ZIN MAHMUD
Tentera Amerika Syarikat sudah pun meninggalkan Afghanistan. Tanpa ucapan Selamat Tinggal. Tanpa upacara tentera paluan berundur. Di pangkalan tentera Bagram, peralatan tentera termasuk senjata ditinggalkan begitu sahaja. Tiada proses penyerahan tersusun kepada tentera Afghanistan.
Presiden Amerika, Joe Biden berkata biarlah rakyat Afghanistan selesaikan masalah mereka sendiri. Tetapi umum maklum bahawa tanpa kehadiran tentera Amerika, penguasaan Taliban terhadap negara itu tidak boleh dielakkan.
Tentera Afghanistan tidak akan dapat menghalang Taliban. Buat masa ini Taliban menguasai lebih separuh daripada Afghanistan. Mereka semakin mendekati Kabul. Siapa kuasai Kabul, dia jadi kerajaan.
Sebaik saja tentera Amerika keluar, pertempuran antara tentera kerajaan dengan Taliban meningkat. Taliban telah menguasai laluan keluar masuk sempadan Afghanistan dengan Iran di barat dan Uzbekistan di utara.
Kini pertempuran sengit berlaku di Spin Boldak iaitu pintu masuk ke Afghanistan dengan Pakistan. Afghanistan tidak mempunyai laluan laut. Ia bersempadan dengan Iran, Pakistan, Uzbekistan, Turkmenistan dan Tajikistan.
Semasa Soviet Union masih ada, Uzbekistan, Turkmenistan dan Tajikistan adalah sebahagian daripada negara komunis itu.
Negara moden Afghanistan muncul di atas keruntuhan Empayar Safawiah dengan sempadannya dengan Iran ditetapkan pada masa itu, iaitu pada kurun ke-18.
Bagaimanapun, sempadan di utara dan timur ditetapkan oleh Rusia dan British untuk menjadikan Afghanistan sebagai negara penampan bagi sebarang pertembungan dan rebutan kedua-dua empayar.
Ini berlaku selepas British gagal menguasai sepenuhnya. Spin Boldak tentu masih diingati oleh para pemerhati dan peminat Afghanistan yang mengikuti perkembangan ketika Amerika mula melancarkan perang darat di situ.
Selain Kabul, nama-nama seperti Kandahar yang merupakan pangkalan Taliban, Jalalabad Mazar-i-Sharif di mana letaknya sebuah masjid purba biru yang cantik pasti diingati.
Gua Baiman di mana terdapatnya patung raksasa Buddha berdiri yang dimusnahkan oleh Taliban tentu tidak akan dilupakan. Di situlah nampak sikap yang dianuti oleh Taliban.
Mengapa perlu dimusnahkan artifak bersejarah itu? Tidak ada siapa yang menyembah berhala itu.
Tetapi Taliban berpegang kepada aliran fahaman yang tidak melihat kepentingan pemeliharaan warisan sejarah negara. Bagi mereka, semua berhala wajib dimusnahkan.
Tetapi Taliban yang ada hari ini tidak serupa yang dahulu. Pemimpinnya sudah berubah dan anggotanya tentulah juga terdiri daripada generasi baharu. Ia ditubuhkan pada tahun 1994, iaitu 27 tahun lalu. Banyak pemimpin dan anggotanya yang dahulu tentu sudah mati dan mereka digantikan dengan orang lain.
Setelah melalui pengalaman kolektif selama 27 tahun itu, pastinya mereka menimba pelajaran lalu. Nama rasmi Taliban adalah Emiriah Islam Afghanistan. Inilah nama rasmi negara Afghanistan ketika Taliban memerintah dari tahun 1996 hingga 2001.
Nama rasmi kerajaan Afghanistan sekarang ialah Republik Islam Afghanistan. Walaupun ada anggota tentera Afghanistan yang meletak senjata dan lari ke Uzbekistan apabila berasa tidak berupaya melawan Taliban tetapi
pihak kerajaan masih yakin dapat mengalahkan mereka. Komandernya ada menyatakan tentera Afghanistan akan dapat mengambil semula kawasan yang terlepas pada Taliban sejak tentera Amerika berundur.
Presiden Biden pun berkata bahawa masih ada kemungkinan bahawa kerajaan Afghanistan boleh menghalang Taliban daripada berkuasa. Sungguhpun begitu umum percaya Taliban akan menang tetapi tidak menyeluruh.
Jika begitu, perang saudara ini akan berlanjutan. Apa yang berlaku ialah kedua-dua pihak mahukan keamanan tetapi dengan memperoleh kuasa sebesar mungkin. Untuk perkara ini, rundingan damai telah mula diadakan di Doha, Qatar pada Sabtu lepas.
Di Doha juga terdapat pejabat Taliban. Syarat utama Taliban ialah pelaksanaan Syariah. Tetapi masalahnya, Syariah cara Taliban tidak berbentuk apa yang difahami oleh kebanyakan umat Islam di seluruh dunia.
Pihak kerajaan pula meletakkan gencatan senjata sebagai syarat awal bagi meneruskan rundingan. Matlamat rundingan itu adalah untuk menubuhkan satu kerajaan bersama semua kumpulan dengan bersifat inklusif.
Ia menyatukan kerajaan dan Taliban, atau pada maksud lain, penggabungan Republik Islam dengan Emiriah Islam. Qatar menjadi bukan saja tuan rumah tetapi orang tengah. Rakyat Afghanistan berhak untuk mengecapi perdamaian dan kerajaan stabil.
Rundingan ini sudah lama dimulakan apabila Amerika berasa Taliban tidak boleh dikalahkan. Iaitu pada zaman Presiden Barack Obama. Kesediaan Amerika berunding dengan Taliban tanpa penyertaan kerajaan Afghanistan dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kumpulan itu.
Tujuan rundingan itu ialah mencari jalan supaya Taliban dapat menyertai kerajaan bagi mewujudkan keamanan dan kestabilan di negara itu.
Amerika yang tentunya mempunyai maklumat luas dan komprehensif terhadap Afghanistan merancang untuk keluar dari negara itu.
Rundingan itu gagal. Taliban mahukan supaya mereka menjadi kerajaan dan melaksanakan syariah versi mereka. Tetapi rundingan itu kemudian diteruskan antara kerajaan dengan Taliban. Presiden Donald Trump juga bersetuju untuk keluar dari negara itu.
Mereka tidak mahu lagi mengorbankan tentera Amerika dan membelanjakan lebih banyak wang di sana. Sasaran asal Amerika adalah untuk menundukkan Al-Qaeda dalam apa yang mereka panggil sebagai Perang Melawan Keganasan.
Osama ben Lasin pun telah mereka bunuh iaitu semasa pentadbiran Obama dengan menggunakan teknologi jarak jauh.
Kemudiannya Amerika berhasrat membina semula negara Afghanistan untuk menjadi stabil dengan kerajaan yang mampu menundukkan sebarang ancaman keganasan termasuklah dari Taliban.
Untuk itu mereka mewujudkan sistem demokrasi berparlimen dengan pilihan raya. Usaha ini diharapkan dapat mewujudkan kerajaan yang dipilih rakyat, bukan pemerintahan yang berkuasa melalui senjata.
Setelah 20 tahun berlalu, Taliban bukan saja enggan menyertai pilihan raya tetapi melakukan serangan bagi menggagalkannya.
Mereka berpendapat, Emiriah Islam adalah kerajaan yang memerintah iaitu sejak 25 tahun lalu tetapi Amerika datang dan merampas kuasa daripadanya.
Bagi mereka, Amerika perlu kembalikan kuasa kepada mereka. Sementara itu, kerajaan Afghanistan yang berfungsi sejak 20 tahun ini tidaklah bersih, cekap dan amanah. Mereka ini korup dan tidak berkesan.
Pelanggaran hak manusia dan hak wanita berlaku. Terdapat banyak kesusahan dan penderitaan yang ditanggung rakyat, termasuk kemiskinan dan kekurangan makanan.
Kerajaan Afghanistan banyak bergantung pada bantuan luar dan ekonominya bergerak atas kehadiran adanya pangkalan tentera Amerika dan anggota NATO lainnya. Pengunduran tentera Amerika akan memberi pukulan kepada negara ini.
Ada antara pemimpin mereka merupakan golongan elit dengan berpendidikan dari Amerika dan Eropah sekali gus terputus dengan keadaan rakyat di pedesaan.
Sebahagian rakyat terutama di Kabul lebih selesa dengan kerajaan sedia ada. Suasana bebas dan tidak dibayangi dengan kekerasan dan ketakutan. Wanita bebas keluar belajar dan bekerja.
Bagi generasi terdahulu yang pernah hidup di bawah Taliban tentu masih ingat kekerasan hukuman yang dikenakan oleh mereka.
Sememangnya pada masa pemerintahan Taliban dikatakan jenayah amat berkurangan tetapi suasana konservatif seperti pelbagai jenis sekatan tentu tidak menyenangkan sebahagian rakyat.
Bagaimanapun, masyarakat di luar Kabul dapat menerima suasana konservatif ini. Namun kerajaan sekarang ini adalah sebuah Republik Islam. Parti politik yang dibenarkan oleh Perlembagaan hanyalah mereka yang dapat menerima fahaman Islam.
Maka parti sekular tidak boleh didaftarkan. Sesiapa menjadi kerajaan mesti melaksanakan islam. Tetapi Taliban tidak dapat menerima Republik islam ini.
Presiden Biden kata, biarlah rakyat Afghanistan selesaikan masalah mereka sendiri. Sememangnya sepatutnya begitu. Sejarah mungkin berubah jika kuasa luar tidak campur tangan.
Bayangkan andai kata Soviet Union tidak masuk ke Afghanistan walaupun kerajaan komunis yang merampas kuasa meminta bantuan dari mereka, maka keadaan juga berbeza.
Tanpa Soviet, Amerika pun tidak masuk. Begitu juga Pakistan dan Arab Saudi juga tidak masuk. tidak akan lahir al-Qaeda dan Taliban.
Ini kerana Taliban dikatakan lahir dari perut Pakistan. Amerika mendaratkan tenteranya di Afghanistan 20 tahun lalu iaitu 2021. Pendaratan itu berlaku setelah berhari-hari jet pejuang Amerika menjatuhkan bom yang kuat dasyhatnya di gunung-gunung ada gua.
Di situlah mereka percaya Osama dan anggota kumpulan Al-Qaeda bersembunyi. Akhirnya Osama terselamat dan Al-Qaeda terus beroperasi. Apa yang musnah ialah manusia-manusia, perkampungan mereka, ladang-ladang, ternakan, pokok-pokok, haiwan dan gunung-ganang.