnya.

Kecurangan ibu beranak dua berusia 30 tahun itu terbongkar apabila dia diberkas bersama kekasih berumur 32 tahun di sebuah rumah di Kuala Sungai Baru, Melaka, jam 11.10 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Zulkiflee Rashid berkata, ketika serbuan, polis menemui lapan paket lutsinar mengandungi dadah bersama suspek.

“Kesemua peket dipercayai berisi dadah jenis heroin seberat 89.18g itu ditemui di dalam salah sebuah bilik di rumah suspek lelaki.

Suspek wanita yang juga ibu dua anak berusia berusia 30 tahun dan kekasihnya berumur 32 tahun ditahan di sebuah rumah di Kuala Sungai Baru, Melaka, jam 11.10 malam tadi.

“Pasukan polis turut menemui tujuh peket plastik syabu seberat 12.15g, enam biji pil Eramin 5 dengan anggaran keseluruhan bernilai RM6,000,” katanya menurut laporan Kosmo.

Tambahnya, beberapa alatan digunakan untuk menghisap syabu dan alat penimbang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah turut dirampas.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai aktif mengedar di kawasan setempat sejak sebulan lalu dan menjadi rumah sewa berkenaan sebagai tempat untuk membungkus dadah.

Masalah kita berpunca dari keangkuhan kerajaan, mereka rasa tahu semua

SITI NUR ZAWANI MISCON

Peningkatan kes Covid-19 dan kelewatan vaksinasi di negeri-negeri dengan kes tertinggi, berpunca daripada keangkuhan kerajaan yang merasakan mereka tahu tentang semua perkara.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, disebabkan keangkuhan kerajaan mengetepikan pandangan pakar-pakar, kes kematian juga kian meningkat dalam negara.

“Jadi masalah kita ini berpubca daripada keangkuhan. Mereka rasa mereka boleh tahu semua, mengetepikan pandangan orang sebegitu rupa.

“Ini menyebabkan angka kematian meningkat seperti yang kita lihat sekarang. Orang terdesak ketika ini. Jadi kecuaian ini nak dilupakan? propaganda dia sekarang begitu hebat (dengan mengatakan) mereka sedang edar vaksin

“Sebab cuai kamu lah banyak kematian meningkat, kes positif tinggi. Tindakan bercanggah, pertelingkahan menteri-menteri tanpa penyelarasan. Ini semua menyebabkan masalah yang terpaksa kita tanggung,” katanya dalam satu rakaman di Facebooknya malam tadi.

Anwar juga menyentuh tentang keadaan Hospital di Klang dengan situasi yang memaparkan pesakit terpaksa diletakkan di luar bangunan hospital, sehingga parkir digunakan untuk menempatkan pesakit-pesakit Covid-19.

Beliau menegaskan bahawa pengabaian kerajaan dan kelewatan vaksinasi punca keadaan menjadi semakin tidak terkawal.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu menegur undang-undang pilih kasih yang langsung tidak terpakai kepada golongan menteri dan orang atasan menyebabkan rakyat bawahan hilang keyakinan terhadap kerajaan.

“Baginilah cara kerajaan. Boleh ugut orang, tangkap orang, lawan sikit tak boleh, bendera hitam masalah, bendera putih masalah. Ini kaedah mereka. Bagi saya jangan kita pedulikan.

“Tanggungjawab kita sebagai rakyat mesti terus bangkit memperbetulkan keadaan. Tolak kerakusan kuasa dan kelembapan yang berlaku yang menyebabkan kematian dan bencana kepada negara,” ujarnya.

Penjenayah dilindungi dari pendakwaan jika rapat dengan orang politik berkuasa

ARIF ATAN

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertuduhan pecah amanah terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan perkembangan yang tidak baik kepada negara.

Ketua Pembangkang berkenaan berkata, pendakwaan menjelang pembukaan sidang Parlimen itu seolah-olah menyampaikan mesej ‘selamat’ untuk melakukan jenayah.

“… ia secara tidak langsung memberi isyarat kepada bakal-bakal penjenayah untuk mencipta hubungan yang lebih dekat dengan orang-orang politik yang berkuasa bagi mendapat perlindungan dari pendakwaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Presiden PKR menegaskan setiap kali sidang Parlimen semakin hampir, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperalat apa sahaja untuk membuli wakil rakyat dari blok pembangkang.

Situasi itu, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tersebut berkemungkinan kerana gentar sekiranya usul undi tidak percaya dikemukakan di Parlimen nanti.

“Usaha-usaha jelek ini akan berterusan tanpa henti selagimana mereka masih lemah dan tidak punya majoriti yang cukup di Parlimen,” tegas Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan.

Untuk rekod, Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 15 hari bermula 6 sehingga 30 September diikuti mesyuarat kedua bermula 25 Oktober sehingga 16 Disember iaitu selama 32 hari.

Sementara itu, Sidang Khas Dewan Rakyat selama lima hari bermula jam 10 pagi pada 26 hingga 29 Julai ini dan 2 Ogos 2021.

Bahkan, Anwar berkata, beliau juga telah dimaklumkan oleh beberapa Ahli Parlimen bahawa kerajaan PN turut menggunakan rasuah dan ugutan untuk mendukung kerajaan gagal mereka dengan kedudukan dan perlindungan dari pendakwaan sebagai habuan.

“Masa dan ketika tatkala YB Syed Saddiq didakwa ini sangat membingungkan dan menampakkan wujudnya salahguna kuasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, Anwar menggesa agar siasatan terhadap Syed Saddiq yang juga Pengasas bersama Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dijalankan dengan telus dan profesional.

“Saya turut mahu beritahu pemimpin-pemimpin PN termasuk Perdana Menteri untuk hentikan salahguna kuasa serta terima hakikat secara bermaruah bahawa dukungan terhadap mereka semakin berkurangan di Parlimen,” tambah Anwar lagi.

Untuk rekod, kerajaan PN pada masa ini hanya didukung 77 kerusi Parlimen manakala blok pembangkang menguasai 143 kerusi susulan keputusan Umno menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Daripada 77 kerusi kerajaan PN itu, terdapat 32 kerusi Parlimen Bersatu yang diterajui Mahiaddin, Pas (18) dan STAR satu Parlimen.

Kerajaan PN juga disokong Gabungan Parti Sarawak atau GPS (18), Bebas (3), MCA (2) manakala satu kerusi masing-masing dari MIC, PBRS, PBS.

Hidu karbon monoksida dalam ambulans, seorang maut, 3 pengsan

Bernama

PORT DICKSON: Seorang petugas Klinik Kesihatan (KK) Bukit Pelanduk di sini, meninggal dunia manakala tiga lagi tidak sedarkan diri selepas dipercayai terhidu gas karbon monoksida di dalam ambulans dinaiki mereka pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai insiden itu pada kira-kira 9.50 pagi.

“Siasatan awal Pasukan Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) mendapati tiada kebocoran di kawasan klinik selain paras oksigen dalam bangunan adalah normal.

“Maklumat awal mendapati empat mangsa tersebut telah pengsan dalam ambulans berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Unit HAZMAT JBPM Negeri Sembilan Mohammad Idris berkata mangsa yang meninggal dunia itu pada awalnya mengadu sakit dada dan kemudian pengsan di kawasan klinik berkenaan sebelum tiga rakannya mengangkatnya memasuki ambulans untuk dihantar ke Hospital Port Dickson.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di hospital berkenaan, apabila pintu belakang ambulans dibuka, tiga petugas kesihatan yang berada bersama mangsa didapati turut tidak sedarkan diri, manakala mangsa berumur 29 tahun itu telah meninggal dunia,” katanya.

Mohammad berkata punca kematian mangsa hanya dapat dipastikan setelah selesai proses bedah siasat.

Katanya, pemandu dan seorang kakitangan yang berada di bahagian hadapan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala ketiga-tiga mangsa yang pengsan kini berada dalam keadaan stabil dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Menurutnya, semalam seorang petugas kesihatan turut pengsan ketika menaiki ambulans yang sama namun keadaannya dilaporkan stabil.

Awas!!! Ada lagi MP jadi sasaran siasatan rasuah, dakwa Syed Saddiq

Hidir Reduan Abdul Rashid

Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mendakwa ada lagi ahli parlimen lain dari kedua-dua blok politik menjadi sasaran siasatan rasuah.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, ketika dia disiasat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dia diberitahu ada ramai ahli parlimen akan dipanggil oleh pihak berkuasa itu untuk disiasat.

Bekas anggota parlimen Bersatu itu mendakwa ugutan itu merupakan perancangan untuk menarik sokongan ahli parlimen atau supaya ahli parlimen pembangkang berpaling tadah semasa persidangan parlimen pada 26 Julai ini.

Dia mendakwa beberapa ahli parlimen dijadual akan dipanggil esok, manakala usaha untuk memanggil beberapa lagi yang lain ditangguhkan.

"Pesan saya kepada mereka (ahli parlimen) adalah untuk jangan pernah menyerah pada ugutan (pihak berkuasa). Jangan pernah takut, jika benar dan tak bersalah.

“Percaya kepada mahkamah dan hakim akan bersihkan nama kita.

"Jangan biarkan diugut sebelum parlimen disambung semula, di mana kita akhirnya akan mula menyokong atau melompat bagi pembangkang. Kita ada prinsip dan maruah.

"Sama ada kerajaan atau pembangkang, jujurlah kepada prinsip anda," kata Syed Saddiq kepada media di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur petang ini.

Dia berkata demikian sebelum meninggalkan mahkamah setelah membayar ikat jamin dalam kes penyelewengan melibatkan RM1.12 juta dana Bersatu.

Syed Saddiq meminta dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan itu.

Semasa sidang media petang ini, Syed Saddiq sekali lagi mengatakan tuduhan terhadapnya bermotifkan politik dan percaya badan kehakiman akan membersihkan namanya.

Katanya dia akan membincangkan lebih lanjut mengenai isu itu melalui akaun Facebook sekitar jam 8 malam ini.

Semakin dekat sidang Parlimen, wakil rakyat pembangkang dibuli

ARIF ATAN

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung dua pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM1 juta terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berpendapat PN mengeksploitasi kuasa untuk menakutkan pihak pembangkang menjelang sidang Parlimen minggu depan.

“Setiap kali sidang Parlimen semakin mendekat, kerajaan ini (PN) akan menggunakan atau memperalat apa saja aparat yang ada untuk membuli ahli-ahli Parlimen, berkemungkinan kerana gentar sekiranya undi tidak percaya dilangsungkan,” tegasnya.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau menyifatkan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Syed Saddiq sebagai berbentuk ancaman politik seperti yang dibangkitkan oleh beliau dan pembangkang mutakhir ini.

Anwar berpendapat aspek penegakan hukum di negara ini telah rosak apabila ahli politik yang rapat dengan kerajaan boleh bebas tanpa hukuman manakala pemimpin-pemimpin pembangkang serta pendukung mereka dikenakan dengan pelbagai pendakwaan terpilih.

“Babak terkini ini terus merobek kepercayaan dan keyakinan para pelabur terhadap Malaysia dalam keadaan negara hari ini yang kelam dan haru biru dengan ketidakabsahan pemerintah.

“Ia menggambarkan bahawa betapa badan atau jabatan penguatkuasaan hanya mengikut telunjuk politik,” tegas Anwar lagi.

Untuk rekod, Syed Saddiq yang juga Pengasas bersama Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM1 juta.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang parti politik ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mana pergi duit sumbangan RM20 juta? – Ebit

Haslina AR Kamaludin  

Mana pergi duit sumbangan RM20 juta? – Ebit

Mana pergi duit sumbangan RM20 juta? – Ebit
Mana pergi duit sumbangan RM20 juta? – Ebit
Mana pergi duit sumbangan RM20 juta? – Ebit

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew mempersoalkan di manakah duit sumbangan rakyat Malaysia berjumlah RM20 juta yang diberikan kepada rakyat Gaza menerusia Persatuan Cinta Gaza Malaysia.

Ebit dalam siaran langsungnya hari ini meminta presiden persatuan itu, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau lebih dikenali sebagai Nadir Al Nuri mengemukakan bagaimana duit sumbangan rakyat Malaysia diagihkan untuk penduduk Gaza.

Beliau menerusi laman Instagramnya berkata, perkara itu perlu dijelaskan kerana ia melibatkan jumlah sangat besar.

“Dia ada minta sumbangan untuk Gaza. Tapi, saya ke Gaza guna duit saya sendiri dan tak pernah buka sebarang tabung Gaza.

“Ada beberapa sahabat yang sangat rapat dan juga ada beberapa rakan di Facebook menyumbang tetapi mereka tak mahu nama mereka disebut. Mereka ikhlas membantu,” katanya.

Ebit turut berkata, ramai yang telah memakinya dengan pelbagai panggilan hingga menggores hati isteri, anak-anak dan keluarganya.

“Saya tak kisah kalau saya seorang saja yang kena. Itu dah biasa, tetapi apabila sampai melibatkan isteri, anak-anak dan keluarga yang lain, saya jadi sedih.

“Saya dah biasa dituduh dengan panggilan yang macam-macam… susah saya nak sebutkan, tapi saya sebutkan juga hari ini, antaranya babi, penunggang agama, dajjal, syaitan dan macam-macam lagi.

“Bila keluarga tanya mengenai dakwaan ini dan mereka terpalit juga, sebab tu saya tampil hari ini,” katanya.

Siaran langsung selama 1 jam 31 minit itu juga, Ebit menjawab dakwaan yang turut dilemparkan daripada penyanyi rap tempatan Caprice.

“Saya tak pernah lagi buat ‘live’ sebut nama orang, tetapi apa yang telah mereka buat pada saya, agak melampau.

“Saya maafkan mereka cuma tuduhan itu tanpa asas atau bukti. Saya ada segala bukti dan sudahpun diserahkan kepada pihak sepatutnya.

“Biasanya siapa yang dakwalah perlu bag bukti, tapi tak apalah,” katanya lagi.

Jelasnya, Nadir perlu tampil menjawab persoalan ini kerana kerana ia melibatkan jumlah yang sangat besar.

“Dia ada sebut dalam ‘live’ dia mengenai sumbangan RM500,000 yang dikatakan sedikit. Bagi saya tu dah cukup besar.

“Saya mahu balikkan soalan itu kepada dia, di mana sumbangan RM20 juta, ada resit, ada bukti?,” katanya.

Tidak hanya itu, Ebit turut menjawab dakwaan mengenai pembelian barang-barang bantuan di Kaherah sedangkan menurut Nadir Al Nuri ia boleh didadapati di dalam Gaza.

“Ada barang yang ada di Gaza tetapi mahal. Ada yang tak da dan perlu tunggu hingga enam bulan. Jadi, apabila kita dah berada di Kaherah, kita beli semua kelengkapan dan mengapa tidak menggunkan khidmat Nadir adalah kerana sebut harga yang diberikan Nadir adalah tinggi sekitar $40 dolar dan ada pihak lain yang menawarkan kepada kami hanya pada kos $20 dolar, kotak makanan yang sama dengan Nuri.

“Sebenarnya persoalan itu sepatutnya tak dibangkitkan kerana satu-satunya NGO dibenarkan ialah Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir,” katanya. 

– MalaysiaGazette

Ketua balai ‘mini disko’ positif ganja ditahan kerja

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang ketua balai polis (OCS) di daerah Kajang dikenakan tindakan tahan kerja mulai hari ini setelah didapati positif ganja dalam serbuan ‘mini disko’ di balai itu yang turut membabitkan tiga anggota lain dan empat wanita.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Azri Ahmad yang memaklumkan pegawai berkenaan turut direman dua hari untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, Azri berkata tujuh lagi yang ditahan dalam serbuan itu dibebaskan dengan jaminan.

“Berdasarkan hasil ujian air kencing, pegawai itu dikesan positif dadah jenis ganja. Dia kini ditahan reman selama dua hari untuk siasatan lanjut,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Menurutnya, kes turut disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kajang.

Katanya, JIPS pula menjalankan siasatan berkaitan salah laku dan pelanggaran tatatertib yang dilakukan oleh mereka.

Semalam, media melaporkan penahanan ketua balai polis (OCS) bersama tiga anggota ketika berhibur dengan empat wanita dalam bilik khas yang dijadikan seperti “mini disko” di balai berkenaan.

Polis menahan OCS yang berpangkat sub inspektor itu, dua koperal dan seorang koperal sokongan serta empat wanita terbabit yang berusia 21 hingga 37 tahun.

Mereka turut merampas botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio, perakam, mikrofon dan televisyen.

Ditangkap kerana solat aidil adha: Netizen bimbang Allah murka jika mufti, ulama berdiam

 SURI LAILA

Tindakan menahan reman 48 warga Bangladesh dan seorang warga tempatan kerana berkumpul beramai-ramai melakukan solat aidil adha tempoh hari, dianggap sebagai melampau oleh pengguna media sosial.

Ini susulan tersebar gambar yang memaparkan sekumpulan warga asing itu memakai pakaian oren dan digari beramai-ramai menuruni kenderaan polis.

Gambar itu juga diguna oleh media-media dalam laporan penangkapan warga asing tersebut.

Pengguna Facebook dikenali sebagai Omar Mo Elbariti berkata, dia bimbang jika ulama dan mufti terus berdiam diri, Allah akan murka.

“Bagi saya, melampau bila mereka diperlakukan begini hanya kerana solat raya di luar surau. Melainkan Menteri Besar Kedah dan menteri-menteri juga alami pengalaman yang sama.

“Apa yang saya bimbang, jika ulama dan mufti diam, Allah murka. Bukan lagi soal ‘double standard’ SOP tapi ‘double face before’ Allah.

“Dia orang langgar prosedur operasi standard (SOP) manusia tapi menghadap Allah menyerah jiwa raga.

“Yang tu langgar makan durian apa hal? Langgar mengetuk-ngetuk dashboard Ford apa mulianya?,” soal pengguna tersebut di Facebooknya.

Malah ada juga yang mempersoalkan mengapa mereka perlu digari sebegitu rupa.

Tidak terkecuali, warganet juga mempertikai tindakan tersebut dan mempersoal mengapa tidak dikenakan kompaun terlebih dahulu.

Institusi agama dan permasalahannya

MOHAMED HANIPA MAIDIN

BAHAGIAN 1 | Mempelajari ilmu agama atau bahasa arab di institusi formal (seperti sekolah, kolej dan universiti) ada kelebihan dan kekurangannya tersendiri.

Begitu juga pembelajaran di institusi yang bukan formal (seperti sistem pondok, pesantren, zawiyah, ribath, khanqah) pun ada kelebihan dan kekurangannya tersendiri.

Sebab itu, sekarang ini sudah ada setengah institusi cuba menggabungkan kedua-dua kaedah atau sistem pembelajaran tersebut.

Yang agak menarik, saya lihat di negara-negara barat seperti di UK, Australia, USA dan lain-lain, penggabungan kedua-dua kaedah dan sistem ini begitu giat dan aktif dilakukan.

Umumnya, pencapaiannya agak memberangsangkan. Saya mempunyai ramai kawan dan sahabat di luar negara yang fasih dalam bahasa arab dan mampu membaca kitab-kitab “thurath” @ kuning @gundul (tak ada baris) walaupun depa misalnya adalah tok loya, engineer, arkitek, doktor dan lain-lain.

“We can really see huge differences the way they promote and convey the message of Islam to the society at large. Full of confidence”.

Depa lazimnya, saya dok perhati, tidak begitu bermasalah untuk “engage” berdasarkan keyakinan yang ampuh -dengan dunia moden yang serba canggih ini.

Islam yang mereka sampaikan nampak jauh lebih “vibrant” dan jauh juga dari elemen menghukum atau “holier than thou” attitude.

Bagi saya, kaedah yang digunapakai di institusi yang bukan formal, secara relatifnya, lebih serius dan mendalam pembelajarannya tapi ia mungkin mengambil masa yang secara relatif, agak panjang dan lama.

Sistem tersebut hakikatnya berjaya melahirkan ramai agamawan yang hebat pada masa silam dan lampau. Kerana apa? Banyak sebab.

Antaranya, sistem itu diasaskan oleh para ulama’ yang bukan sahaja tinggi ilmunya tapi juga bersih hatinya, tinggi akhlaknya dan elok hubungan mereka dengan Allah.

Sebab itu institusi yang depa dirikan dipenuhi dengan keberkatan yang luar biasa.

Para anak muridnya (misalnya di pesantren dipanggil santri) pula adalah para pelajar yang memang sudah sedia ada bergeliga otak mereka. Mereka tidak dihantar ke sana sebagai satu bentuk “escapism”.

Malangnya, di sesetengah tempat khususnya di zaman la ni, lazimnya sebahagian dari mereka yang membuka institusi yang tidak formal ini juga ada dari kalangan para pentadbirnya yang bukan sahaja ilmu mereka tidak begitu tinggi, akhlak mereka dan hubungan mereka dengan Tuhan pun tak berapa elok dan boleh dipersoalkan.

Dan para anak muridnya juga lazimnya yang sejak dari awal tidak begitu geliga otaknya. Lazimnya, ibu bapa menghantar anak mereka yang bermasalah dalam pelbagai dimensi ke institusi tersebut.

“Saya lebih rela masuk mahkamah dari masuk PN”

MALAYSIA DATELINE

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan didakwa di mahkamah esok berkaitan satu program makan malam pengumpulan dana pada tahun 2018 bagi mengumpul dana Pilihan Raya Umum ke-14.

Menurut Syed Saddiq pendakwaan ke atasnya bersifat politik di mana pendakwaan boleh dilakukan dengan kadar segera kerana semua saksi telah dipanggil sejak tahun lalu.

Syed Saddiq tidak menolak pendakwaan ke atasnya dijadikan modal untuk beliau menyokong kerajaan Perikatan Nasional termasuk semasa pengundian pertukaran Speaker Dewan Rakyat, sebelum pengundian Bajet 2021 dan terkini Parlimen akan bersidang dalam masa terdekat.

“Walau berkali-kali ditekan saya kekal dengan pendirian untuk tidak menyokong Perikatan Nasional.

“Saya lebih rela masuk mahkamah dari masuk Perikatan Nasional.

“Sudah lebih setahun saya diugut untuk didakwa jika tidak menyertai PN.

“Setiap kali ada undian penting di Parlimen ugutan akan datang pada bulan Disember, Januari dan kini seminggu sebelum sidang Parlimen bersidang.

“Pada masa seperti ini saya teringatkan mengapa saya menyertai Politik. Kebenaran akan sentiasa berlaku.

“Jumpa di Mahkamah KL esok 8.00 pagi dan Live FB/insta 8.00 malam untuk pendedahan saya,” katanya melalui klip video yang dikongsi di Facebook malam ini.

Syed Saddiq sedia hadapi pertuduhan di mahkamah esok

Muhaamad Hafis Nawawi

mhafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersedia menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok berhubung penyelewengan berjumlah lebih RM1 juta wang peruntukan parti politik.

Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata demikian melalui ciapan di Twitternya malam tadi.

"Berani kerana benar.. kebenaran selalunya akan terungkap," katanya.

Harian Metro melaporkan bekas menteri dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di sini, jam 9 pagi esok berhubung penyelewengan berjumlah lebih RM1 juta wang peruntukan sebuah parti politik.

Menurut sumber, bekas menteri itu dijangka akan berhadapan dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 403 dan 405 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah amanah jenayah.

"Jumlah keseluruhan penyelewengan yang terbabit dianggarkan berjumlah RM1.12 juta membabitkan wang milik parti politik yang beliau adalah ketua pemuda," katanya.

Wanita penghidap Covid-19 rebah, maut di depan klinik

FMT Reporters

Seorang wanita rebah di hadapan klinik selepas mengadu kepada adiknya keletihan dan mengalami kelesuan.

PETALING JAYA: Seorang wanita berusia 45 tahun dipercayai penghidap Covid-19 meninggal dunia di hadapan sebuah poliklinik di Taman Sentosa, Klang, pada jam 10.45 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa yang bekerja sebagai akauntan mengadu keletihan selain lesu, sebelum mangsa dibawa ke pusat perubatan berkenaan oleh adiknya untuk mendapat rawatan susulan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Shamsul Amar Ramli, berkata pada kira-kira jam 9.45 pagi, setibanya mangsa di klinik terbabit, adiknya membawanya keluar dari kereta menuju ke hadapan pintu klinik itu sebelum mangsa tiba-tiba rebah lalu tidak sedarkan diri.

“Bantuan pernafasan (CPR) dilakukan doktor klinik berkenaan gagal dan doktor terbabit memeriksa nadinya, namun tiada denyutan. Pada jam 10.45 pagi, pihak ambulans tiba ke lokasi kejadian dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk dijalankan ujian “swab” Covid-19 PCR dan keputusan saringan awal Covid (RTK) mendapati, mangsa positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pemeriksaan terhadap badan mangsa tidak menjumpai sebarang kecederaan atau unsur jenayah.

“Mangsa sebelum ini mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi sejak dua tahun lalu serta mendapat rawatan bulanan di Klinik Kesihatan Kelana Jaya (Selangor),” katanya.

Dakwa difitnah, Ebit buat laporan polis terhadap Nadir Al-Nuri, Caprice

Faiz Zainudin

Ebit Lew membuat laporan polis menafikan tohmahan dan fitnah ke atas dirinya susulan bantuan ke Gaza, Palestin.

PETALING JAYA: Pendakwah Ebit Lew, hari ini, menafikan segala tuduhan dilemparkan di media sosial termasuk daripada Nadir Al-Nuri dan penyanyi rap, Caprice berkaitan isu misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin, baru-baru ini.

Katanya, beliau pada awalnya tidak mahu menjawab atau memanjangkan isu itu, bagaimanapun ia semakin hangat diperkatakan menyebabkannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, petang tadi.

“Saya memang lama diam, saya tak mahu cakap apa-apa kalau saya jawab orang balas benda itu akan menjadi-jadi sebab itu saya diam, tapi sejak dua menjak ini isu ini menjadi viral selepas ‘live’ Nadir Al-Nuri dan Caprice. Saya buat laporan polis kerana ia sangat mengganggu dan menyedihkan.

“Saya buat laporan polis juga menafikan dakwaan dan tuduhan itu semua (yang disebar di media sosial) ia tidak berasas dan fitnah semata-mata, saya boleh jawab sekelip mata semua tuduhan itu, demi Allah semua tuduhan itu tidak berasas,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis, sambil memaklumkan isu tersebut turut memberi kesan kepada keluarganya termasuk keluarga pasukannya.

Katanya, laporan polis itu juga dibuat kerana tidak mahu isu berkenaan terus dipanjangkan.

“Antara nama yang disebut dalam laporan polis, Nadir Al-Nuri, Caprice dan sesiapa yang kongsi kenyataan mengaitkan (fitnah) terhadap saya,” katanya.

Ebit berkata, semua tuduhan fitnah dilemparkan ke atas dirinya akan dijawab secara terperinci dalam masa terdekat. 

“Dalam masa terdekat saya akan terangkan semua, tuduhan itu melampau dan menyedihkan, ia fitnah semata-mata saya ada bukti tentang tuduhan itu dan sepatutnya orang yang tuduh keluarkan bukti, tapi saya boleh keluarkan bukti walaupun saya yang dituduh.

“Saya tolong (penduduk Gaza) dengan duit saya sendiri, saya tak pernah buka satu tabung untuk misi ke Gaza ini, saya guna duit saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, peguam Ebit, Hasnal Rezua Merican, berkata laporan dibuat supaya polis menyiasat jika ada unsur fitnah berbentuk jenayah.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak akan menghantar saman sivil kepada mereka yang memfitnah.

Caprice mencetuskan kontroversi selepas mendedahkan tegurannya kepada Ebit kerana mendakwa menerima rungutan daripada penduduk Gaza berhubung cara pendakwah berkenaan menghulurkan bantuan baru-baru ini.

Sementara itu, Nadir yang juga ketua pegawai eksekutif sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Cinta Gaza Malaysia, mendakwa pasukan misi Ebit membayar kos yang tinggi kepada sebuah syarikat bagi menguruskan kemasukan mereka ke Gaza dan tidak menggunakan khidmat NGO tempatan di Gazaa

Bekas menteri didakwa esok atas tuduhan seleweng lebih RM1 juta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang bekas menteri yang juga Ahli Parlimen dijangka didakwa pagi esok di Mahkamah Sesyen Jalan Duta berhubung penyelewengan lebih RM1 juta milik sebuah parti politik dianggotainya.

Menurut sumber, bekas menteri itu dijangka berdepan dua pertuduhan bawah Seksyen 403 dan 405 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah amanah jenayah.

Jumlah keseluruhan penyelewengan yang terlibat dianggarkan RM1.12 juta melibatkan wang milik parti politik. Beliau adalah bekas ketua Pemuda parti itu.

Beliau juga dijangka turut dituduh bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dalam masa terdekat.

Siasatan ke atas Ahli Parlimen itu dijalankan sejak Jun 2020 selepas menerima aduan berhubung kehilangan wang berjumlah RM250,000 dalam simpanannya.

Beliau sebelum ini mendakwa wang yang hilang di rumahnya di Petaling Jaya adalah wang peribadi beliau dan ibu bapanya.

Mahathir melawak untuk sekian kalinya

Muhyiddin jatuhkan PH untuk bolot jawatan PM, nafikan Anwar, kata Dr M

Minderjeet Kaur

Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sudah berjanji kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri selepas beliau berundur, tetapi Muhyiddin Yassin bertindak menjatuhkan kerajaan kerana mahukan jawatan itu.

PETALING JAYA: Dalam “pendedahan” mengejutkan, Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau mahu Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, tetapi Muhyiddin Yassin memintas Presiden PKR itu bagi mendapatkan jawatan berkenaan.

Bekas perdana menteri itu mendakwa Muhyiddin menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya beliau boleh menjadi Perdana Menteri.

Katanya, Muhyiddin tahu beliau tiada peluang menjadi Perdana Menteri, jika Anwar mengambil alih jawatan nombor satu itu.

“Muhyiddin tahu beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri kerana saya sudah berjanji kepada Anwar untuk mengambil alih jawatan itu selepas saya berundur.

“Jika Anwar menjadi Perdana Menteri, saya tidak rasa beliau akan melantik Muhyiddin sebagai timbalannya dan Muhyiddin tidak akan mempunyai peluang untuk memimpin negara,” kata Pengerusi Pejuang itu dalam sidang media maya.

Beliau berkata, ini sebabnya Muhyiddin merasakan dengan menggulingkan PH, beliau boleh menjadi Perdana Menteri.

Buat 3 perkara ini atau Azhar Harun letak jawatan

MALAYSIA DATELINE

Majlis Presiden Pakatan Harapan memberi kata putus kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu melaksanakan tiga perkara yang disarankan atau meletakkan jawatan.

Tiga perkara tersebut yang disarankan oleh Pakatan Harapan iaitu Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun hendaklah tidak meletakkan had 80 orang dan membenarkan semua Ahli Parlimen hadir dan berada di dalam Dewan Rakyat pada bila-bila masa mesyuarat berjalan.

Kata Majlis Presiden itu tindakan itu bagi memastikan semua Ahli Parlimen yang ingin berbahas boleh berbuat sedemikian.

Tegas Pakatan Harapan, Azhar juga hendaklah membenarkan perbahasan penuh berasaskanl usul Menteri untuk semua isu-isu yang telah dinyatakan dalam titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah, termasuk Pelan Pemulihan Negara, Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat, pelaksanaan program vaksinasi, langkah-langkah mencegah COVID-19, serta usaha memulihkan ekonomi serta menjamin kelangsungan hidup rakyat.

“Kami tidak boleh terima sidang Parlimen yang dipanggil hanya untuk mendengar ceramah atau kuliah Menteri tanpa perbahasan penuh,” kata PH dalam kenyataan.

Dalam kenyataan bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu putuskan sama ada beliau menjunjung penuh titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah, atau sekadar mengikut arahan Kabinet.

“Jika Yang Dipertua Dewan Rakyat merasakan beliau tidak mampu melaksana tiga perubahan ini, beliau dipelawa untuk meletakkan jawatan,” katanya.

Terdahulu, Majlis Presiden terkejut membaca kenyataan media Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang mendakwa Pakatan Harapan cuba melagakan beliau dengan Istana Negara.

Bagi Pakatan Harapan, ini bukanlah satu kenyataan yang patut dikeluarkan seorang Yang di-Pertua Dewan Rakyat, dan menggunakan bahasa yang tidak mengikut peraturan Parlimen (‘unparliamentary language’).

“Isu pokok di sini ialah keputusan-keputusan Kerajaan Perikatan Nasional berkenaan perjalanan sidang khas Parlimen tidak mencapai maksud penuh titah pandangan yang dizahir KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah.

“Sidang khas ini tiada perbahasan ke atas sebarang usul, hanya setakat mendengar kuliah Menteri, dengan kehadiran jumlah Ahli Dewan Rakyat yang tidak lengkap, dan tanpa sebarang undian terutama berkait Proklamasi Darurat.

“Maka jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat tetap melaksanakan keputusan-keputusan Kerajaan itu, pada ketika beliau menyedari ianya tidak mencapai maksud sebenar Duli-Duli Tuanku, maka Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah turut sama mengingkari titah tersebut,” kata Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan menegaskan bahawa titah pandangan Seri Paduka Baginda mesti dijunjung oleh Kerajaan dan juga Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak perlu bimbang kerana Pakatan Harapan tidak memasukkan sebarang usul

undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri.

“Kami hanya mahu menumpukan perhatian sidang khas ini kepada perkara-perkara penting pandemik COVID-19 dan kesusahan rakyat dalam krisis ekonomi masakini,” katanya.

Menteri Agama perlu perjelas isu BNM ambil alih Tabung Haji

DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF

Cabaran terbesar kami untuk melaksanakan Penstrukturan Semula TH 2018-2020 ialah mengatasi masalah campur tangan politik dalan urusan dan pentadbiran TH.

Masalah ini turut mendapat perhatian BNM kerana kecurangan dari sudut integriti dan governance dalam TH akan mendedahkan keseluruhan sistem kewangan berisiko menghadapi kesan sistemik jika BNM dilihat gagal mengawasi dan memantau portfolio pelaburan TH. Integriti BNM turut terjejas.

Pengerusi TH semasa BN memerintah dilantik di kalangan ahli politik dan sebahagian besar ahli lembaga pengarahnya dikuasai orang politik.

Malah, keputusan pelaburannya juga adalah dipengaruhi kepentingan politik daripada ianya kepentingan perniagaan yang profesional dan berintegriti.

Sebanyak lima laporan polis dibuat kerana kecurangan yang berlaku. Hingga kini tidak ada apa-apa tindakan pendakwaan dilakukan oleh Pejabat Peguam Negara.

Segala keputusan termasuk pengurusan aset tidak diambil langkah-langkah pengurusan risiko yang berhemah dan tadbir urus telus dan berintegriti.

Walaupun sebelum 2014, Pengerusi TH dari kalangan profesional tetapi keseluruhan mekanisme keputusan berpusat kepada Lembaga Pengarah yang tidak ada kepakaran dalam pengurusan risiko aset dan tidak ada kawal selia perundangan yang memantau keputusan kecuali menteri bertanggungjawab.

Soal integriti dalam pelaburan dan pengurusan aset meletakkan hampir sembilan juta pendeposit dalam bahaya apatah lagi TH adalah di bawah jaminan kerajaan.

Pelan Penstrukturan Semula TH yang dilakukan oleh kerajaan PH 2018 hingga 2020 telah menampakkan hasil dan diberi pengiktirafan sendiri oleh Menteri Kewangan hari ini dan sebagai pelan kelestarian TH (sustainable) untuk terus maju di masa hadapan pengurusan dalam disiplin risiko aset dan governance adalah sangat penting.

Kebimbangan umat Islam hari ini terhadap kenyataan BNM mengambil alih TH perlu diperjelaskan oleh Menteri JPM yang bertanggungjawab.

Umat Islam perlu diyakinkan kelestarian TH untuk terus berkhidmat dengan amanah dan apakah pelan menyerap tanggungan kos operasi dan subsidi Haji yang semakin meningkat khususnya jika ibadat Haji dibuka semula nanti.

Umat Islam perlu dijelaskan juga apakah mekanisme pengawasan dan penyeliaan BNM ke atas TH supaya tidak ada pihak mengambil kesempatan memainkan isu TH dengan nuansa perkauman dan retorik agama yang sempit sebagaimana mereka lakukan kepada usaha pemulihan TH semasa zaman PH memerintah.

Saya ingin mengingatkan pihak yang mengeksploitasikan TH untuk kepentingan politik dan sentimen perkauman supaya melihat pengalaman sebagai pengajaran.

Kecurangan yang dilakukan ke atas TH semasa BN memerintah telah meletakkan risiko secara sistemik kepada pasaran dan institusi kewangan.

Pelan Penstrukturan Semula yang kami lakukan telah mengembalikan kepercayaan dan mengelak risiko kesan sistemik dari berlaku dan TH berjaya diselamatkan.

Jangan politikkan TH tetapi ambillah pengajaran bagaimana kejayaan penstrukturan semula TH dapat diteruskan dengan fasa kelestarian kepada porfolio pelaburan dan pengurusan risiko asetnya.

Saya yakin mandat asal seperti termaktub dalam Akta TH (1995) kekal di bawah Menteri di JPM. Umat Islam hanya perlu mendengar jawapan yang tuntas dengan fakta dan hujah dari Menteri Agama hari ini untuk meyakinkan umat Islam kekeliruan yang berlaku dan politiking yang tidak berkesudahan ke atas TH.

3 penjawat awam ditahan guna kenderaan kerajaan bawa PATI

Willie Jude

KOTA KINABALU: Polis menahan tiga penjawat awam yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan kenderaan kerajaan bagi melepasi sekatan di Jalan Kunak-Tawau minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam 14 Julai lalu, tiga lelaki berusia 39 hingga 49 tahun itu dikatakan menggunakan dua pacuan empat roda dengan lambang sebuah agensi kerajaan, dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, cubaan untuk melepasi semua sekatan jalan raya (SJR) di sepanjang lalu itu gagal kerana tindakan mereka memandu laju menimbulkan curiga pihak berkuasa.

Selepas melalui tiga SJR, sumber berkata, mereka ditahan di kawasan Balung, Jalan Apas di Tawau.

Selepas dibawa ke Balai Polis Sri Indah untuk tindakan lanjut, katanya, ketiga-tiga suspek itu mengaku membawa 15 penumpang dipercayai PATI dari Lahad Datu ke Tawau.

“Bagaimanapun, ketika ditahan, hanya tiga suspek berada dalam kenderaan, manakala semua PATI sudah melarikan diri.”

Kejadian itu turut tular di media sosial sejak kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan penahanan tiga individu terbabit.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Sekitar suasana perkarangan CAC Stadium Melawati hari ini

ARIF ATAN Foto WAN ZAHARI WAN SALLEH

Ribuan pesakit pelbagai peringkat usia berbaris panjang di perkarangan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati pagi tadi.

Keadaan sesak CAC tersebut dengan para petugas mengenakan kelengkapan perlindungan diri (PPE) dirakamkan lensa Malaysia Dateline dalam tinjauan hari ini.

Warga emas dan individu berkerusi roda turut dilihat sedang beratur menunggu giliran sebelum masuk ke dalam ruang penilaian.

Pesakit perlu beratur terlebih dahulu di bahagian luar kawasan berdekatan tempat letak kereta dan jalan besar untuk menunggu giliran.

Mereka ada yang berdiri dan ada yang duduk di kerusi yang disediakan kira-kira sejam sebelum secara beransur-ansur bergerak menuju ke khemah.

Dijangka CAC terbesar di Malaysia itu menerima lebih 6,000 pengunjung hari ini memandangkan terdapat 22,856 kes di daerah Petaling sahaja dalam tempoh dua minggu iaitu antara 7 Julai hingga semalam.

Cuaca agak panas dengan ada pesakit yang beratur berpayung. Kelihatan juga kumpulan warganegara asing dipercayai pekerja industri yang membawa beg pakaian masing-masing.

Dari semasa ke semasa, petugas yang berpakaian PPE juga dilihat terus melayani pesakit yang sedang beratur.

Semalam, Selangor merekodkan lagi 5,524 kes baharu Covid-19 sekali gus menambah kepada 332,347 kes.

Angka jangkitan di negeri itu menyumbang 35 peratus daripada jumlah keseluruhan 939,899 kes Covid-19 di negara ini.

Daerah Petaling paling teruk terjejas diikuti Hulu Langat (14,350 kes), Klang (10,744 kes) dan Gombak 8,422 kes sepanjang 14 hari bermula 7 Julai lalu.

Berikut suasana perkarangan CAC Stadium Melawati setakat tengah hari tadi:

'Balai polis disko' kena serbu

Ekhwan Haque Fazlul Haque

ekhwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: 'Balai polis disko.' Itu gelaran boleh diberikan kepada tindakan menjadikan bilik di sebuah balai polis di daerah Kajang sebagai lokasi berhibur.

Susulan tindakan itu, seorang Ketua Balai Polis (OCS) bersama tiga anggotanya serta empat wanita orang awam ditahan, semalam.

Serbuan kira-kira 6 petang itu dibuat Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman susulan maklumat awam.

Suspek ditahan ketika sedang menari sambil berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum dalam bilik di tingkat dua balai berkenaan.

Suasana bilik berkenaan juga tidak ubah seperti disko kerana dipasang lampu berputar. 

Pasukan serbuan menahan OCS berpangkat Sub-Inspektor, dua Koperal dan seorang Koperal Sokongan serta empat wanita orang awam berusia antara 21 hingga 37 tahun.

Serbuan juga merampas botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio, perakam, mikrofon dan televisyen.

Selain itu, lima botol mengandungi air ketum serta gambar lucah salah seorang anggota yang ditahan bersama seorang wanita turut dirampas.

Sementara itu, Pengarah JIPS, Datuk Azri Ahmad berkata, polis memandang serius salah laku yang dilakukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, serbuan dibuat bagi memastikan balai polis tidak dicemari dengan kegiatan tidak bermoral.

"Saya sahkan serbuan dan penahanan yang dijalankan JIPS Bukit Aman hasil maklumat awam.

"Polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dan tindakan tegas akan diambil terhadap suspek yang terbabit," katanya kepada Harian Metro.

Terbit dan pamer poster filem ‘Babi’ penerbit mengaku tak salah

Ho Kit Yen

Penerbit filem “Babi”, Toh Han Boon dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini

PETALING JAYA: Seorang penerbit tempatan yang dihadapkan ke mahkamah majistret, di sini, mohon dibicarakan atas tuduhan menerbitkan filem “Babi” tanpa kebenaran.

Toh Han Boon berdepan tuduhan mengikut Seksyen 22(1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.

Dia didakwa terbabit dalam penerbitan filem dan mempamerkan poster itu tanpa kebenaran Finas, tahun lalu.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh yang berusia 35 tahun itu boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sementara menunggu kes itu selesai.

Bagaimanapun, peguam Haijan Omar yang mewakili tertuduh membantah syarat jaminan terbabit dengan alasan ia adalah tidak munasabah.

Katanya, kes itu bukanlah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol kemudiannya menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan.

Iskandar turut menetapkan kes disebut semula pada 14 Oktober nanti.

Toh turut diwakili Edly Mohammad Firdaus.

Terdahulu, Pemuda Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis terhadap pengarah filem, Namewee mengenai poster filem terbaru yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum.

Mereka berkata, ia dibimbangi akan menyebabkan berlakunya ketegangan antara kaum.

Filem “Babi” adalah menceritakan kisah buli di sekolah yang menerima empat pencalonan di empat festival filem antarabangsa.