Fuad Zarkashi: Mahiadin patut ambil ‘cuti sakit’ lebih awal

FMT Reporters

PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin sepatutnya mengambil “cuti sakit” lebih awal, kerana semakin ramai Ahli Parlimen dari Umno dijangka menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno (MKT), Puad Zarkashi.

Puad berkata, Muhyiddin perlu menerima kenyataan tersebut dengan mempercepatkan usul undi percaya minggu depan dan berhenti memperjuangkan kedudukannya.

“Semoga Muhyiddin menerima kenyataan. Pintu keluar tertutup rapat. Dia patut ambil cuti sakit lebih awal sebelum surat Speaker kepada Yang di-Pertuan Agong bocor.

“Cepatkan sahaja usul undi percaya minggu depan. Berhenti melawan. Hentikan “fighting a losing war”,” kata Puad di Facebook.

Puad turut mengingatkan Muhyiddin agar tidak menggunakan jalan keluar yang ‘kotor’ kerana ia hanya membuatkan krisis yang berlaku semakin parah.

“Mohon Muhyiddin jangan cari ‘exit plan’ yang dilihat merasuah, langgar Perlembagaan, derhaka pada Agong dan mengheret negara kepada krisis keyakinan lebih parah.” katanya.

Istana Negara pada Khamis dilaporakan telah meminta speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun untuk menyatakan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin.

Kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri semakin goyah sejak Umno memutuskan untuk menarik sokongan terhadapnya awal bulan ini, dengan parti dan pembangkang mendesak beliau meletak jawatan.

Puad mendakwa, kedudukan Muhyiddin bertambah genting selepas beberapa menteri dan Ahli Parlimen Umno tidak berpuas hati kerana tidak berunding terlebih dahulu berkenaan tawaran yang dibuat semalam.

“Beberapa Ahli Parlimen Umno dakwa mereka ditikam dari belakang kerana Muhyiddin buat ‘U-turn’ bila tawar kerjasama dengan DAP dan Anwar.

“Mereka rasa terpalit dengan tindakan tersebut. Justeru ada yang sudah bersiap sedia untuk turut menarik sokongan kepada Muhyiddin,” ujarnya.

Veteran Umno dakwa presiden MIC cuba rebut kuasa

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kesetiaan Presiden MIC SA Vigneswaran terhadap Barisan Nasional (BN) dipersoal selepas beliau meminta gabungan itu memutuskan pemimpin baharu yang akan menggantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengerusi.

Veteran Umno Shahrir Samad mendakwa, Vigneswaran dengan tergesa-gesa cuba merebut kuasa di bawah “Scheme of Things” Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Kenyataan itu merujuk kepada rakaman audio yang bocor, kononnya mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu sebelum kemelut politik pada Februari tahun lalu.

“Kini sudah timbul tanda tanya terhadap semangat setiakawan presiden MIC dalam BN bersama Umno sebagai rakan seperjuangan dalam politik tanahair.”

Pada Khamis, Vigneswaran telah meminta satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi BN untuk membincangkan status semasa dan hala tuju kepimpinan parti itu.

Presiden MIC itu berkata, ia disebabkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menjelaskan status perjawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno selepas tamat tempoh penggal kepimpinan 2018/2021 pada 30 Jun lalu adalah bersifat “caretaker” dengan parti itu tidak boleh membuat sebarang keputusan substantif.

Vigneswaran berkata, Zahid adalah presiden Umno dan pengerusi BN, “kita bimbang apa-apa keputusan (dengan Zahid) akan dianggap tidak sah” dan boleh dicabar di mahkamah.

Beliau berkata, BN perlu menentukan jawatan tertinggi koalisi itu diserahkan kepada mana-mana parti komponen yang mendapat persetujuan semua pihak, buat sementara waktu.

Bagaimanapun, Shahrir berkata JPPM masih belum menghantar surat rasmi kepada parti, sambil menambah beliau telah bertanya tentang perkara tersebut malam semalam.

“Tapi Presiden MIC pula yang cepat melenting kerana ingatkan inilah peluang dia buktikan ‘kasih sayangnya’ kepada Muhyiddin dan PN,” kata Shahrir.

Semalam, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan mengingatkan MIC untuk tidak mendahului keputusan, termasuk berhubung isu MKT Umno berstatus “caretaker”.

Amanat Rusila bagi selamatkan Mahiaddin dan PN

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH

1. Tidak sampai 24 jam selepas lawatan Perdana Menteri ke Rusila di Marang berjumpa Presiden PAS, kerajaan Perikatan Nasional telah membuat tawaran terbuka mengemparkan untuk bekerjasama kepada Pembangkang yang dianggotai DAP dan AMANAH yang dimusuhi Pas sebagai “haram” dahulu.

2. Adakah satu amanat atau dalil ajaib baru telah dikeluarkan pada petang Khamis tersebut?

3. Tidak mungkin tawaran sedemikian rupa boleh dibuat oleh Mahiaddin kepada AMANAH dan DAP tanpa restu atau izin Pas!

4. Apa telah berlaku dalam perjumpaan Mahiaddin dan Haji Hadi?

5. Soalan kita kepada Jakim dan Menteri Agama kenapa amanat kafir mengkafir Haji Hadi melalui Amanat Banggol Peradong terhadap Umno dipadam begitu sahaja dari portal Jakim tanpa izin Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja Raja Melayu masih belum lagi terjawab.

6. Adakah ada amanat baru disebut “Amanat Rusila” pula dikeluarkan pada lawatan Mahiaddin berjumpa Abdul Hadi di Rusila Khamis baru baru ini untuk membolehkan AMANAH dan DAP menyokong kerajaan pula?

7. Kenyataan Menteri Besar, Samsuri Mokhtar dan Harakahdaily melaporkan kunjungan Mahiaddin adalah untuk bincang pelaburan di Timur Tengah ada yang melucukan kepada banyak pihak dan ada juga menghinakan kerana menganggap rakyat bodoh.

8. Tidak masuk akal isu pelaburan Asia Tengah hendak dibincang dengan Duta Khas Timur Tengah selepas Haji Hadi tidak sihat begitu lama kebelakangan ini dan situasi ekonomi Malaysia yang amat teruk hari ini serta tiada kestabilan politik.

9. Menteri Besar Terengganu dan Pas jangan menghina dan menganggap rakyat begitu bodoh.

10. Kalau benar Mahiaddin telah dapat perkenan restu Haji Hadi untuk PN berdamping dengan DAP dan AMANAH demi survival politik Pas dan PN, apa terjadi pada “pengharaman” Pas terhadap DAP dan AMANAH sebelum ini ?

11. Satu dalil yang jelas mesti di bentang bagi kefahaman ramai.

12. Kalau Amanat Haji Hadi di Banggol Peradong yang kafir mengkafirkan ahli Umno yang dianggap ajaran sesat secara rasmi oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan boleh dipadamkan dengan senyap senyap, amat perlu Pas memberi penjelasan berkenaan pendirian tentang pelawaan kerjasama baru ini kepada DAP khususnya supaya rakyat tak keliru.

13. Kalau kerajaan MELAYU ISLAM – Perikatan Nasional dan Pas tidak memberi penjelasan segera, ini menunjukkan mereka semata mata mempermainkan isu halal dan haram dari aspek Islam sebagai alat politik kerajaan Melayu Islam semata mata.

14. Apa yang dahulunya haram boleh dihalalkan begitu sahaja demi survival politik apabila mereka di tahap nazak.

15. Sebenarnya isu halal haram kerjasama Pas dengan Umno dan DAP telah dipermainkan berpuluh tahun lamanya oleh Pas untuk keuntungan politiknya.

16. Ironi besar hari ini, Mahiaddin yang pernah memanggil Pas -Parti Ajaran Sesat, dan juga Pas yang pernah kafir mengkafirkan parti asal Mahiaddin – Umno, bersama sama memperalatkan Agama dan bangsa hanya untuk survival politik mereka. Mereka bersama sama menjadi penungang agama.

17. Kerana itu kerajaan melantik Datuk Zulkifli , sahabat Haji Hadi yang berasal dari Terengganu juga, sebagai Menteri agama dan YB Marzuk dari Pas sebagai Timbalan Menteri agama supaya isu agama boleh dibentuk mengikut selera mereka.

18. Betullah dakwaan asal Pas Islam terancam. Islam terancam kerana hukum halal haram dan dalil Islam mengikut selera politik mereka. Bukan mereka mengikut Islam.

#KerajaanGagal

—————

Penulis adalah Ahli Dewan Negara dan juga Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu.

Muhyiddin letak jawatan? Ya, dalam tempoh terdekat, kata sumber

Minderjeet Kaur dan Robin Augustin

PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin dijangka meletak jawatan sebagai perdana menteri pada bila-bila masa susulan pusingan U oleh Ahli Parlimen Umno tertentu yang sebelum ini menyokong beliau, kata beberapa sumber.

Beberapa sumber dalam Umno dan Bersatu memberitahu FMT bahawa mereka menjangkakan Muhyiddin akan mengumumkan peletakan jawatannya tidak lama lagi.

“Surat letak jawatan sudah disediakan, namun kami tidak pasti bila beliau akan buat pengumuman,” kata satu sumber yang tidak mahu dinamakan.

Situasi Muhyiddin dilihat kelam apabila pembangkang dan Umno semalam menolak tawaran rentas kepartian sebagai balasan kepada meluluskan undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat, menjelang September ini.

Merumitkan lagi keadaan apabila anggota Jemaah Menteri, termasuk menteri Umno dan PAS, menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan Muhyiddin berkenaan, yang mengejutkan mereka.

Kini, difahamkan, beberapa menteri Umno dan PAS sedang mencari cara untuk berpaling daripada Muhyiddin dan dalam masa sama menjaga air muka masing-masing.

“Mood ketika ini begitu suram, dan banyak perbincangan dilakukan sejak semalam. Namun, disebabkan kami tidak mempunyai sokongan majoriti, mungkin cara terbaik untuk keluar daripada kekusutan ini adalah dengan Muhyiddin meletakan jawatan.”

Seorang lagi sumber daripada blok pemerintah mendakwa beberapa Menteri sudah pun “berkemas” sebagai persediaan sekiranya Muhyiddin meletakkan jawatan.

“Menteri saya sudah mengosongkan pejabat sejak semalam. Saya dimaklumkan menteri lain pun sudah selesai berkemas,” kata seorang pegawai yang tidak mahu dinamakan.

Pembantu kepada dua menteri lain turut memberitahu FMT mereka diarah mengosongkan pejabat menjelang 18 Ogos.

Sementara itu, seorang pemimpin kanan Bersatu menggambarkan situasi ketika ini “teruk”.

“Cadangan perdana menteri meletakkan Ahli Parlimen Umno dan PAS yang setia kepadanya dalam keadaan rumit.

“Usaha Perdana Menteri sudah gagal, namun masih ada harapan bagi Perikatan Nasional. Mungkin PM boleh selamatkan keadaan sekiranya dapat sokongan Umno.”

Difahamkan beberapa Menteri Umno menyesal mengingkari arahan parti selepas Perdana Menteri membuat tawarannya.

Bagaimanapun, sumber dalam kem Perdana Menteri berkata Muhyiddin tidak merancang meletakkan jawatan kerana beliau mahu terus memimpin negara sehingga PRU-15.

“Benar beliau berhasrat meneruskan khidmat, terutama menjamin program vaksinasi berjalan lancar. Namun jika Ahli Parlimen tidak menyokongnya, tidak banyak yang dapat kita lakukan,” katanya.

“Kami masih sedia berunding,” tambahnya.

Mahiaddin dijangka menghadap Agong Isnin ini

Malaysiakini 

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, pada Isnin ini ketika kedudukannya sebagai perdana menteri terus menjadi perhatian ramai.

Sumber yang dekat dengan perkembangan itu memberikan bayangan kepada Malaysiakini, pertemuan berkenaan akan berlangsung menjelang tengah hari.

Ketika ini ada khabar angin yang bertiup kencang mendakwa Muhyiddin kini di ambang penghujung perkhidmatannya sebagai perdana menteri dan bakal melepaskan jawatan tidak lama lagi.

Bagaimanapun beberapa menteri yang dihubungi Malaysiakini serta media lain menafikan hal tersebut.

"Tidak (Muhyiddin tidak meletak jawatan)," kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin kepada Malaysiakini.

Hal yang sama dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Redzuan Md Yusof kepada Sinar Harian: "Perdana Menteri tidak meletak jawatan hari ini."

Muhyiddin kini berdepan dengan tekanan dari pelbagai pihak selepas didakwa kekurangan 11 ahli parlimen yan menyokongnya untuk membolehkan dia mendapat dukungan majoriti di parlimen.

Taubatlah sekarang, pesan Najib pada MP Umno ingkar arahan parti

Malaysiakini 

Ketika politik masih diselubungi ketidaktentuan dan banyak khabar angin bertiup, bekas presiden Umno Najib Razak memberikan nasihat kepada sesetengah ahli parlimen parti itu.

Jelas menyasarkan komennya kepada ahli parlimen yang kekal memberi dukungan kepada Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN), Najib berkata, sentimen rakyat ketika ini memang tidak memihak kepada mereka.

Ahli akar umbi juga, katanya menunjukkan kemarahan terhadap ahli parlimen terbabit kerana enggan mengikut arahan pemimpin tertinggi parti.

"Masa bertaubat adalah sekarang," katanya sambil melampirkan hantaran itu dengan tangkap layar laporan The Malaysian Insight.

Dalam laporannya portal berita itu menyebut ahli parlimen Umno yang ingkar kepada arahan parti berdepan kesukaran untuk mempertahankan kerusi mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

Umno pada 7 Julai lalu memutuskan untuk menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin dan PN atas beberapa alasan termasuk kegagalan menangani wabak Covid-19 serta gagal mempertahankan demokrasi berparlimen.

Bagaimanapun ekoran pendirian itu muncul 'pemberontakan' dalam kalangan sesetengah ahli parlimen, khususnya yang mempunyai jawatan dalam kabinet serta timbalan menteri.

Setakat ini hanya dua ahli parlimen Umno berjawatan menteri meletak jawatan iaitu Ahli Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah dan Noraini Ahmad (Parit Sulong).

Kumpulan yang enggan melepaskan jawatan pula diketuai Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Perkembangan semasa pula menunjukkan kedudukan PN dan Muhyiddin kini goyah selepas presiden Bersatu itu didakwa kehilangan sokongan majoriti di parlimen.

Menteri Umno ‘terkejut, kecewa’ dengan tawaran Muhyiddin

FMT Reporters

PETALING JAYA: Menteri Umno difahamkan “tidak gembira” susulan cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melaksanakan pembaharuan pentadbiran inklusif, sebagai tukaran kepada sokongan pembangkang, menjelang undi percaya pada September ini, kata sumber terdekat.

“Seorang menteri terkejut. Saya fikir kebanyakan mereka tidak mengetahui sebelum ini cadangan dikemukakan lingkaran dalam kepada PM (perdana menteri).

“Ini boleh menjadi pencetus menteri Umno menarik sokongan. Saya juga mendengar cakap-cakap mereka mahu menekan beliau untuk letak jawatan dan memberi laluan kepada orang lain dalam perikatan mengambil alih,” katanya.

Sumber berkenaan, berkata calon perdana menteri terbabit berkemungkinan mampu mengekalkan Umno kekal berada dalam kerajaan.

Semalam, dalam siaran langsung disiarkan televisyen, Muhyiddin mengumumkan penawaran untuk mengekalkan pentadbirannya, susulan kesangsian membabitkan sokongan majoriti terhadap presiden Bersatu itu di Dewan Rakyat.

Ia termasuk, kerangka kerjasama politik bipartisan, termasuk peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira hubungkait politik.

Muhyiddin turut mencadangkan ketua pembangkang diberi status sebagai menteri kanan, sebagai mengiktiraf peranan dimainkan pembangkang.

Parti pembangkang dan Umno bagaimanapun menolak mentah-mentah tawaran berkenaan, sementara PAS pula membantah untuk bekerjasama dengan DAP.

Menurut laporan, seramai 15 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan pentadbirannya, sama ada menerusi kenyataan awam atau akuan berkanun, sekali gus meninggalkan sokongan kerajaan menurun kepada 100 Ahli Parlimen sahaja daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

TERKINI!! Perkembangan DUN Melaka

image placeholder

'Jika Umno Melaka singkir Bersatu, Idris boleh jadi kingmaker'

Ng Xiang Yi

Pertemuan empat Anggota Dewan Undangan Negeri Melaka, dua Adun Bersatu dan dua daripada Umno, menimbulkan spekulasi mengenai status kerajaan negeri.

Adun Sungai Udang, Idris Haron, yang termasuk dalam pertemuan itu, menafikan membincangkan rancangan menjatuhkan kerajaan Melaka tetapi mengingatkan dia boleh memainkan peranan sebagai 'kingmaker' (penentu).

Mesyuarat pada 11 Ogos diadakan antara Idris, Adun Umno Pantai Kundor, Nor Azman Hassan, Adun Bersatu dari Patu Rumput, Mohd Rafiq Naizamohideen, dan Adun Bersatu Telatu Mas, Noor Effandi Ahmad.

Walaupun kerajaan Melaka pimpinan Umno, Idris dan Azman telah diketepikan.

Umno Melaka memberikan sokongan kepada Presidennya Ahmad Zahid Hamidi, yang memimpin sekumpulan ahli parlimen Umno menarik sokongan daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden Bersatu.

Langkah itu menyebabkan Muhyiddin bergelut untuk mengembalikan majoriti sokongan terhadapnya di parlimen ketika ketegangan antara Umno dan Bersatu meningkat.

Idris dikatakan berada dalam kem berpihak-Muhyiddin Umno dan mengkritik Zahid, meremehkan kepentingan pertemuan itu.

""Mereka yang datang berjumpa saya - saya tanya khabar dan sebagainya - kebetulan YB Azman ada bersama dengan saya.

"Jadi saya tanya kepada Rafiq tentang perkembangan terbaru kedudukan perdana menteri dan kerajaan persekutuan, dia naib presiden Bersatu.

"Saya juga berikan pujukan, I console him (saya tenangkan dia, kata) akan baik-baik saja selama dia memperjuangkan nasib rakyat. Saya memberinya sokongan moral.

"Orang kata (kita) ada rancangan jatuhkan kerajaan negeri? Saya tidak ada sebarang perbincangan tersebut," kata Idris kepada Malaysiakini.

Namun, Idris mengingatkan jika kedua-dua pemimpin Bersatu diusir keluar daripada kerajaan Melaka pimpinan Umno, maka ia boleh mengacau kedudukan dalam DUN.

"Sekiranya memecat mereka berdua, kerajaan hanya akan tinggal 15 kerusi dan ini bergantung kepada seorang YB bebas iaitu Norhizam.

"Kalau kedudukan Norhizam pun terjejas maka akan tinggal 14 lawan 14, kerana dia bebas dan tidak terikat dengan mana-mana parti," katanya.

Dalam keadaan sebegitu, Idris berkata dia dan Azman dapat memainkan peranan sebagai penentu dalam pembuatan keputusan di DUN.

"Andaian dengan situasi ini, saya dan YB Azman Hassan akan menjadi penentu - king maker kerana saya tidak setuju dengan beberapa dasar perhubungan Umno," katanya.

Mohd Rafiq dan Noor Effandi merupakan dua Adun Bersatu di Melaka. Kedua-duanya juga menjadi anggota exco dalam kerajaan negeri.

Idris mengkritik tindakan Zahid menentang Muhyiddin, berkata presiden partinya wajar meneladani kerajaan perpaduan Umno-Bersatu di Melaka.

"Presiden parti tolak kerajaan (PN), mahu jatuhkan PM, ini semua Covid-19 (dia) lupakan dulu, kita jatuhkan PM dulu," katanya.

Idris menyuarakan sokongannya kepada Muhyiddin dan juga mengkritik Umno Melaka kerana menyokong Zahid.

Seramai 15 ahli parlimen Umno telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin tetapi MP Pagoh itu masih mendapat sokongan daripada 23 ahli parlimen Umno yang tinggal.

Muhyiddin sekarang mendapat sokongan 100 daripada 220 anggota parlimen di Dewan Rakyat, kurang 11 kerusi untuk mendapat majoriti mudah.

Media pro Umno dakwa Mahiaddin letak jawatan

MALAYSIA DATELINE

Media pro Umno SuaraTV hari ini mendakwa Tan Sri Mahiaddin Yassin akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Menurut portal terbabit, ini berikutan Mahiaddin telah diasak daripada ahli-ahli parlimen Umno pro-kerajaan dan Pas dalam usaha beliau membentuk kerajaan bi-partisan sehingga Julai 2022.

Di dalam ucapan khas semalam, Mahiaddin secara terbuka telah mengakui hilang majoriti justeru beliau bertindak menawarkan kerjasama dengan parti-parti pembangkang melalui usul undi percaya terhadapnya.

Justeru, Suara.tv turut melaporkan Mahiaddin dijangka akan bertemu dengan beberapa orang menteri kabinet pagi ini bagi memaklumkan keputusannya untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan peletakan jawatannya.

Beberapa ahli Parlimen Umno memberitahu SuaraTv mereka tidak diberitahu mengenai the new deal tersebut dan merasa kecewa dengan pengumuman Perdana Menteri semalam.

Masalah yang sama berlaku dalam Pas apabila mereka tidak dimaklumkan dengan jelas bentuk new deal tersebut.

Bagaimanapun setakat ini tiada sebarang makluman dari Pejabat Perdana Menteri mengenai situasi ini.

Susulan pengakuan Mahiaddin hilang majoriti telah mewujudkan desakan agar beliau meletak jawatan secara segera bukannya menunggu sidang Parlimen yang dijadualkan pada september ini.

Sogokan untuk MP: AMANAH gerakkan laporan polis jam 11 hari ini di seluruh negara

MALAYSIA DATELINE

Aktivis AMANAH membuat laporan polis di seluruh negara hari ini ekoran tindakan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang didakwa cuba memberikan sogokan dalam ucapannya petang semalam.

Menurut Pengerusi Biro Mobilisasi AMANAH, Sany Hamzan, laporan itu akan dibuat di balai polis seluruh negara jam 11 hari ini.

“Laporan polis terhadap Perdana Menteri yang memberi sogokan kepada ahli Parlimen 14 Ogos 2021 (Sabtu), 11.00 pagi Balai Polis seluruh negara,” kata Adun Taman Templer Selangor itu menerusi Facebook beliau.

Semalam, Mahiaddin ketika berucap melalui televisyen ke seluruh negara membuat janji akan memberikan peruntukan samarata kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti.

Beliau juga berjanji akan membuat penambahan siling kepada RM110 billion untuk mendepani krisis Covid-19

termasuk bantuan tunai kepada 11 juta penerima bernilai RM10 billion untuk B40 & M40.

Beliau juga menawarkan kepada ahli Parlimen yang sudi menyokong kerajaannya untuk membentangkan rang undang-undang Anti Lompat parti di samping setiap PM hanya boleh memegang jawatan selama dua penggal sahaja.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga dijanjikan lebih seimbang dengan lebih ramai ahli pembangkang iaitu 50% kepada pembangkang.

Undi 18 pula akan dilaksana tanpa perlu tunggu pendaftaran automatik pemilih.

Semua rang undang-undang akan dirunding dahulu dengan ahli parlimen manakala Ketua Pembangkang pula akan dinaikan kedudukannya setaraf dengan Menteri Kanan dengan saraan yang sama.

6 anggota polis dikenal pasti samun warga Nepal

Faris Fuad

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti enam anggotanya yang disyaki terbabit dalam kes samun lelaki warga Nepal di Jalan Selingsing, Taman Sri Kuching, semalam.

Difahamkan, semua anggota yang terbabit berpangkat rendah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata pihaknya kini sedang giat menjalankan siasatan berhubung kes itu daripada setiap sudut.

"Kita membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada mangsa dan kes sedang disiasat.

"Setakat ini saya masih belum boleh memberi pengesahan dan perincian mengenai kes berkenaan, termasuk pangkat anggota polis yang terbabit," katanya kepada BH hari ini.

Mangsa berusia 29 tahun dan bekerja sebagai operator kilang itu dipercayai disamun wang berjumlah RM255 selepas cuba melarikan diri daripada sekumpulan anggota polis yang sedang membuat rondaan akibat panik permit kerja tamat tempoh.

Lokasi kejadian itu dikatakan di kawasan parkir yang tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang laporan berkaitan kes itu.

"Kalau kes samun, ia tergolong dalam kegiatan jenayah maka kebiasaannya polis di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) akan menyiasat kes itu.

"Beri ruang kepada IPD untuk rakam keterangan individu berkaitan bagi siasatan lanjut. JIPS akan menyusul kemudian untuk menyiasat daripada segi kesalahan tatatertib," katanya.

Letak jawatan: Jangan berterusan hina Agong

Mahiaddin diminta henti hina Agong, letak jawatan

AHMAD ZAMRI BIN ASA'AD KHUZAMI

1. Kenyataan Perdana Menteri dalam Perutusan Khas beliau hari ini yang mengatakan bahawa beliau tidak meletak jawatan kerana _”sehingga saat ini tidak ada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu_” , adalah merupakan satu salahtafsiran Perlembagaan yang sangat jelas dan satu penghinaan ke atas kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan.

2. Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bahawa jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

3. Berdasarkan surat dari Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kepada Yang di-Pertuan Agong kelmarin telah mengesahkan bahawa pada ketika ini Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin hanya mendapat sokongan dari 100 orang Ahli Dewan Rakyat sahaja dan jumlah Ahli Dewan Rakyat di pihak pembangkang pula ialah seramai 120 orang, rentetan dari penarikan sokongan beberapa orang Ahli Dewan Rakyat dari Umno kepada kerajaan Perikatan Nasional.

4. Ini jelas membuktikan bahawa Perdana Menteri kini telah hilang sokongan majoriti dan patut meletakkan jawatan dengan segera tanpa berdolak-dalih lagi dengan pelbagai alasan ataupun membuat tawaran-tawaran politik yang jelas bersifat rasuah kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat di pihak pembangkang.

5. Parti Amanah Negara Wilayah Persekutuan juga kesal dengan kenyataan Perdana Menteri yang jelas mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong melantik sesiapa sahaja dari kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Perkara 43 (2)(a) menyatakan bahawa _Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat_

6. Kuasa untuk menentukan siapa di kalangan Ahli Dewan Rakyat yang diyakini mendapat kepercayaan Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri adalah terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong dan bukannya pada Perdana Menteri, apatah lagi dalam keadaan legitimasi Perdana Menteri itu sendiri dipertikaikan. Malah, Perlembagaan tidak mensyaratkan bahawa Perdana Menteri perlu memastikan terlebih dahulu siapa yang ada sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri baharulah dia hendak melepaskan jawatannya. Ini adalah satu tafsiran yang songsang lagi mengelirukan. Perdana Menteri sekarang sudah terang lagi bersuluh tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti, maka berdasarkan Perkara 43(4), dia hendaklah _(shall)_ meletakkan jawatan tanpa sebarang alasan.

7. Amanah Wilayah Persekutuan juga mempersoalkan kredibiliti Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam memberikan nasihat kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri berhubung perkara ini yang jelas bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Peguam Negara mesti diingatkan tentang sumpah jawatannya untuk sentiasa mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan keluhuran undang-undang dan kewajipannya di bawah *Perkara 145 (2)* Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang perkara undang-undang dan tafsiran Perlembagaan, bukan hanya menasihati Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

8. Justeru itu, Amanah Wilayah Persekutuan menggesa Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin untuk segera meletakkan jawatan bagi menamatkan krisis Perlembagaan yang diciptanya sendiri demi untuk mempertahankan kuasa hingga ke hujung nyawa. Rakyat Malaysia sudah cukup tertekan dan tersiksa dengan kegagalan demi kegagalan kerajaan Perikatan Nasional menguruskan pandemik Covid -19 ini dan ekonomi negara yang semakin merudum. Enough is enough. Rakyat berhak mendapat Perdana Menteri dan kerajaan yang mempunyai kredibiliti dan diyakini mampu memimpin negara keluar dari kemelut dan kesengsaraan yang sudah berpanjangan ini.

————–

Penulis adalah seorang peguam yang juga Naib Pengerusi, Parti Amanah Negara Wilayah Persekutuan.

PH tolak 7 tawaran Muhyiddin, yakin boleh beri lebih baik kepada rakyat

Astro Awani

KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Haraoan (PH) yakin mereka mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik untuk menangani pandemik COVID-19, menghidupkan semula ekonomi dan menyelamatkan rakyat.

Justeru, Majlis Presiden PH menolak tawaran yang diberikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membolehkan usul undi percaya diluluskan di Parlimen.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangi ketiga-tiga ketua parti komponen PH itu juga mendakwa tawaran Muhyiddin sebagai tidak ikhlas dan sepatutnya dibuat lebih awal.

"Pakatan Harapan mengambil pendirian untuk menolak keras segala tawaran tidak ikhlas Tan Sri Mahiaddin yang sepatutnya dibuat lebih awal dan bukannya di penghujung hayat politik beliau.

"Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau.

"Sebaliknya, Pakatan Harapan memilih untuk bersolidariti dengan rakyat yang sedang menderita akibat pandemik COVID-19.

"Kami berkeyakinan bahawa kami mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik, terutama untuk menangani pandemik COVID-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian," kata kenyataan tersebut.

PH juga mendakwa pengumuman khas Muhyiddin pada Jumaat itu merupakan pengakuan terbuka seorang perdana menteri yang telah kehilangan majoriti.

Gabungan tiga parti itu juga menegaskan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan perlu dilaksanakan dengan cara perdana menteri perlu meletak jawatan.

"Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri yang mengaku kehilangan sokongan majoriti namun secara terang-terangan terus menagih sokongan Pembangkang.

"Ini juga kali pertama seorang Perdana Menteri yang tiada keabsahan menawarkan rasuah secara terang-terangan dalam siaran televisyen langsung di hadapan seluruh rakyat Malaysia," katanya lagi.

PH dakwa Muhyiddin belakangkan fungsi, kuasa Agong

Malaysiakini 

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) malam ini menganggap Muhyiddin Yassin membelakangkan Yang di-Pertuan Agong semasa memberikan ucapan secara langsung petang tadi.

Dalam kenyataan dikeluarkan itu Majlis Presiden PH merujuk kepada dakwaan perdana menteri bahawa ketika ini tiada mana-mana ahli parlimen yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Muhyiddin dengan jelas membelakangi fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku ketua utama negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43(2)(a)," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Perkara 43 (2)(a) itu merujuk kepada kuasa Agong untuk melaksanakan pertimbangan budi bicara baginda bagi melantik seorang ahli parlimen sebagai perdana menteri yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Petang tadi Muhyiddin mendakwa dia tidak akan berundur dari jawatannya sebagai perdana menteri walaupun jumlah sokongan ahli parlimen terhadapnya dipertikaikan.

Hal itu kerana, kata ahli parlimen Pagoh itu, ketika ini tiada mana-mana ahli parlimen yang dapat membuktikan dia memiliki sokongan majoriti untuk dilantik menjadi perdana menteri.

Ia dibuat ketika Muhyiddin sedang diasak dengan hebat oleh pembangkang serta Umno - yang sesetengah ahli parlimennya masih ada dalam kabinet presiden Bersatu itu - agar meletak jawatan.

Menurut Majlis Presiden PH lagi Muhyiddin juga menjadi perdana menteri pertama dalam sejarah yang menawarkan "rasuah secara terang-terangan" melalui siaran secara langsung di televisyen.

Tawaran itu, kata mereka, dibuat di hadapan seluruh rakyat Malaysia.

"Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang perdana menteri mengakui kehilangan sokongan majoriti namun secara terang-terangan terus menagih sokongan pembangkang," katanya merujuk kepada pelbagai janji yang diikrarkan Muhyiddin.

Antara tawaran 'pembaharuan' disebut Muhyiddin ialah menggubal perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan seseorang perdana menteri menjadi dua penggal saja, melaksanakan Undi 18 dan mengangkat taraf ketua pembangkang parlimen seperti menteri kanan.

Muhyiddin juga menjanjikan peruntukan yang sama kepada ahli parlimen pembangkang - sama seperti apa dinikmati ahli parlimen kerajaan - jika mereka menyokong usul percaya yang akan dibawa ke sidang parlimen tidak lama lagi.

Menurut Majlis Presiden PH, dengan pengakuan terbuka bahawa Muhyiddin tidak lagi mendapat sokongan majoriti di parlimen, dia wajib meletak jawatan seperti terkandung dalam Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh yang demikian, PH mengambil pendirian untuk menolak keras segala tawaran tidak ikhlas Muhyiddin yang sepatutnya dibuat lebih awal, bukannya di penghujung hayat politik beliau.

"Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat, bukan kerjaya politik Muhyiddin.

"Sebaliknya, PH memilih untuk bersolidariti dengan rakyat yang sedang menderita akibat pandemik Covid-19.

"Kami yakin mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik, terutama untuk menangani pandemik Covid-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian mereka," katanya.

Mahiaddin ajak PH kerjasama

MALAYSIA DATELINE

Tan Sri Mahiaddin Md Yassin menegaskan beliau mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik hari ini tidak diselesaikan dengan segera.

Oleh itu, Mahiaddin mengajak semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangannya yang dikemukakan pada minggu hadapan.

“Saya akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politik untuk menghadiri perbincangan ini.

“Saya bersedia untuk mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini,” kata beliau.

Tujuan beliau kemukakan cadangan itu ialah untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

Pakatan Harapan juga telah memutuskan bahawa mereka menolak sebarang kerjasama dengan pemimpin-pemimpin atau parti yang ‘kleptokrat’ dan ‘penyamun’.

Jelas Mahiaddin, sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan ini dipersetujui, beliau akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.

“Saya memberi jaminan bahawa saya akan mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini.

“Keutamaan saya hanyalah untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara,” katanya dalam perutusan khas petang tadi.

Antara cadangan yang dikemukakan Mahiaddin iaitu membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana COVID-19 sebanyak RM45 bilion dari RM65 bilion seperti yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu kepada RM110 bilion.

Sebelum ini, Pakatan Harapan menggesa agar dana COVID-19 sebanyak RM45 bilion perlu diberikan khususnya kesihatan dan menambahbaik bantuan kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Muhyiddin janji PRU tahun depan, cadang kerjasama rentas parti

FMT Reporters 

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencadangkan suatu kerjasama rentas kepartian dengan menawarkan pelbagai ‘ganjaran’, dalam usaha untuk membolehkan beliau bertahan, termasuk “janji” mengadakan Pilihan Raya Umum selewat-lewatnya Julai tahun depan.

Beliau berkata Perikatan Nasional pimpinannya akan mengadakan rundingan dengan parti luar gabungan itu bagi memperolehi sokongan mereka dalam meluluskan undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat yang dijadualkan bulan depan.

'Saya tak letak jawatan kerana tiada siapa pun dapat buktikan majoriti’

Malaysiakini 

Muhyiddin Yassin berkata dia tidak meletakkan jawatan kerana tiada seorang pun dapat membuktikan mempunyai majoriti cukup untuk menjadi perdana menteri baru.

“Saya memikirkan dalam keadaan tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, perdana menteri yang baharu tidak boleh dilantik menurut perlembagaan.

“Apabila perdana menteri tidak boleh dilantik, maka kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk,” katanya.

‘Nak hidup atau mati’, kata anggota TUDM sebelum tembak rakan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menembak tiga rakan setugasnya di kem Kota Samarahan, Kuching, Sarawak, dikatakan sedang menjalani kuarantin Covid-19.

Difahamkan, suspek yang sebelum ini pernah bertugas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang, tidak menghadapi masalah pergaulan dengan rakan setugas.

Berita Harian melaporkan, menurut sumber sebelum menembak rakannya suspek berkata “nak hidup atau mati” kepada anggota yang menegurnya, ketika itu berada di balai pengawal.

Terdahulu, dalam kejadian pada 7.15 pagi itu, suspek berpangkat koperal pergi ke balai pengawal kem berkenaan dengan menaiki motosikal.

Ketika itu, lima anggota iaitu tiga berpangkat koperal dan dua laskar udara berada di balai pengawal berkenaan.

Suspek kemudian meluru ke dalam balai pengawal dan terus mencapai senjata jenis Colt M4 Carbine.

“Salah seorang anggota sempat menegurnya namun suspek bertanya, ‘nak hidup atau mati’,” kata sumber itu.

Melihat tindakan suspek yang mengejutkan itu, seorang daripada anggota berpangkat koperal cuba menenangkannya, namun suspek terus melepaskan tembakan ke arah perut mangsa.

Anggota lain yang menyaksikan kejadian itu cuba menyelamatkan diri, namun suspek terus melepaskan tembakan yang terkena dua lagi mangsa.

Dua mangsa yang masing-masing cedera di bahagian belakang dan dada meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi yang cedera di perut disahkan meninggal dunia di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan, manakala suspek pula meninggal dunia selepas menembak dirinya sendiri.

Mayat anggota terbabit dihantar ke Unit Forensik, Hospital Umum Sarawak di Kuching, untuk tindakan lanjut.

Penentang Mahiaddin ke meja rundingan sekarang, bentuk kerajaan baru

SITI NUR ZAWANI MISCON

Majlis Presiden Pakatan Harapan menyeru semua Ahli Parlimen yang menentang dan menolak Tan Sri Mahiaddin Md Yasin untuk bersama di meja rundingan sekarang untuk membentuk sebuah kerajaan yang inklusif, adil dan progresif dengan jaminan setiap parti akan dilayan secara adil.

PH berkata, kesemua penentang Mahiaddin dijemput untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri bagi membuktikan sokongan serta membentuk satu majoriti baharu di Parlimen.

“Demi masa depan rakyat dan negara, semua pihak yang menentang Tan Sri Mahiaddin perlu bersama di meja rundingan sekarang.

“Amatlah penting semua pihak dapat bersatu di bawah sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang mampu memperbetul segala kepincangan dan kegagalan Perikatan Nasional menjelang undi percaya terhadap Perdana Menteri nanti.

“Ini supaya sebarang pengambil alihan kerajaan hanya akan berlaku bersama pihak-pihak yang bersetuju dengan prinsip-prinsip dan landasan perjuangan termasuk reformasi institusi, tatakelola dan urus tadbir yang baik, dan institusi kehakiman yang bebas,” kata PH dalam satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Anwar, AMANAH Mohamad Sabu dan DAP Lim Guan Eng.

Menerusi kenyataan sama, PH menegaskan bahawa negara amat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berkesan, dan dipimpin seorang Perdana Menteri yang mempunyai keabsahan serta sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.

Tambahnya, walaupun setakat ini umum sedia maklum hanya 100 Ahli Parlimen menyokong Mahiaddin, namun beliau enggan meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Rakyat berharap para pemimpin politik akan dapat mencapai penyelesaian yang mampu merungkai masalah ini dan seterusnya membolehkan kepimpinan berwibawa tampil untuk membantu negara membendung penularan wabak Covid-19 dan memacu pemulihan ekonomi pasca-pandemik,” ujarnya lagi.

Pada masa sama PH berpendirian untuk tidak menyokong pilihanraya diadakan dalam tempoh yang terdekat ketika pandemik sedang memuncak.

Anwar Ibrahim: Hanya satu nama calon perdana menteri PH

Malaysiakini 

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menegaskan langkah Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hanya menamakan satu nama sebagai calon perdana menteri yang baru adalah bagi mengelakkan kekeliruan.

"Itu pendirian PH, supaya hanya satu calon daripada PH untuk mengelakkan kekeliruan kerana ada khabar angin kononnya ada rundingan untuk memperjuangkan orang lain," katanya.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan bakul makanan dan ayam segar di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan, hari ini.

Terdahulu, Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan hari ini menyeru semua ahli parlimen menolak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan menyokong Anwar sebagai penggantinya.

Mengulas lanjut, Anwar bagaimanapun berkata pendirian PH itu juga tidak bermakna ia menolak kerjasama dengan semua pihak.

"Setakat ini, itu yang diputuskan (hanya satu calon) Majlis Presiden PH.

“Ini pendirian kita, tetapi ia tidak mengelak untuk kita bekerjsama dengan semua pihak," katanya.

Tak mungkin Ahli Parlimen akan lompat ke pihak yang gagal

Robin Augustin

PETALING JAYA: Seorang ahli sains politik tidak melihat peluang kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) meningkatkan angka sokongannya menjelang undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada September.

“Tiada keuntungan peribadi, apatah lagi kepentingan umum, bagi mana-mana Ahli Parlimen untuk menyertai ‘kerajaan gagal’,” kata Wong Chin Huat.

“Kini Muhyiddin tinggal sokongan hanya 100 Ahli Parlimen, melompat hanya akan mengakibatkan seorang Ahli Parlimen menjadi sebahagian daripada pihak pembangkang baharu.

“Kenapa mana-mana Ahli Parlimen hendak korban masa depan politiknya untuk keuntungan jangka pendek?”

Kata Wong, mana-mana Ahli Parlimen pembangkang yang menyertai kerajaan sekarang mungkin akan ditolak pengundi pada pilihan raya akan datang (PRU15) dan disisihkan oleh kerajaan baharu.

Beliau mengulas penafian Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah bahawa beliau akan meninggalkan PKR untuk menyertai gabungan pemerintah PN.

Wong memberitahu FMT, beliau yakin dengan integriti politik Maria dan menyifatkan khabar angin mengenai hal itu sebagai tipu helah jahat untuk mencemarkan reputasi Maria dan menimbulkan ketidakpercayaan.

Sejak seminggu lalu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang mendakwa mereka ditawarkan melompat pihak.

Ini berlaku di tengah-tengah keraguan terhadap majoriti Muhyiddin di Parlimen setelah sekurang-kurangnya 15 Ahli Parlimen Umno mengumumkan mereka menarik sokongan kepadanya.

Mengenai sama ada kerajaan sekarang dapat diselamatkan jika Muhyiddin digantikan sebagai Perdana Menteri oleh pemimpin Umno, Wong berkata, ia tidak semudah itu.

“Jika Muhyiddin mengundurkan diri, mungkin beliau tidak lagi dapat memilih penggantinya, sebagaimana beliau dapat berbuat demikian tiga minggu lalu,” katanya.

“Perpecahan dalam Umno begitu mendalam sehingga tidak mungkin presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, akan membenarkan Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob atau Menteri Kanan Hishammuddin Hussein mengambil jawatan tertinggi itu.”

Katanya, ini bermaksud Umno mungkin mahu pemimpin yang bukan mesra Bersatu menjadi Perdana Menteri, sambil menambah, ini menimbulkan ancaman buat sekutu Muhyiddin.

Wong berkata, Muhyiddin mungkin memutuskan untuk terus bertahan, berdepan undi percaya dan mengundurkan diri jika kalah.

“Namun jika blok Muhyiddin kekal terbesar setelah kalah undi percaya sementara Pakatan Harapan dan Umno tidak dapat bersetuju untuk berkongsi kuasa, maka tidak mustahil Muhyiddin dilantik semula menjadi PM untuk memimpin kerajaan minoriti.

“Perlu ditegaskan bahawa Muhyiddin tidak boleh berharap menjadi PM minoriti tanpa terlebih dahulu kalah undi percaya,” katanya.

Bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, sukar dibayangkan ada Ahli Parlimen yang akan melompat ketika ini.

“Imej kerajaan di mata rakyat tidak baik ketika ini disebabkan caranya mengendalikan wabak.

“Situasi semakin memburuk, begitu juga ekonomi,” katanya.

“Jadi sukar bagi mana-mana Ahli Parlimen mencari alasan untuk melompat. Jika mereka mahu melakukannya, mereka tahu mereka akan dihukum pada PRU akan datang.”

Wabak Covid-19 makin teruk, kerajaan kena jawab - PROFESOR DR ADLINA SULEIMAN, PROFESOR DR NOOR AZAH ABD AZIZ menerajui Kluster Perubatan dan Kesihatan, Akademi Profesor Malaysia

K'jaan kena jawab, wabak Covid-19 makin teruk - Profesor

Dr Adlina Suleiman & Dr Noor Azah Abd Aziz


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 8 Ogos mengumumkan pelancongan tempatan, bersukan di luar serta makan di restoran akan dibenarkan, mulai  Selasa 10 Ogos di tempat-tempat yang telah mencapai fasa dua Pelan Pemulihan Negara.

Kelonggaran yang lebih besar untuk perjalanan merentas daerah, makan di kedai dan aktiviti sukan di luar akan dibenarkan bagi mereka yang telah melengkapkan dua dos vaksinasi Covid-19 di negeri fasa 2 PPN dan seterusnya ini. 

Penduduk Malaysia dari luar negara yang telah melengkapkan dua dos vaksin pula akan dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

Pengumuman ini dibuat walaupun pada 8 Ogos, terdapat catatan kematian 360 yang paling tinggi sejak wabak itu, dan 18,688 kes baru. Ini berlaku walaupun 27.5 peratus orang telah menerima dos kedua vaksin dan 49.4 peratus dos pertama mereka.

(Sila rujuk rajah yang ditunjukkan di bawah).

Pada 11 Julai 2021, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kes harian Covid-19 di negara ini akan stabil dan menunjukkan penurunan dalam satu hingga dua minggu dari tarikh tersebut.

Pada ketika itu, jumlah kes adalah 9,105 dan jumlah kematian 94. Namun dua minggu itu berlalu tanpa jumlahnya semakin surut dan pada 8 Ogos pengumuman optimis yang sama telah dibuat sekali lagi walaupun bilangan kes menjangkau lebih 18,000 sehari dan kematian masih di atas paras 200 sehari.

Dengan meningkatnya jumlah kes dan kematian ini, bersamaan dengan keadaan yang membebankan dan kritikal di hospital di seluruh negara, kita merasa hairan dengan pengumuman perlepasan aktiviti sosial dan perjalanan ini.

Oleh itu, kami mempunyai beberapa soalan untuk dimajukan kepada pasukan petugas khas Covid-19 Kebangsaan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan.

Soalan mengenai pengurusan kematian dan perubatan:

Mengapa kematian masih meningkat? Adakah kemungkinan kombinasi ubat yang tidak sesuai digunakan atau adakah kombinasi ubat tidak berkesan untuk penduduk kita?

Mengapa kita tidak melibatkan lebih banyak doktor klinik swasta untuk memberi sokongan perubatan untuk pengurusan pesakit Covid-19 di kediaman dalam komuniti?

Mengapa kita tidak menetapkan doktor swasta ini sebagai pusat pengurusan Covid-19 klinikal di dalam setiap komuniti?

Mengapa tidak dicari alternatif sebagai penawar (seperti herba, jamu, probiotik dan prebiotik), di mana diterokai kemungkinan pengunaan ramuan, vitamin dan makanan semula jadi yang dapat membantu menguatkan sistem imun dan melawan jangkitan?

Mengapa tidak diberikan rawatan untuk pesakit Covid-19 dalam Kategori 1,2 dan 3 supaya dapat menghalang mereka daripada mara ke Kategori 4 dan 5? 

Walaupun 70 peratus orang di peringkat ini akan pulih secara semulajadi namun 30 peratus masih akan mara ke kategori serius, mengapa tidak di beri rawatan kepada semua?

Mengapa tidak melakukan sesuatu untuk menghentikan Brought in Dead, yang kebanyakannya adalah orang asing?

Pernahkah kita berunding dengan hospital dan klinik di setiap negeri mengenai beban sebenarnya dalam menguruskan Covid-19, kesediaan mereka dari segi katil, ruang, logistik dan sumber manusia untuk menghadapi kemungkinan peningkatan jumlah kes apabila SOP dilonggarkan?

Berapakah statistik jumlah kematian di kalangan orang dewasa muda, ibu hamil dan kumpulan terdedah, berapakah peratusan kematian orang yang diberi vaksin (satu dos, dua dos)?

Mengapa kita tidak mencuba protokol yang telah digunakan oleh doktor lain walaupun mereka tidak sempat menulis dan menerbitkan protokol rawatan kerana masih sibuk merawat pesakit?

Mengapa doktor pakar klinikal bius dan respiratori di Malaysia tidak boleh melakukan perbincangan zoom dalam persidangan profesional patologi klinikal dengan pakar klinikal luar negara yang telah berjaya menyelamatkan beribu orang pesakit Covid-19 ini?

Mengapa tidak bincangkan protokol ini antara pakar klinikal dan bukannya pertemuan pakar klinikal luar negara dengan pakar kesihatan awam yang tidak merawat pesakit dalam wad dan hanya berdebat mengenai kajian sahaja dan bukan realiti keadaan dalam wad ICU?

Soalan mengenai vaksinasi dan pemeriksaan:

Apakah yang perlu dinasihatkan kepada yang telah menerima vaksinasi, haruskah mereka berhati-hati menjaga kesihatan dan SOP sehingga antibodi terbentuk antara dua hingga empat minggu selepas vaksinasi?

Ramai orang yang diberi vaksinasi memikirkan mereka dilindungi, bukankah mereka harus dididik mengenai pentingnya menjaga SOP, kerana vaksinasi bukan bermakna tidak boleh dijangkiti Covid-19?

Sejauhmanakah kita yakin bahawa kita melakukan perkara yang betul dengan meminta orang ramai membuat penilaian ujian kendiri di rumah? 

Bagaimana kita tahu mereka akan melaporkan hasilnya ke MySejahtera?

Soalan mengenai strategi pencegahan dan kesihatan

Mengapa kita tidak melibatkan pemimpin masyarakat dalam membendung Covid-19 di peringkat komuniti?

Mengapa tiada nasihat tentang meningkatkan sistem imun tubuh, dengan makan makanan mengandungi antioksidan tinggi, vitamin C dan mendapat cukup cahaya matahari untuk menghasilkan vitamin D?

Mengapa tidak dibuka taman rekreasi dan bersukan di luar kerana senaman penting untuk kesihatan?

Mengapa kita menyingkirkan potensi peranan prebiotik dan probiotik dalam memperkuat kekebalan untuk melawan Covid-19?

Mengapa kilang tidak dibenarkan memberikan kit peningkatan daya ketahanan kepada pekerja mereka dan mengapa tidak mengimunisasi mereka dengan cepat?

Apakah petunjuk yang digunakan untuk menukarkan fasa MCO, sejauh mana anda yakin bahawa tidak akan ada pergerakan antara tempat yang merupakan fasa 1 dan fasa 2?

Mengapa dibenarkan majikan memaksa pekerja untuk kembali bekerja di pejabat?

Mengapa tidak dikawal pekerja asing yang berkumpul atau beratur tanpa memerhatikan SOP di pusat vaksinasi?

Sejauh mana kita yakin bahawa orang ramai akan mematuhi kuarantin kendiri di rumah kerana mereka tidak diberi tanda pengenalan?

Mengapa kita tidak menambahkan pusat kuarantin untuk individu positif yang sekarang kita tahu mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk merosot lebih jauh? Ia boleh menjadi kemudahan berasaskan kerajaan atau kemudahan swasta?

Dan akhir sekali:

Apa gambaran besar, rancangan tindakan konkrit untuk mengawal wabak ini? Bukankah harus dibahagikan kepada jangka pendek (menghentikan kematian, menghentikan jangkitan), jangka pertengahan (vaksinasi) dan jangka panjang ("pelan pemulihan")?

Kami merasakan "rakyat" harus diberi penjelasan mengenai persoalan di atas dengan cepat, jujur ​​dan penuh ketelusan. Janji bilangan kes akan "turun" tidak lagi relevan.

Adakah kita masih dapat mengawal penyakit ini? Atau adakah kita telah kalah dalam pertempuran ini? 

Etika perubatan "filalítheia dan eilikríneia"; kejujuran dan ketelusan harus diutamakan di atas segalanya.

Anggota TUDM tembak tiga rakan sebelum menembak diri sendiri

Norsyazwani Nasri

am@hmetro.com.my

Kota Samarahan: Empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dalam kejadian tembak di Kem TUDM di sini, pagi ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, kejadian berlaku jam 7.50 pagi di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM.

"Difahamkan kejadian itu berlaku ketika masa serah tugas.

"Salah seorang anggota TUDM dipercayai menembak tiga rakannya sebelum menembak diri sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dua rakannya yang ditembak maut serta-merta di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah.

"Mangsa yang cedera parah sempat memandu kenderaan sendiri mendapat rawatan di klinik tentera dalam kem berkenaan.

"Mangsa yang cedera di bahagian perut dan kritikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Jantung Kota Samarahan," katanya.

Katanya, pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dan Forensik Hospital Umum Sarawak hadir di tempat kejadian.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kejadian.

Pemuda Pas tidak ‘tsiqah’, bakal balik awal, kata aktivis

MALAYSIA DATELINE

Tindakan Pemuda Pas yang dilihat cuba lari dari topik politik dengan memainkan isu bola pula dikecam oleh anggotanya sendiri.

Sehubungan itu, bekas pimpinan pemuda Pas Selangor, Ahmad Hakimi Othman menyifatkan Pemuda Pas sekarang sebagai tidak ‘tsiqah’ dan ‘balik awal’.

Status yang dibuat naik oleh Dewan Pemuda Pas Malaysia semalam dikecam oleh aktivisnya sendiri.

Pemuda Pas semalam memuat naik status tentang bola sepak piala Eropah dalam Facebook mereka ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang goyah.

“EPL nak start dah! Tak sabar betul min nak layan EPL season baru hujung minggu ni. 20 pasukan Inggeris ini akan mulakan persaingan untuk meraih gelaran juara EPL,” tulis Dewan Pemuda Pas.

“Pemuda sendiri yang lari dari “tsiqah”…

“Lagi laa…kita mahu cerita pasal m3mbina Generasi rabbani. Kikikiki…

“Balik awal laaa…. Lagu nimm,” tulis Ahmad Hakimi ketika mengulas status Dewan Pemuda Pas Malaysia itu.

Tsiqah adalah sikap bersungguh-sungguh memegang kepada prinsip perjuangan manakala balik awal adalah istilah yang selalu digunakan oleh orang Terengganu kepada mereka yang tewas.

Menurut Hakimi, anak kelahiran Terengganu yang menetap di Selangor ini, beliau bermain semua jenis sukan termasuk bola sepak, rugbi dan juga tenis.

“Aku nim..Bola aku main. Rugby aku main.Tennis aku main.

“Tapi…Tadaklaa melompat beria suruh orang ikut hobi dan buang masa ramai ramai…” tulis Hakimi dalam status Facebook beliau.

Walaupun seorang profesional iaitu jurutera, Hakimi terus kekal bersama dengan Pas sehingga kini walaupun rakan-rakannya di Selangor ramai yang meninggalkan parti itu.

Jururawat suntik 9,000 orang dengan air garam

KOSMO!

Orang ramai menunggu giliran suntikan vaksinasi mereka di pusat vaksinasi daerah di Ludwigsburg, Jerman selatan, pada 3 Ogos lalu. - AFP

MUNICH, Jerman – Seorang jururawat yang merupakan individu antivaksin mengaku  menyuntik hampir 9,000 warga emas dengan picagari berisi air garam dan bukan vaksin Covid-19, lapor akhbar The Sun semalam.

Kejadian itu berlaku di Pusat Vaksinasi di Friesland, awal Mac lalu. Ketika itu, suspek bertugas di bawah Persatuan Palang Merah.

Pihak berkuasa mula membuat panggilan kepada penduduk setempat supaya mereka mendapatkan suntikan vaksin sekali lagi jika tidak yakin dengan dos yang diterima dalam tempoh masa insiden berlaku.

Anggota majlis perbandaran tempatan, Sven Ambrosy meluahkan rasa terkejut dengan kejadian tersebut.

“Hari ini saya menjalankan satu tanggungjawab berat apabila terpaksa memaklumkan 8,600 penduduk bahawa suntikan yang mereka terima adalah air garam semata-mata dan bukan vaksin Covid-19.

“Bagi memastikan ketenangan jiwa semua orang, pihak perbandaran mengesyorkan agar mereka yang menerima suntikan vaksin pada awal Mac lalu untuk mendapatkan suntikan semula,” katanya menerusi Facebook.

Menurut pihak berkuasa kesihatan, jururawat berkenaan dipercayai berupaya menukar kandungan vaksin di dalam botol kerana dia bertanggungjawab untuk proses penyediaan vaksin dan jarum sepanjang bertugas di pusat vaksinasi itu.

Penyiasat polis, Peter Beer  memberitahu bahawa sehingga kini, pihaknya belum mendapat motif jelas atas tindakan suspek,  namun dia dilaporkan pernah menyuarakan pandangan skeptikal berkenaan vaksin di media sosial.

“Suspek memilih menggunakan haknya untuk berdiam diri maka kami tidak pasti apa dan berapa ramai mangsa yang terkesan akibat tindakannya itu.  

“Namun, kami mendapat kejadian berlaku dalam tempoh tujuh minggu bermula Mac jadi ia memberi gambaran kasar sebahagian besar penduduk yang terlibat,” kata polis.

:Agensi

Mangsa jadi pemangsa, bomoh cedera dibelasah kini berdepan tuduhan cabul

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pengamal perubatan tradisional yang menjadi mangsa pukul sekumpulan lelaki baru-baru ini kini berdepan dakwaan mencabul seorang gadis.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat, berkata kes itu disiasat susulan laporan terhadap lelaki terbabit.

Menurutnya, seorang gadis berusia 15 tahun mendapatkan rawatan tradisional di rumahnya di Pasir Tumboh, Kota Bharu pada pagi 2 Ogos lalu.

“Rawatan dijalankan seorang lelaki yang dikenali dengan panggilan ustaz.

“Semasa rawatan dijalankan, suspek dikatakan bertindak memegang dan meraba seluruh badan mangsa.

“Mangsa menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya yang kemudian telah membawa remaja terbabit membuat laporan polis,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat di Balai Polis Kubang Kerian, semalam.

Menurut laporan sebelum ini, lelaki terbabit cedera dipukul sekumpulan lelaki selepas dikatakan menjalankan rawatan yang salah.

Lelaki terbabit dikatakan dibelasah termasuk dengan menggunakan penyangkut baju.

Sementara itu, Shafien berkata, suspek dalam kes berkenaan adalah individu yang dilaporkan menjadi mangsa dalam kes pukul tersebut.

“Dalam kes pertama (pukul) dia sebagai mangsa, tapi kes kedua ini dia sebagai suspek.

“Mangsa dikatakan selalu mengalami masalah histeria dan dipercayai disebabkan gangguan makhluk halus.

“Keluarga mangsa menghubungi suspek yang berusia 39 tahun dari Perlis itu untuk menjalankan rawatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 14(1) (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak.

Difahamkan, pengamal perubatan berusia 39 tahun itu masih ditahan di hospital atas masalah kesihatan dan akan dipanggil untuk siasatan lanjut.

Ahli PKR lapor SPRM, dakwa MB Kedah salah guna kuasa

B Nantha Kumar

Seorang ahli PKR membuat laporan kepada Suruhan Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mendakwa Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyalahgunakan kuasa dalam pemberian sebuah projek berkaitan sektor pelancongan negeri.

Indrani Selvakumar, ahli PKR cabang Sungai Siput membuat laporan di Ibu pejabat SPRM, Putrajaya pagi tadi.

Dia mendakwa mempunyai bukti projek bernilai RM1 bilion itu dianugerahkan kepada sebuah syarikat di mana pengasas yang juga salah seorang pengarah syarikat itu telah muflis.

"Saya ada bukti menunjukkan kerajaan negeri Kedah memberi projek kepada sebuah syarikat di mana salah seorang individu dalam syarikat digelar muflis.

"Individu yang sama pernah didakwa oleh Suruhanjaya Sekuriti atas dakwaan manipulasi pasaran.

"Soalannya, bagaimana syarikat dia boleh dianugerah projek bernilai RM1 bilion. Saya mengharapkan SPRM akan membuat siasatan terperinci mengenai kes ini," katanya ketika dihubungi.

Malaysiakini telah menghubungi Sanusi untuk mengulas lanjut dakwaan itu.

Mahiaddin nak wajibkan suntikan vaksin?

COVID-19: Kerajaan pertimbang wajibkan suntikan vaksin - PM

Nur Fazlizai Ali

KUALA TERENGGANU: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan suntikan vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia bagi mencapai sasaran imuniti berkelompok menjelang Oktober ini.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perkara itu dijangka diputuskan pada bulan hadapan sejurus kajian menyeluruh selesai dilaksanakan.

Menurut Muhyiddin, kajian berkenaan termasuk ke atas golongan yang menolak vaksin atau antivaksin.

Jelasnya, sekiranya peruntukkan itu dilaksanakan kelak, individu yang enggan menerima suntikan dos vaksin COVID-19 boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang sedia ada.

“Jadi bila nanti kita sudah analisa, kalau peratusan agak kecil sangat tidak membimbangkan… tapi kalau besar (peratusan) maka kita kena cari jalan sama ada nak gunakan sebagai mandatori dari bawah undang-undang sedia ada tindakan berdasarkan undang-undang.

“Saya cuma nak gambarkan itu akan diputuskan kerajaan dalam tempoh mungkin kalau tak bulan ni bulan hadapan,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Taman Tamadun Islam (TTI), sempena lawatan kerjanya ke Terengganu pada Khamis.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar serta Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzah Hashim.

Dalam lawatan itu, Muhyiddin berkata, sebanyak 590,000 lagi dos vaksin akan dihantar ke Terengganu bulan ini untuk meningkatkan peratusan penerima vaksin di negeri berkenaan.

Mengulas mengenai suntikan vaksin kepada remaja berusia 16 dan 17 tahun, Muhyiddin berkata, perkara itu akan diputuskan sebaik vaksinasi terhadap rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas selesai diadakan.

PM pagi di Johor, petang jumpa Hadi ketika Covid-19 lepasi 21,000 kes

FAZLI RADZI

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin hari ini bergerak dari Johor hingga ke Terengganu ketika kes harian Covid-19 melepasi 21,000 iaitu paras tertinggi, 21,668 kes.

Kira-kira jam 5 petang tadi, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengunjungi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Kampung Rusila, di Marang.

Ketibaan Mahiaddin disambut anak Hadi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil.

Pertemuan Mahiaddin dengan pemimpin sekutu kerajaan PN itu berlangsung kira-kira sejam.

Turut mengiringi Mahiaddin, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Senator Datuk Razali Idris.

Media melaporkan hanya Mahiaddin, Hamzah dan Ahmad Samsuri memasuki kediaman Abd Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri itu.

Sejurus keluar dari rumah tersebut, Abdul Hadi dan Muhyiddin hanya sempat melambaikan tangan ke arah media sebelum menaiki kenderaan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), kira-kira jam 6.10 petang.

Pertemuan Mahiaddin dan Hadi itu susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri pada 3 Ogos lalu.

Terdahulu pagi tadi, Mahiaddin hadir ke persidangan hari pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Iskandar Puteri.

Mahiaddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir tiba di Bangunan Sultan Ismail kira-kira jam 9.30 pagi.

Presiden Bersatu itu duduk di barisan sama dengan dua bekas Menteri Besar iaitu Datuk Osman Sapian (Bersatu-Kempas) dan Datuk Dr Sahruddin Jamal (Bersatu-Bukit Kepong).

Istana utus surat mahu tahu jumlah sokongan pada Muhyiddin

Malaysiakini 

Haspaizi Zain & Hariz Mohd

Istana Negara didakwa memohon pengesahan speaker Dewan Rakyat berhubung jumlah sokongan anggota Dewan Rakyat terhadap Muhyiddin Yassin.

Berdasarkan surat yang tular, Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara mengutuskan surat kepada Speaker, Azhar Harun pada 9 Ogos.

Sumber yang mengetahui perkara itu mengesahkan kesahihan warkah berkenaan kepada Malaysiakini.

Melalui warkah itu, Yang di-Pertuan Agong ingin mendapatkan kepastian jumlah sokongan kerajaan.

Agong ketika menerima menghadap perdana menteri

Istana berkata, Azhar melalui surat pada 3 Ogos memberitahu kedudukan semasa sokongan kepada Muhyiddin adalah 106 orang.

Bagaimanapun, kata istana, pada 4 dan 6 Ogos, dua anggota jemaah menteri meletakkan jawatan, menjadikan jumlah sokongan berkurangan dua orang.

"Pihak Istana Negara juga mendapat makluman bahawa empat ahli Dewan Negara telah menukar pendirian dan telah menyokong YAB perdana menteri.

“Walaubagaimanapun sehingga kini tiada laporan rasmi daripada YB Datuk berkaitan perkara tersebut.

"Sehubungan  dengan itu pihak Istana Negara memohon laporan terkini mengenai bilangan ahli Dewan Rakyat yang menyokong YAB perdana menteri untuk disembuh maklum kepada KDYMM Yang di-Pertuan bagi apa-apa perkenan selanjutnya," kata surat berkenaan.

Surat terbabit ditandatangani oleh Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.

Azhar diminta menjawab surat itu sebelum jam dua petang pada 10 Ogos - dua hari lepas.

Pada 9 Ogos lalu, Umno mendedahkan 13 surat membabitkan ahli parlimen termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Kimanis, Mohamadin Alamin yang tidak lagi menyokong Muhyiddin.

Selain itu turut tersebar surat dikatakan jawapan balas Azhar. Bagaimanapun perkara ini belum dapat disahkan.

Malaysiakini sudah menghubungi Azhar dan masih menunggu penjelasannya.

Bagaimanapun, portal Malaysiapost melaporkan Azhar enggan mengesahkan mengenai ketulenan surat balasannya kepada istana.

“Maaf, saya tak boleh komen mengenai komunikasi rasmi saya, lebih-lebih lagi kalau dengan pihak istana,” dia dipetik sebagai berkata menerusi aplikasi WhatsApp.

Blogger dakwa Mahiaddin akan letak jawatan hari ini

MALAYSIA DATELINE

Blogger dan aktivis Umno, Zaharin Mohd Yasin mendakwa, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin di jangka meletakkan jawatan pagi ini.

“Mahiaddin Yasin di jangka hantar surat perletakan jawatan pagi ini.. Berkuat kuasa hari ini,” tulis beliau menerusi Facebooknya.

Penyataan ini tidak dapat disahkan sejauh mana ia benar atau hanya andaian beliau semata-mata.

Lewat petang semalam Mahiaddin bertemu dengan pemimpin Perikatan Nasional di Putrajaya namun sehingga kini tidak ada sebarang kenyataan mengenainya.

Para pemimpin yang terlibat juga menguncikan mulut masing-masing dari bercakap mengenainya.

Sebelum ini, Malaysia Dateline difahamkan, Mahiaddin bercadang mempercepatkan sidang Parlimen sehingga minggu depan berbanding September nanti.

Ia didakwa berdasarkan keputusan yang dicapai selepas pertemuan beliau dengan Yang Dipertuan Agong bagi menentukan keabsahan beliau sebagai perdana menteri.

Ini berikutan tindakan Umno menghantar surat kepada Yang Dipertuan Agong bahawa 14 ahli parlimen mereka menarik diri dari menyokong kerajaan PN.

Susulan itu, semua parti pembangkang termasuk Pakatan Harapan, Warisan, Pejuang, Muda dan bebas juga berbuat perkara yang sama.

Sultan Johor: Dun akan dibubarkan jika wakil rakyat cuba jatuhkan kerajaan

SITI NUR ZAWANI MISCON

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah bahawa baginda tidak akan teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor jika ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

Baginda Sultan menzahirkan amaran tersebut sekiranya wakil rakyat terus bertelagah mengganggu gugat negeri serta kerajaan Johor.

“Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukannya kepentingan rakyat.

“Apabila wabak Covid-19 telah terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih Ahli Dewan yang baharu, selepas ini pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat,” titah baginda di Facebooknya hari ini.

Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ke Empat Dewan Negeri Johor Yang Ke Empat Belas di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor Bahru pada hari ini (12 Ogos).

Pada masa sama, baginda Sultan turut bertitah menasihatkan semua Ahli Dewan supaya menggunakan sesi persidangan kali ini untuk berbincang dan menyusun pelan tindakan bagi menolong rakyat dan membangunkan semula ekonomi Johor.

Baginda juga menegaskan agar usul yang tidak berkenaan tidak perlu dibawa ke dalam Dewan.

“Awak semua jangan pentingkan diri sendiri. Rakyat di luar sana tengah susah, ada yang kelaparan, ada yang hilang pekerjaan dan ada juga yang sedang bertarung nyawa akibat wabak Covid-19 .

“Ini bukannya masa untuk berbalah, tetapi ini adalah masa untuk bersatu dan bekerjasama. Jangan tanya kepada orang lain apa yang telah dibuat untuk bantu rakyat, tetapi lihatlah cermin muka sendiri,” titah baginda lagi.

Sultan Johor bertitah, mengingatkan bahawa Dewan Negeri adalah tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat serta negeri Johor.

“Jangan cemarkan Dewan saya ini dengan perangai yang buruk. Ini adalah dewan yang mulia bukannya dewan sangkar beruk.

“Ingat pesanan saya Tuan Speaker. Jalankan kerja baik-baik dan suka juga saya ingatkan, yang saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai menganggu-gugat negeri dan kerajaan saya,” titah baginda.

Dimana silapnya Bersatu, menurut pemimpin Umno

Nicholas Chung

Shahrir Samad (kiri) berkata salah satu isu terbesar adalah berkenaan cara pengurusan pandemik, sementara Wan Agyl Hassan menyifatkan Bersatu melakukan ‘pengkhianatan’ terhadap Umno apabila membentuk kerjasama dengan PAS dan parti lain.

PETALING JAYA: Penarikan sokongan Umno kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) minggu lalu dilihat sebagai langkah dramatik oleh kebanyakan pemerhati namun ia bukan satu kejutan buat parti itu.

Hubungan Umno dan Bersatu diwakili Muhyiddin tidak begitu baik sejak Langkah Sheraton dilakukan yang membentuk pentadbiran kerajaan PN.

Dalam satu temubual dengan FMT, pemimpin akar umbi Umno Shahrir Samad dan Wan Agyl Hassan memberi pandangan dimana silapnya Bersatu dan apa yang menjurus parti itu untuk meninggalkan kerajaan.

Shahrir yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, berkata salah satu isu terbesar adalah berkenaan cara pengurusan pandemik apabila angka kes Covid-19 telah mencecah 20,000 kes sebanyak tiga kali dengan 360 angka korban harian dilaporkan pada 8 Ogos.

Shahrir berkata pelbagai sekatan penuh dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilakukan berulang kali telah melumpuhkan ekonomi.

“Disebabkan pengurusan krisis kesihatan yang teruk dan kurangnya sikap kepimpinan, mesej yang bercampur-baur, akhirnya ekonomi terjejas teruk,” katanya.

“Rakyat hilang pekerjaan dan tidak mempunyai sumber pendapatan.

“Dengan krisis ekonomi dan kesihatan, ia adalah situasi yang teruk, ditambah pula dengan kegagalan kerajaan untuk memahaminya.”

Beliau berkata langkah pemberian bantuan oleh kerajaan memberi kesan yang minimum biarpun terdapat banyak pakej dan “angka besar” diumumkan oleh pentadbiran Muhyiddin.

“Rakyat perlukan bantuan fiskal, bantuan wang tunai yang sebenar. Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dan tidak boleh keluar bekerja, anda tidak boleh terus memberi sumbangan makanan setiap masa. Kadangkala mereka perlukan wang tunai untuk membayar sewa dan pelbagai keperluan lain.

“Jika anda tidak boleh mencari jalan untuk membolehkan mereka keluar bekerja, anda perlu memberi bantuan wang tunai tetapi ia agak sedikit. Banyak pakej bantuan telah diumumkan tetapi bukan semuanya bersifat bantuan secara langsung.”

Bantuan yang tidak mencukupi daripada kerajaan mencetuskan gerakan Bendera Putih untuk membantu golongan memerlukan dengan usaha pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta serta rakyat yang bermurah hati.

Shahrir berkata ramai juga pelabur telah beralih mencari pasaran ke negara jiran selain negara ini.

Wan Agyl yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, berkata akar umbi parti itu begitu marah dengan tindakan Bersatu yang “mencuri” Ahli Parlimen daripada Umno untuk menambah angka sokongannya.

Daripada 31 orang Ahli Parlimen Bersatu di Dewan Rakyat, hanya enam yang memenangi kerusi atas tiket Bersatu pada 2018.

Kebanyakan mereka yang lain pula memenangi pilihan raya sama ada sebagai ahli Umno atau Pakatan Harapan dan masih berada dalam gabungan itu sebelum Langkah Sheraton dilakukan.

Wan Agyl turut menyifatkan Bersatu melakukan “pengkhianatan” terhadap Umno apabila membentuk kerjasama dengan PAS dan parti lain yang didakwanya, dilakukan tanpa pengetahuan parti itu.

“Malah, ketika Umno menyokong pembentukan kerajaan di bawah gabungan secara tidak rasmi, Bersatu masih tidak puas dan membentuk kerjasama rasmi PN dengan PAS. Tidak ada keikhlasan daripada Bersatu terhadap Umno.”

Ia akhirnya mengundang perpecahan Muafakat Nasional, iaitu pakatan Umno dan PAS, kini parti Islam itu berdiri teguh di belakang Muhyiddin.

Shahrir turut mengkritik keengganan kerajaan membenarkan Parlimen bersidang ketika darurat berkuatkuasa.

Menyifatkannya sebagai “pelik dan berbahaya”, beliau berkata keabsahan Jemaah Menteri adalah bermula dari Parlimen.

Malah, selepas Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen boleh bersidang ketika darurat, Muhyiddin enggan berganjak dan hanya berbuat demikian selepas kenyataan Istana Negara itu diulangi semula.

Kemudiannya ia disusuli dengan krisis perlembagaan dan politik yang membawa kepada pembatalan Ordinan Darurat yang mencetus laungan “derhaka” daripada pembangkang.

Shahrir mempersoalkan mengapa Putrajaya mencetuskan kekecohan besar apabila gagal mendapat perkenan Baginda sebelum mengumumkan pembatalan itu.

“Mengapa salah urus? Kenapa tidak boleh melakukannya dengan elok? Ia begitu mudah. Siapa yang akan membantah pembatalan itu? Tidak ada siapa.

“Kemudian Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan menyebut keputusan dibuat pada 21 Julai. Jadi ia dibatalkan pada 21 Julai? Atau adakah ia akan dibatalkan pada Isnin nanti? Malah Yang di-Pertuan Agong juga bertitah Takiyuddin mengelirukan Parlimen.”

Susulan pergolakan itu, sekurang-kurangnya 15 Ahli Parlimen daripada Umno termasuk presidennya, Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan PN.

Ketika menggesa semua Ahli Parlimen daripada Umno mengikut ketetapan parti, Zahid menuduh Muhyiddin menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan.

Shahrir berkata Muhyiddin mempunyai kepimpinan yang kuat dalam tempoh 18 bulan lalu tetapi kekuatan itu tidak bermaksud 200 Ahli Parlimen perlu menyokong setiap langkahnya.

“Ia bermaksud mempunyai kekuatan dalam membuat keputusan, berkomunikasi dengan baik dan malah bercakap dengan pihak pembangkang. Krisis bukan masa untuk berbalah. Tetapi jika anda mempunyai kepimpinan yang lemah, ini yang kita dapat.”

Wan Agyl mendakwa kelangsungan negara akan terancam jika PN terus memerintah.

“Kami percaya pandemik ini boleh diuruskan dengan lebih baik,” katanya.

“Pada masa sama, kita perlu mengembalikan kestabilan politik. Ini adalah masa untuk tunaikannya.”

Perdana Menteri yang tidak sah meletakan negara pada risiko yang tinggi

HANIPA MAIDIN

Telah menjadi rahsia terbuka (an open secret), YAB Perdana Menteri yang menerajui negara sekarang ini bukan sahaja menerajuinya tanpa mandat rakyat, akan tetapi juga telah kehilangan suara majoriti di dalam Dewan Rakyat.

Walaupun, pada zahirnya, beliau dilihat sedang “bertaici” bagi cuba mengelirukan ramai pihak yang kononnya beliau masih seorang Perdana Menteri yang sah, faktanya adalah jelas dan terang bahawa beliau memang tidak lagi mempunyai sokongan yang diperlukan bagi menjadi seorang Perdana Menteri.

Dari sudut Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang tertinggi di negara ini, apa yang beliau lakukan sekarang ini, secara jelas telah melanggar sumpah kesetiaan yang beliau ikrarkan bagi menjunjung dan mempertahankan ketinggiannya.

Beliau, hakikatnya, pada masa ini sedang menjawat jawatan Perdana Menteri secara tidak sah dan dengan dengan tidak menghormati sama sekali undang-undang dan ketinggian Perlembagaan Persekutuan. Malang sungguh bagi Malaysia kerana terpaksa melakar sejarah buruk dan memalukan ini.

Dengan erti kata lain, beliau seolah-olah membiarkan dirinya melakukan perkara yang tidak sah. Jujurnya, saya agak keliru mengapakah beliau boleh begitu berani melakukan perbuatan ini sehingga ke tahap ini?

Jelas, ini suatu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab dan boleh ditafsirkan sebagai kes penyalahgunaan kuasa yang terbuka (a glaring abuse of power).

Tidak perlu diperkatakan lagi, bahawa kewujudan undang-undang dan Perlembagaan, antara lain, adalah bagi memastikan setiap tindakan mana-mana pihak khususnya sebuah Kerajaan itu sentiasa sah dan di dalam ruang lingkup undang-undang dan Perlembagaan.

Dalam sistem demokrasi yang berasaskan Perlembagaan, sering dikatakan bahawa kewujudan Perlembagaan itu

melambangkan bahawa kuasa Kerajaaan itu terhad dan tidak mutlak. 

Nampaknya, sekarang ini ianya agak berbeza. Kewujudan Perlembagaan adalah amat penting sebagai alat pengekang kuasa kerana jika mana mana tindakan Kerajaan itu adalah tidak sah, hakikatnya, ia meletakkan sesebuah negara itu berada dalam bahaya dan risiko amat tinggi.

Sebuah Kerajaan itu hakikatnya diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang kemudiannya dibantu oleh para anggota pentadbirannya.

Keseluruhan mereka itu juga digelar sebuah Kerajaan. Jika seorang Perdana Menteri itu sendiri adalah berstatus tidak sah maka para anggota pentadbirannya juga adalah dikira tidak sah.

Oleh yang demikian, dalam bahasa mudah, status Kerajaan itu juga dikira tidak sah. Ini adalah perkara yang asas.

Mengapakah status keabsahan seorang Perdana Menteri itu amat mustahak?

Jawapannya, seorang Perdana Menteri itu amat perlu melakukan pelbagai tugas rasmi yang diperuntukkan di bawah undang-undang dan Perlembagaan.

Justeru itu, secara tersirat, kedudukan dan status beliau itu sewajarnya tidak perlu diragui dari segi keabsahan (legitimacy).

Di dalam Perlembagaan Persekutuan, terlalu banyak peruntukkan di dalamnya yang menuntut penglibatan rasmi seorang Perdana Menteri sama ada secara langsung atau tidak secara langsung.

Oleh itu, jika status atau posisi kedudukan rasmi Perdana Menteri itu sendiri adalah tidak sah, sudah tentu ianya tidak wajar untuk beliau turut mengheret atau mendedahkan negara ini kepada risiko perundangan yang amat tinggi.

Dalam bahasa perundangan tindakan yang beliau lakukan sekarang ini boleh dikatakan tergolong sebagai “misfeasance in public office”

Pada tahun 2017, Mahkamah Persekutuan di dalam negara ini pernah memutuskan isu “misfeasance in public office” di mana, antara lain, mahkamah tertinggi negara ini telah memutuskan bahawa perdana menteri dan para menterinya boleh disaman atas kausa tindakan “misfeasance in public office”.

Jawatan Perdana Menteri bukanlah jawatan yang bersifat peribadi. Ia adalah jawatan awam yang melibatkan, antara lain, pembiyaaan dari sumber dana awam.

Bayangkan, misalnya, jika pelantikan seseorang ke jawatan penting yang melibatkan penglibatan Perdana Menteri yang tidak sah, Tidakkah ianya memberi risiko?

Atau misalnya penglibatan seorang Perdana Menteri yang meluluskan sesuatu transaksi yang melibatkan wang negara atau hubungan diplomatik dengan negara-negara luar? Tidakkah ianya berisiko?

Meskipun Perdana Menteri dan para anggota pentadbirannya kelihatannya tidak ada sedikit pun rasa malu dan bersalah, kita masih mengharapkan beliau masih boleh berfikir dengan waras dan lurus, agar beliau tidak tergolong dalam posisi kedudukan pihak yang salah di dalam sejarah (the wrong side of history).

Negeri pertama adakan sidang DUN esok, Johor jadi tumpuan susulan kemelut politik Umno, PN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan membuka tirainya esok dan menjadi tumpuan apabila menjadi negeri pertama mengadakan persidangan selepas Parlimen mula bersidang akhir bulan lalu.

Tumpuan itu susulan kemelut politik antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin dan Umno di peringkat pusat yang dijangka memberi kesan pada sidang DUN yang selama ini berlangsung tenang.

Memetik laporan Berita Harian, tindakan kerajaan Johor diterajui Umno yang terus mengambil sikap berdiam diri walaupun Bersatu Johor mendesak supaya pendirian jelas diumumkan, sama ada terus menyokong PN atau pun mengikut ketetapan Umno pusat, dilihat mampu memberi kesan kepada persidangan yang berlangsung.

Minggu lalu, Menteri Besar Hasni Mohammad yang juga Ketua Umno Johor mencuri tumpuan apabila dilaporkan meminta keabsahannya sebagai Menteri Besar supaya dibangkitkan dan dibincangkan ketika persidangan berlangsung.

Mengulas mengenai sama ada berlaku kejutan ketika Sidang DUN Johor yang bermula esok, ahli jawatankuasa Bersatu Johor, Osman Sapian mengambil pendirian untuk tidak mendahului parti.

Beliau yang juga bekas menteri besar berkata, Bersatu Johor mempunyai strategi tertentu namun ia tidak boleh diumumkan secara terbuka.

“Itu (strategi Bersatu) kita tak boleh bincangkan secara terbuka. Kita ada strategi tersendiri.

“Pastinya strategi ini memberi bayangan terhadap apa yang berlaku di peringkat Pusat.

“Apa pun keputusan Bersatu Johor perlu mendapat restu dan kelulusan kepemimpinan tertinggi parti iaitu Muhyiddin Yassin selaku presiden parti.

“Selagi tiada restu dan kelulusan presiden, selagi itu tiada kenyataan mengenainya akan dibuat,” katanya ketika dihubungi.

Pada 23 Jun lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar memperkenankan DUN Johor bersidang pada 12 Ogos ini sehingga 22 Ogos nanti.

Sultan Ibrahim dalam hantaran di akaun Facebook rasmi baginda, dilaporkan bertitah berkenan untuk berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat DUN Johor di Kota Iskandar pada tarikh berkenaan.

Pada 3 Ogos lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dilaporkan sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Keputusan berkenaan dijangka menjejaskan empat negeri diterajui PN membabitkan Johor, Melaka, Kedah dan Perak.

Terdapat 56 kerusi DUN Johor dengan agihan terkininya adalah Umno dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), PAS (satu) sementara Amanah (sembilan) dan PKR (empat).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi, berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Ia selepas Bersatu memberikan sokongan kepada Umno untuk menerajui kerajaan Johor berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh pada Februari tahun lalu.

Tak komen jelek, hina atau maki Sanusi, tapi saya ‘kena’ juga, kata Ketua Umno Sungai Petani

FMT Reporters

Ketua Umno Sungai Petani Shahanim Mohamad Yusoff mendakwa dirinya menjadi “mangsa” hanya kerana mendedahkan status jumlah kematian Covid-19 di Kuala Muda. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sejurus selepas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa orang ramai bebas mengkritik dan menegurnya tetapi tidak secara ‘melampau,’ Ketua Umno Sungai Petani tampil mendakwa dirinya menjadi “mangsa” hanya kerana mendedahkan status jumlah kematian Covid-19 di Kuala Muda.

“Saya tak komen jelek, hina …(atau) maki MB Kedah pun… tetapi (petang ini) saya dipanggil ke Ibu Pejabat Polis,” kata Shahanim Mohamad Yusoff di Facebook.

Menurutnya “orang ramai yang komen macam-macam,” tetapi beliau yang dipanggil ke balai polis untuk diambil kenyataan.

“Salahkah ‘up’ status jumlah kematian? ….Bersuara demi rakyat..Allah tahu niat kita..mana demokrasi,” tambah Shahanim.

Petang tadi, Sanusi berkata beliau tidak ambil hati jika ditegur, selagi ia bukan kenyataan hinaan, carut dan fitnah yang menyalahi undang-undang.

Katanya, beberapa penangkapan baru-baru ini adalah susulan laporan polis dibuat pegawainya, yang menganggap kenyataan tertentu terhadapnya sebagai melampaui batas dan tatasusila.

Baru-baru ini empat orang ditahan polis kerana didakwa memecah keamanan dan menyalahgunakan undang-undang internet dengan membuat kenyataan dianggap menghina Sanusi di Facebook.

Ini berkaitan kenyataan dibuat beliau di Sungai Petani pada hujung minggu lalu berhubung penggunaan kontena untuk jenazah Covid-19. Bercakap kepada FMT, Sanusi berkata kebebasan bersuara tidak membolehkan seseorang bertindak sesuka hati.

“Media sosial bukan tempat melempar fitnah, memburuk, mencari salah silap orang, memaki hamun, mengadu-domba, guna bahasa kesat dan sebagainya atas alasan mengkritik pemimpin.

“Jika ada kesilapan yang langgar undang-undang selama menggunakan media sosial, mereka perlu menghadapi akibatnya berdasarkan undang-undang.”

Kes rogol dikaitkan Adun Gombak Setia: 'Apa jadi lepas 9 bulan?

Shakira Buang

Seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa rogol kepada dua lelaki yang dikaitkan dengan Adun Gombak Setia Hilman Idham akan memfailkan saman sivil terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tindakan itu diambil selepas hampir sembilan bulan membuat laporan polis, dia belum mendapat sebarang jawapan mahupun perkembangan siasatan, kata peguamnya, Asheeq Ali Sethi Alivi.

Asheeq berkata demikian setelah menghantar surat menuntut penjelasan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini

Katanya, surat pertama mereka pada 10 Jun melalui e-mel kepada PDRM dan ketua polis negara tidak berbalas.

"Kini, sudah berbulan masih tiada maklum balas sehingga hari ini. Ia juga sudah terlalu lama dan kami tidak lagi boleh menunggu,” katanya.

Katanya, saman itu akan difailkan jika surat terbaru hari ini tidak dijawab dalam masa tujuh hari.

Tambah Asheeq Ali, anak guamnya mempunyai hak untuk mengetahui perkembangan atau hasil siasatan polis atas aduan dibuatnya.

"Ini adalah kes rogol yang melibatkan nama-nama besar. Laporan juga telah dibuat tetapi kenapa mengambil masa yang terlalu panjang?” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di media sosial.

Asheeq membandingkan kes anak guamnya itu dengan kes lain sebelum ini.

"Laporan kes Adun Tronoh diterima 9 Julai 2019 dan dituduh bulan seterusnya dan kes kedua membabitkan wakil rakyat parti Amanah tindakan diambil dengan kadar segera tetapi kenapa kes ini hampir sembilan bulan tidak ada perkembangan?” soalnya.

Pada 24 Mei lalu, polis berkata hampir menyelesaikan siasatan berhubung tuduhan rogol terhadap wanita 33 tahun itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim yang dihubungi Malaysiakini ketika itu berkata, siasatan yang bermula Disember lalu dijangka selesai tidak lama lagi.

Terdahulu Azmi memberitahu wartawan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bahawa kertas siasatan akan diserahkan pada 25 Mei atau hujung minggu tersebut.

Mangsa membuat laporan polis pertama pada 5 Disember yang mendakwa dua lelaki merogolnya, namun menarik balik laporan pada 8 Disember kerana mendakwa diugut.

Dia bagaimanapun berubah fikiran dan meminta siasatan dilakukan pada Januari.

Salah seorang yang didakwa merupakan pemimpin bahagian parti komponen Perikatan Nasional, makakala seorang lagi dikatakan rakan Hilman.

Menurut laporan polis pertamanya, dia terbangun pada pukul empat pagi pada 5 Disember di sebuah bilik hotel dalam keadaan berbogel sendirian.

Wanita itu merasakan dirinya dinodai setelah menemui kondom di bilik mandi.

Wanita itu juga membuat laporan polis kedua pada 8 Mei dan mendakwa Hilman "merancang" insiden tersebut setelah makan malam sempena sambutan hari jadi dan sesi karaoke di sebuah hotel di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Dia sebelum ini mengaku sebagai wanita dipapah ke bilik hotel dalam rakaman CCTV yang tular oleh seorang lelaki yang didakwanya sebagai Hilman.

PNBBC Portal melaporkan, Hilman pada 4 Mei menafikan kesahihan surat tular bahawa dia menjelaskan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan video itu.

Hilman ketika dihubungi Malaysiakini sebelum ini tidak memberikan sebarang komen.